Sunday, November 29, 2009

Melontar

Hari ini adalah hari ke 13 Zulhijjah. Bagi jemaah Haji yang berada di Mina, hari ini adalah hari terakhir untuk melontar bagi mereka yang membuat Nafar Thani. Bilangan jemaah haji juga sudah berkurangan sedikit pada hari ini. Kerana, mereka yang membuat Nafar Awal, telah pulang ke Mekah pada hari ke 12. Jadi proses melontar ketiga-tiga Jamrah agak lengang sedikit berbanding hari sebelumnya.

(Pengalaman saya apabila jemaah hendak melontar Jamrah naik ke tingkat tiga kompleks Jamarat, memang tidak sesak dari hari awal. Luas dan selesa. Cuma hari ke 13 lebih luas dan selesa).

Waktu yang afdal melontar adalah selepas waktu zuhur. Jemaah Haji Malaysia menggunakan fatwa yang mengharuskan melontar selepas Subuh. Ini supaya Jemaah Haji Malaysia boleh terus bersiap untuk pulang ke Mekah pada tengahari.

Walau bagaimana pun ada juga Jemaah Haji Malaysia yang membuat Nafar Thani ini melontar bukan pada waktu yang ditetapkan oleh syarak.

Kes ini berlaku di hadapan mata saya. Satu pagi sementara menunggu masuk waktu subuh, sedang saya dan rakan-rakan berbual-buat sambil minum teh panas di hadapan khemah penginapan, seorang jemaah haji yang baru pulang dari melontar menyapa kami. Ketika itu sekitar 4 pagi waktu Mekah.

Pakcik yang duduk sebelah saya bertanya kepada lelaki itu: "Tuan baru balik melontar ke?"

"Ya"

"Tuan melontar untuk hari ke 12 ke?"

"Tidak, saya melontar untuk hari ini. Hari ke 13"

Pakcik sebelah saya agak pelik, dan bertanya lagi: "Eh, bukankah sekarang ini belum masuk waktu Subuh. Belum masuk lagi waktu untuk melontar pada hari ini?"

Dengan suara yang agak sedikit keras, lelaki itu menjawab: "Pakcik, bukankah masuk hari ke 13 ini bermula selepas Maghrib? Macam kita berpuasa. 1 Ramadan bermula pada malam selepas waktu Marghrib. Kita sudah boleh solat Tarawikh, walaupun kita belum berpuasa. Macam itu juga kita melontar. Agama ini macam undang-undang. Lain hakim yang membaca, lain tafsirannya. Saya juga rujuk ustaz."

Selepas menghabiskan kata-katanya, lelaki itu beredar. Saya hanya mendiamkan diri. Pakcik di sebelah saya juga hanya mengeleng-gelengkan kepala sambil menghirup teh panasnya.

Kepala saya ligat memikirkan kata-kata lelaki tersebut. Saya tertanya-tanya dalam hati. Ustaz manalah lelaki itu rujuk. Kenapa tidak rujuk dengan pakar rujuk tabung haji yang ada dalam setiap kawasan penginapan jemaah haji. Memang melontar pada waktu sebelum subuh mudah dan tidak sesak. Namun, ianya tidak sah. Kerana masuk waktu melontar adalah pada selepas waktu subuh. Ini fatwa semasa yang digunakan oleh Tabung Haji dan beberapa negera. Namun sesetengah ulama masih mengekalkan waktu melontar adalah selepas waktu zuhur.

Seingat saya, dalam beberapa kitab fikah yang saya rujuk, tidak terjumpa pula fatwa yang seperti lelaki itu katakan. Mungkin ilmu saya masih cetek. Saya bertanya kepada seorang ustaz veteran yang turut sama dalam jemaah kami. Beliau juga merupakan pakar rujuk SPBYD Agung sekarang. Kata beliau, waktu sah melontar bermula pada waktu subuh. Bukan selepas Maghrib seperti kata lelaki itu. Waktu sah tidak sama seperti waktu masuk tarikh.

