Friday, December 28, 2007

Solat

"Perumpamaan solat adalah ibarat sungai yang berhadapan dengan pintu rumah saudara. Saudara mandi di dalamnya lima kali sehari pada setiap hari. Apakah masih ada daki pada saudara?"

Para Sahabat yang mendengar kata-kata Nabi Muhammad itu menjawab: "Tidak ada sedikit pun".

Nabi Muhammad menyambung lagi: "Sesungguhnya solat itu menghilangkan dosa seperti air sungai menghilangkan daki."

(Hadis ini di rekodkan oleh Muslim)

Wednesday, December 26, 2007

Takziah

Minggu lepas, sekitar jam 1.50pagi, saya mendapat sms dari seorang teman lama yang tinggal di Penang. Ketika itu saya masih tekebil-kebil, menahan ngantuk, menyiapkan beberapa tugasan penting sebelum pulang bercuti ke Selama. SMS dari Dr Hasanah, yang berbunyi "Ustaz Rosdi baru sahaja kembali ke rahmat Ilahi jam 11.45 malam tadi. Jenazah dibawa ke Pokok Sena, Kedah. Kebumi esok pagi Insya'Allah."

Innalillahi wa inna ilaihi rojiun...

Saya pernah dimaklumkan suami Hasanah sakit, tetapi tidak tahu seserius itu. Saya tidak kenal rapat dengan Ustaz Rosdi. Rasanya saya pernah berjumpa arwah dalam 5-6 kali sahaja. Walau pun begitu, saya berasa seolah-olah sudah kenal lama dan rapat dengannya. Munkin sebab saya berkawan baik dengan Hasanah ketika di SMAS dari tingkatan 1 hingga 3, selain sifat Ustaz Rosdi yang cukup peramah dan mudah mesra.

Ustaz Rosdi juga pernah beberapa kali datang ke bengkel UNIKA di al-Ikhlas tahun lepas. Di bengkel UNIKA saya mula berkenalan dengan Ustaz Rosdi dan bertemu kembali dengan Hasanah. Kali terkahir bertemu Hasanah rasanya sekitar tahun 1990. Keluar dari SMAS, saya ke Maahad, di ke SMAP.

Rentetan dari situ juga, Ustaz Rosdi menjemput saya mengadakan bengkel penulisan di MSI Kulim. Kulim dengan Selama tidak jauh, jadi sambil pulang bercuti, saya berbengkel sehari suntuk di sana. Cuma tidak berpeluang bertandang ke rumah mereka sahaja. Saya tidak mahir jalan ke Penang, apatah lagi isteri saya yang orang Selama. Paling jauh saya memandu bersendirian dari Selama hanya ke Kulim.

Sehingga hari ini saya masih terperanjat dan turut berasa sedih. Masih lagi terbayang gurauan dan keramahan arwah. Lebih menyedihkan apabila mengenangkan anak-anak beliau yang masih kecil dan dahagakan belaian kasih seorang ayah.

Semoga Allah merahmati ruh almarhum dan memberikan kekuatan, ketabahan kepada Hasanah serta anak-anak.

Dibawah ini sedikit coretan dari Hasanah yang saya petik dari blog beliau www.drhasanah.com.


(Gambar: Arwah Ustaz Rosdi bersama sebahagian anak-anak. Tenang sehari sebelum pembedahan)

Seperti tak percaya melihat insan di hadapan saya terbujur kaku. Berkali-kali saya bertanya doktor yang bertugas untuk mencari kepastian walaupun jelas tubuh itu telah sejuk beku. Semuanya berlaku begitu pantas.

Saya kehilangan suami tercinta sehari sebelum Aidil Adha, iaitu jam 12 tmalam 19 Disember 2007. Tiada kalimah yang dapat digambarkan pabila melihat insan yang menjadi tempat bermanja tiba-tiba sahaja kaku. Akhirnya perkara yang sangat saya takuti sejak dua tahun lalu menjadi kenyataan.

Arwah Ustaz Rosdi Yusof (Maktab Mahmud > SMAP Kajang > Mu’tah University -Jordan > UKM > IPI > KDH > UNIKL MSI) meninggal dunia sehari selepas menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan kanser usus kecil bersaiz 15cm x 15cm x 11cm. Pembedahan tersebut gagal kerana tumor tersebut telah melekat dengan bahagian belakang badan - dimana banyak urat besar terletak. Doktor terpaksa menjahit semula tempat pembedahan. Selepas pembedahan keadaan arwah stabil, tetapi, tiba-tiba pada hari Selasa, jam 11 malam lebih arwah mengadu sejuk. Tak lama lepas tu, arwah kelihatan seperti sesak nafas dan tak sampai beberapa minit, Allah menjemputnya pergi.

Wajah arwah begitu tenang. Sangat tenang. Senyuman manis beliau saat di pembaringan benar-benar menyentuh perasaan. Tak jemu mata memandang…. membuatkan hati menjadi rindu dengan tawa riangnya.

Saya redha dan pasrah dengan pemergiannya walaupun hati sebak melihat empat orang anak yang masih mengharapkan kasih dan jenaka rianya. Tambahan pula, saya sedang sarat mengandungkan zuriat kelima yang hampir menginjak bulan kesembilan dalam kandungan.

Sesekali ada anak yang akan bertanya, “mak, kenapa ayah mati cepat sangat?”

Semoga Allah mengampunkan arwah Ustaz Rosdi Yusof dan meletakkannya bersama orang-orang yang soleh dan bertakwa, Amin.

Friday, December 14, 2007

Menuduh & Bertanya

Menuduh dan bertanya adalah dua aktiviti yang berbeza. Walaupun melibatkan aktiviti bercakap tetapi kedua-duanya didorong oleh keperluan naluri dan emosi yang berlainan. Nada suara, memek muka, jelingan mata dan bahasa badan juga berbeza.

Apabila bertanya, ia adalah kerana naluri ingin tahu yang berhajatkan sesuatu maklumat atau kepastian. Manakala menuduh, ia lebih didorong oleh naluri yang hanya ingin memuaskan hati orang yang bertanya.

Apabila bertanya, jawapan daripada orang yang ditanya mengandungi maklumat yang diperlukan. Manakala apabila menuduh, jawapan daripada orang yang kena tuduh lebih bersifat mempertahankan diri.

Apabila bertanya, nada, intonasi suara, memek muka, jelingan mata dan bahasa badan yang lain umumnya adalah mesra dan disenangi. Manakala menuduh, biasanya nada, intonasi suara, memek muka dan jelingan mata biasanya (secara tidak sengaja atau memang bertujuan) menyakitkan hati. Ayat yang digunakan mungkin sama sahaja dengan bertanya.

Cuba baca ayat 'Awak pencuri' dalam situasi bertanya dan menuduh. (Bayangkan seseorang yang di kaunter pertanyaan dengan wajah keliru dan wajah Mak Dara dalam filem Ibu Mertuaku sedang bercekak pinggang).

Jika kita bertanya kepada seseorang: "Awak pencuri?", kita mungkin mendapat jawapan seperti: "Shhh... diam, jangan cakap dengan orang lain!", "Saya bekas pencuri" atau "Saya pencuri yang sudah bertaubat" atau "Ya, saya pencuri. Sekarang saya ingin mencuri awak!" dan lain-lain jawapan yang mungkin 'mesra'.

Namun, sekiranya kita menuduh seseorang (dengan gaya Mak Dara): "Awak pencuri!", kemungkinan besar orang kena tuduh akan menjawab: "Awak jangan cakap semborono!" atau "Amboiii... sedap mulut awak bercakap"... atau yang lebih enak :"Pangggg!!" (penampar hinggap di pipi anda).

Oleh yang demikian, apabila berkomunikasi, kita boleh memilih untuk bertanya atau menuduh. Bertanya lahir dari hati yang baik (ingin tahu), manakala menuduh boleh lahir dari hati yang tidak baik (hasad, dengki, marah dsb.)...

Sekurang-kurangnya itulah yang saya nasihatkan Kak Yong dan Abang Chor pagi tadi. Apabila mendengar Kak Yong meminta untuk pergi belajar buat kek di sebuah bakeri yang mengajar kanak-kanak membuat kek, Abang Chor berkata: "Baba, Kak Yong tu bukan hendak belajar buat kek, dia hendak main." Kak Yong hanya diam dengan muka masam mencuka.

Dan, apabila saya menerangkan kepada Abang Chor beza hati orang baik dan hati yang tidak baik, dia membetulkan semula ayatnya: "Baba, Kak Yong hendak pergi belajar buat kek ke nak pergi main dengan kawan-kawan (di padang dsb) ?" Dan wajah Kak Yong berubah menjadi senyum dan menerangkan kursus tersebut kepada Abang Chor...

Wallahu'alam.

Monday, December 10, 2007

Hilang


Baru-baru ini Marwan a.k.a. Abang Chor yang berusia 4 tahun hilang di kompleks membeli belah di wangsa maju ketika mengikut pakcik, makcik dan sepupu-sepupunya berjalan-jalan. Di berjaya ditemui beberapa minit kemudian.

Pada waktu tersebut saya sedang ke udara di IKIM.fm. Saya dapat berita tersebut sebaik keluar dari konti yang disampaikan oleh isteri.

Menurut cerita, ketika hendak menaiki lif, abang Chor terlepas pegang makciknya akibat terleka melihat permainan. Kehilangan abang chor di sedari ketika didalam lif. Pakciknya segera naik semula ke tingkat tadi sementara makcik dan sepupu-sepupunya terus ke kauter informasi untuk memaklumkan kepada pengurusan kompleks tersebut. Selang 5-10 minit kemudian pakciknya berjaya menemui Abang Chor sedang duduk di sebelah pengawal keselamatan.

Apabila ditanya kepada pengawal keselamatan tersebut bagaimana beliau menjumpai abang Chor, pengawal tersebut memberitahu, abang Chor datang kepada beliau dan berkata:

"Polis, polis.... nampak tak baba dan sepupu saya?"

Pengawal tersebut bertanya: "Sepupu awak pakai baju apa?"

"Saya tak tahu..."

"Ok, tak pe, adik duduk dekat pakcik, nanti pakcik minta kawan pakcik cari."

Kata ipar saya, Abang Chor tidak menangis ketika ditemui. Cuma sebaik sahaja melihat ipar saya tersebut, matanya sedikit bergenang. Ketiak dirumah, Abang Chor kata memang dia takut, tetapi dia teringat pesan saya: "Kalau Abang Chor hilang, jangan menangis. Abang Chor cari polis (sekuriti), abang Chor cakap 'Polis, nampak tak ayah saya?...' nanti polis tu cari baba Abang Chor."

