Monday, August 16, 2010

Tiket Ekspres


Bulan lepas, Ketika ke Bandung, Indonesia, bersama GM PTS, saya menaiki penerbangan Air Asia dengan tiket Expres Boarding Special. Tiket ini harganya lebih RM25.00 daripada tiket biasa.

Kelebihan tiket ini, saya dapat duduk di barisan hadapan yang memberikan sedikit ruang kaki yang selesa untuk penumpang berbadan besar seperti saya (walau pun tidak sampai sekaki luas daripada tempat duduk bisa)

Kelebihan yang ke dua juga amat berguna. Di saat penumpang semua berebut-rebut beratur di ruang berlepas, pemegang tiket ini akan dipanggil menaiki pesawat terlebih dahulu tanpa perlu beratur (ketika di Bandung, penumpang di panggil dengan nama mereka!).

Apabila nama saya dan En Fauzul dipanggil, saya melihat mata-mata penumpang lain seakan cemburu apabila melihat kami melangkah menaiki pesawat tanpa perlu beratur. Malah perjalanan kami keluar dari balai berlepas dan menaiki pesawat diiringi oleh pramugari.

Itu sahaja.

Memang menyeronokan mendapat layanan yang sedikit istimewa, namun juah di sudut hati saya berasa insaf.

Di dunia ini, saya dapat tempat istimewa seperti menaiki pesawat tanpa beratur, diiringi pramugari dan diberi keselesaan dengan hanya membayar sedikit wang tambahan. Namun adakah di akhirat nanti, saya boleh membeli keistimewaan sedemikian?

Alangkah nikmatnya, jika di Padan Mahsyar, dalam lautan manusia yang berasak berhimpun di bawah panas terik membara, nama saya dipanggil masuk terlebih dahulu melalui pintu-pintu VIP. Seperti mana pintu Al-Rayyan memanggil-manggil mereka yang berpuasa agar terlebih dahulu masuk melaluinya. Malah mereka disambut dan diiringi oleh bidadari syurga.

Lamunan saya tersentak apabila mengingatkan kata-kata Sayyid Maulana al-Maududi, “Sesungguhnya manusia ini menyangka mereka amat mudah untuk masuk ke syurga”...

Benarlah, sesungguhnya, apabila melihat kepada amalan yang dilakukan didunia ini seolah-olah diri ini berasakan mudahnya untuk masuk ke syurga. Amalan yang dilakukan tidak menggambarkan betapa bersungguhnya diri ini hendak menempah tiket ke syurga Allah. Tiket yang hanyak boleh dibayar dengan iman dan ihsan.

Masa didunia ini adalah masa membina iman untuk menempah tiket VIP di akhirat nanti.

Saya mahu jadi pemengang tiket istimewa, dengan layanan yang istimewa.

Sekiranya Air Asia sekarang sedang rancak menawarkan jualan istimewa tiket percutian, maka Air Akhirat juga pada bulan Ramadan yang mulia ini sedang mengadakan Jumbo Salesnya untuk penerbangan istimewa di sana nanti..

“Ya Allah, terimalah amalan ibadah ku sepanjang Ramadan ini dan kurniakanlah aku keberkatan malam seribu bulan... aminn”

Wallahu'alam.

Friday, August 13, 2010

Khutbah Nabi saw mengenai Ramadhan

Wahai manusia! Sungguh telah datang kepada kalian bulan ALLAH dengan membawa berkat, rahmat dan keampunan.

Inilah bulan yang paling afdhal di sisi ALLAH. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling afdhal. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling afdhal. Detik-detiknya adalah detik-detik yang paling afdhal.

Inilah bulan di mana kamu semua diundang menjadi tetamu ALLAH. Inilah bulan di mana kamu semua dimuliakan olehNYA. Di bulan ini nafas-nafasmu dihitung sebagai tasbih. Tidurmu dihitung sebagai ibadah. Amal-amalmu diterima. Doa-doamu dimakbulkan.

Bermohonlah kepada TUHANmu dengan niat tulus dan hati yang suci agar DIA membimbingmu ketika menjalani puasa dan membaca KitabNYA yang mulia.

