Monday, July 30, 2007

Cuti

Hari ini saya cuti. Penat. Tiga hari sebelum itu sibuk bertugas di International Islamic Fair, di PWTC. Kelmarin juga saya tidak sempat meluangkan masa emas hujung minggu bersama permata hati saya. Bermain layang-layang, berlari-lari di taman permainan atau mencari belalang di taman mini, hadapan rumah. Pokok-pokok di taman mini juga sudah lama tidak dibelai dan dibaja.

Tidaklah sibuk sangat. Cuma, sejak penghujung Jun jadual mengajar saya di UNITAR hampir setiap Ahad, crash course untuk pelajar semester pendek. Kalau tidak mengajar pun, biasanya saya akan berada di al-Ikhlas untuk bengkel-bengkel penulisan, kursus dan sebagainya. Hari Sabtu pun lebih kurang begitu jadualnya.

Pagi tadi Abang Chor dan Kak Yong mogok tidak mahu ke sekolah (nurseri & taska). Kata Abang Chor dan Kak Yong:

"Baba kata hari ini baba cuti, Abang Chor nak duduk dengan baba kat rumah."

"Kak Yong pun tak nak pergi sekolah. Kak Yong nak duduk rumah dengan baba."

"Sameer?" Sameer yang baru pandai menghesot itu hanya tersenyum sengih menampakkan gusinya apabila mendengar suara saya. Air liur meleleh membasahi dagunya yang montel.

Hari ini dua orang permata hati, menemankan babanya bercuti. Mama perlu ke sekolah. Sameer yang belum pandai berjalan itu pun harus ke sekolah. Saya rancang hari cuti ini hendak menghabiskan masa di rumah. Membaca buku atau menulis. Walau bagaimana pun, rancangan itu dipinda pada saat-saat akhir. Saya perlu ke KL untuk membeli modem yang rosak.

Selepas menghatar mama ke sekolah saya membawa Abang Chor dan Kak Yong ke KL. Ditemani Mak Teh mereka yang juga sedang bercuti, kami ke KL membeli modem, mencari aksesori komputer, 'cuci mata' dan sebagainya.

Lewat petang baru pulang ke rumah. Kalau tidak kerana perlu mengambil mama dan Sameer, pasti leret sampai ke malam. Hari ini kami berjalan tanpa mama dan Sameer, kurang seronoknya bagi saya. Tetapi bagi kedua-dua permata hati itu mereka tetap seronok, dapat berkejaran di shopping complex sambil makan sosej. Kata Kak Yong :

"Seronoknya baba cuti hari ini. Kalau selalu baba cuti kan seronok... boleh jalan-jalan lagi."

Saya hanya tersenyum. Puas, terasa lama sangat tidak membawa mereka berjalan-jalan di KL.

Malam ini, Kak Yong dan Abang Chor tidur awal. Sewal jam 8.00 malam. Biasanya jam 12.00 seperti ini mereka masih menemani baba mereka di meja komputer. Walaupun penat, saya belum boleh melelapkan mata. Bukan kerana insomnia, tetapi giliran Sameer pula yang mendera. Munkin mogok sebab tidak dibawa berjalan siang tadi, maka sehingga lewat malam ini dia masih bergelak ketawa, berguling-guling dan merengek-rengek hendak didukung.

Ketika ini, sambil menaip, saya terpaksa 'bersilat' dengan Sameer yang turut ingin menekan butang keyboard. Hemm... malam masih muda, giliran Sameer pula untuk buli baba....

Wednesday, July 25, 2007

Syukur... lagi

Suatu hari yang lepas, saya menaiki teksi yang dipandu seorang lelaki cina tua (apek).

Perjalan yang agak jauh di waktu tengahari memang meletihkan. Bagi memecahkan suasana yang sunyi sepi dan dalam teksi itu, saya cuba untuk bersembang. "Uncle, panas juga cuaca hari ini."

