Wednesday, June 22, 2011

Bersugi

Bersugi adalah perbuatan menggosok gigi dengan kayu meswak. Berdasarkan hadis Rasulullah yang dilaporkan oleh Abu Hurairah, hukum bersugi ini adalah sunnah.

“Kalau tidaklah menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk". (Direkodkan oleh Imam Ahmad )

Waktu yang paling dituntut untuk bersugi adalah selepas bangun tidur (terutama pada waktu pagi), ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca Al-Quraan dan ketika mulut kita berubah bau.

Ada beberapa pandangan ulama yang kontemporari mengatakan bahawa, bersugi tidak semestinya dengan kayu meswak. Berdasarkan hadis Rasulullah di atas, penekanan tentang bersugi ini adalah supaya kita menjaga kebersihan mulut. Oleh itu, mengambil kira saranan Rasulullah supaya membersihkan mulut, kita boleh sahaja bersugi dengan cara menggosok gigi, sementalah, kini sudah ada ubat gigi yang dibuat daripada estrak kayu meswak.

Apa pun, sama ada menggunakan ubat gigi ataupun kayu meswak, yang penting kita melakukannya dengan niat  mengamalkan sunnah Rasulullah. Kita berusaha mencontohi Rasulullah dengan cara yang paling dekat dengan beliau atas dasar cinta kepadanya. Bak kata Rasulullah dalam khutbah terakhirnya:

"Barangsiapa mencintai sunnahku, berarti mencintai aku dan kelak orang-orang yg mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku"
Mafhum ayat al-Quran:
 “.. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar2 mencintai Allah maka ikutlah aku (nabi Muhammad), nescaya Allah mencintaimu dan mengampunkan dosa2 kamu - (Ali ‘Imraan 3:31)
 Wallahu'alam.

Sunday, June 12, 2011

Kisah seorang sami






Ada satu kisah:
Ada seorang sami, yang setiap kali hendak bermeditasi, dia akan menambat kucing di tiang. Selepas habis meditasi, dia membuka ikatan pada kucing itu. Tujuan dia berbuat demikian adalah supaya kucing itu tidak berkeliaran dan mengganggu konsentrasinya. Tabiat ini menjadi kebiasaan dan rutin sang sami setiap kali ke kuil. Pengikut sami yang memerhatikan tabiat sang sami itu, turut mengikut tabiat sang sami tanpa bertanya kenapa dia berbuat demikian. Sehingga akhirnya, tabiat itu menjadi satu ikutan kepada seluruh pengikut kuil itu. Setiap kali pengikut ajaran sami itu ke kuil mereka akan membawa kucing untuk ditambat... Mereka tidak pula bertanya kenapa perlu menambat kucing semasa bermeditasi, kecuali sekadar mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain.

Mungkinkah kita juga begitu...

Thursday, May 26, 2011

TIP-TIP MENZIARAHI ORANG SAKIT DAN NAZAK:

1. Memberi kata-kata dan perangasang yang dapat menyenangkan hati orang sakit. Pesan Rasulullah:
“Apa bila kamu datang mengunjungi orang sakit maka hiburkanlah dia dengan (kata-kata) dilanjutkan usia. Memang hiburan itu tidak akan menolak (ketentuan Allah) sedikitpun, sebaliknya ia menyenangkan jiwanya.” (Hadis direkodkan oleh Ibnu Majah dan Tirmizi)
2. Memuji-muji amalan orang sakit itu agar hilang perasaan resah dan dapat berbaik sangka kepada Allah

3. Mendoakan agar Allah menyembuhkan pesakit dan mengampuninya.

4. Sekiranya orang sakit itu dalam keadaan nazak, waris perlu sentiasa berada di sisinya dan mengajarkannya kalimah لا إله الاّ الله kerana Rasulullah berpesan: 
“Ajarkanlah orang yang menghadapi kematian itu dengan kalimah لا إله الاّ الله " (Direkodkan oleh Muslim).
5. Membaca surah Yasin dan lain-lain surah dalam Quran.

(dipetik daripada Al-Azkar, Imam Nawawi)

Monday, May 23, 2011

Al-Fatihah untuk para syuhada' Madrasah al-Taqwa Hulu Langat.

Al-Fatihah buat anak-anak yang terpilih untuk bersama para syuhada di akhirat kelak.. juga buat keluarga warden Farid Hj Ibrahim yang turut terpilih untuk bersama anak-anak itu. Semoga keluarga mereka diberikan ketabahan dan kesabaran untuk menghadapi ujian Allah.