Alhamdulillah, Abang Chor tidak panik dan dia mempraktikan pesan saya kepadanya... walaupun ketika berpesan, saya dan isteri dalam nada jenaka dan ketawa. Bagaimana pun saya syukur yang amat sangat. Segala puji kepada Allah yang melindungi kami sekeluarga di dalam dan di luar rumah.





Pengajaran buat kami (dan semua yang terlibat), perlu extra peka kepada anak-anak. Ajarkan mereka tip-tip survival. Saya tadi beri lagi satu tip kepada anak-anak, iaitu hafal nombor talifon kami, dan minta sekurit hubungi kami kalau terjumpa mereka.... Harapnya, perkara sedemikian tidak berlaku atau tidak akan berulang lagi.

Pengajaran juga supaya bukan hanya extra peka kepada Kak Yong yang aktif dan suka 'melilau', tetapi juga kepada Abang Chor yang walaupun tidak ligat, tetapi mudah leka. Cuma Sameer sahaja yang belum tahu ragamnya. Semoga Allah melindungi kami semua.... wallahu'alam.

Saturday, December 8, 2007

Selamat Hari Jadi

Hari ini Sameer meraikan ulang tahun pertamanya. Genap setahun, si permata hati montel ini mewarnai Taman Permata dengan kegembiraan dan kebahagiaan.





Terasa pantasnya masa berlalu. Masih terbayang saaat-saat kelahirannya. Sameer masih lagi merah dan basah ketika saya menggunting tali pusatnya dan kemudian membisikkan azan dan iqamah di kedua-dua telinga.



Tangisannya ketika itu adalah irama yang sungguh merdu dan membahagiakan. Kerana kemerduan itu jugalah, Sameer lena sepanjang malam disisi mamanya walaupun berkali-kali jururawat meminta untuk menjaga Sameer supaya mama dapat berehat. Kata Mama Kak Yong, rehatnya lebih tenang apabila bersama Sameer.

Kelahiran Sameer amat-amat dinantikan oleh kami, juga Kak Yong dan Abang Chor. Walaupun Kak Yong pada mulanya agak bersedih kerana terlalu menginginkan adik perempuan, namun, sebaik melihat Sameer, kegembiraannya melenyapkan segala rasa sedih sebelum itu.



Kalau dulu, tanpa gigi, gigitan Sameer ibarat ciuman manja, tetapi kini dengan empat batang gigi yang baru tumbuh itu tidak ada siapa yang berani menyua tangan (walaupun kerap menggigit pipi dan tangan babanya...)

Kak Yong, Abang Chor dan Sameer... adalah antara beribu nikmat-nikmat Allah yang membahagiakan kami. Nkmat yang diiringi dengan tanggungjawab yang besar dan mencabar. Terutama dalam dunia yang penuh pancaroba ini, semoga Allah memberi kami kekuatan, kesabaran, ilmu dan hikmah dalam mendidik dan membesarkan permata hati kami ini dan seterusnya. Wallahu'alam...










Friday, December 7, 2007

IKIM.fm, On Air

Malam tadi saya ke udara ("Ku ke udara lagi...." - lagu Francisca Peter), menemani Prof Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku Travelog Haji - Mengubah Sempadan Iman. Juruhebah bertugas adalah En. (Ustaz) Zamri Zainal Abidin. Penonton dalam konti pula: Imran (editor PTSI), Firdaus (editor PTSI), Azharisyam (PR PTSI), Pn Roza (Isteri Prof Kamil).

Kali terakhir saya berada atau melawati konti adalah lebih 20 tahun yang lampau, mengikuti ayah yang bertugas sebagai pegawai kanan di wisma radio, RTM.

Kalau konti era lebih 20 lampau penuh dengan kaset dan segala perlatan yang agak besar, konti era baru ini penuh dengan peralatan digital. Gambaran juruhebah di dalam konti, dengan juruteknik di luar yang mengawal siaran sudah lama berakhir. Kini, Ust Zamri adalah juruteknik, penyambut tetamu dan juruhebah. Beliau juga membuat rakaman siaran. Tidak ada lagi wayar yang berselirat, tidak ada kaset yang tersusun di sebelah DJ dan tidak ada mikrofon tergantung di tengah meja. Yang ada hanyalah, sebuah papan kekuci, papan mixer dan kawalan serta beberapa buah monitor flat screen. Lagu lagu dan bahan-bahan rakaman semua tersusun dan terpapar dalam monitor di hadapan beliau, dengan sekali click semuanya bisa berfungsi. Suasana konti juga lebih luas, cerah dan santai.

Cuma malam tadi saya sahaja yang kurang sedikit santainya, maklumlah pertama kali berada dalam konti sebagai tetamu. Yang agak meresahkan saya sebenarnya adalah, saya tidak tahu soalan yang bakal diajukan. Senarai soalan yang diemelkan oleh Ustaz Zamri saya tidak terima. Nasib baik Ustaz Zamri memberi peluang melihat soalan dan merangka jawapan dalam tempoh kurang dua minit sebelum ke udara. Lega sedikit apabila melihat hanya tiga soalan pendek untuk saya nanti. Soalannya pula adalah soalan yang biasa saya terima.

Sesi malam tadi berjalan dengan lancar. Sambutan pendengar cukup hebat, tidak putus panggilan (walau hanya tiga sahaja yang dibenarkan keudara). Saya cukup tersentuh dengan beberapa kata-kata dan lakaran pengalaman Prof Kamil. Bagi saya, sesi malam tadi mampu memberi banyak motivasi dan keinsafan. Kata Prof, sedangkan dia yang baru merangkak membaca Quran cuba sedaya upaya untuk membaca satu muka sehari, sepatutnya mereka yang sudah lancar boleh baca lebih dari itu.

Hemm... betul tu. Sekiranya seseorang itu boleh duduk berjam-jam membaca buku, kenapa tidak boleh meluangkan sedikit masa untuk membaca Quran yang bukan sahaja boleh menjadi santapan minda bahkan menenangkan jiwa. Bukankah membaca Quran itu kita sebenarnya mengingati Allah? Dan dengan mengingati Allah, hati akan tenang.

Heh... macam terkena atas muka saya je. Banyak lagi kata-kata Prof Muhd Kamil yang membuat saya termenung panjang (dalam konti) dan terngiang-ngiang dalam mimpi malam tadi. Cuma nasib tidak sampai termengingau jadi juruhebah IKIM (tapi hampir-hampir tuh!!!).

Sekalung budi dan penghargaan buat juruhebah IKIM.fm; Ustaz Zamri yang menjemput kami dan Prof Muhd Kamil Ibrahim, yang sentiasa bersemangat dan ceria. Dengan izin Allah dan berdasarkan respon pembaca dan pendengar, saya yakin sesi malam tadi dapat mendorong pendengar kembali mendekati Allah.

Sekiranya buku Travelog Haji semakin laju jualannya... itu bonus. Rezeki Allah untuk Prof. Muhd Kamil dan kepuasan untuk tim produksi Islamika yang sentiasa bersemangat dan komited menyediakan yang terbaik untuk pembaca. Alhamdulillah. Kami menumpang kegembiraan dan kebahagiaan penulis. Terima kasih semua. Ja-za-ku-mullahu-khairan-kathira (semoga kalian semua di balas dengan sebanyak-banyak kebaikan dari Allah)

Wallahu'alam.

Thursday, December 6, 2007

IKIM.fm

Jam 9.30 ini saya akan menemani Prof Kamil di IKIM.fm untuk membicarakan buku 'Travelog Haji'... buku haji terlaris musim ini!

Err... saya tidak biasa ke udara ni... naik pesawat udara tu pernah le.. ketaq... ketaq...

Wednesday, December 5, 2007

Gempa Bumi

Kata Iwan (senior graphic artist) sudah lebih tiga hari berturut-turut Janda Baik bergegar.

Kali pertama pagi Jumaat, kemudian tengahari, kemudian petang. Hari Sabtu malam bergegar lagi. Pagi tadi sekitar jam 4.30 pagi dapat SMS dari Iwan: 'Janda Baik bergegar lagi'. Pagi tadi sahaja hampir lima kali gegaran. Gegaran yang terakhir adalah yang terkuat. Kata Qalif, anak Sifu PTS:

"Gegaran yang terakhir menggegarkan bumbung rumah."

Kata Iwan, dia terjaga dari tidur apabila terasa bumi bergegar. Sebelum gegaran ada bunyi seperti letupan di udara. Tidak diketahui bunyi apa dan puncanya. Hampir semua orang di Janda Baik bangun dan merasai gegaran yang dianggarkan berskala 3.5 richter selama beberapa saat.

Pagi ini saya lawat laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, dan cuma ada petikannya ini yang berkaitan gempa bumi terbaru:
Gempa Bumi 4 Disember 2007

Satu gempa bumi sederhana bermagnitud 5.5 skala richter telah berlaku di Linkungan Kepulauan Flores, pada pukul 11.48 malam 4 Disember 2007. Pusat gempa bumi tersebut terletak di latitud 8.9 selatan longitud 122.6 timur, 1551 km dari tenggara Tawau.

Hemm... jauh tempat gempa bumi itu dengan Janda Baik. Jadi, tidak mungkin gegarannya sampai ke Janda Baik sahaja, tidak ditempat lain. Lagi pun Janda Baik ini terletak di puncak bukit di banjaran titiwangsa. Malaysia dikatakan sebagai negara yang tidak termasuk dalam linkungan negara gempa bumi.

Saya tidak pasti bagaimana penduduk JB (termasuk Iwan) boleh mengetahui gegaran tersebut berskala 3.5 richter? Mungkinkah ada yang sudah biasa atau pernah merasa gegaran gempa bumi dan boleh mengagak skalanya? Atau telahan sahaja.

Gempa bumi yang berskala 3.5 richter atau kurang, boleh dirasai gegarannya tetapi, tidak mengakibatkan kerosakan besar. Berikut adalah contoh kesan gegaran mengikut skala richter, yang saya petik dari wikipedia.

Richter Approximate Magnitude Approximate TNT for Seismic Energy Yield Joule equivalent Example
0.5 5.6 kg (12.4 lb) 23.5 MJ large Hand grenade
1 32 kg (70 lb) 134.4 MJ Construction site blast
1.5 178 kg (392 lb) 747.6 MJ WWII conventional bombs
2 1 metric ton 4.2 GJ late WWII conventional bombs
2.5 5.6 metric tons 23.5 GJ WWII blockbuster bomb
3 32 metric tons 134.4 GJ Massive Ordnance Air Blast bomb
3.5 178 metric tons 747.6 GJ Chernobyl nuclear disaster, 1986
4 1 kiloton 4.2 TJ Small atomic bomb


Pagi tadi saya menalifon beberapa orang teman di akhbar, bertanyakan maklumat tentang gempa tersebut. Menurut maklumat mereka, gegaran tersebut adalah akibat daripada aktiviti pergerakan tanah (atau plat tetronik?) di banjaran Titiwangsa. Dalam erti kata lain ialah gempa bumi kecil. Sumber Jabatan Meteorologi mengatakan: "Jangan bimbang." (Hemm... kenapa mereka masih belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi?).