Apek itu hanya diam membisu. Munkin dia tidak mendengar atau leka melihat jalan di hadapan. Saya masih tidak berputus asa. Kononnya hendak membuka cerita tentang isu alam sekitar dan cuaca yang menggila akibat pemanasan global. Saya cuba memecahkan ketulan-ketulan ais. Sekurang-kurangnya tidaklah terasa sangat bosannya perjalanan itu:

"Sekarang ini cuaca tidak menentu. Kalau panas, panas sungguh..."

Belum sempat saya menghabiskan kata-kata terdengar apek itu mengeluh.

"Huhhh..."

Kata-kata dia yang seterusnya membuatkan saya terus terdiam.

"Inilah manusia. Kalau hujan dia mengeluh. Kalau panas, dia mengeluh. Semua tidak betul. Semua tuhan buat salah. Tidak ada terima kasih pada tuhan 'ala'..."

"Aduh! bisanya..." Bisik hati saya.

Ketulan ais yang cuba saya pecahkan tadi, semakin membesar dan seolah-olah membaluti seluruh teksi ini. Akhirnya, saya membisu tanpa sebarang bicara. Hanya deruman enjin Iswara merah putih itu sahaja yang menjadi penghibur perjalanan. Kadang-kadang ia kedengaran seperti berkata kepada saya:

"Itulah, siapa suruh pandai-pandai hendak mengomel. Tengah hari terik ini, orang tidak ada 'mood' hendak bersembang. Duduk diam-diam sudahlah."

Otak saya menerawang jauh entah kemana. Saya tidak marah pada apek itu. Terfikir juga tentang kata-kata saya tadi. Betullah manusia ini mudah melatah dan kurang bersyukur. Semuanya tidak kena, semua hendak selesa. Seolah-olah hendak supaya tuhan ikut kemahuan kita.

Cuaca panas ini mungkin menyiksakan saya atau sesetengah orang. Tetapi, bagi orang lain contohnya, petani yang menanam tembakau atau jagung, cuaca panas satu rahmat.

Sambil melihat di tepi jalan, pokok-pokok bunga kertas berbunga indah. Cuaca panas betul-betul membantu melebatkan bunga.

Saya teringat kata-kata Imam Ghazali : "Apabila seseorang itu ditanya tentang sesuatu situasi dan dia memberi respon antara bersyukur atau mengeluh. Apabila dia bersyukur, dia sebenarnya mentaati Allah. Manakala, apabila mengeluh, dia sebenarnya derhaka kepada Allah."

Seorang sahabat besar nabi Muhammad, Umar pernah berdoa: "Ya Allah, masukkan saya dalam golongan yang sedikit."

Apabila sahabat-sahabat lain yang mendengar doanya bertanya, apakah maksud doa itu. Umar tidak terus menjawab, sebaliknya, dia membacakan sepotong ayat Quran yang bermaksud:

“Sedikit saja dari hamba-hambaku yang bersyukur.” (Saba’: 13).

Astaghfirullah, baru tersedar, banyaknya saya mengeluh, dan sedikitnya saya bersyukur. Hari ini saya ditegur oleh seorang apek tua. Tazkirah ringkas tetapi signifikan*. Hikmah Allah boleh datang daripada sesiapa sahaja, walau dari apek tua yang saya tidak pasti muslim atau tidak. Kata-katanya itu lebih muslim dari sesetengah muslim.

Agaknya kalau apek tua itu melayan bicara saya, pasti semakin panjang keluhan saya dan semakin sedikit syukur saya, na'uzubillah (moga dijauhkan Allah). Macamana pun, terima kasih apek... xie xie nie... !

Wallahu'alam.


* saya memetik kata-kata Prof Muhd Kamil Ibrahim

Thursday, July 19, 2007

Kinosume Matsushita

Lama tidak kemas kini Taman Permata ini. Hendak kata sibuk, ramai lagi orang yang sibuk. Hendak kata talian internet di rumah sedang meragam, boleh sahaja sekiranya hendak ke cycercafe yang hanya 5 minit berjalan kaki dari rumah. Kalau hendak bagi alasan, rasanya seribu satu alasan boleh diberikan. Tetapi cukuplah simpan dalam saku seluar sahaja alasan-alasan itu.

