Friday, January 29, 2010

Kenapa perlu solat?

Kenapa perlu solat?

Seorang rakan yang memandang ringan perintah solat, bertanya soalan seperti itu. Saya hanya memberi jawapan mudah, untuk beliau fikirkan, tanpa dalil qati'e.
"Saya ambil contoh. Katakan saudara bekerja di syarikat saya, PTS. Saudara tidak dipaksa untuk bekerja di sini. Namun, apabila saudara memohon, dan diambil bekerja di PTS sebagai editor, saudara perlu bekerja berdasarkan arahan dan polisi syarikat.

Polisi utama di PTS adalah menerbitkan bahan yang berlandaskan hukum syarak (shariah compliant) dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saudara dibayar gaji, benifit dan tempat bekerja yang lengkap dan selesa.

Jadi, bolehkah saudara mengikari arahan dan polisi tersebut? Katakanlah saudara berkeras mahu menerbitkan cerita yang tidak sharie, seperti adegan berpegangan tangan atau bercumbuan antara kekasih atau menggunakan bahasa pasar dan rojak.

Alasannya, ini adalah realiti kehidupan di luar. Atau bolehkah pada masa yang sama di pejabat, saudara juga membuat kerja sampingan untuk syarikat lain tanpa izin majikan?

Saudara mengingkari arahan majikan. Walaupun saudara bekerja keras, tetapi ia tidak mengikut polisi dan peraturan syarikat. Maka layakkah saudara bekerja di syarikat ini?

Sekiranya saudara bekeras 'mengikut kepala' saudara, saudara perlu memohon berhenti kerja. Saudara tidak layak menggelar diri saudara sebagai staf syarikat dan menerima segala benefit syarikat. Saudara juga boleh memilih untuk dibuang kerja kerana melanggar polisi dan peraturan syarikat.

Berbalik kepada isu solat. Solat adalah perintah Allah kepada manusia. Perintah yang pertama perlu dilaksanakan sebaik sahaja 'ditauliahkan' sebagai seorang Muslim atau sebaik sahaja cukup syarat wajib solat.

Sekiranya saudara hendak mengingkari arahan dan perintah Allah itu, saudara juga perlu meletakkan jawatan.

BUKAN meletak jawatan sebagai seorang Islam, tetapi meletakkan jawatan sebagai seorang manusia. Kerana, apabila saudara mengingkari perintah majikan yang paling utama di dunia ini, saudara tidak layak sama sekali untuk menggunakan atau mendapat segala faedah yang ada di dunia ini.

Saudara tidak layak bernafas menggunakan udara ciptaan Allah. Saudara tidak layak berjalan, makan atau minum daripada segala yang ada atas muka buku ini dan macam-macam lagi.

Malah, saudara juga tidak layak memakai pakaian saudara itu. Pakaian yang padanya ada beribu salur darah, daging, tulang, urat saraf dan sebagainya yang dicipta oleh Allah. Degupan jantung saudara juga adalah benifit daripada majikan yang paling utama itu!

Sekiranya saudara mampu berbuat demikian, maka saudara layak mempertikaikan perintah Allah itu... namun, mampukah saudara?"
Hidup ini bukan hanya di dunia. Hidup ini adalah perjalanan menuju dunia yang kekal abadi, iaitu akhirat. Masa di dunia ini adalah tempoh 'percubaan' menuju ke alam yang kekal, sama ada kekal dalam rahmat Allah atau sebaliknya. Manakala solat adalah KPI (Key Performance Index) paling utama yang dinilai sepanjang tempoh percubaan ini.

Peringatan Allah dalam Quran :
“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.” (Al-Mukminun ayat 1-2 dan 9)
Juga pesan Rasulullah:
"Amalan yang pertama kali dihisab dari seorang hamba ialah solatnya. Apabila solatnya baik, maka baik pula seluruh amalannya. Sebaliknyua, sekiranya solatnya pincang, maka pincang pula seluruh amalannya." (Hadis direkodkan oleh al-Tabarani)

"Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama."(direkodkan oleh Imam al-Baihaqi)

Wallahu'alam.


nota: illustrasi dipetik di sini dan sini dan sini

No comments: