Saya didatangani teman yang menjual supliment keluaran syarikat MLM yang dianggotainya. Selepas beberapa sessi penerangan dan kempen (pujuk rayu), saya akhirnya mengalah dan membeli sebotol vitamin.
Selang beberapa lama, teman tadi menalifon: "Faris, vitamin awak ada lagi?"
Saya hanya menjawab ringkas:"Ada".
Katanya lagi: "Sekiranya sudah habis dan hendak membeli lagi, hubungi sahaja saya. Lagi pun saya ada beberapa produk baru yang cukup baik ini..."
"Ok. Nanti sekiranya perlu lagi saya akan hubungi." Saya menamatkan perbualan, sebelum dia berkempen panjang lebar.
Situasi di atas sudah lama berlaku. Dalam keadaan lain dengan teman yang lain, ia hampir berlaku lagi. Semacam deja vu. Cuma, kali yang lain, saya tidak berjaya dipujuk rayu.
Pengalaman tersebut dan beberapa puluh pengalaman yang lain menyebabkan saya menjadi takut, resah, 'sesak nafas' malah menjauhkan diri daripada jurujual MLM ini. Antara mereka adalah teman-teman sekuliah, sepejabat, kenalan, jiran tetangga, anak murid malah kaum kerabat.
Lagi tinggi jawatan atau kedudukan mereka dalam skim MLM tersebut, lagi rancak mereka berkempen. Pantang duduk bersembang, pasti mereka akan menyelit-nyelit ruang untuk berkempen. Akhirnya perbualan sosial menjadi sesi kempen mengempen.
Tidak dinafikan ada antara barangan yang mereka jual memang baik, namun ia bukanlah barangan yang diperlukan... (sekurang-kurangnya pada waktu itu). Kalaupun saya membelinya, ia bukan kerana saya benar-benar memerlukannya, tetapi ia lebih kepada kasihan kepada teman tersebut atau sekadar mahu supaya dia cepat pergi dan jangan menganggu saya lagi. Selepas itu, saya akan sedaya upaya mencari alasan untuk menjauhi mereka atau pun memastikan perbualan kami tidak berleretan supaya dia tidak boleh mencelah untuk berkempen.
Memang kebiasaannya, jurujual direct selling ini menjual barangan yang bukan keperluan kita. Saya tertarik dengan kata-kata seorang teman yang merupakan pakar perunding kewangan keluarga: "Apabila kita kehabisan gas memasak, kita akan terus ke kedai untuk membeli tong gas. Kerana, kita amat memerlukannya. Kita tidak membeli tong gas, apabila penjual tong gas datang ke rumah kita pada waktu kita tidak memerlukannya. Jadi, apabila jurujual datang menawarkan barangan kepada kita, biasanya ia bukanlah barangan keperluan yang kita benar-benar perlukannya".
Saya setuju. Saya juga amat setuju dengan kata-kata sifu PTS: "Mejual barangan (direct sellling) kepada rakan-rakan kita, sebenarnya menjarakkan kita dengan mereka.. ".. Bagi saya ia bukan sekadar menjarakkan, malah bisa memutuskan silaturrahim secara kita tidak sedari.