Saya sedang membaca buku Matsushita Leadership. Buku lama tentang sejarah pengasas syarikat gergasi Matsushita. Buku ini saya terjumpa dan terbeli ketika tersinggah di kedai buku-buku terpakai di Ampang Point baru-baru ini. Baru sempat baca sedikit tetapi saya ingin kongsi satu cerita yang menarik tentang budi pekerti Kinosume Matsushita (KM) yang sudah menjadi jutawan besar.

Suatu hari KM bersama pegawai-pegawai kanan syarikatnya, makan disebuah restoran terkemuka. Dalam jamuan tersebut, KM tidak menghabiskan makanannya. Apabila selesai jamuan, sebelum beredar, beliau berkata kepada pegawai peribadinya:

“Awak panggil tukang masak yang memasak makanan ini, bukan ketua tukang masak, bukan pengurus restoran ini, tetapi tukan masak yang berkenaan sahaja.” Kata KM kepada pegawainya itu.

Apabila melihat tukang masak datang dengan muka yang ketakutan, KM berkata kepadanya: “Tuan, masakan awak ini tidak ada masalah atau kekurangan. Malah rasanya cukup sedap. Tetapi, saya sudah tua, selera makan saya tidak lagi seperti ketika muda. Saya memanggil awak ini kerana saya hendak memastikan awak tidak berkecil hati, sedih atau risau apabila melihat masakan awak ini tidak dihabiskan.” Kata-kata yang cukup membuatkan mereka yang berada di situ terpegun.

Peristiwa itu berlaku ketika KM berumur 80'an dan sudah menjadi jutawan besar. Walau pun menjadi tokoh yang penting dan kaya-raya, beliau tetap menghormati dan menjaga perasaan orang lain yang jauh lebih kecil statusnya dari beliau. Tindakan beliau tidak sekali-kali menjatuhkan maruah mahupun kedudukannya. Malah, beliau semakin dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat.

Seperti kata-kata pepatah Melayu 'Ular menyusur akar tidak hilang bisanya'.

Thursday, July 12, 2007

SERVICE

Saya hendak kongsi kiriman email dari kakak saya yang membuatkan saya termenung jauh kelmarin.


WHICH WAY IS YOUR SERVICE FLOWING?
by Ron Kaufman

We all serve others.

We give internal service to colleagues and external service to
customers. With service partners we work together. You might
serve a manager. Servant leaders serve their teams.

Tennis begins with service. Cars are regularly serviced. And from
time to time, computers need servicing, too.

There is community service, religious service, food service,
civil service and military service. Prisoners are serving time.
Others are serving humanity.

When you Serve you give and energy flows from you to others. That
creates a vacuum, so life flows energy back to you.

When you Con-serve, you put something aside so it can serve again
in the future. When you Pre-serve, you protect something today so
it can serve again tomorrow.

But when you think too hard about what you De-serve, your energy
shifts from giving, to getting. The flow starts going backwards
and you may debase, degrade, and decline.

Key Learning Point:

The way to get more of whatever you want is to focus on giving
more to others. If you want a lot, give a lot. If you want more,
give more.

Action Steps:

Want more money? Give more value. Want more love? Give more
affection. Want more respect? Give more credit. Want more help?
Give more appreciation. Want more understanding? Give more time.

Want a more extraordinary life? Give more of yourself to others.

Wednesday, July 11, 2007

Kawan

Hari ini, berpuluh darsawarsa yang lampau, saya dilahirkan ke dunia ini. Hemm... sudah semakin tua.

Hari ini, tengahari tadi sekembalinya dari HQ di batu caves untuk mesyuarat pengurusan, saya lihat sejambak bunga diatas meja. Nota sisi tertulis : "For My Beloved Husband, From Your Wife, RH"... weh! merah padam muka saya rasanya. Inilah kali pertama dapat bunga dan kena sorak dengan kawan-kawan di pejabat. Terharu atas ingatan isteri dan kawan-kawan. Saya sendiri sebenarnya tidak ambil kisah sangat tentang hari jadi ini. Masuk pejabat pagi tadi pun kalau tidak disapa oleh Pn Nurul (editor kanan PTSP) tidak teringat hari ni hari jadi saya. Lagi pun setiap hari saya memang merasakan saya semakin tua... dan semakin dekat untuk dipanggil mengadap yang empunya diri ini.

