Friday, March 27, 2009

Patah tumbuh hilang yang tidak berganti

Hari ini hari terakhir untuk Puan Rozita bertugas di PTS.  

Beliau adalah editor pengurusan untuk PTS Professional Sdn Bhd, editor paling senior selepas Puan Nurul. Beliau bersama dengan tim PTS sejak era PTS bertatih-tatih dan kerdil di pejabat Bukit Tinggi. Sebagai anak didik Chairman PTS, Puan Ainon, yang terakhir selepas Pn Nurul, beliau cukup banyak menabur jasa dan menjadi rujukan oleh ramai editor yang lebih junior.

Ita sebenarnya baru mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2008 di kampungnya di Baling, Kedah. Selepas beberapa bulan tinggal berjauhan dengan suami yang bertugas di Kedah, Ita mengambil keputusan menetap bersama suaminya. Beliau kini bertugas sebagai pegawai penyelidikan di USM.

PTS amat terhutang budi kepada Ita. Dalam ucapan wakil unit pada majlis perpisahan Ita petang tadi, saya memberitahu: 
"Kalau satu hari nanti kita (PTS) bangun membesar, dibelakangnya ada sejarah insan-insan yang pernah bersama kita dalam jerit perih membina tapak untuk nama yang besar. Ita adalah sebahagian daripada sejarah insan yang amat berjasa itu. Patah tumbuh hilang berganti, namun yang tumbuh tidak akan sama dengan yang patah dan hilang."
(Ita berdiri di barisan hadapan nombor 5 dari kiri)

Terima kasih Ita. Maaf zahir batin. Saya bangga untuk turut serta dalam sejarah bekerja bersama ahli pasukan yang berdedikasi seperti saudari. Semoga terus berjaya dalam apa jua lapangan dan kerjaya. Semoga berbahagia dan murah rezeki selamanya.

Wallahu'alam.

Monday, March 23, 2009

Letak Jawatan

Setahun yang lepas saya pernah menyiarkan rasa bangga apabila rakan sepermainan dilantik sebagai TKM yang termuda nun di utara sana.

Beberapa hari yang lepas beliau meletak jawatan. Kemuncak kepada segala kontroversi yang menelaputi nama dan karier beliau sepanjang hampir setahun di tampuk kuasa.

Saya kenal beliau. Rakan-rakan sepermainan semua kenal beliau, sejak kami bersama dalam beberapa organisasi pelajar. Kami biasa kerja bersama. Dalam banyak program, dia menjadi AJK dibawah saya. Memang tidak gading yang tidak pernah retak. Ibarat melihat air dalam gelas, sama ada kita ingin melihatnya sebagai separuh penuh atau separuh kosong.

Dalam politik semuanya mungkin. Kalau kita di atas, kita juga bisa di bawah... Kalau kita dijunjung, belum tentu kita tidak akan disepak terajang.. Kalau kita dipuja, kita juga perlu bersedua dikritik atau cerca nista.

Yang jujur dan amanah belum tentu di atas, yang khianat belum tentu di bawah... Bukankah itu wajah politik hari ini?

Itulah cabaran dan onak duri berpolitik. Kata mantan Presiden UIA suatu masa dahulu: "Kalau takut untuk dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

Apa pun, saya tetap hormat keputusan beliau.Biarlah orang komen dan kritik beliau. Walaupun belum disabitkan bersalah dengan apa jua tuduhan yang dilemparkan, meletakkan jawatan adalah tindakan yang dipuji dan berani.

Jauh lebih baik dari sesetengah pemimpin pada hari ini. Kendati pun sabit bersalah, masih tidak segan silu merayu simpati dan mendabik dada untuk terus bertahta. Mungkin kerana terlupa atau sengaja alpa, bahawa hidup kita bukan hanya di dunia ini sahaja.

"Katakanlah: Ya Allah pemilik kekuasaan alam buana. Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau suka. Engkau merampas kekuasaan itu dari siapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa yang Engkau mahu. Di tangan Mu (wahai Allah) segala kebaikan dan kekayaan.

Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja. Engkau mentabir siang dengan malam. Dan Engkau berkuasa mentadbir malamnya dengan siang. Engkau mentadbir suatu yang hidup dari suatu yang kaku/mati, sebagaimana Engkau melahirkan yang kaku/mati dari yang hidup. Engkau memberi rezeki tanpa berhitung kepada siapa sahaja yang Engkau mahu."


