Wednesday, March 9, 2011

Dosa Kecil

Dalam satu hadis, Rasulullah pernah mengingatkan agar kita berwaspada dengan dosa-dosa kecil yang diaggap remeh. Kerana apabila ia sering dilakukan ia akan membinasakan.

Mungkin dosa-dosa kecil itu akan diampunkan Allah apabila kita bertaubat, beristighfar, mengambil wuduk mahupun menunaikan solat. Walaupun begitu kita perlu tetap berhati-hati, kerana dosa tetap dosa.

Apakah dosa-dosa kecil itu?

Menurut seorang sahabat nabi dan pakar tafsir al-Quran, iaitu Ibnu Abbas; semua dosa adalah besar dan tidak ada dosa kecil. Beliau berkata "Semua yang ditegah Allah adalah (dosa) besar" (direkodkan oleh al-Tabrani).

Manakala, menurut kebanyakan ulama', dosa kecil adalah dosa yang Allah tidak berikan amaran atau tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul.

Contoh amaran:

Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah berkata: "Jauhilah oleh kalian tujuh kedurhakaan". Mereka bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Syirik kepada Allah, sihir,membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan (alasan) yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri saat pertempuran, menuduh wanita-wanita suci yang lalai dan beriman." (direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Walaupun dosa yang dilakukan kecil, ia tetap boleh membinasakan. Terutama apabila ia menjadi satu kelaziman. Kata Imam Ghazali, dosa kecil boleh menjadi dosa besar apabila:

1. Berterus-terusan melakukannya
2. Memandang remeh terhadap dosa itu
3. Gembira dan bangga dan seronok apabila melakukannya
4. Menganggap remeh apabila Allah menangguhkan pembalasan
5. Tidak berasa malu apabila melakukannya
6. Orang yang melakukan dosa itu adalah orang alim

Rasulullah pernah membuat perumpamaan dosa-dosa kecil itu seperti seorang musafir di gurun yang mengumpul ranting-ranting kecil. Apabila ranting-ranting tersebut telah terkumpul banyak, dia menyalakan api dan menjadi kayu bakar untuk memasak.

wallahu'alam.


No comments: