Friday, May 30, 2008

Cuti

Cuti.

Saya sedang bercuti dengan isteri dan anak-anak di Selama, Perak, sejak pulang dari Singapura. Talian internet yang amat perlahan di sini melemas dan melemahkan semangat saya untuk mengembara di cakrawala maya Taman Permata.

Maaf, tidak ada entri baru sementara saya duduk dalam gua batu ini.


Over & out...

Thursday, May 22, 2008

Bengkel Penulisan

Insya'Allah esok saya akan ke Singapura. Jemputan untuk mengendalikan bengkel penulisan sehari di Masjid Al-Istifar. Saya tidak ada maklumat lanjut tentang bengkel yang diuruskan oleh Jabatan Jualan. Saya juga tidak pasti bagaimakah rupanya Masjid al-Istifar itu.

Saya cuma dimaklumkan untuk mengedalikan bengkel penulisan buku. Segala keperluan penginapan dan sebagainya sudah diuruskan. Turut bersama saya ialah Cik Nurismaliza dari PTS One. Beberapa orang editor PTS iaitu Imran, Firdaus, Norashikin akan turut serta.. tetapi sebagai pelancong dan melawat Pesta Buku Singapura. Mereka ini ikut sekali untuk menghabiskan sisa-sisa cuti tahun lepas yang akan luput hujung bulan ini.

Biasanya apabila disebut bengkel penulisan, anggaran peserta adalah maksimum lima puluh orang. Itu pun sudah dikira ramai. Dalam bengkel-bengkel lepas yang saya kendalikan rata-rata paling ramai kehadiran pun adalah 40 orang.

Tetapi, kali ini saya dimaklumkan jumlah peserta adalah amat ramai. Kata saudara Ikhram yang menguruskan bengkel ini: "Kemungkinan besar penuh satu masjid!"

Jawab saya: "Itu bukan bengkel.. tetapi Khutbah Jumaat!!"

Macamana pun, semoga Allah permudahkan segala urusan. Insya'Allah saya berikan yang terbaik... cuma sedikit risau, bagaimana saya hendak susun semula persediaan untuk bengkel menjadi Khutbah ni.. mungkinkah nanti saya perlu naik atas mimbar?...

Wallahu'alam

Tuesday, May 20, 2008

Manusia

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh-kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir.” (Al Maarij 19-21)

Saturday, May 17, 2008

Guru oh Guru!

Guru oh Guru!
oleh Usman Awang

Berburu ke Padang Datar,
dapat rusa belang kaki,
berguru kepalang ajar,
ibarat bunga kembang tak jadi

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa


Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta

Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia

Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara

Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka

Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya

mengajar tulis baca .


Al-Fatihah buat guru-guru yang telah kembali kerahmatullah...

Puan Jalina - tanpa ketegasan dan 'kecengilan' mu, saya tidak akan yakin untuk menulis dalam Bahasa Inggeris (terbayang buku tulis yang dilambung keluar kerana kesilapan dalam karangan).

Ustaz Udin (ketua warden)- masih tergiang-ngiang di telinga ini suara tegas mu mengejutkan kami untuk segera bangun dan solat subuh berjemaah di surau

Semoga ruh kalian sentiasa di cucuri Rahmat Allah... dan semoga setiap ilmu dan didikan kalian yang saya amalkan akan menjadi jariah dan bekalan di alam abadi...

Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru...

Buat semua guru yang pernah mengajar diri ini membaca, mengira, mengaji.. buat guru-guru yang mendidik dengan penuh tabah, sabar dan hikmah.

Khususan...

Ustazah Saniah Md Isa... catatan dalam buku laporan saya hampir 20 tahun dahulu.. benar-benar melonjak estim dan diri ini dari seorang pelajar yang sentiasa jauh dibelakang, pelajar yang hampir hilang keyakinan diri, menjadi juara antara yang naik ke atas pentas... menerima anugerah sebagai pelajar terbaik.

Sehingga hari ini saya masih ingat dan semat dalam hati ini catatan ustazah :

"Keputusan yang boleh dibanggakan, kuatkan lagi usaha anda agar terus cemerlang".

Kata-kata tersebut benar-benar membakar semagat saya. Daripada seorang pelajar yang sering memenangi gelaran 'terocorot', saya menjulang piala kecemerlangan. Itulah pertama kali sejak empat tahun bersekolah menengah saya menerima pujian, atas keputusan peperiksaan yang sebenarnya langsung tidak ada apa yang boleh dibanggakan.

Terima kasih yang tidak terhingga buat ustazah... saya doakan Allah pelihara ustazah sekeluarga hingga ke akhir hayat, walau dimana jua ustazah berada.

Terima kasih juga buat semua guru-guru yang memberi banyak impak dan signifikan dalam diri ini, ibarat ibu dan ayah sepanjang di perantauan... Cikgu Abidah Konchong, Ustazah Kamariah Isa, Ustaz Abdullah Awang, Cikgu Abidah Konchong, Cikgu Jariah, Cikgu Abu Hassan Morat, Cikgu Latifah, Cikgu Saniah, Cikgu Norgayah, Cikgu Rohaya, Cikgu Zaini, Cikgu Abdullah, Cikgu Noraidah, Cikgu Samsiah, Cikgu Jalina (arwah)....

Cikgu-cikgu sekolah rendah... Cikgu Umi Kalthum, Cikgu Fatimah, Cikgu Rokiah.. kalian mengajar saya mengira, menulis, membaca, mengenal jam dan menghafal sifir..

Banyak lagi guru-guru yang menyumbang membentuk diri ini, menjadi saya seperti hari ini.

Semoga Allah membalas kalian dengan sebesar-besar balasan kebaikan dunia dan akhirat.

Tidak lupa juga buat cikgu tersayang.. yang mendidik, membesar dan melahirkan permata hati ini, Kak Yong, Abang Chor, Sameer... iaitu Ustazah Ruhana Hidayah Hj Abdul Halim... Jazakallah khairan kathira.

SELAMAT HARI GURU.. BUAT SEMUA GURU.

Wednesday, May 14, 2008

Nikmat yang masih ada

Seorang sahabat saya pernah berkata: "Selalunya kita 'terlupa' menghargai orang-orang penting dalam hidup kita. Bila mereka sudah tiada, barulah terasa... betapa banyak perkara baik yang belum kita berikan untuk mereka."

Sahabat saya ini kematian suaminya pada malam hari raya aidil adha baru-baru ini, beberapa hari selepas pembedahan merawat kanser perutnya. Arwah suaminya, ustaz Rosdi meninggalkan empat orang anak. Ketika itu sahabat saya ini, Dr Hasanah, sedang sarat mengandung anak yang ke lima. Dr Hasanah juga seorang yatim piatu.

Sekiranya melawat ke blog beliau, http://www.drhasanah.com, ada satu entri yang memetik kata-kata anak beliau yang menyentuh hati: “Emak, kenapa ayah mati cepat sangat?”.

Kata-kata sahabat itu menyedarkan diri ini tentang betapa dalam banyak situasi, saya sering terleka. Saya alpa dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan, dan hanya menyedarinya apabila ia hilang. Merindui dan mengenang jasa seseorang apabila dia sudah tiada di alam maya. Merasa nikmat sihat apabila sedang sakit dan menghargai masa apabila ia sudah berlalu.

Apabila nikmat itu berada di hadapan mata, acapkali diri ini terpedaya dan leka. Merasakan seolah-olah seperti 'panas terik mentari akan sampai ke petang'. Diri ini adakalanya terlupa bahawa nikmat yang Allah berikan itu dengan mudah ditarik balik pada bila-bila masa dan yang empunya diri akan dihisab tentangnya di akhirat nanti.

Kata-kata Hasanah itu sebenarnya menyentak saya supaya lebih menghargai nikmat yang ada dihadapan mata, supaya nanti kita tidak menyesal apabila ia telah pergi. Bukan sekadar menghargai insan-insan tersayang yang ada di hadapan kita, malah segala nikmat yang Allah kruniakan. Dari sekecil-kecil nikmat hinggalah yang melimpah ruah. Rezeki, kesihatan, keluarga, bahagia, aman damai, ketenganan dan yang utama... masa.

Nabi Muhammad mengingatkan manusia: “Ada dua kenikmatan yang membuat banyak orang terpedaya, iaitu nikmat sehat dan waktu lapang.” (hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)

Abu Sa'id al-Hasan ibn Abi-l-Hasan Yasar al-Basri, seorang cendiakawan besar ilmu akidah berpesan: "Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau adalah kumpulan hari. Ketika hari telah berlalu, maka berlalu pulalah sebahagian daripada dirimu"

Ibnu Al-Jauzi, seorang sarjana besar ilmu Quran dan Hadis pula berkata, “Adakalanya seseorang itu sihat, tetapi tidak mempunyai masa lapang, sebab sibuk bekerja. Juga adakalanya seseorang itu mempunyai masa lapang, tetapi tidak sihat. Jika seseorang yang mempunyai masa lapang dan badannya sihat, tetapi malas melakukan amalan ketaatan kepada Allah, dia adalah orang yang rugi. "

"Dunia adalah ladang akhirat dan di dalamnya terdapat perniagaan yang keuntungannya hanya nampak apabila di akhirat. Sesiapa yang menggunakan kesihatan dan masa lapangnya dengan baik, dia adalah orang yang patut dicontohi. Manakala, sesiapa yang menggunakan keduanya dengan berbuat maksiat kepada Allah, dia adalah orang yang rugi.”

Seorang sahabat nabi Muhammad yang antara terawal memeluk Islam iaitu Abdullah ibn Mas'ud apabila ditanya tentang nikmat yang pergi, beliau berkata:

“Saya tidak menyesal tentang sesuatu perkara yang berlalu melainkan penyesalan apabila matahari tenggelam, saya berasakan amal kebajikan saya tidak kunjung bertambah”.


Semoga kita tidak termasuk orang yang Allah ceritakan dalam Quran ini:

“Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, ‘Tuhan, kembalikan saya (ke dunia), agar saya berbuat amal salih terhadap apa yang telah saya tinggalkan’.” (Al-Mukminun: 99).

Wallahu 'alam (Allah jua yang mengetahui).

Monday, May 12, 2008

Sabar atau Mengeluh

Cerita ini saya olah daripada email yang diforwardkan kepada saya. Saya tidak pasti era latarbelakangnya. Saya agak ianya ketika zaman khilafah Islam, sekitar lebih seribu tahun dahulu. Watak Abul Hassan ini pula, saya tidak pasti adakah dia merupakan salah seorang sarjana Islam yang terkenal iaitu Abu Hassan Asyari, atau orang lain. Banyak cerita kesufian yang disandarkan kepada beliau. Sama ada ini salah satu daripada cerita rekaan atau tidak, Allah lebih mengetahui. Sekadar mengambil pengajaran daripada cerita ini.


Pada satu hari ketika Abul Hassan sedang mengerjakan tawaf di Masjidil Haram, beliau ternampak seorang wanita yang wajahnya bersinar dan berseri.

Abul Hassan berkata kepada dirinya:
"Demi Allah, saya belum pernah melihat wajah yang cantik dan berseri seperti wanita itu. Wanita itu seolah-olah seperti tidak pernah risau atau bersedih hati."

Kata-kata Abul Hassan itu didengari oleh wanita itu. Dia lantas bertanya: "Apakah yang tuan katan? Demi Allah saya tetap berasa sedih dan dukacita."

Abu Hassan bertanya: "Bolehkah saya tahu, kenapakah puan bersedih dan berdukacita?"

Wanita itu menjawab: "Suatu hari, ketika suami saya pergi menyembelih kambing korban di masjid, satu insiden menyayat hati menimpa tiga orang anak kecil saya. Kejadian itu berlaku dirumah ketika saya sedang menyediakan makanan selepas menyusukan anak kecil saya. Anak saya yang sulung sedang bermain dengan anak kedua saya. Saya terdengar dia berkata kepada adiknya: Adik, mahukah sekiranya abang menunjukkan kepada kamu bagaimana ayah menyembelih kambing."

"Anak saya yang kedua menjawab: 'Baiklah. Bagaimanakah caranya?"

"Saya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik kerana mereka memang selalu bermain bersama. Namun, tanpa saya sedari, si abang menyuruh adiknya berbaring dan kemudia dia menyembelih leher si adik dengan pisau yang entah dari mana dia dapat. Apabila melihat adiknya menggelupur dan darah memancut keluar dari tubuh, dia segera melarikan diri ke bukit berdekatan. Si abang cuba untuk bersembunyi di bukit itu, namun seekor serigala yang kelaparan telah menangkap dan memakannya."

Abul Hassan bertanya: "Sungguh tragis insiden ini."

Wanita itu berkata: "Nanti dulu tuan. Cerita saya belum habis. Izinkan saya meneruskan cerita."

Jawab Abul Hassan: "Maafkan saya. Sila, teruskan cerita puan."

"Apabila melihat anak saya yang kecil berlumuran darah dan tidak bernyawa, saya segera mendapatkan suami saya. Saya menceritakan apa yang berlaku kepada anak kedua saya dan kehilangan anak sulung saya. Lantas suami saya segera pergi ke arah padang pasir untuk mencarinya. Ketika itu kami tidak tahu anak sulung kami melarikan diri ke arah bukit."

"Setelah sekian lama mencari di padang pasir, saya berasa risau. Saya keluar rumah untuk melihat-lihat sekiranya suami atau anak saya pulang. Saya meletakkan anak kecil saya di dalam rumah. Tanpa saya sedari anak kecil saya merangkak ke arah cerek yang mengandungi air panas. Dia menarik cerek tersebut dan tumpahlah air panas itu ke atasnya. Anak kecil menjerit kepanasan dan kulitnya melepuh. Apabila saya mendapatkannya, dia sudah mati."

"Tidak lama kemudian beberapa orang kampung yang keluar mencari anak saya datang ke rumah membawa jasad suami saya. Rupanya dia mati akibat kehausan di padang pasir. Cebisan daging, tulang dan pakaian anak sulung saya yang berlumuran darah akibat dibaham serigala juga sudah ditemui."

Abul Hassan terperanjat mendengar insiden menyayat hati yang bertimpa-timpa menimpa wanita itu. Dia bertanya: "Walaupun puan ditimpa insiden yang sungguh tragis ini, puan masih kelihatan tenang. Bagaimana puan boleh bersabar menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu? Puan tidak langsung mengeluh?"

Wanita itu menjawab dengan suara yang tenang: "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan dia menemukan perbezaan antara keduanya. Seseorang yang bersabar dengan musibah yang menimpanya akan mendapat ganti yang baik dari Tuhan. Ia adalah sifat terpuji. Manakala, sekiranya dia mengeluh, dia tidak akan mendapat sebarang ganti dari Tuhan. Sia-sialah apa yang berlaku kepadanya."

Wanita itu menyambung lagi kata-katanya: "Rasulllullah pernah berkata dalam satu hadis Qudsi: "Bagi hamba Allah yang beriman, apabila Allah mengambil kekasihnya di dunia dan dia bersabar, tidak ada balasan lain baginya melainkan syurga."

Kata Rasulullah juga: "Tiga tanda kekafiran terhadap Allah: merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

"Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika dia mati sebelum sempat bertaubat, maka Allah akan menyediakan untuknya pakaian dari wap api neraka." (Hadis ini direkodkan oleh Imam Majah)

Selepas menghabiskan kata-katanya, wanita itu meminta diri. Abul Hassan berasa kagum mendengar cerita wanita itu. "Patutlah wajahnya berseri dan seolah-olah bercahaya. Sungguh tinggi kesabaranya." Kata Abul Hassan kepada dirinya apabila wanita itu beredar.

****


Tidak ramai orang boleh bersabar seperti wanita itu. Terutama dalam keadaan musibah yang menimpa-nimpa dalam tempoh yang pendek. Kata Rasulullah: "Sabar itu adalah di awal musibah."

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Wallahu'alam.

Tuesday, May 6, 2008

Ribut

Ini gambar KL ketika ribut di KL awal bulan April yang lepas. Dapat dari adik, Nawal. Katanya kawan dia beri. Saya tidak pasti sanad perawinya (pelapor), sama ada sahih, hassan, dhoif atau maudu' (palsu). Tapi nampak gaya bukan super impose. Sekadar bahan tontonan santai.