Munkin juga gegaran tersebut menandakan ada aktiviti gunung berapi yang terpendam di sekitar banjaran Titiwangsa. Namun, kajian geologi mengatakan Malaysia tidak termasuk dalam lingkaran gunung berapi.

Sekiranya gempa bumi atau gunung berapi benar-benar (akan) berlaku ia tentu akan mengubah fakta dalam buku teks Geografi. Tidak ada lagi tempat yang selamat daripada sebarang bencana alam di muka bumi ini atau telepas dari kemusnahan yang dahsyat.

Apakah kiamat sudah semakin dekat? Bukankah antara tanda-tanda kecil kiamat ialah kerapnya berlaku gempa bumi? Seperti kata Rasulullah yang direkodkan oleh Imam Bukhari:
"Kiamat tidak akan berlaku kecuali apabila ilmu telah diangkat, banyaknya berlaku gempa bumi, timbulnya huru-hara dan banyak pergaduhan iaitu pembunuhan"
Kiamat memang cukup dekat, tetapi hanya Allah yang mengetahui bila masanya. Sama ada kita bersedia atau tidak, kiamat tetap akan tiba. Wallahu'alam...

Sunday, December 2, 2007

Teka teki (lagi)

Suatu malam, ketika Kak Yong hendak tidur...

Kak Yong : Baba, Kak Yong ada teka teki lagi. Baba nak dengar tak?

Baba: Ok. Apa dia?

Kak Yong: Dalam banyak-banyak binatang, binatang apa yang kedekut?

Baba: Hah? Mana ada binatang kedekut?

Kak Yong: Ada lah, tak kan baba tak tahu? Senang aje...

Baba: Err... Kambing agaknya?

Kak Yong: Kambing? Pasal apa Baba kata kambing kedekut?

Baba: Baba agak aje. Sebab dia tak nak mandi. Kalau dia mandi, mesti dia kena bayar bil air.

Kak Yong: Hehehe... salah. Kambing tak kedekut.

Baba: Abih tu, binatang apa yang kedekut? Tak pernah baba dengar...

Kak Yong: Binatang itu ialah.... kuda!

Baba: Hah? Kuda? Pasal apa pulak kuda kedekut?

Kak Yong: Kuda kedekut pasal.... dia kalau berjalan kaki dia hentak atas jalan mesti bunyi: 'kdkut...kdekut...kdekut...' he..he..he, sebab tulah dia kedekut!

Baba: Kah... kah... kah... lawaknya. Sudah, pergi tidur... banyak lah Kak Yong punya kdekut!

Sunday, November 25, 2007

Diskusi Buku


Di Alpha Angle tengahari ini PTS Islamika menganjurkan sesi Diskusi Buku 'Travelog Haji'. Buku haji bestseller musim ini karya Prof Dr Kamil Ibrahim. Antara karya terlaris terbitan PTS Islamika tahun ini.

Diskusi ini dikendalikan oleh Sdr Ikram 'Din' Wazir. Editor PTS Millenia yang cukup berbakat menjadi pengantara dan penceramah ini. Sesi ini mengambil masa kira-kira satu jam. Sesi yang cukup bertenaga, kombinasi penceramah dan moderator yang pandai menarik minat pendengar. Sesi yang membawa pendengar turut mengembara dalam dunia penulis.

Sepanjang sesi, saya cukup tersentuh dengan luahan dan catatan pengalaman Prof Kamil. Walaupun sudah beberapa kali membaca buku beliau termasuk ketika manuskrip mentah lagi, saya masih berasa teruja dan leka mendengar setiap celoteh beliau.

Travelog Haji bukan buku panduan mengerjakan haji. Ia sebuah buku catatan perjalanan seorang yang 'kembali' ke sisi Islam. Pengalaman tulus jiwa yang mendekati Tuhan dan terpilih menjadi tetamunya. Coretan pengabdian diri kepada yang maha pencipta sepanjang di tanah suci. Rakaman kehidupan dan luahan hati seorang yang insan yang terpilih mendapat hidayah dari yang maha agung. Buku ini bukan sekadar membakar jiwa tetapi juga menginsafkan diri pembaca. Buku ini turut membawa, memimpin dan mendorong pembacanya mendekati Tuhan.

Buku ini dan bicara penulisnya sebentar tadi membangkitkan seribu rasa dalam hati ini. Rasa, insaf dengan keagungan Tuhan. Rasa, rindu. Rindu kepada hidayahNya. Rindu, hendak ke tanah suci. Tanah yang suatu masa, lebih 20 tahun lampau, kami pernah bermastautin seketika. Tanah tempat bersemadinya datuk dan nenek.

Juga rasa terkilan dan sedih, kerana tidak dapat terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Saya terlewat mendaftar dan terlepas peluang menyertai jemaah UIA. Tabung Haji, agak panjang juga gilirannya. Insya'Allah kalau ada rezeki, mungkin tahun depan. Mungkin ada hikmahnya terlepas peluang kali ini. Mungkin persediaan belum cukup sempurna. Masih ada yang lopong agaknya. Allah lebih mengetahui siapa yang bakal menjadi tetamunya. Insya'Allah semoga tahun hadapan ada rezeki untuk saya dan isteri.

Macam mana pun, kata Prof Kamil, tidak semua orang berpeluang menjadi tetamu Allah walaupun ada peluang dan kemampuan. Dan, tidak semua orang juga betul-betul menghargai dan memanfaatkan peluang tetamu Allah, sepanjang berada di tanah suci.

Terima kasih kepada Prof Kamil (dan keluarga), yang membakar semangat untuk menjadi tetamu Allah. Terima kasih kepada staff PTS yang turut hadir dan membantu menjayakan sesi ini: Imran, Firdaus, Ikram, Ikhram, Syikin, Ita, Nurul Hafizah, Roslan dan penulis PTS : Zamri dan Firdaus Ariff. Jazakumullahu khairan kathira...

Metadome

Hari ini ada dua program yang perlu diuruskan. Program PTS hujung minggu. Pagi, sesi bengkel UNIKA tentang mobile content, yang dianjurkan oleh sebuah syarikat mobile content provider iaitu Metadome Sdn Bhd.

Syarikat ini membekal pelbagai servis untuk pengguna Digi, Maxis, Celcom, MITV. Antara servis mereka adalah ring tones, mobile books, Islamic content dan macam-macam lagi yang tidak teringat.

Segala macam produk tersebut adalah khusus untuk mereka yang gemar mengisi dan memadatkan handphone mereka dengan pelbagai khazanah sampingan. Ini menjadikan handphone kini bukan hanya untuk bercakap, tetapi juga alat untuk berhibur atau menambah ilmu (mungkin). Atau sekurang-kurangnya, menambah nilai kepada handphone, selain menambah kos RM... (setiap produk tersebut adalah berbayar).

Metadome adalah sebuah syarikat milik penuh bumiputra yang beroperasi di beberapa buah negara seperti Indonesia, Singapura, Hong Kong, England dan lain-lain. Metadome kini memilih untuk bekerjasama dengan PTS bagi membangunkan produk mobile book. Untuk permulaan mereka akan menumpukan lebih untuk me'mobile-book'kan buku-buku terpilih PTS One. Sesuai dengan kumpulan pelanggan terbesar mobile content iaitu remaja.

Menurut Pengarah Eksekutif Metadome, sdr Syaizul Amar, rata-rata pengguna yang memuat turun bahan-bahan hiburan ini adalah remaja dalam lingkungan usia 13-24 tahun. (Errr.. Metadome terlupa untuk memasukkan anak saudara saya, Ajwad yang berumur 6 tahun dalam statistik mereka. Baru-baru ini Ajwad memuat turun beberapa games berharga RM 7 ke dalam handphone ibunya.)

Kata En Syaizul, industri mobile content ini sedang berkembang pesat dan banyak 'lautan biru' di dalamnya. Katanya juga, handphone adalah alat yang paling dekat dengan manusia dan paling banyak digunakan dalam kehidupan seharian. Satu-satunya alat yang sentiasa dibawa ke mana-mana sama ada ke tandas atau ke tempat tidur.

Oleh yang demikian, beliau mengajak penulis-penulis PTS untuk sama merebut peluang ini. Beliau juga ingin membangunkan produk baru yang selari dengan genre baru PTS iaitu 'game book'.

Hemm... banyak lagi celoteh En Syaizul ini. Tapi, saya terpaksa lari ke Alpha Angle untuk program yang lebih memerlukan kehadiran saya iaitu Diskusi Buku 'Travelog Haji'.

Sepanjang 2 jam dalam bengkel Metadome, hati saya tidak tenteram. Risau mengenangkan staff Islamika (Imran & Firdaus) sedang bertungkus lumus membuat persediaan. Yang membuatkan saya lebih tidak tenteram adalah terkenangkan handphone saya di rumah... - tertinggal . Yelah, takut-takut mereka hubungi saya atau sebagainya.

Betullah kata En Syaizul, handphone adalah aksesori wajib sesetengah manusia pada hari ini.

Tuesday, November 20, 2007

Teka Teki Siri 1/11 - Kak Yong vs Baba

Kak Yong: Baba, teka teki teka tekuk, di tengah-tengah dunia ada apa?

Baba: Bumi

Kak Yong: Salah

Baba: Bintang

Kak Yong: Salah

Baba: Matahari

Kak Yong: Salah.. givap (give up) ?

Baba: Ceh, cakap Inggeris!... ok Baba give up.

Kak Yong: Di tengah-tengah dunia ada 'N'...!

Baba: Hah?...

Kak Yong: Yelah.. eja dunia D.U.N.I.A... huruf 'N' kan kat tengah-tengah...!

Baba: Ceh!... kena main dengan Kak Yong je pagi-pagi ni...!!

Friday, November 16, 2007

SMAS

Baru-baru ini seorang rakan emelkan gambar ketika disekolah SMAS. Tidak pasti pula bila gambar tersebut di ambil. Munkin sekitar tahun 89-90, ketika saya tingkatan 2 / 3.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Selangor (SMAS) ni, terletak di berdekatan bandar Kajang dan berhadapan Masjid Jamek Kajang. Sekolah ini sudah tidak wujud lagi. Kalau tidak silap saya dalam tahun 200 ++ sekolah ini telah ditutup.

