Thursday, August 9, 2012

Pecutan 10 Malam terakhir.

Hari ini adalah hari ke 20 kita berpuasa Ramadhan. Maknanya mulai malam tadi, bermulalah fasa 10 malam terakhir Ramadhan. Fasa yang juga menandakan bermulanya pecutan terakhir mengaut segala ganjaran dan habuan yang dijanjikan Allah s.w.t. pada bulan ini yang masih berbaki.

Ia umpama kita di tempat kerja memberi  pecutan terpantas dan berkerja keras diluar kebiasaan bagi mengejar sasaran KPI demi meraih ganjaran daripada majikan.

Namun, ganjaran yang dijanjikan untuk 10 malam terakhir ini adalah lebih daripada apa yang mampu ditawarkan oleh mana-mana majikan di dunia. Iaitu ganjaran bonus sebanyak seribu bulan atau 83.3333333 tahun untuk sebarang amalan pada malam istimewa ‘lailatul qadar’. Malam yang menjadi rahsia Allah.

Apa yang istimewanya 10 malam terakhir ini?


Rasulullah s.a.w. yang maksum, tidak ada dosa, memberikan tumpuan lebih dalam sepuluh malam terakhir ini. Beliau turut mengajak para sahabat dan kaum keluarganya supaya bangun beribadah dimalam hari. Dalam satu hadith, disebutkan:

“Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya (bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah).” (Direkodkan oleh imam Bukhari)

Salah satu malam daripada 10 malam terakhir ini adalah malam istimewa yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Qadr ayat 1-5):

(1)Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. (2)Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (3)Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (4)Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (5)Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

Pada malam lailatul Qadr ini, rombongan malaikat yang paling rapat dan dekat dengan Allah yang diketuai oleh penghulu para malaikat iatu Jibril a.s. akan turun dan menziarahi manusia.

Siapa yang beribadah, bersolat (solat sunat, solat qada’), berzikir, berdoa, meminta ampun atau sebarang amalan mengingati Allah pada malam itu, akan digandakan amalannya ibarat beramal selama 1000 bulan.

Apa yang perlu dibuat pada malam-malam terakhir ini?

  1. Melipat gandakan apa jua amalan mengingati Allah yang kita tahu dan boleh lakukan. Seperti solat-solat sunat, membaca al-Quran.
  2. Banyakkan berzikir dan bersalawat sama ada secara khusus lepas solat atau ketika membuat apa jua perkerjaan, termasuk berzikir ketika menyediakan sahur, berzikir sebelum tidur hingga lena.
  3. Melipat gandakan solat-solat sunat. Sebaiknya selepas bangun untuk sahur (sebelum sahur)
  4. Beriktikaf (duduk) dimasjid dengan mengerjakan apa jua ibadah khusus seperti solat, membaca al-Quran.
  5. Memperbanyakkan berdoa. Mintalah apa sahaja kepada Allah dengan penuh ikhlas dan bersungguh.
  6. Mandi dan memakai wangi-wangian sebelum mengerjakan ibadah.
  7. Mengejutkan ahli keluarga agar turut bangun dan mengingati Allah.
  8. Beristighfar dan sentiasa meminta agar Allah mengampuni dosa-dosa kita. Rasulullah mengajar doa ini: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni”(maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Mengampun, maka ampunilah aku ini)
  9. Mengurangkan aktiviti duniawi yang menyibukkan hati kita daripada mengingati Allah. Kerana, pesan imam Ghazali, semakin dekat dan kuatnya ikatan hati kita kepada perkara/harta dunia, semakin jauh Allah dari kita.
  10. Solat Isyak dan Subuh berjemaah. Menurut Imam Syafie, : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadr, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu (mendapat ganjaran lailatul Qadr).”

Semoga sedikit catatan ini dapat mengingatkan saya dan tuan-tuan semua agar memuliakan bulan Allah ini dan merebut segala ganjara yang ada pada sisa-sisa bulan Ramadhan ini.

Kita tidak mampu hidup dengan penuh ketaatan kepada Allah selama 1000 bulan atau 83 tahun. Malah kita juga belum tentu mampu mengqada’ (mengulangi) ganjaran ibadah-ibadah yang kita dahulu pernah terlepas, cuai atau alpa.

Justeru, tawaran Allah ini sekurang-kurangnya dapat menampal cacat cela dan mendapat keampunan-Nya, malah memberi jaminan tempat kita disyurga nanti, dan melepaskan kita dari azab siksa kubur. Insya Allah.

Semoga kita semua beroleh ganjaran taqwa dan malam lailatul Qadar.

Wallahu’alam.

1 comment:

ninamaslizza said...

pesan imam Ghazali, semakin dekat dan kuatnya ikatan hati kita kepada perkara/harta dunia, semakin jauh Allah dari kita. - Nice post..