Saya khuatir, lelaki tadi bertanya kepada 'ustaz-ustaz instant' tidak bertauliah yang banyak wujud dalam kelompok jemaah haji yang tumbuh bagaikan cendawan... wallahu'alam

Saturday, November 28, 2009

Daging Korban

Ustaz: "Korban adalah ibadah kita kepada Allah. Seluruh proses korban adalah ibadah. Bermula dari menyembelih hinggalah kepada mengagih-agihkan daging korban. Kerana itu juga, daging korban tidak boleh diagihkan kepada bukan Islam."

Murid: "Ustaz, kalau korban adalah ibadah dan kita tidak boleh mengagihkan kepada bukan Islam, kenapa kita beli lembu daripada bukan Islam? Di kampung saya yang menjual lembu kepada surau semuanya adalah penjual bukan Islam."

Ustaz: "Tidak salah kita beli lembu daripada orang bukan Islam kerana ibadah korban hanya bermula ketika lembu itu disembelih."

Wallahu'alam.

----

Petikan daripada bicara Ustaz di Radio ketika dalam perjalanan pulang ke kampung isteri di Selama, Perak.

Selamat Hari Raya Korban...

Tuesday, November 17, 2009

Azan

Di saat kemeriahan jemaah haji berrtolak dan tiba di tanah suci Mekah, saya memendam rasa rindu untuk ke Mekah lagi. Takala melihat senyum kegembiraan para jemaah dalam berita, kerinduan saya terbawa-bawa dalam tidur.

Saya bermimpi berjalan di lorong-lorong depan hotel Qurtubah Barakah, di lorong Khalid ibn Walid di Shubaikah. Melewati deretan gerai dan kedai yang menjual pelbagai barangan keperluan harian, baju dan sebagainya. Biasanya selepas solat Dhuha di masjidil haram, saya dan isteri akan pulang ke hotel. Mencari sarapan. Atau kadang-kadang berjalan-jalan untuk melihat pelbagai barangan yang dijual sama ada buku, kurma, baju dan sebagainya.

Kali ini saya berjalan menuju hotel Sevilla yang terletak kira-kira 200 meter dari hotel Qurtubah Barakah. Saya terlintas untuk menziarahi seorang sahabat, ustaz Zamri Zainal Abidin, IKIM. Sebaik sampai di hotel, azan mulai berkumandang. Azan zuhur mungkin. Saya berpaling untuk berpatah balik, menuju ke masjid. Dalam pada itu suara azan semakin nyaring dan jelas.

Selang beberapa langkah... tiba-tiba, suasana sekitar menjadi gelap. Saya cuba membuka mata, suara azan masih lagi seperti tadi, suasana sekitar masih lagi gelap. Berbeda dengan tadi, kali ini saya sedang berbaring. Bukan di atas jalan, tetapi di atas katil. Suara azan mengejutkan saya daripada terus bermimpi.

Azan subuh dari surau Taman Permata yang memecah kedinginan subuh. Suara pak bilal Taman Permata yang walaupun tidak semerdu dan sefasih muazzin Masjid al Haram, masih setia dan berjasa mengejutkan jemaah daripada asyik dibuai mimpi dalam dalam kehangatan selimut. Dugaan yang hebat.

Saya teringat kata-kata Prof Kamil (Travelog Haji), adakah kita sekadar rindu kepada Kaabah atau rindu hendak beribadah kepada yang empunya Kaabah? Sekiranya rindu kepadaNya saya perlu teruskan apa yang dibuat ketika di tanah suci dahulu...

Kalau dulu saya boleh berulang alik ke Masjidil Haram yang sejauh 500 meter dari hotel, saya pastinya tidak menjadi masalah untuk ke surau yang hanya 100 meter... lebih-lebih lagi dalam kedinginan pagi dek hujan di malam hari. Wallahu'alam.


