Friday, March 11, 2011

Ingat Mati

Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa.

Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda:"Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru.

Katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat".

Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu';

Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu).

Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu".

Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi.

Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi:"Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)".

Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".

Disalin terus daripada: http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=129


Wednesday, March 9, 2011

Dosa Kecil

Dalam satu hadis, Rasulullah pernah mengingatkan agar kita berwaspada dengan dosa-dosa kecil yang diaggap remeh. Kerana apabila ia sering dilakukan ia akan membinasakan.

Mungkin dosa-dosa kecil itu akan diampunkan Allah apabila kita bertaubat, beristighfar, mengambil wuduk mahupun menunaikan solat. Walaupun begitu kita perlu tetap berhati-hati, kerana dosa tetap dosa.

Apakah dosa-dosa kecil itu?

Menurut seorang sahabat nabi dan pakar tafsir al-Quran, iaitu Ibnu Abbas; semua dosa adalah besar dan tidak ada dosa kecil. Beliau berkata "Semua yang ditegah Allah adalah (dosa) besar" (direkodkan oleh al-Tabrani).

Manakala, menurut kebanyakan ulama', dosa kecil adalah dosa yang Allah tidak berikan amaran atau tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul.

Contoh amaran:

Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah berkata: "Jauhilah oleh kalian tujuh kedurhakaan". Mereka bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Syirik kepada Allah, sihir,membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan (alasan) yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri saat pertempuran, menuduh wanita-wanita suci yang lalai dan beriman." (direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Walaupun dosa yang dilakukan kecil, ia tetap boleh membinasakan. Terutama apabila ia menjadi satu kelaziman. Kata Imam Ghazali, dosa kecil boleh menjadi dosa besar apabila:

1. Berterus-terusan melakukannya
2. Memandang remeh terhadap dosa itu
3. Gembira dan bangga dan seronok apabila melakukannya
4. Menganggap remeh apabila Allah menangguhkan pembalasan
5. Tidak berasa malu apabila melakukannya
6. Orang yang melakukan dosa itu adalah orang alim

Rasulullah pernah membuat perumpamaan dosa-dosa kecil itu seperti seorang musafir di gurun yang mengumpul ranting-ranting kecil. Apabila ranting-ranting tersebut telah terkumpul banyak, dia menyalakan api dan menjadi kayu bakar untuk memasak.

wallahu'alam.