Bermula malam ini hingga ke penghujung Ramadan adalah malam-malam yang paling istimewa. Bukan kerana kita semakin dekat dengan Hari Raya atau Ramadan semakin ke penghujung dan dapat bercuti panjang.
Istimewanya malam-malam ini adalah kerana Allah menjadikannya istimewa untuk hamba-Nya yang menghayati Ramadan dan benar-benar mengharapkan keberkatan dan keampunan-Nya.
Mafhum kalam Allah dalam Surah Al-Qadr:
(1)Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. (2)Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (3)Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (4)Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (5)Malamitu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Antara kelebihan malam 10 terakhir Ramadan yang menjadikan ia istimewa adalah;
1. Nabi Muhammad saw memperbanyakkan ibadah pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya. Saidatina Aisyah berkata maksudnya;
“Apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Rasulullah menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
2. Dalam malam-malam ini, ada satu malam yang paling istimewa yang lebih baik daripada seribu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti kalam Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1)
Ibn Abbas berkata :
“Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfuz (terletak di sisi Allah) ke Bait al-Izzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 25 tahun.”
Malam al-Qadr ini juga disifatkan sebagai malam yang penuh keberkatan. Allah menyatakan dalam Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)
Pada malam ini juga turunnya malaikat yang paling istimewa dari langit. Rombongan ini diketuai oleh malaikat Jibril alaihisalam, penghulu sekalian malaikat. Malaikat-malaikat ini turun bersama-sama barakah dan rahmah Allah yang hanya untuk malam ini.
Menurut Iman Qatadah yang dipetik oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, pada malam al-Qadr itu Allah menetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Pada malam ini juga Allah memberi ampun kapada hambanya yang benar-benar mengharapkan keampunan daripada-Nya.
Mafhum kalam Allah dalam Quran:
“Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4)
Bilakah malam al-Qadr ini?
Hanya Allah yang maha mengetahui bilakah malam yang penuh barakah ini. Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. ada memberi sedikit klu. Dalam satu hadis yang dilaporkan oleh Abdullah ibn Abbas dan direkodkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah menyebut yang bermaksud:
“Carilah malam al-Qadr ini pada sepulu terakhir di bulan Ramadan, pada sembilan hari yang berbaki, pada tujuh hari yang berbaki dan pada lima hari yang berbaki”
Menurut Ibn Kathir, para ulama menafsirkannya sebagai malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir.
Ada satu hadis yang agak panjang dan dilaporkan oleh Abu Said al-Khudri, beliau menyatakan ketika Rasulullah sedang beriktikaf bersama para sahabat pada sepuluh malam terakhir Ramadan di masjid, Rasulullah bangun mengatakan kepada para sahabat bahawa malam itu adalah malam al-Qadr. Kemudian hujan turun mencurah-curah sehingga membasahi mereka semua (pada masa itu bumbung masjid diperbuat daripada pelepah kurma). Lalu Rasulullah bersolat sehingga para sahabat dapat melihat bekas tanah dan air pada dahi Rasulullah.
(ketika saya menulis ini, hujan turun mencurah-curah. Semoga malam ini adalah malam al-Qadr).
Apa yang perlu dilakukan pada malam-malam yang istimewa ini?
Berusaha membanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadan ini seperti sembahyang terawih, membaca al-Quran, beriktikaf dan bersedekah.
Beriktikaf di masjid dan melakukan ibadah malam seperti Qiamulail, solat tahajjud, solat taubat, solat tasbih, solat witir dan banyakkan berzikir mengingati Allah.
Mengejutkan ahli keluarga agar turut menghidupkan 10 malam terakhir ini seperti yang dilakukan oleh Rasulullah.
Sentiasa memohan keampunan dari Allah dan pembebasan dari azab api neraka. Dalam satu hadis sahih yang dilaporkan Aisyah dan direkodkan oleh Imam al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ اْلعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni
(maksudnya) Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.
Apa yang saya nukilkan disini adalah sebahagian kecil daripada kehebatan dan amalan meraih ganjaran yang tidak ternilai hebatnya ini. Kita mungkin belum tentu dapat hidup dan beramal selama seribu bulan (83.3 tahun). Oleh itu, peluang bonus 1000x amalan ini tidak harus disia-siakan.
Semoga kita semua mencari malam malam al-Qadr ini dan beroleh nikmatnya. Wallahu'alam.
Gambar diambil dari pautan ini: