"Kalau satu hari nanti kita (PTS) bangun membesar, dibelakangnya ada sejarah insan-insan yang pernah bersama kita dalam jerit perih membina tapak untuk nama yang besar. Ita adalah sebahagian daripada sejarah insan yang amat berjasa itu. Patah tumbuh hilang berganti, namun yang tumbuh tidak akan sama dengan yang patah dan hilang."
Friday, March 27, 2009
Patah tumbuh hilang yang tidak berganti
Monday, March 23, 2009
Letak Jawatan
Beberapa hari yang lepas beliau meletak jawatan. Kemuncak kepada segala kontroversi yang menelaputi nama dan karier beliau sepanjang hampir setahun di tampuk kuasa.
Saya kenal beliau. Rakan-rakan sepermainan semua kenal beliau, sejak kami bersama dalam beberapa organisasi pelajar. Kami biasa kerja bersama. Dalam banyak program, dia menjadi AJK dibawah saya. Memang tidak gading yang tidak pernah retak. Ibarat melihat air dalam gelas, sama ada kita ingin melihatnya sebagai separuh penuh atau separuh kosong.
Dalam politik semuanya mungkin. Kalau kita di atas, kita juga bisa di bawah... Kalau kita dijunjung, belum tentu kita tidak akan disepak terajang.. Kalau kita dipuja, kita juga perlu bersedua dikritik atau cerca nista.
Yang jujur dan amanah belum tentu di atas, yang khianat belum tentu di bawah... Bukankah itu wajah politik hari ini?
Itulah cabaran dan onak duri berpolitik. Kata mantan Presiden UIA suatu masa dahulu: "Kalau takut untuk dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."
Apa pun, saya tetap hormat keputusan beliau.Biarlah orang komen dan kritik beliau. Walaupun belum disabitkan bersalah dengan apa jua tuduhan yang dilemparkan, meletakkan jawatan adalah tindakan yang dipuji dan berani.
Jauh lebih baik dari sesetengah pemimpin pada hari ini. Kendati pun sabit bersalah, masih tidak segan silu merayu simpati dan mendabik dada untuk terus bertahta. Mungkin kerana terlupa atau sengaja alpa, bahawa hidup kita bukan hanya di dunia ini sahaja.
"Katakanlah: Ya Allah pemilik kekuasaan alam buana. Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau suka. Engkau merampas kekuasaan itu dari siapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa yang Engkau mahu. Di tangan Mu (wahai Allah) segala kebaikan dan kekayaan.
Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja. Engkau mentabir siang dengan malam. Dan Engkau berkuasa mentadbir malamnya dengan siang. Engkau mentadbir suatu yang hidup dari suatu yang kaku/mati, sebagaimana Engkau melahirkan yang kaku/mati dari yang hidup. Engkau memberi rezeki tanpa berhitung kepada siapa sahaja yang Engkau mahu."
Wallahu'alam.
Monday, March 9, 2009
Janji seekor rusa
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w. Sedang berjalan bersendirian di padang pasir, dia mendengar suara memanggilnya: “Wahai Rasulullah, wahai Rasulullah!”.
Rasulullah memandang sekeliling, mencari-cari suara yang memanggilnya itu. Beliau tidak nampak sebarang kelibat manusia yang memanggilnya. Puas beliau melihat sekeliling. Kemudian beliau terdengar lagi suara itu memanggil: “Wahai Rasulullah, Rasulullah, saya di sini!...”
Rasulullah cuba melihat-lihat arah suara itu datang. Tidak jauh dari tempat beliau berdiri, rupa-rupanya ada seekor rusa betina terbaring sambil kakinya diikat kemas. Disisinya adalah seorang baduwi yang sedang tidur dengan pakaiannya menyelubungi dirinya.
Rasulullah menghampiri rusa itu. Sebaik tiba, rusa itu berkata: “Wahai Rasulullah. Baduwi ini telah menangkap saya. Saya ada dua ekor anak kecil di sebalik bukit itu. Bolehkah tuan buka tali ini supaya saya boleh balik dan menyusu mereka. Saya berjanji akan kembali semula kepada baduwi ini, sebaik menyusukan anak saya.”
Rasulullah bertanya kepada rusa itu: “Adakah kamu benar-benar akan pulang semula ke mari?
Rusa itu menjawab: “Allah akan menyeksa saya dengan seksaan yang berat jika saya munkir janji.”
Mendengar janji rusa itu, Rasulullah pun segera membuka ikatan rusa itu. Sebaik ikatannya dibuka rusa itu terus berlari ke arah bukit. Dia pergi mendapatkan anaknya yang sedang berlindung di sebalik bukit itu. Anak-anak rusa itu masih kecil dan masih menyusu. Mereka kelihatan gembira apabila ibunya pulang. Anak-anak rusa itu berebut-rebut mendapatkan ibunya untuk menyusu. Mereka sedang dalam kelaparan.
Selepas beberapa ketika anak-anak rusa itu menyusu, mereka tertidur kekenyangan. Ibu rusa itu kemudia bangun untuk menunaikan janjinya kepada Rasulullah. Dengan perlahan suapaya tidak mengejutkan anak-anaknya, ibu Rusa itu mencium mereka dan segera kembali ke tempat dimana Rasulullah sedang menunggu tadi.
Sebaik disisi Rasulullah, dia membanringka dirinya untuk diikat kembali seperti tadi. Rusa itu diam tidak berkata apa-apa. Ketika Rasulullah sedang mengikat kaki rusa itu, Baduwi yang sedang tidur itu terjaga. Dia terperanjat melihat Rasulullah sedang mengikat rusanya. Dengan penuh hormat, dia berkata kepada Rasulullah:
"Wahai Rasulullah, saya lebih dahulu menangkap rusa ini. Adakah tuan perlukan dia?”
Rasulullah menjawab ringkas: “Ya”.
Baduwi berkata kepada Rasulullah: “Baiklah, tuan lebih berhak. Rusa ini kini milik tuan.” Baduwi itu seorang yang baik. Dia tidak banyak bersoal jawab atau membantah kata-kata Rasulullah.
Sebaik mendengar kata-kata baduwi itu, Rasulullah terus membuka ikatan ibu rusa itu. Dia kemudian melepaskan ibu rusa dan membiarkan ia pergi. Ibu rusa yang sudah bebas itu berlari ke arah bukit sambil melompat-lompat kegembiraan. Sebelah kakinya memukul-mukul kaki yang lain sebagai tanda gembira sambil berteriak: “Saya mengaku tiada tuhan kecuali Allah dan tuan adalah utusan Allah...”