Sunday, November 29, 2009

Melontar

Hari ini adalah hari ke 13 Zulhijjah. Bagi jemaah Haji yang berada di Mina, hari ini adalah hari terakhir untuk melontar bagi mereka yang membuat Nafar Thani. Bilangan jemaah haji juga sudah berkurangan sedikit pada hari ini. Kerana, mereka yang membuat Nafar Awal, telah pulang ke Mekah pada hari ke 12. Jadi proses melontar ketiga-tiga Jamrah agak lengang sedikit berbanding hari sebelumnya.

(Pengalaman saya apabila jemaah hendak melontar Jamrah naik ke tingkat tiga kompleks Jamarat, memang tidak sesak dari hari awal. Luas dan selesa. Cuma hari ke 13 lebih luas dan selesa).

Waktu yang afdal melontar adalah selepas waktu zuhur. Jemaah Haji Malaysia menggunakan fatwa yang mengharuskan melontar selepas Subuh. Ini supaya Jemaah Haji Malaysia boleh terus bersiap untuk pulang ke Mekah pada tengahari.

Walau bagaimana pun ada juga Jemaah Haji Malaysia yang membuat Nafar Thani ini melontar bukan pada waktu yang ditetapkan oleh syarak.

Kes ini berlaku di hadapan mata saya. Satu pagi sementara menunggu masuk waktu subuh, sedang saya dan rakan-rakan berbual-buat sambil minum teh panas di hadapan khemah penginapan, seorang jemaah haji yang baru pulang dari melontar menyapa kami. Ketika itu sekitar 4 pagi waktu Mekah.

Pakcik yang duduk sebelah saya bertanya kepada lelaki itu: "Tuan baru balik melontar ke?"

"Ya"

"Tuan melontar untuk hari ke 12 ke?"

"Tidak, saya melontar untuk hari ini. Hari ke 13"

Pakcik sebelah saya agak pelik, dan bertanya lagi: "Eh, bukankah sekarang ini belum masuk waktu Subuh. Belum masuk lagi waktu untuk melontar pada hari ini?"

Dengan suara yang agak sedikit keras, lelaki itu menjawab: "Pakcik, bukankah masuk hari ke 13 ini bermula selepas Maghrib? Macam kita berpuasa. 1 Ramadan bermula pada malam selepas waktu Marghrib. Kita sudah boleh solat Tarawikh, walaupun kita belum berpuasa. Macam itu juga kita melontar. Agama ini macam undang-undang. Lain hakim yang membaca, lain tafsirannya. Saya juga rujuk ustaz."

Selepas menghabiskan kata-katanya, lelaki itu beredar. Saya hanya mendiamkan diri. Pakcik di sebelah saya juga hanya mengeleng-gelengkan kepala sambil menghirup teh panasnya.

Kepala saya ligat memikirkan kata-kata lelaki tersebut. Saya tertanya-tanya dalam hati. Ustaz manalah lelaki itu rujuk. Kenapa tidak rujuk dengan pakar rujuk tabung haji yang ada dalam setiap kawasan penginapan jemaah haji. Memang melontar pada waktu sebelum subuh mudah dan tidak sesak. Namun, ianya tidak sah. Kerana masuk waktu melontar adalah pada selepas waktu subuh. Ini fatwa semasa yang digunakan oleh Tabung Haji dan beberapa negera. Namun sesetengah ulama masih mengekalkan waktu melontar adalah selepas waktu zuhur.

Seingat saya, dalam beberapa kitab fikah yang saya rujuk, tidak terjumpa pula fatwa yang seperti lelaki itu katakan. Mungkin ilmu saya masih cetek. Saya bertanya kepada seorang ustaz veteran yang turut sama dalam jemaah kami. Beliau juga merupakan pakar rujuk SPBYD Agung sekarang. Kata beliau, waktu sah melontar bermula pada waktu subuh. Bukan selepas Maghrib seperti kata lelaki itu. Waktu sah tidak sama seperti waktu masuk tarikh.

Saya khuatir, lelaki tadi bertanya kepada 'ustaz-ustaz instant' tidak bertauliah yang banyak wujud dalam kelompok jemaah haji yang tumbuh bagaikan cendawan... wallahu'alam

Saturday, November 28, 2009

Daging Korban

Ustaz: "Korban adalah ibadah kita kepada Allah. Seluruh proses korban adalah ibadah. Bermula dari menyembelih hinggalah kepada mengagih-agihkan daging korban. Kerana itu juga, daging korban tidak boleh diagihkan kepada bukan Islam."

Murid: "Ustaz, kalau korban adalah ibadah dan kita tidak boleh mengagihkan kepada bukan Islam, kenapa kita beli lembu daripada bukan Islam? Di kampung saya yang menjual lembu kepada surau semuanya adalah penjual bukan Islam."

Ustaz: "Tidak salah kita beli lembu daripada orang bukan Islam kerana ibadah korban hanya bermula ketika lembu itu disembelih."

Wallahu'alam.

----

Petikan daripada bicara Ustaz di Radio ketika dalam perjalanan pulang ke kampung isteri di Selama, Perak.

Selamat Hari Raya Korban...

Tuesday, November 17, 2009

Azan

Di saat kemeriahan jemaah haji berrtolak dan tiba di tanah suci Mekah, saya memendam rasa rindu untuk ke Mekah lagi. Takala melihat senyum kegembiraan para jemaah dalam berita, kerinduan saya terbawa-bawa dalam tidur.

Saya bermimpi berjalan di lorong-lorong depan hotel Qurtubah Barakah, di lorong Khalid ibn Walid di Shubaikah. Melewati deretan gerai dan kedai yang menjual pelbagai barangan keperluan harian, baju dan sebagainya. Biasanya selepas solat Dhuha di masjidil haram, saya dan isteri akan pulang ke hotel. Mencari sarapan. Atau kadang-kadang berjalan-jalan untuk melihat pelbagai barangan yang dijual sama ada buku, kurma, baju dan sebagainya.

Kali ini saya berjalan menuju hotel Sevilla yang terletak kira-kira 200 meter dari hotel Qurtubah Barakah. Saya terlintas untuk menziarahi seorang sahabat, ustaz Zamri Zainal Abidin, IKIM. Sebaik sampai di hotel, azan mulai berkumandang. Azan zuhur mungkin. Saya berpaling untuk berpatah balik, menuju ke masjid. Dalam pada itu suara azan semakin nyaring dan jelas.

Selang beberapa langkah... tiba-tiba, suasana sekitar menjadi gelap. Saya cuba membuka mata, suara azan masih lagi seperti tadi, suasana sekitar masih lagi gelap. Berbeda dengan tadi, kali ini saya sedang berbaring. Bukan di atas jalan, tetapi di atas katil. Suara azan mengejutkan saya daripada terus bermimpi.

Azan subuh dari surau Taman Permata yang memecah kedinginan subuh. Suara pak bilal Taman Permata yang walaupun tidak semerdu dan sefasih muazzin Masjid al Haram, masih setia dan berjasa mengejutkan jemaah daripada asyik dibuai mimpi dalam dalam kehangatan selimut. Dugaan yang hebat.

Saya teringat kata-kata Prof Kamil (Travelog Haji), adakah kita sekadar rindu kepada Kaabah atau rindu hendak beribadah kepada yang empunya Kaabah? Sekiranya rindu kepadaNya saya perlu teruskan apa yang dibuat ketika di tanah suci dahulu...

Kalau dulu saya boleh berulang alik ke Masjidil Haram yang sejauh 500 meter dari hotel, saya pastinya tidak menjadi masalah untuk ke surau yang hanya 100 meter... lebih-lebih lagi dalam kedinginan pagi dek hujan di malam hari. Wallahu'alam.


--------
Hotel Qurthubah Barakah, terletak kira-kira 500 meter daripada Masjid al-Haram adalah hotel yang terdekat yang didiami oleh jemaah haji Malaysia (muasasah). Hotel tersebut hanya tinggal nama sahaja kerana ia telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran dataran Masjid al Haram.

Hotel Sevilla, terletak kira-kira 750 meter daripada masjidil haram. Satu-satunya hotel yang terdekat untuk jemaah Malaysia tahun ini.