Wallahu'alam.


Monday, March 9, 2009

Janji seekor rusa

Cerita ini saya olah dari sebuah hadis. Saya cuba untuk menjadikan ia cerita, untuk saya perdengarkan kepada permata hati saya...

Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w. Sedang berjalan bersendirian di padang pasir, dia mendengar suara memanggilnya: “Wahai Rasulullah, wahai Rasulullah!”.

Rasulullah memandang sekeliling, mencari-cari suara yang memanggilnya itu. Beliau tidak nampak sebarang kelibat manusia yang memanggilnya. Puas beliau melihat sekeliling. Kemudian beliau terdengar lagi suara itu memanggil: “Wahai Rasulullah, Rasulullah, saya di sini!...”

Rasulullah cuba melihat-lihat arah suara itu datang. Tidak jauh dari tempat beliau berdiri, rupa-rupanya ada seekor rusa betina terbaring sambil kakinya diikat kemas. Disisinya adalah seorang baduwi yang sedang tidur dengan pakaiannya menyelubungi dirinya.

Rasulullah menghampiri rusa itu. Sebaik tiba, rusa itu berkata: “Wahai Rasulullah. Baduwi ini telah menangkap saya. Saya ada dua ekor anak kecil di sebalik bukit itu. Bolehkah tuan buka tali ini supaya saya boleh balik dan menyusu mereka. Saya berjanji akan kembali semula kepada baduwi ini, sebaik menyusukan anak saya.”

Rasulullah bertanya kepada rusa itu: “Adakah kamu benar-benar akan pulang semula ke mari?

Rusa itu menjawab: “Allah akan menyeksa saya dengan seksaan yang berat jika saya munkir janji.”

Mendengar janji rusa itu, Rasulullah pun segera membuka ikatan rusa itu. Sebaik ikatannya dibuka rusa itu terus berlari ke arah bukit. Dia pergi mendapatkan anaknya yang sedang berlindung di sebalik bukit itu. Anak-anak rusa itu masih kecil dan masih menyusu. Mereka kelihatan gembira apabila ibunya pulang. Anak-anak rusa itu berebut-rebut mendapatkan ibunya untuk menyusu. Mereka sedang dalam kelaparan.

Selepas beberapa ketika anak-anak rusa itu menyusu, mereka tertidur kekenyangan. Ibu rusa itu kemudia bangun untuk menunaikan janjinya kepada Rasulullah. Dengan perlahan suapaya tidak mengejutkan anak-anaknya, ibu Rusa itu mencium mereka dan segera kembali ke tempat dimana Rasulullah sedang menunggu tadi.

Sebaik disisi Rasulullah, dia membanringka dirinya untuk diikat kembali seperti tadi. Rusa itu diam tidak berkata apa-apa. Ketika Rasulullah sedang mengikat kaki rusa itu, Baduwi yang sedang tidur itu terjaga. Dia terperanjat melihat Rasulullah sedang mengikat rusanya. Dengan penuh hormat, dia berkata kepada Rasulullah: 

"Wahai Rasulullah, saya lebih dahulu menangkap rusa ini. Adakah tuan perlukan dia?”

Rasulullah menjawab ringkas: “Ya”.

Baduwi berkata kepada Rasulullah: “Baiklah, tuan lebih berhak. Rusa ini kini milik tuan.” Baduwi itu seorang yang baik. Dia tidak banyak bersoal jawab atau membantah kata-kata Rasulullah.

Sebaik mendengar kata-kata baduwi itu, Rasulullah terus membuka ikatan ibu rusa itu. Dia kemudian melepaskan ibu rusa dan membiarkan ia pergi. Ibu rusa yang sudah bebas itu berlari ke arah bukit sambil melompat-lompat kegembiraan. Sebelah kakinya memukul-mukul kaki yang lain sebagai tanda gembira sambil berteriak: “Saya mengaku tiada tuhan kecuali Allah dan tuan adalah utusan Allah...”

Saturday, March 7, 2009

Pedih mata

Saya mengishtiharkan "Hari ini adalah hari pedih mata sedunia...!"

Sekurang-kurangnya untuk saya...

1. Malam tadi saya makan sesuatu yang membuatkan mata saya gatal. Tidak pasti apa dia, tetapi sepanjang pagi ini asyik menggenyeh mata... lagi digenyeh, lagi gatal... lagi syok!

2. Cermin mata baru saya ada masalah. Perlu dipulangkan semula kepada optometris. Jadi pagi ini saya memandu ke Subang Jaya (untuk menghadiri bengkel) dengan kaca mata yang lama. Mata saya jadi berair dan pedih sepanjang perjalanan.

3. Selepas bengkel di Subang saya terus ke KL untuk menyertai para pejuang bahasa berarak ke Istana Negara. Walaupun lewat sedikit, saya berjaya menyertai kelompok orang ramai yang sedang berarak. Tidak lama selepas itu, saya terperangkap gumpalan asap gas pemedih mata yang ditembak oleh encik-encik FRU. Yang ini adalah kemuncak kepada pedihnya mata saya hari ini. Klimaks! Pedih seperti disebur serbuk cili kering dan tekak terasa perit. Pedihnya sampai menusuk hati. Kali terakhir merasa aroma ini dan berkonfratasi dengan si topi merah itu adalah ketika peristiwa reformasi 1998. Jadi ini adalah salam jejak kasih dari mereka. Kata Pak Samad yang turut terhidu gas putih ini benar-benar menyentuh hati saya: "Begini rupanya susah mempertahankan bahasa."... saya bangga berada dalam kelompok pejuang bahasa (walau hanya ibarat melukut di tepi gantang).


4. Penutup kepada sesi pedih mata hari ini ialah, menahan ngantuk untuk sepanjang memandu ke kampung isteri di Selama. Kopi Anggerik pra campur dengan Tongkat Ali yang disediakan oleh Hidayah memang membantu menghilangkan pedih mata yang satu ini, sehingga sukar pula hendak tidur apabila tiba di kampung.

Apa pun... saya bersyukur kerana masih ada mata yang boleh melihat nikmat Allah... Alhamdulillah.

----
nota: gambar dipetik daripada Harakahdaily.net.

Sunday, March 1, 2009

Selamat Hari Jadi


Selamat ulang tahun kelahiran yang ke 31 buat isteri tersayang, Ruhana Hidayah bt Abdul Halim.

Semoga panjang umur dalam kemanisan iman, berkat, nikmat, rahmat dan inayah Allah. 

Semoga kehidupan ini sentiasa dilimpahi dengan nikmat kebahagiaan, ketenangan, kesyukuran, kasih sayang dan tawaddu'. Wallahu'alam..

Thursday, February 26, 2009

Bertemu Kawan Lama

Majlis malam tadi berjalan dengan lancar dalam suasana yang ringkas dan tidak terlalu berprotokol.

Tetamu VVIP yang hadir adalah antaranya, YB Dato Saifudin Abdullah, Timb Menteri Keusahwanan (saya tidak pasti grad tahun bila)... Prof Tan Sri Hassan (mantan Rektor UIA) Datuk Hamidon (Timb Rektor UIA)... (bila mereka ini mendapat title hebat?.. saya ketinggalan zaman), En Khir Ngadiron (CEO ITNM), YB Yusmadi (Parlimen Balik Pulau), etc... termasuk beberapa orang Dato. Tidak terkecuali juga setiausaha politik, pegawai khas menteri, istana,
deretan PTDs, Lawyers, Auditors, AGC, Bussnissmen, Vice President al Rajhi Islamic Bank, Bank Managers, Senior Officers Govt, dan segalanya...
Hebat-hebat juga mereka yang hadir malam tadi. Bangga juga melihat kawan-kawan sepermainan dulu sudah jadi orang hebat.

Hidangan makanan pun tidak kurang hebatnya (nasi beriani berlaukkan sup udang, rusuk kambing bakar, gulai ayam, udang goreng margerin, sayur cina masak... entah apa tah).

Majlis juga bertambah asyik dan santai dengan dendangan lagu-lagu etnik dan tradisional Melayu menggunakan gabungan instrumen klasik serta kontemporari oleh grup Dewangga Sakti pimpinan Zoy.

Tan Sri Prof Kamal turut menambah barakah majlis malam itu dengan santapan minda yang membincangkan tentang kesatuan Ummah mengatasi kesatuan bangsa dan parti. Lama tidak mendengar kuliah prof Kamal yang cukup menarik dan menginsafkan.