Mungkinkah ini juga sebahagian daripada Feng Sui auntie Chin yang meramalkan KL akan banjir besar? Bagi kaum Cina, mereka mungkin membenarkan... Tahun Tikus adalah tahun banyak hujan. (Itu kata-kata auntie Mary di sebelah rumah saya)





Saturday, May 3, 2008

Ramalan

Hari ini saya berjumpa seorang rakan. Chin namanya. Chin berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengamal perubatan tradisional cina. Ketika bersembang Chin bercerita tentang sesuatu yang menarik.

"You tahukah? tahun ini KL akan banjir besar"

"Huh?"

"Auntie saya pakar Feng Sui. Dia ramal tahun ini akan jadi banjir besar"

"Awak percayakah?"

"Saya percaya. Sebabnya, sebelum ini ramalan dia betul-betul menjadi."

"Apa dia?"

"Pertama dulu dia kata pada saya 'Chin you jangan banyak keluar, tahun ini ramai orang akan mati sebab kuman."

"Apa maksud dia?"

"Lama selepas dia cakap macam itu, terjadi peristiwa serangan kuman SARS, yang banyak mengorbankan nyawa."

"Ok. Lagi?"

"Kemudian dia pernah kata kepada saya 'Chin, tahun ini you jangan pergi mandi dekat laut. Tahun ini nanti akan jadi ombak besar, dan ramai orang akan mati."

"Apa maksud dia?"

"Mulanya saya tidak faham apa yang dia maksudkan. Tetapi, lama kemudian terjadinya peristiwa tsunami yang membunuh banyak nyawa."

"Apa lagi ramalan dia?"

"Dia juga pernah kata kepada saya 'Tahun ini akan jadi banjir besar di negara kita"

"Itu peristiwa apa pula?"

"Itu peristiwa banjir besar yang melanda negeri Johor, Perak dan sebagainya."

"Jadi, tahun ini pula apa kata dia?"

"Kata auntie saya itu, tahun ini adalah tahun tikus. Tahun banyak hujan. Mengikut Feng Sui dia, hujan yang banyak ini menyebabkan air di empangan penuh. Kebetulan pula di sekitar Bukit Tinggi tahun ini kerap berlaku gegaran (gempa bumi kecil). Gegaran ini menyebabkan struktur empangan di Klang Gate yang berdekatan dengan Bukit Tinggi menjadi tidak stabil. Lama kelamaan, empangan ini boleh pecah. Akibatnya KL banjir besar. Lebih besar daripada peristiwa banjir yang hampir menenggelamkan KL sekitar tahun 70an. Kata auntie lagi, 'Tanah yang banyak merekah juga menandakan akan berlaku banjir besar."

"Kalau empangan pecah, KL akan tenggelam."

"Betul. Rumah awak di Taman Permata kan? Dekat dengan empangan kan?.... Hemm, semoga Tuhan melindungi kita."

Saya hanya mendiamkan diri. Tidak membantah atau menokok tambah. Saya juga tidak mahu komen tentang Feng Sui makcik Chin. Kisah ramalan tamat di situ, apabila kami menukar topik perbualan.

Kata-kata makcik Chin itu mengingatkan saya kepada beberapa hadis nabi yang melarang mempercayai tukang tilik (saya kira Feng Sui ini lebih kurang macam tukang tilik kerana dia boleh meramalkan masa hadapan) :

“Beberapa orang sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang tukang tilik.”

Rasulullah berkata: “Perkataan mereka itu tidak benar.”

Mereka berkata lagi: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya para tukang tilik itu kadangkala bercerita kepada kami tentang sesuatu, lalu perkara itu benar (menjadi kenyataan).”

Mendengar kata-kata sahabat itu, Rasulullah menjawab: “Itu adalah kalimat kebenaran yang mereka sambar dari jin, lalu dibisikkan kepada ke telinga pembantunya, kemudian mereka mencampurkan kalimah yang benar itu dengan seratus pembohongan.” (Hadis dilaporkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)


Juga sepotong ayat Quran, yang terakhir daripada surah Luqman:

"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada bala kemurkaannya.
Allah itu juga yang maha mengetahui...