Friday, March 2, 2012

TRAVELOG PESTA BUKU ANTARABANGSA MESIR

(Entri ini telah disiarkan dalam Utusan Malaysia, sisipan Mega 2/3/2012, dengan suntingan pengarang. Berikut adalah entri asal.)

Apabila di maklumkan oleh pihak pengurusan bahawa saya dan seorang teman, Ustaz Imran, akan menyertai trip ke Pesta Buku Antarabangsa Cairo, hati saya bercampur baur, antara gembira dan risau. Gembira, kerana saya memang menyimpan impian untuk melawat pesta buku antara terbesar di dunia ini. Impian terpendam sejak saya mula bertugas di syarikat penerbitan hampir 10 tahun lalu. Apatahlah lagi saya belum pernah menjejakkan kaki ke bumi para nabi yang penuh sejarah itu. Yang ada hanyalah cerita-cerita daripada mereka yang pernah belajar di Mesir selain daripada pembacaan.

Risau, kerana keadaan politiknya pada waktu itu yang masih tidak stabil. Tentera masih menguasai tampuk pemerintahan negara dan belum menyerahkan kepada kepimpan sebenar rakyat Mesir seperti yang dijanjikan. Kebetulan tarikh pesta buku itu berjalan serentak dengan pilihanraya Mesir yang pertama sejak kejatuhan rejim Mubarak tahun lalu. Ada ura-ura penyokong setia Rejim Mubarak hendak mengagalkan pilihanraya yang bakal berlangsung. Jadi, apa-apa kemungkinan boleh berlaku.

Pinta masuk utama
Kekhuatiran saya ini berasas kerana, pada tahun lepas Pesta Buku Antarabangsa Cairo dibatalkan disaat akhir disebabkan oleh kemuncak revolusi rakyat Mesir atau 'Hari Kemarahan' bermula pada tarikh yang sepatutnya pesta buku berlangsung. Para pempamer yang datang dari serata dunia Arab juga terkandas dan mengalami kerugian besar disebabkan mereka sudah pun membawa buku-buku untuk dijual dan mengeluarkan belanja besar untuk tujuan itu.

Hari Kemarahan, iaitu hari kemucak bermulanya protes besar-besaran bagi menjatuhkan rejim Mubarak bermula pada 25 Januari dan sehingga hari ini ia menjadi tarikh keramat bagi rakyat Mesir. Tarikh tesebut diperingati dan disambut oleh seluruh rakyat Mesir sebagai simbol kejayaan perjuangan mereka. Pesta buku kali ini juga jatuh pada Hari Kemarahan iaitu pada 24 Januari – 7 Februari.

Jadi, pada pemikiran saya ada kemungkinan akan berlaku kekacauan lagi di Mesir, sementelah rakyatnya kini selepas genap setahun revolusi, mereka masih lagi belum mempunyai kerajaan yang sebenar yang mereka harapkan. Justeru, perjuangan untuk ‘Mesir Baru’ masih belum lagi terhenti.
Buku Dr Yusof Qardawi berkaitan Revolusi 25 Januari
Kerisauan saya semakin kuat apabila tiba di bumi Kaherah pada 22 Januari, pemandu teksi yang membawa kami dari lapangan terbang ke tempat penginapan mengatakan, pada 25 Januari, Medan Tahrir yang menjadi pusat revolusi rakyat Mesir tahun lepas akan kembali meriah. Rakyat Mesir akan berhimpun bagi meraikan sambutan ulang tahun pertama revolusi Mesir.

Selain daripada memperingati perjuangan mereka menjatuhkan rejim Mubarak, mereka juga akan menuntut agar pihak militer yang menerajui negara pada masa ini agar segera menyerahkan tampuk kerajaan kepada rakyat seperti yang mereka janjikan. Mereka ingin memberi isyarat, rakyat bersedia untuk kembali ke jalanan sekiranya pihak militer tidak menepati janji mereka.

Rombongan PTS kali ini adalah kali yang kedua. Kali pertama adalah pada tahun lepas. Kebetulan ketika itu revolusi rakyat Mesir sudah mula menjadi hangat dan pihak berkuasa Mesir sudah mula mengambil langkah-langkah drastik bagi mengekang kebangkitan rakyat termasuk menembak mati para penunjuk perasaan. Disebalik situasi yang agak genting dan pembatalan pesta buku disaat akhir, rombongan PTS masih berkesempatan melawat dan menjalinkan hubungan dengan beberapa penerbit besar Mesir. Justeru, kedatangan rombongan ke dua kali ini adalah bagi mengeratkan lagi hubungan yang telah terjalin disamping melebarkan lagi jaringan kerjasama dengan penerbit-penerbit Mesir yang lain.