SMAS hanya ada tingkatan 1 - 3. Selepas SRP, pelajar akan masuk SMKA Maahad Hamidiah Kajang atau SM Agama Persekutuan Kajang atau KISAS atau MRSM atau mana-mana sekolah yang mereka minat.

Setiap tingkatan hanya ada 2 kelas, iaitu kelas hijau dan kelas kuning. Asrama lelaki terletak di kawasan kampung/perumahan di pendalaman yang jaraknya kira-kira 1.5km. Manakala asrama perempuan di sebelah bangunan sekolah. Setiap pagi kami yang lelaki ni akan berduyun-duyun berjalan kaki untuk ke sekolah dan begitu juga ketika pulang. Cuma ketika pulang cabarannya lebih sedikit, sebab, meredah panas terik matahari. Kepala yang bersongkok terasa macam dalam microwave oven.

SMAS penuh dengan nostalgia. Pengalaman di sekolah yang penuh kekurangan dan kemudahan tetapi amat bermakna. SMAS juga telah melahirkan ramai jurutera, doktor, guru, pensyarah, bussines man (ada yg dah jutawan dah), arkitek, akauntan dan macam-macam lagi... termasuk pengurus PTS... hehehe...

Baru-baru ini almunis smas atau ALLSMAS menganjurkan program hari raya. Semua batch dari yang pertama hingga yang terakhir... (saya generasi keempat).. macam-macam ragam dan cerita lama yang keluar... tak sangka muka-muka yang comel lote (dalam gambar) itu sekarang rata-rata mak dan ayah orang... yang menyimpan 1001 cerita dan ragam yang memeningkan kepala suatu masa dulu.

Thursday, November 15, 2007

Baru Mula Bercakap

Bulan depan Sameer akan genap setahun. Perkembagan terbaru ialah Sameer mula belajar menyebut perkataan yang jelas... selain daripada “atatatatat....”.


Kami sekeluarga bersorak gembira apabila mendengar Sameer menyebut “Baba... Mama..” dengan jelas. Sangka kami Sameer hanya menyebut perkataan yang bunyinya mirip Baba atau Mama. Oleh itu, kami membuat beberapa ujikaji. Hasilnya, apabila bersama Baba, dia akan menyebut “Baba.. baba.. baba..” manakala apabila bersama mama dia juga akan menyebut : “Mama.. mama.. mama...”

Sameer hanya tersipu-sipu senyum apabila melihat dirinya disorak seisi rumah. Dan, agaknya oleh kerana seronok disorak... Sameer tidak berhenti menyebut Baba... Mama... sampai lewat malam.

Cuma dia belum pandai menyebut : Kak Yong, Abang Chor... . Sikit masa lagi mungkin...

Saya berkata dalam hati: “Cepatnya masa berjalan... rasa macam baru lagi Sameer dilahirkan. Pejam celik, Sameer sudah besar. Kak Yong, Abang Chor sudah besar. Pejam celik, Sameer sudah ada adik lagi.. dan lagi.. dan lagi... errr... insya'Allah.

Kak Yong kata, dia hendak sembilan orang adik, manakala Abang Chor hendak 11 orang adik...!! Gamat le rumah nanti.

Walaupun letih membesarkan anak-anak (letih lagi mak & ayah dulu), tetapi seronok. Inilah rezeki tidak ternilai dari Allah... Alhamdulillah.

Monday, November 12, 2007

Al-Fatihah

Pagi tadi ketika dalam perjalanan ke HQ di Batu Caves, saya mendapat panggilan dari Fir. Katanya penulis Islamika, Dr Yatimah meninggal dunia pada malam Jumaat lepas.

Saya tidak pasti apa penyakit beliau yang sebenar.Cuma diberitahu beliau mengalami cirit birit sejak lima hari sebelum itu.

Dr Yatimah adalah pensyarah fakulti pengurusan di UTM Skudai. Buku beliau yang ditulis bersama Prof Dr Mohd Tajuddin Hj Ninggal, dijadualkan terbit pada penghujung bulan ini. Fir masih lagi terkejut dengan berita ini. Jumaat lepas, beliau baru sahaja menghubungi almarhumah untuk memaklumkan manuskripnya baru di kurier untuk pruf penulis. Dan, pagi tadi Fir menalifon untuk bertanyakan sama ada beliau sudah menerima kurier tersebut atau tidak.

PTS Islamika akan terus menerbitkan buku beliau dengan bantuan keluarga dan Dr Tajuddin. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhumah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh beliau, dan semoga tulisan beliau kelak akan dapat memberi manfaat kepada orang ramai. Semoga ilmu yang dicurahkan juga akan menemani ruh beliau untuk mengadap Allah. - al-Fatihah

Dibawah ini adalah sedikit catatan tentang Dr Yatimah yang dinukilkan oleh Firdaus, editor PTS Islamika...

Dr Yatimah Sarmani adalah pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Sumber Manusia, UTM Skudai, Johor. Beliau menghantar manuskrip bertajuk Teori Kaunseling al-Ghazali kepada PTS Islamika Jun 2007. InsyaAllah bukunya dijadualkan terbit pada hujung November 2007. Buku ini ditulis bersama Prof Mohd Tajudin Hj Ninggal.

Kronologi:

Selasa, 6 Nov 2007
-Beberapa kali saya menghubungi penulis melalui handphonenya tetapi tidak berjaya.


Rabu, 7 Nov 2007 - Saya berjaya hubungi penulis selepas medapatkannya di website UTM. Pada masa itu beliau sedang cirit-birit selama 5 hari, disebabkan itu beliau sengaja menutup handphonenya supaya tidak diganggu.

Jumaat, 9 Nov 2007
- Pagi, beliau mengirim sms kepada saya memberitahu beliau dimasukkan ke wad disebabkan sakit yang dialami.
- Tengahari beliau dimasukkan ke ICU.
- Malam
, beliau dijemput oleh yang maha mencipta.


Maklumat tentang beliau apabila pertama kali berhubung:

-Seorang yang peramah. Saya rasa seperti sudah lama berkenalan dengannya.

-Dilahirkan pada tahun kemerdekaan. (Katanya, beliau lebih suka menggunakan kad pengenalan lama daripada yang baru, supaya orang tidak tahu berapa umurnya).

-2 tahun lagi akan tamatkan kontrak dengan UTM, tidak sabar untuk pencen kerana mahu fokuskan pada penulisan.

-Asalnya buku ini dirancang terbit pada Disember 2007, tetapi proses penyuntingan siap awal, maka dibawa untuk terbitan November 2007. Beliau sangat gembira memandangkan ini buku pertama beliau.

InsyaAllah kami akan teruskan penerbitannya.

Kenyang

Lama sungguh tak mengemaskini Taman Permata ini. Penuh habuk dan semak samun.

Sejak bermula syawal hinggalah ke hari ini, Taman Permata sunyi sepi... tetamu datang bertandang, tetapi tuan rumah menghilang. Bukan sibuk atau menyepi... cuma kekenyangan mungkin.

Kekenyangan yang membuntukan minda... yang meragut segala asyik dan nikmat... segala-galanya pudar seketika. Keenakan milo panas dan sekeping biskut low salt high fiber atau sebiji donut seolah-olah sudah pudar. Buat seketika, kafein nescaffe dan kopi kapal api terasa lebih 'kaw'... walau hanya secawan kopi bujang.

Cuma yang pasti gelak tawa, gurau senda permata hati dan senyuman mama Kak Yong sentiasa mekar mewangi dan segar menghibur jiwa. Hiburan yang turut melekakan Abu Marwan untuk kembali menebas semak samun di Taman Permata. Si permata hati kecil yang kini semakin bijak menagih perhatian dan bersaing sengit dengan kakak dan abangnya terasa amat mengasyikkan. Segala macam asyik yang menjadi ubat penyegar badan dan minda tika keletihan seharian di pejabat.

Segala puji buat Allah yang maha pengasih dan penyayang atas segala nikmat.

Rupanya bukan kenyang perut sahaja yang perlu perhatian, kenyang minda juga sekiranya tidak diawasi dengan betul ia akan turut membuntukan fikiran...

Sunnah nabi, behenti makan sebelum kenyang perut. Namun, jiwa kita tidak seperti perut. Tidak perlu berhenti menyuap walau sudah kenyang. Selagi kita tahu dan sedar bahawa segala macam nikmat dan keindahan itu adalah perhiasan supaya kita sentiasa bersyukur dan bertakwa (takwa: takut tapi rindu), kekenyangan jiwa akan menuntun kita mendekati Tuhan... Wallahu'alam

Monday, October 8, 2007

Keluarga Baru (2)

Semalam saya bertanya Ajwad lagi: "Siapa nama baby Abang Long ni? Tak'kan tak ada nama lagi?"

Jawab Ajwad yang baru hendak konvo tadika itu: "Sudah ada nama..."

"Huh, siapa dia?"

"Patrick..."

"Pakprik? nasi Paprik?"

"Bukan, bukan nasi Paprik... Patrick lah! Ala... Patrick Star dalam cerita Spongebob tu. Apa la Pak Ngah ni, itu pun tak tau...!"

"Laa...! Betullah Abang Long ni otak Spongebob...!!"

Abang Long tersengih sumbang.

(Membebel seorang diri) : "Kuatnya pengaruh TV pada budak-budak ni..."

Thursday, October 4, 2007

Keluarga baru

Ahad baru-baru ini ahli keluarga Ustaz Hasbullah bertambah. Dapat seorang lagi cucu. Atip (Mak Lang Kak Yong) melahirkan puteranya yang ke empat di Pusat Rawatan Islam al-Nur, Bangi. Comel... macam pakciknya waktu kecik-kecik dulu... hehe. Berat 2.7kg. Ringan sedikit (0.4kg) dari Kak Yong dulu.

Atip tinggal di Johor. Tetapi semua anak-anaknya lahir di KL. Setiap kali bersalin, dia akan bercuti panjang di KL. Oleh itu, macam biasa, selama lebih kurang 2 bulan, rumah datuk Kak Yong ni akan meriah. Suara putera baru ini menambahkan lagi kebingitan rumah yang sedia gamat dengan tiga orang abang-abangnya yang ikut bercuti.

Hemm... semakin pening lah kepala emak dan ayah dengan keletah cucu-cucunya. Itu belum lagi kalau cucu-cucunya yang lain turut serta. Mengalahkan nursery jadinya nanti.