--------
Hotel Qurthubah Barakah, terletak kira-kira 500 meter daripada Masjid al-Haram adalah hotel yang terdekat yang didiami oleh jemaah haji Malaysia (muasasah). Hotel tersebut hanya tinggal nama sahaja kerana ia telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran dataran Masjid al Haram.

Hotel Sevilla, terletak kira-kira 750 meter daripada masjidil haram. Satu-satunya hotel yang terdekat untuk jemaah Malaysia tahun ini.

Thursday, October 29, 2009

Jurujual MLM.

Saya didatangani teman yang menjual supliment keluaran syarikat MLM yang dianggotainya. Selepas beberapa sessi penerangan dan kempen (pujuk rayu), saya akhirnya mengalah dan membeli sebotol vitamin.

Selang beberapa lama, teman tadi menalifon: "Faris, vitamin awak ada lagi?"

Saya hanya menjawab ringkas:"Ada".

Katanya lagi: "Sekiranya sudah habis dan hendak membeli lagi, hubungi sahaja saya. Lagi pun saya ada beberapa produk baru yang cukup baik ini..."

"Ok. Nanti sekiranya perlu lagi saya akan hubungi." Saya menamatkan perbualan, sebelum dia berkempen panjang lebar.

Situasi di atas sudah lama berlaku. Dalam keadaan lain dengan teman yang lain, ia hampir berlaku lagi. Semacam deja vu. Cuma, kali yang lain, saya tidak berjaya dipujuk rayu.

Pengalaman tersebut dan beberapa puluh pengalaman yang lain menyebabkan saya menjadi takut, resah, 'sesak nafas' malah menjauhkan diri daripada jurujual MLM ini. Antara mereka adalah teman-teman sekuliah, sepejabat, kenalan, jiran tetangga, anak murid malah kaum kerabat.

Lagi tinggi jawatan atau kedudukan mereka dalam skim MLM tersebut, lagi rancak mereka berkempen. Pantang duduk bersembang, pasti mereka akan menyelit-nyelit ruang untuk berkempen. Akhirnya perbualan sosial menjadi sesi kempen mengempen.

Tidak dinafikan ada antara barangan yang mereka jual memang baik, namun ia bukanlah barangan yang diperlukan... (sekurang-kurangnya pada waktu itu). Kalaupun saya membelinya, ia bukan kerana saya benar-benar memerlukannya, tetapi ia lebih kepada kasihan kepada teman tersebut atau sekadar mahu supaya dia cepat pergi dan jangan menganggu saya lagi. Selepas itu, saya akan sedaya upaya mencari alasan untuk menjauhi mereka atau pun memastikan perbualan kami tidak berleretan supaya dia tidak boleh mencelah untuk berkempen.

Memang kebiasaannya, jurujual direct selling ini menjual barangan yang bukan keperluan kita. Saya tertarik dengan kata-kata seorang teman yang merupakan pakar perunding kewangan keluarga: "Apabila kita kehabisan gas memasak, kita akan terus ke kedai untuk membeli tong gas. Kerana, kita amat memerlukannya. Kita tidak membeli tong gas, apabila penjual tong gas datang ke rumah kita pada waktu kita tidak memerlukannya. Jadi, apabila jurujual datang menawarkan barangan kepada kita, biasanya ia bukanlah barangan keperluan yang kita benar-benar perlukannya".

Saya setuju. Saya juga amat setuju dengan kata-kata sifu PTS: "Mejual barangan (direct sellling) kepada rakan-rakan kita, sebenarnya menjarakkan kita dengan mereka.. ".. Bagi saya ia bukan sekadar menjarakkan, malah bisa memutuskan silaturrahim secara kita tidak sedari.

Sunday, August 16, 2009

Apa itu?



Semalam saya membelikan Sameer yang berusia 3 tahun, set ping pong. Oleh kerana tidak mempunyai meja ping pong yang sesuai manakala Sameer pula baru mengenali permainan itu, maka kami hanya bermain di atas lantai. Sameer yang cukup teruja dengan permainan barunya itu bertanya:

"Baba, ini apa?"