Deretan gerai individu
Pesta Buku Antarabangsa Mesir yang ke 43 ini ada keunikannya tersendiri. Namun, penyertaan tahun ini agak kurang sedikit berbadinding tahun-tahun sebelumnya. Selain menghimpunkan 745 penyertaan daripada 29 buah negara dengan majoriti (67%) penyertaan adalah dari Mesir, ia turut sertai oleh penerbit-penerbit dari lebih 30 negara Arab yang lain seperti Arab Saudi, Lubnan, Syiria, Maghribi, Iran, Tunisia, Algeria, UAE dan sebagainya. Ada juga penerbit dari Eropah seperti Italy, German, Perancis dan sebagainya yang turut serta. Jumlah buku yang dipamerkan pula adalah dari pelbagai genre seperti perubatan, sastera, ilmu-ilmu sains, kanak-kanak, sejarah, kraftangan, pengurusan, falsafah, novel, pendidikan dan macam-macam lagi dengan genre terbesar adalah agama dalam pembagai topik dengan sebahagian besar (80%) adalah dalam bahasa Arab.

Menurut Ustaz Wan Zu, teman sepejabat yang pernah belajar di Mesir: “Sekiranya ada buku (judul) yang dicari, tetapi tidak ditemui di pesta buku ini, bermakna buku itu juga berkemungkinan besar tidak ada di dunia Arab!”.

Bagi saya kenyataan itu mungkin agak keterlaluan, namun jika kita melihat betapa besarnya Pesta Buku Antarabangsa Mesir ini yang dikatakan ke dua terbesar di dunia selepas Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt kita tidak akan nafikan, ia memang pusat ‘longgokan’ buku-buku berbahasa Arab terbesar di dunia. Bagi peminat buku-buku genre agama khususnya, ia ibarat syurga buku!

Pesta buku ini di adakan di pusat pameran terbuka dan berpagar yang seluas hampir 3 atau empat padang bola dan bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam. Setiap pelawat yang masuk diperlu membayar tiket sebanyak €10 Egypt Pound atau RM5.00 untuk sekali masuk. Pelawat juga perlu melalui pintu kawalan keselamatan yang ketat seperti di pintu masuk balai berlepas lapangan terbang.

Dalam kawasan pesta buku ini ada tidak kurang 20 dewan pameran yang diperbuat sama ada daripada kanvas atau papan. Setiap dewan besar ini mengandungi tidak kurang daripada 50 gerai pameran kecil. Ada juga penerbit yang menempah tapak pameran dan mendirikan pusat pameran mereka sendiri seperti sebuah kedai buku dengan pelbagai saiz keluasan. 
Suasana dalam dewan berkelompok
Bagi negara Arab Saudi mereka ada dewan sendiri yang agak mewah dengan dihiasi dan dibina mengikut idenditi negara. Dewan Arab Saudi ini menepatkan lebih 30 gerai penerbit dari negara mereka, termasuk penerbit pusat-pusat pengajian mereka.

Kami difahamkan, dek kerana luasnya tapak pesta buku ini, maka disediakan juga bas atau shuttle seperti di Zoo Negara untuk mengelilinginya. Walaupun dengan menaiki shuttle, lawatan sehari belum cukup untuk ‘menziarahi’ keseluruhan gerai buku yang ada. Cuma pada tahun ini, perkhidmatan tersebut tidak disediakan. Antara kemudahan lain adalah dua medan selera dan sebuah masjid untuk kemudahan solat fardu dan solat Jumaat.

Bagi mereka yang pertama kali melawat ke pesta buku ini mungkin agak pelik melihat pelawat yang datang membawa troli kecil atau pun beg galas yang besar. Ini kerana kebanyakan pengunjung terutama pelajar datang membeli buku yang banyak. Apatah lagi kebanyakkan buku bahasa Arab adalah berkulit tebal, maka beg beroda atau troli adalah satu keperluan. Malah kemungkinan besar belum sempat melawat separuh daripada tapak pesta buku, troli sudah pun dipenuhi dengan buku.

Sekiranya tidak larat memikul buku atau terlalu banyak yang dibeli, pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan tidak rasmi daripada anak-anak muda arab bagi mengangkut dengan membayar sedikti upah. Sekiranya hendak mengirim buku terus ke negara asal, pihak penganjur juga menyediakan perkhidmatan kargo sama ada melalui udara atau laut.