Putera ini belum ada nama lagi. Ayahnya hendak tunggu hari ke 7 baru isytiharkan nama si putera itu. Kami semua panggil 'adik' atau 'baby' sahaja. Apabila ditanya kepada abang-abang dan sepupunya yang usia masih jauh lagi hendak baligh itu, mereka senaraikan pilihan nama si putera... (ini jawab mereka):

Ajwad (abang long) : "Suchiro"
Najhan (abang ngah) : "Sinbei"
Naufal (abang opal) : "Cikgu Yada"
Farah (sepupu) : "Nobita"
Najlah (sepupu) : "Doraemon"
Kak Yong (sepupu) : "Shincan"
Abang Chor (sepupu) : "Ultraman 7"
Sameer (sepupu) : "baba..buh..bahh.." (belum pandai cakap lagi)
Adam (sepupu) : "tata.. dada..tata...." (belum pandai cakap lagi)

Hemm... pengaruh TV yang kuat. Kata suratkhabar semalam: 'Kanak-kanak yang menonton TV melebehi dua jam sehari mempunyai masalah sikap'. Nauzubillah...

Thursday, September 27, 2007

Abang Kucing

Baru-baru ini di sekolah mama Kak Yong mengajar, seorang murid tahun 5 menjadi mangsa cabul. Menurut kanak-kanak tersebut, ketika dia sedang bermain, seorang pemuda bertanyakan kepadanya "Adik nampak kucing abang?". Dia juga meminta kanak-kanak tersebut membantunya mencari kucingnya yang hilang sebelum mencabul kanak-kanak tersebut.

Modus operandi yang digunakan oleh pencabul itu sama dengan yang digunakan oleh perogol bersiri 'abang kucing' yang telah mencabul dua orang kanak-kanak di Kg. Baru. Abang Kucing ini masih lagi bebas dan walaupun mendapat publisiti meluas dalam akhbar, Abang Kucing ini masih lagi aktif dan cukup berani 'mencari kucingnya'.

Sehingga hari ini, hampir setiap hari pihak polis akan memanggil murid sekolah mama Kak Yong itu ke balai polis untuk kawad cam. Saya berdoa semoga ada antara yang ditangkap oleh polis itu dicam sebagai Abang Kucing yang mungkin juga perogol dan pembunuh adik Nurin. Selagi perogol besiri itu masih bebas, selagi itu kanak-kanak di KL khususnya, tidak selamat.

Tadi, ketika menghantar mama Kak Yong ke sekolah, kelihatan sebuah kereta polis berada dalam kawasan sekolah. Mungkin untuk mengambil murid mangsa Abang Kucing itu untuk kawad cam lagi. Di sekitar sekolah juga tidak kelihatan kanak-kanak bermain diluar pagar sekolah sementara masuk waktu persekolahan. Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah kelihatan memastikan anak mereka betul-betul telah masuk dalam pagar sekolah sebelum mereka beredar. Pemandangan yang tidak ada seminggu lepas.

Saya pasti semua ibu bapa masih dalam ketakutan. Takut kes Nurin berulang kembali. Saya juga tidak terkecuali. Tadi mama Kak Yong berjumpa dengan guru Taska tempat Kak Yong dan Abang Chor. Sekadar berkongsi dengan cikgu-cikgu Taska kerisauan kami dan menyampaikan maklumat tentang kes di sekolah Mama Kak Yong. Kami juga memberi beberapa cadangan kepada pihak Taska bagi membantu meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan di Taska. Bukan untuk mengajar mereka, tetapi bekerjasama.

Hemm... ini adalah permulaan kepada era kanak-kanak tidak lagi sebebas dan semerdeka 30 tahun dahulu walaupun negara kita sudah 50 tahun merdeka. Kalau dulu-dulu, apabila kanak-kanak keluar bermain, dan tidak reti-reti hendak pulang, emak akan takutkan dengan kata-kata: "Nanti ada orang potong kepala tangkap" atau "Senja-senja ini hantu kopek banyak berkeliaran" dan sebagainya. Sekarang ini mungkin boleh ditambah dengan ayat baru: "Jangan keluar rumah, ada banyak perogol, peliwat!" atau "Kalau ada sesiapa tanya mana kucing dia, cepat-cepat panggil polis!"

Yang positif (0.00000001%) tentang kes abang kucing ni ialah, ibu bapa lebih prihatin tentang keselamatan anak-anak. Dan yang pasti, sesiapa yang ada kehilangan kucing, tidak akan berani mencari kucingnya di kawasan terbuka atau bertanya: "Makcik, ada nampak kucing saya tak?" atau "Pakcik, kucing saya ada masuk rumah pakcik ke?" Bukan apa, cuma takut nanti tidak pasal-pasal bermalam dalam lokap kerana di syaki sebagai 'Abang Kucing'... hehehe

Nasib saya tidak bela kucing.... miaw!

Wednesday, September 26, 2007

Tabung Sedekah

Hari ini masuk hari ke 14 puasa. Maknanya sudah melepasi 1/3 bulan Ramadan. Sekarang ini fasa ke 2 dalam bulan Ramadan. Fasa yang menjanjikan keampunan dari Allah.

Malam tadi di surau, seperti malam-malam sebelumnya, solat tarawikh 8 rakaat disusuli dengan tazkirah. Surau Taman Permata ini memang 'tidak makan saman'. Pihak berkuasa agama mengeluarkan 'fatwa' yang mewajibkan solat tarawikh 20 rakaat dan 'haram' mengadakan tazkirah. Namun 'fatwa' tersebut tidak sedikit pun menggugat jadual surau. Memang pun tidak perlu dilayan fatwa tersebut.

Walaupun para jemaah tidak dapat menikmati solat 20 rakaat seperti yang dikehendaki oleh pihak berkuasa agama, namun mereka lebih berselera dengan hidangan tazkirah yang penuh ilmu setiap malam. Sekurang-kurangnya dapat juga menambah ilmu saya yang cetek ini. Bak kata Imam Ghazali dalam bukunya Ihya ’ Ulumuddin: "Abu Darda melaporkan daripada Rasulullah: 'Hendaklah kamu menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu.”

Malam tadi ustaz jemputan, bercerita tentang amalan bulan puasa, bagaimana hendak menambah nilai mata ganjaran bulan puasa. Bulan yang setiapa amalan mendapat ganjaran berlipat kali ganda, nilai mata ganjaran bonus. Bulan yang penuh rahmat dan maghrifah Allah.

Salah satu cara untuk menambah nilai mata ganjaran ini adalah melalui amalan bersedekah. Sekiranya bulan-bulan lain kita bersedekah, bulan puasa ini perlu dilipat gandakan lagi. Sekiranya bersedekah makanan untuk orang berbuka puasa, kita juga mendapat ganjaran kebaikan sebanyak mana orang makan makanan tersebut, malah berlipat ganda.

Seperti kata Rasulullah dalam satu hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Tirmizi:
“Sesiapa yang memberi buka orang yang berpuasa akan mendapat ganjaran seperti ganjaran orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.”

Satu idea yang menarik dari ustaz ini tentang bagaimana kita boleh menggalakkan amalan bersedekah dalam keluarga adalah dengan mewujudkan 'tabung sedekah' dalam rumah. Setiap ahli keluarga menyumbang dalam tabung ini setiap hari. Jumlah sumbangan tidak kisah banyak mana, asalkan setiap hari ada sumbangan. Mungkin RM0.10, munkin RM1.00, yang penting ikhlas dan disiplin.

Setiap hujung minggu ataupun
apabila tabung sudah agak penuh, bolehlah sedekahkan ke masjid dan sebagainya. Dengan cara ini setiap ahli keluarga boleh turut serta bersedekah dan menikmati mata ganjaran bonus. Bukan hanya ahli keluarga yang ke masjid sahaja. Ini macam pelan mata ganjaran bonus keluarga.

Hemm.. menarik idea ustaz ni.. boleh dipraktikkan. wallahu'alam.

Friday, September 21, 2007

al-Fatihah buat adik Nurin

Berita petang semalam yang siarkan oleh KL.FM cukup membuatkan kami sepejabat terkedu. Polis mengesahkan ujian DNA mayat kanak-kanak dera yang dijumpai beberapa hari lepas sepadan dengan ayah Nurin. Headnews malam tadi juga menyiarkan berita ini.

Ayah dan emak Nurin masih enggan mengakui ujian DNA tersebut. Pihak hospital menegaskan ujian DNA adalah 99.99% tepat. Pihak polis akan buat ujian kedua melibatkan adik beradik Nurin. Para pemimpin negara sibuk mebuat pelbagai komen, janji, tindakan, peraturan dan sebagainya... macam biasa.

Pagi ini rata-rata masyarakat membuat pelbagai ulasan berita. Ada yang simpati kepada keluarga Nurin, marah kepada pembunuh, kritik sistem keselamatan negara dan sikap masyarakat malah ada juga yang menunding jari kepada ibu bapa Nurin. Hemm... biasalah, bercakap bukan kena bayar pun, cakaplah apa sahaja.

Kes Nurin ini membuatkan saya turut berasa risau tentang keselamatan anak-anak saya. Tambahan pula, Taman Permata ini tidak jauh dari Wangsa Maju, kediaman Nurin. Walaupun saya tidak pernah membiarkan anak-anak saya keluar dari kawasan rumah tanpa ditemani oleh orang dewasa, namun saya tetap risau. Macam-macam boleh berlaku.

Kata mama kak Yong semalam: "Kita tidak mampu mengawasi keselamatan anak-anak kita setiap masa. Kita cuma usaha sedaya upaya dan selebihnya kita perlu bangun tengah malam, dan berdoa banyak-banyak, mohon Allah lindungi kita semua. Baik di dalam rumah atau luar rumah".

Sejak mula-mula kehilangan Nurin, ramai juga komen yang saya dengar menyalahkan emak dan ayah Nurin kerana benarkan anak mereka pergi ke pasar malam seorang diri. Ayah dan mak Nurin tidak bertanggungjawab, tidak ambil berat tentang keselamatan Nurin dan sebagainya. Tohmahan seperti ini sebenarnya menambah kesedihan keluarga Nurin.

Bagi saya, ayah dan emak Nurin tidak boleh dipersalahkan 100%. Cuba kita lihat situasi keluarga dan masyarakat atau lokaliti tempat mereka tinggal. Saya menggunakan kaedah OPV: Others Point of View.

Kaedah OPV ini mencadangkan apabila hendak menilai, cuba lihat sudut pandangan orang lain. Dalam konteks ini, kita lihat sudut pandangan keluarga atau masyarakat tempat tinggal Nurin.

Bagi sesetengah kita, memang kita tidak benarkan anak-anak kecil kita keluar dari rumah tanpa ditemani orang dewasa. Namun, bagi sesetengah orang yang lain mereka biasa membiarkan anak-anak mereka keluar bermain di sekitar kawasan rumah mereka. Termasuk juga pergi ke pasar malam yang berhampiran. Ini pemandangan biasa di sesetengah kawasan perumahan khususnya di rumat pangsa atau flat.

Bagi kita yang sentiasa mengawasi keselamatan anak kita, kita akan berasa pelik dan marah kepada ibu bapa Nurin. Kita akan berfikir kenapakah mereka boleh membiarkan anak-anak mereka bekeliaran keluar dari rumah tanpa ditemani oleh orang dewasa?

Namun, bagi masyarakat di tempat tinggal Nurin atau yang sewaktu dengannya, mereka merasakan itu ada perkara biasa. Oleh kerana rumah mereka sempit, anak-anak akan keluar untuk bermain. Emak di rumah perlu menjaga adik kecil dan sebagainya, jadi tiada siapa yang boleh menemani. Mereka hanya berharap tiada apa-apa yang berlaku seperti selalunya. Munkin juga mereka berfikir, ketika kecil dahulu mereka bebas bermain diluar rumah tanpa pengawasan orang dewasa, maka tidak salah sekiranya anak mereka juga diberi kebebasan yang sama.

Kalau kita lihat dari sudut pandangan mereka yang berbeza dengan kita, banyak lagi perkara yang boleh dipertimbangkan. Jangan hanya melihat berdasarkan sudut peribadi kita sahaja. Supaya nanti kita tidak tersalah membuat penilaian.

Saya teringat satu lukisan yang pernah diberikan kepada saya oleh Sifu PTS. Lukisan seekor kucing dalam akuarium manakala ikan di luar. Lukisan ini membawa pengertian, jika ikan tersebut hendak membina ciri-ciri keselamatan dan pertahanan dirinya, dia perlu melihat (atau bayangkan) perspektif musuhnya. Begitu juga jika kucing tersebut hendak menyerang mangsanya, dia perlu menyusun strategi dengan mengambil kira sudut pandangan mangsanya itu. Panjang lagi cerita pasal lukisan ini.

Cuma dalam kes adik Nurin, sebelum seseorang itu melemparkan pelbagai tuduhan kepada keluarga Nurin, cuba letak diri kita dalam situasi mereka. Saya tidak maksudkan keluarganya tidak bersalah langsung. Cuma, biasanya orang lebih mudah mengkritik atau mencari sesuatu yang negatif. Bercakap memang mudah. Sebab bercakap mudahlah maka lidah juga mudah tergigit.

Kes Nurin ini juga menambah keyakinan saya bahawa zaman kanak-kanak bebas bermain di luar rumah seperti yang saya alami 20-30 tahun lampau sudah beakhir. Ini adalah zaman yang tidak lagi selamat untuk kanak-kanak khususnya kanak-kanak perempuan... Wallahu'alam

Thursday, September 20, 2007

Hilang File

Baru-baru ini seorang penulis PTS Islamika hilang laptop. Beliau sedang dalam kesedihan. Banyak bahan penulisan dan rujukan beliau yang turut hilang bersama laptop tersebut. Beliau tidak membuat backup untuk fail-fail itu, sebalikanya hanya laptop itulah satu-satunya tempat beliau menyimpan segala bahan tersebut. Kehilangan laptop membuatkan beberapa projek penulisan beliau yang hampir siap tergendala. Kemungkinan besar memakan masa yang agak lama untuk beliau menyambung kembali projek penulisan itu. Buat masa ini beliau sedang berusaha membuat projek lain agar momentum dan komitmen penulisan beliau tidak hilang. Semoga dengan keberkatan dan rahmat bulan Ramadan ini, beliau diberi kekuatan dan ilham untuk meneruskan penulisan, insya'Allah.

Peristiwa di atas bukan pertama kali berlaku kepada penulis-penulis PTS. Beberapa orang penulis PTS pernah demam panjang kerana kehilangan beberapa manuskrip yang hampir siap kerana laptop/pc diserang virus dan dicuri. Peristiwa ini boleh berlaku kepada semua orang. Laptop mungkin dicuri, fail diserang virus dan sebagainya, na'uzubillah. Jika hilang laptop atau pc rosak, tuan-tuan boleh beli laptop baru atau hantar servis untuk dibetulkan. Kosnya mungkin tidak sebegitu mahal jika dibandingkan dengan nilai fail-fail yang turut hilang. Segala usaha, tenaga dan masa yang dihabiskan untuk menyiapkan manuskrip itu akan turut lebur begitu sahaja. Itu belum lagi ditambah dengan kos emosi yang turut terganggu.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan kepada tuan-tuan beberapa langkah untuk memastikan fail-fail penting tuan sentiasa ada back up.

1. Pasitkan tuan-tuan membuat beberapa salinan fail dalam diskette/CD (burn) dan simpan di tempat yang berbeza. Contohnya di rumah, di pejabat dan sebagainya.

2. Emailkan fail ke alamat email sendiri. Ini bertujuan menjadi kan email sebagai peti simpanan. Khidmat email seperti Yahoo dan Gmail mempunyai kapasiti penyimpanan yang besar sehingga 2G atau lebih. Sekirannya tuan-tuan mempunyai lebih satu email untuk disimpan, lebih baik. Bagi tuan-tuan yang menggunakan Gmail, fail document/spreadsheet yang ada dalam email boleh di 'view' dan edit secara online dan disimpan (save) sebagai online spreadsheet atau document.

3. Bagi yang berkemahiran membangunkan website sendiri, tuan-tuan boleh upload dan simpan fail tuan-tuan dalam website tersebut. Pastikan ada password supaya fail tuan-tuan tidak sewenang-wenangnya boleh di download oleh pelawat, kecuali tuan-tuan memang berniat begitu.

Bagi teman-teman yang ada maklumat dan cadangan lain, bolehlah dikongsi bersama.

Wednesday, September 19, 2007

Sesi Rakaman

Pagi-pagi lagi staff PTS Islamika dengan bantuan beberapa editor PTS yang lain sibuk mengemas ruang tetamu yang agak berselerak dengan peralatan menganyam ketupat sejak beberapa hari lepas.

Pagi ini ruang tetamu akan dijadikan sudut rakaman temuramah unit multimedia UiTM Shah Alam berkenaan buku 'Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman'. Buku yang akan terbit dan dilancarkan pada bulan Oktober ini adalah tulisan Prof. Muhd Kamil Ibrahim.

Sesi temuramah ini dan perlancaran buku nanti diuruskan dan dibiayai oleh penulis sendiri. Rakaman ini adalah sebahagian daripada gimik perlancaran itu nanti.

Prof Kamil, hadir sendiri bersama unit multimedia UiTM ke pejabat PTS. Suasana pejabat seperit sessi penggambaran filem. Pn Ainon turut disediakan skrip soalan yang akan ditanya.

Bukan setakat chairman PTS perlu berlakon, malah editor-editor PTS khususnya editor Islamika yang sentiasa tekun bekerja perlu lebih tekun. Atau setidak-tidaknya berlakon sikit. Kerana, mereka juga akan dirakam oleh lensa UiTM itu. Saya terkecuali, biarlah saya duduk dibelakang tabir. Saya juga menolak ditemuramah oleh prof Kamil. Banyak lagi insan penting yang perlu ditemuramah, khususnya editor buku tersebut iaitu cikpuan Firdaus...

Harap-harap pihak UiTM akan siarkan di tv, tidak kiralah RTM, TV3, Astro AXN ke atau sekurang-kurangnya TV pendidikan... boleh lah mak ayah kat kampung tengok, macamana lah anak mereka di KL ni bekerja...











Tuesday, September 18, 2007

Youtube Ketupat D-Day (Tim B)

Oleh kerana hasil kerja Tim B cukup menarik dan memukau mata berbanding dengan hiasan tim-tim lain, maka krew web-TV telah teruja untuk merakam detik-detik bersejarah itu. Terima kasih kepada sdr Iwan. Sekiranya paparan dibawah tidak jelas, sila klik PTS at Popular Book Store Ampang Point.

Monday, September 17, 2007

Ketupat D-Day

Petang selepas waktu makan tengahari, staff PTS mula bergerak ke kedai buku untuk operasi menghias kedai buku. Staff PTS dibahagikan kepada beberapa tim yang merangkumi editor, grafik artis dan salesman. Setiap tim ditugaskan untuk menghias kedai yang mengambil bahagian dalam cabaran menghias kedai ini. Untuk fasa 1, hanya tiga kedai terlibat, iaitu MPH Alamanda (tim A), MPH Mid Valley (tim C), POPULAR Ampang Point (tim B).




Tim B membawa cabaran terbesar kerana mereka satu-satunya yang menghias kedai POPULAR yang pertama. Kreativiti mereka akan membawa ke cabaran seterusnya dirangkaian kedai buku POPULAR yang lain.

Setiap tim dibekalkan dengan beberapa peralatan dan bahan hiasan seperti Ketupat, Pelita, Obor Pelita, Pagar, Akar Kayu (entah untuk apa benda alah ni...) dan sebagainya. Tugasan mereka adalah menghias rak atau ruang pameran buku-buku PTS yang disediakan oleh pekedai buku.


Walaupun tidak ditugaskan ke mana-mana kumpulan, saya tetap menyertai mereka. Saya menyertai tim B yang agak berdekatan sedikit dengan pejabat. Ini kerana, jam 5 saya perlu bergegas mengambil anak dan isteri. Jadi, saya enggak bisa pergi jauh... hehh alasan.


Tim B mengambil masa lebih kurang sejam untuk menyiapkan tugasan mereka. Bagi kami, itulah hiasan yang cukup menarik pernah kami hasilkan. Gabungan kreativiti, seni, keras-tangan dan perasan, maka inilah hasil kerja kami... (gambar). Hasil yang cukup menjeleskan tim-tim yang lain...!


Sesiapa yang hendak bergambar dan mengabdikan kenangan terindah, boleh datang ziarah ke POPULAR Bookstore, Ampang Point. Datanglah beramai-ramai dengan sanak saudara sementara hiasan tersebut masih ada dalam keadaan baik ditempatnya.

Tahniah kepada ahli tim B : Nurulhilyati, Nurul Hafizah, Firdaus, Norhahafizah, Iwan, Azahari, Kimi dan... Abu Marwan



Tuesday, September 11, 2007

Ketupat

Sempena bulan Ramadan yang mendatang ini, bahagian Sales PTS mengadakan aktiviti promosi PTS di beberapa kedai buku terpilih. Sebagai sebahagian daripada gimik promosi, PTS akan menggantung ketupat riben, pelita dan sebagainya.

Maka, pada hari ini semua staff editorial mengadakan operasi 'ketupat'. Semua staff pejabat editorial diarahkan membuat ketupat menggunakan riben. Oleh kerana majoriti staff pts editorial hanya tahu makan ketupat, maka pelbagai teknik menganyam ketupat digunakan. Setelah hampir sejam baru lahir sebijik ketupat yang rupanya betul-betul macam ketupat. Selebihnya lebih mirip kepada rupa dompet, karung nangka dan tidak kurang juga tikar mengkuang!