Batch kami, '99, tidak ramai. Kecohnya mereka ini dalam Facebook ini seolah-olah satu gerombolan besar akan hadir lagaknya. Pun begitu, tetap seronok bersua muka selepas sepuluh tahun meninggalkan kampus PJ yang penuh nostalgia dan tinggal sejarah.

Kepada antara teman-teman yang hadir, semoga majlis malam tadi semakin mengeratkan ukhuwwah kita. Wallahu'alam

nota: gambar ehsan Sdr Firdaus Ariff

Wednesday, February 25, 2009

Alumni UIAM

Malam ini saya akan hadir ke program alumni UIAM. Pertama kali saya terlibat dengan aktiviti alumni sejak bergraduat tahun 1999.

Kenapa tiba-tiba saya hadir?... entahlah.

Mungkin kerana teringin berjumpa teman-teman lama yang sejak enam bulan lepas kami hanya berhubung rancak melalui FB.

Kedua, mungkin kerana kali ini saya memang dijemput oleh AJK terlibat, MOhd Khairudin a.k.a Kudin (walaupun kad jemputan masih belum terima).

Ketiga, mungkin... dan pastinya... majlis malam ini free!

Insya'Allah sekitar jam 8.00 malam nanti saya akan mencegatkan diri saya di lobi Hotel Nikko, Ampang. Harap-harap saya tidak seperti rusa masuk kampung!

Tuesday, February 24, 2009

Kembali

Saya kembali ke Taman Permata ini. Tidak pasti sama ada untuk menebas lalang, semak samun dan sesawang yang menjadi penghias... atau sekadar menjenguk sepi.

Permulaan tahun 2009 hingga hari ini, saya semacam memaksa diri untuk ke sini, walau hanya untuk menjengah.

Saya tidak kekeringan bicara atau fikiran. Saya malah sering melakar dan menyusun kata-kata untuk Taman Permata ini, tetapi hanya dalam mainan ilusi minda. 

Adakah saya sibuk?... 

Tidak. 

Orang sibuk ada masa. Bahkan hanya orang sibuk yang ada masa. Orang yang banyak masa sebenarnya tidak ada masa kerana masanya mengalir deras terbuang lalu. 

Mungkin saya sedang diselubungi bakteria malas dalam kepala ini. Kalau itu, maka hanya saya yang ada vaksinnya, seperti peringatan Allah ini: 

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya” (Ar-Ra’d: 11)


Sejak kembali ke bumi Permata ini, saya sebenarnya lebih asyik dengan dunia buku berbanding berlayar di dunia maya. (Sehinggakan apabila lampu kamar tidur ditutup, saya masih membaca dengan suluhan lampu handphone!)

Ketika di tanah suci, banyak bahan yang saya hendak kongsikan dengan teman-teman. Banyak cerita, pengajaran dan keinsafan yang saya rakamkan dalam coretan-coretan ringkas di buku nota kecil saya. 

Bukan tidak ada kemudahan internet di hotel, tetapi saya sengaja menguzlahkan diri ini daripada sebarang komunikasi dan rutin dunia luar.

Apabila pulang ke tanah air, teman-teman meminta saya menulis pengalaman di tanah suci. Sampaikan ada yang bertanya, bilakah buku saya akan menyusul: 'Travelog penerbit Travelog Haji' hehehe...

Saya tidak bercadang membukukannya, seperti Travelog Haji (Prof Kamil) atau Haji Muda (Dr Ridzuan). Pengalaman, coretan dan ibrah mereka berdua sudah lebih daripada cukup. 

Perjalan saya hanya kembara spiritual orang biasa-biasa.... tidak ada yang pelik-pelik (memang saya tidak mahu berjumpa peristiwa pelik). 

Kalau ada yang pelik pun ialah 'saya berasa pelik kenapa orang bertanya apa peristiwa pelik yang saya alami'!

Apa pun, Insya'Allah, sedikit masa nanti saya akan coretkan sedikit demi sedikit pengalaman biasa-biasa saya. Pengajaran dan ibrah yang Allah turunkan untuk saya.

Itu pun kalau saya dapat memimjam sedikit rasa asyik ini supaya saya dapat menyinggah ke sini lagi esok-esok nanti... 

wallahu'alam

(Ketika menghabiskan bicara ini, saya sedang diulit rasa rindu untuk kembali ke bumi Mekah, bertafakur di hadapan Kaabah atau di makam Rasulullah...)