Menurut seorang pelajar dari Malaysia yang ditemui, ada antara mereka berbelanja sehingga €1000 atau lebih. Ini kerana terlalu banyak judul yang menarik dan banyak perbincangan serta penulisan baru yang diterbitkan setiap kali pesta buku. Ada juga buku atau ‘kitab’ lama yang diberi ulasan baru oleh ulama-ulama besar dari dunia Arab.

Dewan Arab Saudi
Sambutan tinggi terhadap buku ini bukan sahaja boleh dilihat dengan jumlah pempamer yang tinggi dan pengunjung yang datang malah dengan jumlah buku yang dibeli oleh para pengunjung. Justeru tidak hairanlah sekiranya Pesta Buku Antarabangsa Mesir ini juga menjadi agenda negara bagi menarik ramai pelancong. Kerajaan Mesir melalui penganjur juga memberi penghormatan kepada negara asing yagn terpilih sebagai tetamu khas pesta buku. Pada tahun ini tetamu khas adalah negara Tunisia.

Di sebalik kehebatan pesta buku ini, sebenarnya ia lebih kepada pesta menjual buku dan bagi urusan pelesenan atau jual beli hak penterjemahan. Bagi para penerbit atau agen penerbitan yang datang atas tujuan utama untuk membeli dan melesen hak penterjemahan, ia sebenarnya masih banyak kekurangan.

Negosiasi pelesenan dengan pemilik Maktabah Wahbah
Sebagai contoh, sekiranya hendak membuat urusan perbincangan bagi melesen judul-judul yang menarik untuk diterjemahkan, kita perlu berbincang di gerai pameran dengan tuan punya syarikat penerbitan. Ada antara syarikat yang terkenal dan mempunyai buku-buku yang besetseller tetapi untuk urusan jual beli lesen perlu dilakukan digerai mereka. Tidak ada tempat khas yang lebih selesa untuk berbincang. Cuma ada sebilangan kecil penerbit besar yang benar-benar profesional akan menjemput ke pejabat mereka.

Berbeza dengan pengalaman kami melesen judul dengan negara lain, di Mesir, sekiranya kita berminat untuk melesen, mereka tidak akan berikan naskhah contoh. Hatta apabila perjanjian sudah dimeterai sekalipun, kita perlu membeli naskhah yang hendak diterjemah itu. Manakala penetapan jumlah bayaran untuk pelesenan juga berbeza antara satu penerbit dengan satu penerbit.Ada yang kira mengikut kadar tempatan dan dinilaikan dalam USD, ada yang berdasarkan halaman dan ada juga yang berdasarkan berat buku tersebut. Tidak ada ukuran yang standard.

Sekiranya hendak membeli atau melesen hak (rights) untuk menterjemah, kita juga perlu membawa duit tunai dalam nilai US Dollar. Kerana, kita perlu membayar jumlah keseluruhan secara tunai. Tidak ada advance royalty atau deposit. Apabila sudah langsai barulah mereka akan mengeluarkan surat perjanjian pelesenan untuk dimaterai.

Dari segi keselamatan memang berbahaya, kerana perlu membawa wang tunai yang banyak. Namun, ‘pak-pak Arab’ ini hanya akan percaya dengan kita apabila melihat duit tunai depan mata mereka. Kata mereka, ramai penerbit luar negara yang bayar deposit dan kemudian terus hilang tanpa membayar jumlah bakinya walaupun mereka sudah berkali-kali mengulang cetak karya terjemahan yang diterbitkan itu.

Menurut seorang penerbit besar, ada banyak buku-buku mereka yang diterjemah dan diulang cetak berkali-kali tanpa izin, terutama penerbit dari Asia Tenggara (dengan menyebut negara-negara berkenaan). Memang agak memalukan, kerana mereka tahu negara mana yang menerbitkan karya mereka tanpa izin.

Kendati begitu, sekiranya kita datang menemui sendiri pemilik syarikat penerbitan dan dapat meyakinkan mereka untuk menjalin kerjasama berpanjangan, insya’Allah mereka akan melayan kita dengan baik. Rata-rata masyarakat Arab khususnya di Mesir ini mengamalkan budaya menghormati tetamu. Sekiranya mereka percaya dan yakin dengan keikhlasan kita, maka urusan selanjutnya akan menjadi lebih mudah.