Jenuhlah Abe, Jid, Imran dan lain-lain mencari teknik step-by-step menganyam ketupat dalam internet untuk dijadikan panduan. Terima kasihlah kepada insan-insan berhati mulia yang terbitkan panduan menganyam ketupat dalam internet. Sekurang-kurangnya tidaklah generasi muda hari ini hanya pandai makan ketupat sahaja... termasuk saya...hehehe... berikut adalah antara gambar aktiviti hari ini.



Tuesday, September 4, 2007

Hari Terakhir

Hari ini hari terakhir En Rashid bertugas sebagai Group General Manager PTS.

Esok beliau memulakan karier sebagai usahawan penerbitan. Beliau mengusahakan penerbitan beliau sendiri bersama rakan-rakan beliau. Khusus menerbitkan buku-buku pemikiran tinggi dan yang sewaktu dengannya.

Selama dua tahun En Rashid bersama keluarga PTS, banyak pengalaman beliau yang dapat dikongsi bersama. Beliau merupakan orang lama yang banyak pengalaman dalam dunia penerbitan.Beliau memulakan karier dalam industri penerbitan ini sebagai editor dan antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah General Manager, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa seperti Times, Marshall Cavendish, Fajar Bakti (Oxford) dan sebagainya.

Kami di PTS berasa bangga kerana dapat bertugas dan mendapat tunjuk ajar En Rashid. Banyak pengalaman dan ilmu beliau yang dapat dikongsi bersama kami.

Didoakan semoga hubungan yang sudah terjalin mesra ini sentiasa berkekalan dan berpanjangan. Semoga En Rashid juga berjaya dalam dunia keusahawanan...

Monday, September 3, 2007

Kasut Hilang

Masuk hari ini sudah tiga orang staff PTS editorial hilang kasut di pejabat. Hari ini giliran Iwan dan Pak Ya pula hilang kasut. Dua minggu lepas Ikram 'Din' hilang kasut.

Di pejabat PTS, kasut diletakkan di luar pintu. Dalam pejabat staff tidak pakai kasut. Kasut staff PTS disusun dengan rapi (diwaktu pagi) di luar pintu. Selama ini lebih setahun PTS editorial beroperasi di pejabat WM ini tidak ada pula kes hilang kasut. Kalau ada staff yang hilang kasut pun, hanya ketika ke masjid berhampiran.

Mungkin kasut-kasut yang disusun rapi itu semua menarik minat pencuri. Maklumlah kasut-kasut itu semua tidak berkunci atau dilengkapi oleh sistem penggera keselamatan. Itu yang bertambah mudah kerja si pencuri.

Yang peliknya, pencuri ini hanya berminat dengan kasut lelaki. Kasut perempuan tidak pun diusik (setakat ini). Walaupun kasut-kasut staff perempuan lebih berkilat dan cantik, namun ia hanya dipandang sepi sahaja oleh si pencuri.

Kasut staff lelaki kebanyakannya sudah berkarat dan lusuh. Yang hampir terkeluar anak jari kalau dipakai pun ada. Mungkin si pencuri ini lebih berminat dengan kasut yang lusuh dan berkarat. Lagi banyak karat dan lusuhnya, lebih bernilai agaknya. Macam karat berlian dan lusuh denim.

Saya fikir staff PTS editorial perlu bertindak segera. Sebelum gejala kecurian kasut ini semakin berleluasa dan semakin ramai staff PTS yang pulang ke rumah berkaki ayam, satu plan tindakan kebangsaan perlu dirangka. Satu unit atau skuad gerak khas yang berfungsi ala Unit Ronda Kumpulan Kecil (RKK) Komando perlu di bentuk untuk menangani kes kecurian ini. Mereka perlu memikirkan bagaimana hendak mencegah berlakunya kes ini dan juga kaedah untuk memerangkap pencuri bertuah itu.

Saya mungkin boleh mengutarakan beberapa cadangan spontan untuk dipertimbangkan oleh 'skuad gerak khas kasut' (SGKK) itu:

1. Semua staff simpan kasut dalam pejabat (simpan bawah meja... jangan lupa letak pewangi di setiap celah kasut!)

2. Semua kasut dipasang mangga atau dirantai di tiang tangga (macam di asrama dulu-dulu...)

3. Almari besi di Jabatan Grafik yang digunakan untuk menyimpan alat-alat audio visual digunakan untuk menyimpan kasut... Jabt Grafik boleh kenakan caj penyimpanan.

4. Staff pakai selipar ke pejabat. Kasut simpan dalam kereta. Bagi Pak Ya, Celan, Iwan yang tidak membawa kereta, kasut anda boleh di simpan dalam bakul motor.

5. Staff lelaki memakai kasut perempuan ke pejabat... (pasti tidak akan berlaku lagi kecurian kasut staff lelaki)

Mungkin ada idea lain yang boleh di cadangkan kepada skuad elit ini...

Sekiranya pencuri berjaya di tangkap, ada beberapa hukuman yang boleh dilaksanakan sebelum ketibaan anggota polis:

1. Kurung dalam bilik CEO sehari semalam.

2. Minta bantuan Alif a.k.a 'Hantu Silap Mata' untuk menghilangkan anak jari pencuri satu persatu, sehingga dia serik untuk mengulangi tabiat buruknya itu.

3. Minta cik Syikin jerit di telinga pencuri itu.

4. Kurung dalam almari besi Jabatan Grafik, letakkan lipas banyak-banyak.

5. Sessi kaunseling dengan kaunselor tak bertauliah PTS... Err... Kak Nor ler.

6. Sessi ceramah agama 24 tanpa henti oleh ustaz Celan 'Zaharudin' dan ustaz Imran 'Awang'... semoga dia bertaubat.

7. Kalau pencuri tidak nampat ciri-ciri keinsafan juga... munkin Mat Jan dari geng Sendikit Sol-Jah, Iwan - Tok Empat Jr. Janda Baik, sifu Hisham - Skuad Keselamatan Puchong Perdana dan Wan Zu - Alwana boleh tolong... youtubekan dia.. atau... pandai-pandai lah hang pa semua!

Wallahu'alam...

Saturday, September 1, 2007

Pulang

Pagi tadi, kami sekeluarga, mak ayah dan Long sekeluarga ke KLIA.

Hantar Pakcik Shukri, adik ayah, yang lebih dikenali sebagai ammi Shukri, sekeluarga pulang ke Jeddah. Mereka berada di sini untuk bercuti selama dua bulan lebih.

Semalam, Nawal seharian sibuk memasak sambal goreng 'Kerinci' special, untuk ammi. Mak hanya tolong sedikit. Nawal mewarisi resepi istimewa itu daripada arwah nenek Hawa lebih 10 tahun lepas. Pesan ammi tempoh hari: "Nawal masak sambal jangan pedas sangat. Kami tidak makan pedas."

Saya pula bekalkan ammi beberapa roti canai beku. Cukup untuk dua bulan... jika dimakan sehari sekeping! hehehe...

Mak turut bungkuskan beberapa macam pucuk dan sayur kampung, daun palas (untuk ketupat) dan sarung ketupat dalam kotak.

Kata ammi pagi tadi: "Lepas ini entah bila lagi ammi dapat jumpa saudara di Malaysia ini. Doalah agar kita panjang umur." Ammi mengesat air mata. Ayah yang masih lemah akibat demam seminggu juga mengesat air mata. Kami semua diam dam buat-buat senyum.

Kali terakhir ammi datang melawat kami lebih lima tahun dahulu. Ammi kata, dia terharu lihat ayah turut datang ke KLIA. Dua tiga hari lepas ayah demam teruk. Kesihatan ayah tidak menentu. Kalau demam, lambat hendak sembuh. Ammi juga begitu. Tidak lagi sekuat dan secergas dulu. Ditambah lagi dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan sedikit masalah jantung. Namun bagi saya, ammi tetap kelihatan muda walaupun sudan 60an. 'Young at heart' kata mama Kak Yong.

Ammi dan keluarganya menetap di Jeddah, Saudi Arabia. Lebih empat puluh tahun dahulu ketika ayah pulang ke Malaya untuk bekerja di stesen penyiaran, ammi dan keluarga ayah yang lain terus menetap di Mekah. Arwah atuk kata, dia hendak meninggal di Mekah, disisi Kaabah. Allah makbulkan doa atuk dan nenek. Ammi berkeluarga dengan Melayu Mekah, dan terus menetap di sana. Ammi bekerja sebagai grafik artis di sebuah syarikat media gergasi di Saudi. Ammi juga seorang yang pelukis professional.

Dalam keluarganya, hanya ammi sahaja yang boleh bercakap Melayu, itu pun kadang-kadang bunyinya klasik, macam cerita P. Ramlee. Namun ammi masih boleh bertutur bahasa Melayu dengan lancar, walaupun sudah lebih lima tahun dan jarang-jarang sekali dapat bercakap selain bahasa Arab.

Agaknya, kalaulah ammi jarang atau tidak melawat saudara di Malaysia, pasti hubungan kekeluargaan kami tidak serapat hari ini terutama dengan anak-anak ammi yang sudah menjadi arab. Itupun kali ini saya tidak berkesempatan untuk berjumpa ammi sekerap yang lepas, lantaran jadual kerja dan aktiviti sampingan yang agak sendat. Sedikit rasa kesal di hati, kerana tidak dapat manfaatkan sepenuhnya saat-saat bersama ammi.

Hari ini, kata ammi: "Harap-harap bukanlah kali terakhir kita berkumpul"... khususnya dengan ayah, satu-satunya abang ammi dan adik beradik sedarah yang masih ada. Ayah diam. Dari tadi ayah tidak banyak bercakap. Cuma kelihatan air mata bergenang di kelopak.

Ketika melambai ammi dan keluarganya buat kali terakhir tadi, air mata ayah kelihatan tidak mampu ditahan-tahan lagi. Ayah cepat-cepat mengelap matanya. Sepanjang berjalan perlahan ke kereta, ayah juga tidak banyak bercakap. Ayah masih lagi lemah. Dalam hati, wallahu'alam, hanya Allah yang tahu, apa yang ayah fikirkan. Namun, saya tetap berdoa, agar kami masih lagi dapat berjumpa dan berkumpul lagi di masa-masa hadapan, insya'Allah.

Friday, August 31, 2007

Merdeka

(entri siaran tertunda, gara-gara situasi teknikal streamyx...)

Merdeka... merdeka...

Hari ini genap 50 tahun Malaysia merdeka dari penjajah zahiriah... iaitu British. Zahirnya tanah Melayu ini tidak lagi dijajah. British menamatkan pemerintahan kolonialnya di tanah Melayu ini 50 tahun dahulu.

