Monday, January 19, 2009

Masuk kerja


Hari ini hari pertama saya kembali bekerja selepas cuti selama 60 hari.

Terasa macam hari pertama sekolah selepas cuti penggal tiga. Bezanya semalam saya tidak perlu kapur kasut sekolah.

Pagi ini dipejabat sehingga petang mesyuarat dan laporan dari orang-orang kuat PTS Islamika Sdn Bhd, Ustaz Imran, Ustazah Firdaus dan Ustazah Asyuura. Saya hanya melopong dan mencatat. 

Dalam kepala, wayar-wayar masih lagi kendur. Sel-sel otak perlu didefragmentasikan dua tiga kali. Air radiator juga masih sejuk.

Hari pertama ini saya habiskan masa dengan menelaah laporan dan menyusun semula fail-fail dan dokumen dalam kepala ini yang tidak terusik sepanjang cuti lepas.

Sama macam ketika di sekolah dahulu. Bezanya, waktu rehat tengah hari tadi saya tidak perlu beratur di kantin membeli nasih lemak tiga puluh sen dan air oren 20 sen... 

Thursday, January 8, 2009

Kembali ke Taman Permata

Beberapa hari lepas, kami tiba dari Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang. 

Ketika itu, saya antara yang terawal keluar daripada balai berlepas, disambut oleh ratusan mata yang meninjau-ninjau mencari saudara mara. Terasa bagai seliberiti pula, apabila petugas Tabung Haji, anggota keselamatan dan orang ramai yang menunggu memandang saya dan mengucapkan selamat pulang.

Antara senyuman mereka semua, yang paling mahal adalah senyuman dan pelukan erat Abang Chor serta titisan hangat air mata Kak Yong. Sameer menunggu di rumah (Selama).

Apabila kami tiba di rumah, Sameer seolah-olah kebingungan. Mungkin tidak percaya setelah sekian lama menghilang, kini kami berada di hadapan matanya. 

Beberapa hari kemudian dia masih malu-malu lagi. Sameer masih kepingin tidur dengan makciknya yang dipanggil Ummi. Makan masih mahu disuap oleh Tok dan mandi atau tukar lampin masih mencari Kak Siti (pembantu rumah). Malah, apabila mengigau malam, dia masih memanggil-manggil Kak Yongnya yang menjadi teman setia dan tempat mengadu sepeninggalan kami. 

Yang menariknya, Sameer banyak berubah. Dia semakin petah berkata-kata, banyak bertanya dan panjang 'loyar buruknya'. Kulit Sameer yang dulu putih kini semakin 'berkilat'. Dari berjalan 'melayang-layang' Sameeri kini sudah lincah berlari di celah-celah pokok dan laman mengejar kucing atau ayam dengan tidak memakai kasut atau selipar. Sameer the kampung boy!

Segala puji bagi Allah, yang memudahkan perjalanan Haji kami, yang menjadikan pengalaman Haji sukup indah, mudah dan menginsafkan. Kami mungkin bukan tetamu Allah yang VVIP seperti Prof Kamil dalam Travelog Haji, namun, kami yakin, kami adalah di atara tetamu-tetamuNya yang mendapat 'layanan istimewa'.

Segala puji bagi Allah juga yang memelihara kami, anak-anak kami, keluarga kami dan harta benda kami. Terima kasih kepada keluarga di Selama yang menjaga permata hati kami dengan penuh kasih sayang dan sempurna. Terima kasih juga kepada keluarga di Kuala Lumpur yang sentiasa mendoakan dan mengambil berat kami semua. Terima kasih kepada kawan-kawan, sabahat handai dan saudara mara yang turut mendoakan. 

Untuk kalian semua, tidak ada ole-ole dari tanah suci kecuali doa yang saya panjatkan di hadapan Kaabah. Semoga kalian sentiasa dalam maghfirah dan rahmah Allah, semoga kalian juga mendapat jemputan istimewa dari Allah.

Wednesday, January 7, 2009

Apa Khabar


Assalamu'alaikum.

Saya baru pulang dari Selama, malam tadi.  Tiba dari Jeddah beberapa hari lepas. Mata masih mengantuk... jam biologi belum mengikut wakti Malaysia.

Sekadar menjenguk kembali Taman Permata.

Nanti sambung cerita....