"Ping pong"

"Ini, apa?"

"Ping pong"

"Ini apa, Baba?

"Ping pong"

"Ini apa?"

"Ping pong"

Begitulah dialog kami sepajang bermaian. Entah berapa banyak soalannya berulang. Penat juga hendak melayan. Tetapi, apabila mengingatkan mungkin ketika kecil dahulu, saya juga begitu, maka saya terus melayaninya. Apabila penat, saya akan tukar topik lain. Begitulah selalunya.

Agaknya macamanalah dahulu emak dan ayah melayani karenah kami enam beradik... wallahu'alam.

Friday, August 14, 2009

Apa itu H1N1?

Apa itu H1N1?

Viral Novel Influenza Type A H1N1. Ianya berasal daripada Virus Avian Flu (selsema burung H5N1) yang menjangkiti babi dan bergabung dengan Swine Flu (yang sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja). Ia kemudian me-evolusi (mutasi) untuk penyesuaian diri dalam 'host' yg lebih tinggi dalam rantaian makanan @ manusia. Semasa dalam badan manusia, sekali lagi ia berevolusi menjadi 'air born' dan menjangkiti daripada manusia kepada manusia yang lain.

Jangka hayat virus

Oleh kerana ia adalah virus yang 'air born', ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. Jika selepas tempoh tersebut ia tidak mendapat perumah @ host( badan manusia) ia akan mati.

Maka, bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan peredaran udara (air ventilation) yang baik, akan 'bersih' daripada virus tersebut.

Apa yang anda perlu tahu?

Asal virus ini:

Sebenarnya telah terdapat 'outbrake' di US sebelum terjadi 'outbrake' di Mexico, Namun, ia tidak dilaporkan kepada WHO. Kemungkinan 'outbrake' ini dikesan dan pihak US mahu 'baling batu sembunyi tangan', lalu dunia hanya mengetahui tentang tercetusnya 'outbrake' di Mexico.

Virologi virus H1N1:

Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari.
Ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah menjangkit pesakit. Pesakit akan menunjukkan simptom selepas paling cepat 1 hari dijangkiti atau selewat-lewatnya pada hari ke-4.
H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa. Namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. Jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara serangan:

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan. Virus ini menyerang sistem pernafasan (seperti selsema burung dan SARS). Pada peringkat awal, ia hanya menyerang pada 'trakea' dan jika tidak mendapat rawatan awal, ia menyerang paru-paru dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse'. Ia amat merbahaya kepada golongan yang berisiko tinggi.

Siapa yang berisiko?

1. Individu yang ada masaalah 'obesiti' @ gemuk
2. Individu (perempuan) yang mengandung
3. Individu yang ada masalah asma
4. Individu yang bermasalah dengan sistem imunisasi (menjalani 'operation yg besar', kanak2 yang belum cukup suntikan imunisasi, golongan-golongan yang rendah tahap imuniti eg. HIV ext.)
* kematian yg telah dilaporkan terdiri drpd golongan2 di atas


Simptom2

Day 1 - rasa kurang sihat, tidak bermaya
Day 2 - selsema, batuk dan demam yang kekal (demam tidak turun walaupun telah makan ubat demam)
Day 3 - rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Day 4 - sakit dada yg teruk........ jumpa doktor dengan segera!
Day 5 (dan ke atas) - 'lung collapse' @ koma


Langkah-kawalan
1 - bagi golongan yang berisiko, elakkan daripada kesesakan (kawasan yang padat dengan orang ramai)

2 - menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran

3 - jauhkan diri daripada 'orang batuk, bersin dan kurang sihat'

4 - jika kurang sihat, elakan diri daripada beraktiviti (sosial dan berkumpulan)

5 - jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang-kurannya yang 3 ply mask)

6 - untuk orang yang sihat, elakkan daripada kawasan yang padat.