Kami hanya berkesempatan untuk melawat pesta buku ini selama lima hari sahaja. Ketika berlakunya sambutan ulang tahun Hari Kemarahan di Medan Tahrir, pesta buku ini ditutup selama dua hari. Tidak ada sebrang kekecohan berlaku, cuma sekadar menghormati peristiwa tersebut. 

Kami juga sempat ‘memborong’ buku-buku sama ada untuk bacaan peribadi atau untuk tujuan penyelidikan. Sebahagiannya dibawa pulang bersama, manakala sebahagian lagi dikirim melalui kargo yang diuruskan oleh pelajar Malaysia di Universiti Al-Ahar.

Pengalaman singkat ini amat bemakna kerana selain daripada menjalin hubungan dengan penerbit Mesir, kami juga membina jalinan persahabatan dengan pelajar-pelajar Malaysia melalui Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Mereka jugalah yang membantu kami mendapatkan penginapan di Hotel Wisma Kelantan dan menganjurkan bengkel penulisan untuk pelajar-pelajar Malaysia yang kami kendalikan.


Urusan perbincangan kami dengan penerbit Mesir pula banyak dipermudahkan dengan bantuan seorang penulis PTS yang juga pelajar dari Indonesia dan sudah lebih 10 tahun berada di Mesir, iaitu ustaz Masnur Hamzah. Memandangkan beliau lebih arif dengan budaya dan dialek tempatan, maka kehadiran beliau banyak membantu.

Bengkel Penulisan PMRAM di Rumah Terengganu
 Bagi mereka yang berkesempatan melawat Mesir, selain dari menziarahi tempat bersejarah, amat menarik sekiranya dapat singgah ke pesta buku ini. Sekalipun tidak membeli buku kerana mungkin sebab kebanyakkannya buku dalam bahasa Arab, sekurang-kurangnya kita dapat melihat betapa budaya ilmu di Mesir ini tersemai sejak anak-anak kecil lagi.

Pesta buku ini biasanya diadakan pada musim sejuk dengan suhu antara 8-10 C. Walaupun sejuk, ia menjadikan kita tidak cepat berasa penat dengan syarat memakai baju sejuk yang sesuai. 

 Apabila pulang ke tanah air, banyak perkara yang saya rindu di bumi Mesir. Selain daripada ‘tokmiyah’ (sejenih sandwich), saya amat kagum dengan budaya memberi salam yang cukup sebati dengan rakyat Mesir. Dimana sahaja walaupun dengan orang tidak dikenali mereka akan memberi salam. Mereka juga suka mengimarahkan majlis ilmu khususnya yang berkaitan dengan agama. Di mana-mana akan kedengaran sama ada rakaman ayat suci al-Quran atau ceramah ilmu oleh ulama-ulama Mesir.

Antara dewan pameran berkelompok
Pun begitu, bagi mereka yang melawat Pesta Buku Antarabangsa Mesir atau ke negeri Mesir umumnya, perlulah berhati-hati dengan kegiatan penyeluk saku yang cukup mahir. Kata seorang pelajar Malaysia, penyeluk saku di Mesir berupaya mencuri jam tangan yang sedang dipakai tanpa disedari oleh empunya jam. 

Nasihat ini amat berguna. Cuma bagi saya, nasihat ini hanya sampai kepada saya selepas saya menjadi mangsa penyeluk saku, yang berjaya menyeluk saku baju panas saya dan mengambil smartphone saya tanpa disedari. Akibatnya 'mood' saya untuk berjalan-jalan di pesta buku pada hari itu hilang! Alhamdulillah, dompet saya selamat dan mujurlah ia berlaku pada hari terakhir saya di Mesir. Jika tidak, pasti terganggu juga urusan kerja.

*** 

Baru-baru ini di Putrajaya apabila dianjurkan Pesta Buku Islam, saya berasakan ini adalah satu permulaan kepada satu lagi prasarana untuk para pencinta buku khususnya buku agama. Sekurang-kurangnya, selain daripada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, negara kita akan ada acara buku tahunan yang besar seperti negara jiran yang setiap tahun sekurang-kurangnya ada tiga pengajuran pesta buku besar, termasuk Pesta Buku Islam.

Semoga dengan usaha sedemikian akan melahirkan lebih ramai generasi membaca dan cinta ilmu. Bak kata Pn Ainon Mohd, pengerusi PTS Media Group, ‘Buku adalah refleksi minda masyarakat masa hadapan’. Wallahu’alam.