Namun, warisan British masih kental dan subur di tanah Melayu. Warisan yang mekar dan semakin menebal. British sebenarnya berjaya menjadikan sesetengah jiwa di tanah Melayu ini hamba mereka. Hamba yang mengekalkan legasi mereka, malah lebih kuah dari sudu.

Hamba yang mengagungkan mereka. Hamba yang sentiasa patuh dan taat kepada budaya, cara hidup dan undang-undang mereka. Biar pun melampaui batas-batas dan parameter syariah. Bak kata seorang pemimpin negara suatu masa dahulu berhubung tuntutan perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia:

"Undang-undang Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana ia bertentangan dengan undang-undang yang digubal oleh Lord Reid (Suruhanjaya Reid, 1956)."

Dalam ertikata lain, Tuhan perlu tunduk kepada makhluk yang bernama James Scott Reid itu. Masya-Allah...

Kalau kita lihat iklan Petronas sempena hari merdeka yang lepas, salah satunya tentang iklan kasut buatan Gombak... Taglinenya kalau saya tidak silap adalah berkaitan dengan yakin kepada diri sendiri (produk Malaysia).

Sebenarnya kata-kata itu tidak lebih daripada retorik sahaja. Buktinya, orang besar kita tidak meyakini 'produk' utama Malaysia iaitu Bahasa Melayu mampu menjadi medium untuk meningkatkan keilmuan dalam bidang sains dan teknologi. Yang terkini, Bahasa Melayu sudah hilang di bumi Melayu sendiri. Dikuburkan oleh orang besar kita yang kononnya memperjuangkan hak orang Melayu... demi orang lain. Demi menjaga hati dan sensitiviti semua orang kecuali anak watan tanah Melayu.

Biarlah gadaikan kampung halaman seinci demi seinci asalkan sentiasa menang sorak...!

Hemm... itu hanya sedikit daripada banyak perkara yang terpendam. Apabila tiba hari kemerdekaan ini, jauh disudut hati saya berasa sedih. Sedih dengan masa depan anak-anak tanah Melayu ini. Anak-anak cucu saya nanti, adakah mereka masih mampu menjadi tuan di tanah yang dipugar oleh datuk nenek mereka ini. Apakah nanti masih ada ruang di bumi tanah Melayu ini yang tidak digadaikan? Atau masih banggakah mereka memegang gelaran anak bumi Melayu, bangsa bumi Melayu?

Malam tadi sahaja di Dataran Merdeka, ratusan ribuan manusia berpesta. Lihat sahaja di akhbar-akhbar dan dari khabar-khabar mereka yang berada di sana malam tadi. Kata arwah atuk, dulu-dulu anak-anak Melayu khususnya anak-anak dara cukup menjaga maruah mereka dan yang berkaitan dengannya. Anak muda keluar lewat malam dengan pakaian menjolok mata, tidak pernah tergambar di fikiran zaman itu. Apabila mereka menjaga maruah, mereka juga sebenarnya menjaga tatatertib, adat resam, pergaulan dan yang paling penting, agama mereka.

Mungkin sebab itu lah apabila sesorang manusia itu hilang maruah atau perasaan malunya, maka hilanglah juga agama mereka. Seperti kata Rasulullah: "Wahai anak adam, apabila hilang perasaan malu, kamu akan buat apa sahaja..."

Kata seorang teman terperangkap dalam banjir besar manusia: "Suasana di Dataran Merdeka, lebih sesak daripada suasana padang Arafah ketika musim haji."

Katanya lagi: "Ramai juga anak Melayu yang sudah tidak segan silu berpelukan dikhalayak ramai, hatta bercumbuan dalam kesesakan manusia"

Hemm... itulah agaknya yang dikatakan merdeka. Berpesta sakan. Janji kita laungkan merdeka dan kibarkan bendera, maka kita sudah merdeka, dan kita adalah manusia yang patriotik. Walaupun budaya, cara hidup dan pemikiran melebihi ajaran penjajah, kita tetap merdeka. Walaupun tanpa ilmu dan agama kita akan tetap dan terus merdeka...

Maka, mungkinkah saya yang tidak ke pesta merdeka dan tidak mengibarkan bendera Malaysia ini, tidak dikira patriotik dan mungkin juga tidak merdeka?

Kalau itulah ukuranya seperti yang diwarwarkan oleh orang-orang besar kita, biarlah saya kibarkan bendera Malaysia di dalam rumah ini sahaja. Kerana, yang patriotik dan merdeka adalah dalam jiwa saya.

Sunday, August 26, 2007

Demam

Sudah masuk hari ke tiga saya masih berselubung. Demam. Suhu 38C++. Kalau turun pun hanya seketika. Lepas itu naik semula. Bila sudah tidak tahan panas, saya akan mandi dengan air sejuk. Redalah sedikit.

Ubat, doktor suruh telan empat biji parecetamol 550mg, setiap 6 jam. Tekak pun sudah naik pahit. Badan sejuk menggigil. Kata doktor itu tandanya suhu akan naik lagi. Sekiranya hari keempat (esok) masih tidak turun panas badan ini, darah saya perlu diambil. Takut ada penyakit lain. Na'uzubillah.

Tengahari semalam, saya cuba-cuba berkebun. Kononnya hendak mengeluarkan peluh, supaya panas badan ini turut keluar. Berjaya juga. Peluh keluar dan badan terasa ringan sedikit. Tapi hanya seketika juga. Empat lima jam selepas itu kembali panas.

Hemmm... lama juga saya tidak merasa demam panas macam ini. Kali terakhir rasanya 3-4 tahun lepas. Seminggu tidak bangun. Saya jarang demam, tetapi sesekali demam, boleh tahan juga penangannya.

Hari ini rasanya macam kurang sedikit panas badan ini. Walaupun begitu, sambil menaip ini mata terasa panas dan berair. Munkin saya perlu cari penawar lain, atau terus berkebun... saya tidak boleh terus mengalah pada demam ini. Esok (Isnin) saya perlu ke pejabat setelah bercuti panjang.

Lawan tetap lawan....

Tuesday, August 21, 2007

al-Fatihah

(entri ini sepatutnya upload beberapa hari lepas tetapi terlewat akibat situasi teknikal)

Pagi Rabu 15 Ogos 2007, kira-kira jam 4 pagi saya mendapat panggilan talifon dari kampung. Atuk meninggal dunia. Saya kelu tidak terkata. Terduduk di sisi talifon. Mak, pakcik Mat, Makcik Jah, dan anak-anak mereka berada di sisi datuk. Di tepi katil, di wad lelaki Hospital Daerah Pontian, Johor.

Atuk sebenarnya sudah lebih setahun uzur sangat, akibat serangan strok kedua. Serangan strok pertama kira-kira empat tahun lepas membuatkan atuk lumpuh. Tetapi masih boleh bercakap dan berbual, walapun suaranya kadang-kadang agar kurang jelas, tambah lagi dengan 'slanga' jawanya yang pekat.

Beberapa minggu lepas mak pulang ke kampung kerana atuk dimasukkan ke wad lagi, walaupun sebelum in sudah hampir sebulan di sana. Kata pakcik Mat yang menjaga atuk, atuk tidak boleh mengunyah makanan dan sudah tidak boleh bercakap. Hari Ahad baru-baru ini atuk masuk wad lagi selepas seminggu keluar wad. Kata pakcik Mat, atuk tidak sedar diri, dan makanan tidak boleh masuk mulut. Badan atuk menolak sebarang jenis makanan dan ubat.

Mak pulang ke kampung segera, kerana terlalu risau dan tidak sedap hati dengan situasi datuk. Saya fikir hujung minggu ini saya akan pulang ke kampung untuk menjengah atuk. Kali terakhir saya melihat atuk dua bulan lepas.

Namun, perancangan hanya tinggal perancangan sahaja. Atuk terlebih dahulu meninggalkan kami. Mengadap Tuhan sekalian alam, dalam keadaan bersih dan suci setelah lebih empat tahun sabar dengan ujian Allah. Tidak sekalipun atuk mengeluh dengan sakitnya. Pakcik Mat dan keluarga yang setia menjaga atuk dengan kasih sayang juga tidak pernah mengeluh.

Pakcik Mat dan keluarganya sebelum ini menetap di Kuala Lumpur. Apabila atuk diserang strok, mereka berpindah ke kampung. Pengorbanan yang cukup besar buat mereka sekeluarga. Meninggalkan kehidupan yang selesa dan stabil untuk memulakan hidup baru. Anak-anak mereka yang seramai lapan orang itu juga faham dengan keputusan yang diambil.

Selama atuk lumpuh dan koma, sama ada di rumah atau di hospital, anak-anak pakcik Mat dan pakcik Yahya yang awal 20an itulah yang menjaganya. Dari menyuapkan makanan, menukar baju, mandi, mengetip kuku, menyikat rambut hinggalah menukarkan lampin atuk semua di uruskan oleh anak-anak muda itu. Sepanjang di hospital Ayip, Hapiz, Solihin, Zizul, Naim bergilir-gilir menguruskan atuk. Para jururawat dan pekerja hospital yang lain berasa cukup takjub melihat mereka. Anak-anak muda yang setia menjada atuk. Tidak hairanlah ramai yang berkenan hendak mengambil mereka menjadi menantu...!

Sepanjang perjalanan dari rumah ke kampung bersama ayah, Nawal dan anak pakcik mat yang belajar di UIA dan UM, kami banyak mendiamkan diri. Kami lebih melayan fikiran masing-masing. Semua kenangan manis bersama atuk bermain difikiran. Terlalu banyak hendak di kongsi disini.

Atuk disemandikan dalam hujan gerimis, berhampiran pusara arwah nenek, makcik Chom (isteri Pakcik Yahya), makcik Idah (isteri pak su Daud) dan along (anak pak su Daud). Saya tiba ketika jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. Selepas solat yang diimamkan ayah, saya minta izin dibukakan kain kapan sedikit. Menatap wajah bersih atuk yang seperti sedang tidur membuatkan hati ini terasa sangat sebak.

Pekan parit sikom terasa sunyi, sebahagian penghuni Pontian juga terasa sunyi. Kami sekeluarga lebih terasa sunyi. Sehingga hari ini, kami masih sukar menyebut 'arwah' atuk. Emakyang merupakan anak yang cukup rapat dengan atuk masih lagi lemah dan bersedih.

Atuk, terima kasih atas ilmu, nasihat dan kasih sayang yang dicurahkan kepada kami semua. Semoga Allah merahmati ruh atuk dan sentiasa bergemerlapan bersama ruh para kekasih Allah.

Buat keluarga Pakcik Mat dan sepupu-sepupu yang lain yang tidak pernah jemu menjaga atuk, semoga Allah memberi setinggi-tinggi balasan buat kalian.

al-Fatihah...