7 - jika ada tanda2 simptom di atas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan

8 - jika sihat, jangan ke hospital atau klinik untuk 'check-up' kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus.

9 - tidak perlu ambil anti-viral @ apa2 ubt influenza!!!!!!!!!!. jika sihat dan mengambilnya, akan mengakibatkan iresistan kepada vaksin @ ubat-ubat untuk merawat apabila terkena jangkitan. Ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yang telah mengambil ubat-ubat tersebut terlebih awal.

10 - vaksin hanya akan 'wujud' seawal-awalnya pada Oktober dan hanya untuk 'frontliner' sahaja. Untuk orang awam selewat-lewatnya pada tahun 2010.

11 untuk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal sahaja di Malaysia. Ia mengambil masa 6 jam untuk 'run test' kepada 1 batch sample. Jika klinik menyatakan mereka boleh jalankan ujian, itu tidak betul. Tidak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.

12 - Tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi 'outbreak' ini.

Samalah kita berdoa kpd ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu. Amin.

Ini adalah sumber dr taklimat H1N1 oleh pengarah kawalan penyakit berjangkit daripada Kementerian Kesihatan Malaysia di Hotel Pan Pasific KLIA pada 01.08.2009.

* Nota ini ehsan daripada rantaian emel yang diforwardkan kepada saya oleh : d e w a d u r j a n a ™

Thursday, August 13, 2009

Tertinggal dalam lif

Semalam kami anak beranak menziarahi adik ayah yang datang bercuti di Malaysia, di aparmet sewanya di tengah ibukota.

Satu peristiwa yang mencemaskan berlaku apabila kami hendak pulang. Ketika hendak menggunakan lif, Kak Yong yang berusia tujuh tahun terlebih dahulu berlari masuk ke dalam lif. Sebelum sempat kami yang lain masuk, lif tertutup dengan Kak Yong bersendirian di dalamnya.

Saya cuba menekan suis pintu beberapa kali dengan harapan ia terbuka sambil berdoa dalam hati. Semua yang melihat hanya terdiam dan menanti pintu terbuka. Beberapa saat kemudian pintu lif terbuka. Kak Yong dengan pantas menerpa keluar. Dia tidak menangis, tetapi mukanya pucat dan air mata bergenangan.

Alhamdulillah, Kak Yong selamat. Peristiwa tersebut berlaku dalam beberapa saat namun, ia sudah cukup untuk merentap jantung kami.

Sebenarnya kami tidak tahu hendak buat apa kecuali cuba menekan-nekan suis pintu dan berharap agar ia terbuka.

Kami di tingkat 24. Apartment tersebut ada 34 tingkat. Ke manakah kami hendak mencari Kak Yong sekiranya lif tersebut bergerak?

Kata Kak Yong, dia juga tidak tahu hendak buat apa. Dia tidak tahu menggunakan lif. Kak Yong hanya mampu mengetuk-ngetuk pintu lif dengan harapan ia akan terbuka.

Peristiwa tersebut menjadi pengaran buat kami semua supaya lebih berwaspada.

24 jam selepas peristiwa tersebut berlaku, jantung saya masih berdebar dan berderau. Saya masih lagi terbayang-bayang Kak Yong menerpa keluar dengan wajah pucat.

Wallahu'alam.

Friday, August 7, 2009

123456789


Sekadar memberi maklumat:..

Hari ini kalendar kita menunjukan angka 123456789.

Pada jam 12 (tgh), 34min dan 56 saat, 7 ogos 2009. Sekiranya kita baca dalam urutan ia akan menjadi 123456789. (12:34:56, 7/8/09).

Saat ini hanya dikatakan terjadi sekali dalam hidup. Walau bagaimanapun tidak ada apa-apa yang isitimewa, bertuah atau sebarang peristiwa ajaib akan berlaku, kecuali angka ini sahaja. Jangan dikaitkan tarikh ini dengan perkara syirik atau pun dengan nombor ekor..

Wallahu'alam.