Friday, April 22, 2011

Jom ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pesta buku antarabangsa KL bermula hari ini hingga 1 Mei 2011 di PWTC. Kali ini Gerai PTS di C01-012 di Dewan Tun Hussein Onn di tingkat bawah sebelah pentas utama.

Klik sini untuk dapatkan kupon diskaun di gerai PTS. Ada cabutan bertuah, tanpa cogan kata tanpa syarat pembelian. Cuma isikan maklumat ringkas dalam borang dan hantar ke PTS..


link kupon :

Friday, April 8, 2011

Larangan Syara' Berkenaan Tabarruj (Berhias) Ke Atas Wanita

Ini artikel yang saya petik daripada sini.

Soalan: Saya tahu bahawa Tabarruj adalah cara berpakaian atau perbuatan berhias secara berlebih-lebihan yang boleh menarik perhatian. Jadi, jika Khimar (tudung) seseorang wanita itu kecil, maka kelihatan leher atau rambut wanita tersebut, maka, adakah ia dianggap Tabarruj? Walhal, rambut dan leher yang kelihatan hanya sedikit dan tidak menarik perhatian dimana kebanyakan wanita yang tidak berjilbab biasanya berjalan dijalan-jalan dan mereka tidak menarik perhatian?


Jawapan:

Tabarruj adalah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai, tetapi tanpa membuka bahagian–bahagian sulit (aurat). Ini dibatasi dengan tanpa membuka bahagian-bahagian sulit (aurat) kerana Tabarruj dengan memperlihatkan aurat adalah dilarang tanpa mengambil kira samada seseorang wanita itu menarik perhatian ataupun tidak.

Isunya bukanlah kerana tidak menutupi aurat, contohnya perbuatan seperti memakai make-up dimuka, dijari, ditudung atau baju atau menghiasi kaki seperti memakai gelang kaki. Kesemua perbuatan berhias ini, jika tidak menjadi kebiasaan di kawasan dimana seseorang wanita itu tinggal, dan perhiasan ini menarik perhatian, maka ini dipanggil Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Jadi, contohnya, jika seseorang wanita itu mewarnai kukunya didalam sebuah kampung yang kebiasaan wanita-wanitanya tidak mewarnai kuku mereka, maka perbuatan berhias ini akan menarik perhatian, dan ini adalah dilarang, walaupun tapak tangan bukanlah aurat.

Dan jika dia berjalan, kedengaran bunyi gelang kakinya dan menarik perhatian kepada perhiasan dikakinya, walaupun kakinya tertutup, ini juga dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Jika seseorang wanita itu memakai sehelai tudung broked yang bukan kebiasaannya, dan ini menarik perhatian, maka ini dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun rambutnya terlindung.

Jika seseorang wanita itu memakai Jilbab (jubah) yang mempunyai motif dibahagian dada yang boleh menarik perhatian, maka ini adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun Jilbab adalah pakaian yang Shar’ei.

Oleh yang demikian, berpakaian menutupi aurat, tetapi menarik perhatian adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Manakala berpakaian dengan membuka aurat adalah sama sekali dilarang samada ia menarik perhatian ataupun tidak.

Dalil tentang perkara ini adalah;

زينتهن من يخفين ام ليُعْلَم بأرجلهن يضربن ولا

Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [An-Nur (24):31].

Seseorang wanita itu dilarang untuk berjalan dengan cara yang boleh menarik perhatian kearah gelang kakinya walaupun kakinya tertutup. Oleh itu, berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Kesimpulan: Berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Berpakaian dengan cara yang membuka aurat adalah sama sekali dilarang, tidak kira samada ia menarik perhatian ataupun tidak. Sudah semestinya membuka aurat adalah sesuatu yang dilarang.

Oleh itu, berpakaian walaupun dengan cara yang dibenarkan tetapi menarik perhatian seperti yang diterangkan diatas, adalah Tabarruj dan dilarang. Ini hanya boleh diketahui dari keadaan dan realiti persekitaran dimana wanita tersebut tinggal dan untuk mengetahui kebiasaan disana tidak sukar kerana komuniti – lelaki dan wanita boleh menilai dan mengetahuinya.