Celakalah orang yang tidak mendapat keampunan ALLAH di bulan yang agung ini. Kenanglah kelaparan dan kehausan di hari kiamat ketika kamu rasa lapar dan dahaga ketika berpuasa di bulan ini. Bersedekahlah kepada faqir dan miskin. Muliakan orang yang lebih tua dari kamu. Sayangi yang lebih muda dari kamu. Sambungkanlah tali persaudaraan sesama ummah.

Jaga lidahmu. Tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal dipandang. Tahanlah telingamu dari apa yang tidak halal didengar.

Kasihilah anak-anak yatim, nescaya anak-anak yatimmu dikasihi manusia setelah kematianmu.
Bertaubatlah kepada ALLAH dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu-waktu solatmu. Itulah saat yang paling utama kerana ketika itulah ALLAH AZZA WA JALLA memandang hamba-hambaNYA dengan penuh kasih sayang. DIA mendengar kita ketika kita berbisik-bisik (munajat) kepadaNYA. DIA datang kepada kita ketika kita memanggilNYA. DIA mengabulkan doa-doa kita ketika kita berdoa kepadaNYA.

Wahai manusia! Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu. Bebaskan dirimu dengan banyak-banyak memohhon ampun (beristighfar) kepadaNYA. Bahumu berat menanggung beban dosa-dosamu. Dengan itu, ringankanlah bebanmu dengan bersujud lama-lama.

Ketahuilah! Sesungguhnya ALLAH SWT bersumpah dengan kemuliaanNYA bahawa DIA tidak akan menyiksa orang-orang yang mendirikan solat dan orang-orang yang bersujud. DIA juga bersumpah bahawa DIA tidak akan menghumban mereka ke dalam api neraka pada hari manusia dibangkitkan menuju TUHAN sekalian alam.

Wahai manusia! Barangsiapa di antara kamu memberi buka (ifthar) kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi ALLAH nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba. Dia juga diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu.

Sahabat-sahabat ra bertanya : “Ya RasulALLAH! Tidak semua kami mampu berbuat demikian”. RasulULLAH saw menjawab : “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun dengan setengah belahan buah kurma. Jagalah diri kamu dari api neraka walaupun dengan seteguk air. Sesungguhnya ALLAH SWT tetap memberi pahala kepada orang yang beramal walaupun sedikit amalnya, jika ia benar-benar tidak mampu melakukan lebih dari itu.”

Wahai manusia! Siapa yang memperindah akhlaknya di bulan ini, ia akan berjaya melintasi Sirat pada Hari Qiamat ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan beban pekerjaan pembantu dan pegawainya di bulan ini, ALLAH akan meringankan beban hisabNYA di Hari Qiamat.

Barang siapa menahan keburukannya di bulan ini, ALLAH akan menahan murkaNYA pada hari ia berjumpa denganNYA. Barangsiapa yang memuliakan anak yatim di bulan ini, ALLAH akan memuliakannya pada hari ia berjumpa denganNYA.

Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturrahim) di bulan ini ALLAH akan menghubungkan dia dengan kasih sayangNYA pada hari ia berjumpa denganNYA.

Barangsiapa yang memutuskan silaturrahim di bulan ini, ALLAH akan memutuskan ia dengan kasih sayangNYA pada hari ia berjumpa denganNYA.

Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini, ALLAH akan mencatat baginya kebebasan dari api neraka.

Barangsiapa melakukan solat fardhu, baginya ganjaran 70 kali solat fardhu di bulan yang lain.

Barangsiapa memperbanyak selawat kepadaku di bulan ini, ALLAH akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan.

Barangsiapa membaca satu ayat Al Quran di bulan ini, ganjarannya seperti mengkhatam al Quran pada bulan lainnya.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlah kepada TUHANmu agar pintu-pintu syurgaNYA tidak akan tertutup bagimu sampai bila-bila.

Sesungguhnya pintu-pintu neraka tertutup bagimu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlah kepada TUHANmu agar pintu-pintu lubang neraka akan terus tertutup bagimu sampai bila-bila.

Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlahlah kepada TUHANmu agar syaitan-syaitan tidak akan lagi menguasaimu sampai bila-bila.

Amirul mukminin ‘Ali bin Abi Thalib kw berkata : “Aku berdiri dan berkata : “Ya RasulALLAH! Apakah amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi saw : “Ya Abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan ALLAH SWT.”

Courtesy Encik Kamarudin Bin Mohamed (SRP1981)