Menarik perhatian adalah penentu samada berpakaian itu adalah Tabarruj atau pun tidak. Manakala berpakaian yang tidak menutup aurat pula bukan terletak pada hukum Tabarruj, tetapi pada hukum aurat dan dalil-dalilnya adalah jelas, dimana seseorang wanita itu dilarang untuk membuka auratnya ,walaupun tidak menarik perhatian. Allah Subhanahu wa Taala berfirman :

الآية… لِبُعُولَتِهِنَّ إِلاَّ زِينَتَهُنَّ يُبْدِينَ وَلاَ جُيُوبِهِنَّ عَلَى بِخُمُرِهِنَّ وَلْيَضْرِبْنَ مِنْهَا ظَهَرَ مَا إِلاَّ زِينَتَهُنَّ يُبْدِينَ وَلاَ

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka …..” [An-Nur (24) : 31]

مِنْهَا ظَهَرَ مَا إِلاَّ

kecuali yang (biasa) nampak daripadanya” bererti muka dan dua tapak tangan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (semoga Allah merahmatinya), Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, pernah bersabda,

إالمفصل لى ويداها وجهها لاإ منها يرى أن يصلح لم حاضت إذا الجارية إن

Jika seorang anak perempuan itu telah baligh, hanya muka dan kedua tapak tangannya yang boleh kelihatan” [Direkodkan oleh Abu Dawud]

Oleh yang demikian, menurut dalil-dalil yang diberi, seseorang wanita itu tidak boleh memperlihatkan selain dari muka dan dua tapak tangannya kecuali kepada suami dan mahramnya. Inilah kewajipan untuk memakai Khimar yang sesuai untuk menutupi rambut dan leher dan melabuhkannya kedada, supaya tiada yang kelihatan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Allah Subhanahu wa Taala berfirman;

جُيُوبِهِنَّ عَلَى بِخُمُرِهِنَّ وَلْيَضْرِبْنَ

Dan hendaklah mereka menutup kain tudung kedadanya…” [Al-Nur (24) : 31]

yang bermaksud melilit tudung kebahagian pembukaan baju supaya leher tidak kelihatan dan tudung akan menutupi bahagian kepala, telinga dan leher, hanya kelihatan muka dan tapak tangan sahaja.


Oleh: Sheikh Ata ibn Khaleel Abu al-Rashta

Sumber: Islamic revival

Friday, March 11, 2011

Ingat Mati

Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa.

Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda:"Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru.

Katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat".

Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu';

Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu).

Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu".

Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi.

Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi:"Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)".

Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".

Disalin terus daripada: http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=129


Wednesday, March 9, 2011

Dosa Kecil

Dalam satu hadis, Rasulullah pernah mengingatkan agar kita berwaspada dengan dosa-dosa kecil yang diaggap remeh. Kerana apabila ia sering dilakukan ia akan membinasakan.

Mungkin dosa-dosa kecil itu akan diampunkan Allah apabila kita bertaubat, beristighfar, mengambil wuduk mahupun menunaikan solat. Walaupun begitu kita perlu tetap berhati-hati, kerana dosa tetap dosa.

Apakah dosa-dosa kecil itu?

Menurut seorang sahabat nabi dan pakar tafsir al-Quran, iaitu Ibnu Abbas; semua dosa adalah besar dan tidak ada dosa kecil. Beliau berkata "Semua yang ditegah Allah adalah (dosa) besar" (direkodkan oleh al-Tabrani).

Manakala, menurut kebanyakan ulama', dosa kecil adalah dosa yang Allah tidak berikan amaran atau tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul.

Contoh amaran:

Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah berkata: "Jauhilah oleh kalian tujuh kedurhakaan". Mereka bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Syirik kepada Allah, sihir,membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan (alasan) yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri saat pertempuran, menuduh wanita-wanita suci yang lalai dan beriman." (direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Walaupun dosa yang dilakukan kecil, ia tetap boleh membinasakan. Terutama apabila ia menjadi satu kelaziman. Kata Imam Ghazali, dosa kecil boleh menjadi dosa besar apabila:

1. Berterus-terusan melakukannya
2. Memandang remeh terhadap dosa itu
3. Gembira dan bangga dan seronok apabila melakukannya
4. Menganggap remeh apabila Allah menangguhkan pembalasan
5. Tidak berasa malu apabila melakukannya
6. Orang yang melakukan dosa itu adalah orang alim

Rasulullah pernah membuat perumpamaan dosa-dosa kecil itu seperti seorang musafir di gurun yang mengumpul ranting-ranting kecil. Apabila ranting-ranting tersebut telah terkumpul banyak, dia menyalakan api dan menjadi kayu bakar untuk memasak.

wallahu'alam.