Sekeping kad ucapan juga diletakkan di atas meja dari kawan-kawan sepejabat. Saya tertarik dengan kata-kata yang dititipkan di dalam kad itu, terutama bait-bait akhirnya:
"Count your life by smiles, not tears.
Count your age by friends, not years."
Alhamdulillah, sepanjang usia remaja usang ini banyak nikmat Allah yang tidak terhitung yang dilimpahkan atas saya... Setiap apa yang berlaku, baik pahit atau manis, saya menganggapnya nikmat Allah. Jasa dan pengorbanan ayah dan emak membesarkan anak yang karenahnya cukup memeningkan kepala ini juga tidak terkira hebat. Juga, terlalu banyak jasa mereka-mereka yang di sekeliling saya yang hanya Allah sahaja dapat membalasnya.

Kawan? saya bersyukur kerana mengenali ramai orang yang menjadi kawan-kawan saya. Sejak dari bangku sekolah hinggalah ke usia ini. Teringat kata-kata Prof. Abdullah Hassan, lebih 10 tahun lalu ketika saya menumpang keretanya ke UIA dari satu program pelajar:

"Faris, carilah seberapa banyak kawan ketika belajar. Kawan ketika kita belajar, ketika belum ada sebarang kepentingan (jawatan penting dsb) adalah kawan yang sebenar. Itulah juga 'social insurance' kita."

Saya pegang kata-kata Prof itu, dan syukur saya ada ramai kawan dari pelbagai disiplin ilmu. Tidak hanya dalam bidang pengajian saya. Hari ini saya masih dapat menghubungi sebahagian besar daripada mereka walau hanya untuk bersembang kosong atau minum teh. Tidak kisah siapa jua mereka sekarang (yang berada di merata tempat termasuk di institusi-institusi penting negara). Kerana yang pasti, mereka adalah kawan-kawan sejak zaman 'makan mi maggi dalam baldi' di asrama atau zaman 'mat program' dan 'kaki adventure' ketika di kampus.

Dan... di atara semua kawan-kawan itu, pengirim jambangan bunga pagi tadi adalah yang teristimewa : seorang kawan, sahabat dan teman seumur hayat. Isteri, mama Kak Yong, Abang Chor dan adik Sameer.

Terima kasih buat kalian semua, jazakumullahukhairan kathira...

Wallahu'alam

Monday, July 9, 2007

Tawakal

1) Kata Imam Ghazali: "Di atara murid saya ada yang menyampaikan berita bahawa dalam mimpinya ia melihat seorang yang baik dan taat kepada ajaran Islam. Murid saya bertanya kepada lelaki itu: 'Adakah tuan berasa selamat kerana imanmu?'

Lelaki itu menjawab: 'Iman dapat selamat dan sempurna hanya pada orang-orang yang bertawakal kepada Allah.'


2) Imam Uwe Qarni pernah berpesan: "Walaupun saudara beribadah sebanyak ibadah para penghuni langit dan bumi, ibadah itu belum tentu diterima Allah selagi saudara tidak yakin kepada jaminan dari Allah."


3) Kata Imam Hasan al-Basri: " Allah melaknat ornag-orang yang tidak mempercayai jaminannya dalam urusan rezeki."


Menurut Imam Ghazali, bertawakal kepada seseorang bererti menganggapnya sebagai wakil dalam segala urusan. Oleh itu bertawakal membawa maksud memercayakan atau menyandarkan sesuatu kepada Allah. Ada 3 macam tawakal:

i) Tawakal nasib, iaitu yakin segala yang ditentukan oleh Allah kepada kita tidak salah dan pasti kita akan terima.

ii) Tawakal terhadap pertolongan Allah. Yakin terhadap pertolongan Allah untuk kita.

iii) Tawakal terhadap rezeki. Allah telah menjamin rezeki yang cukup untuk hambanya supaya kita dapat beribadah kepadanya.

Wallahu'alam.

Thursday, July 5, 2007

Ikhlas

Pagi tadi ketika keluar dari pintu bank, saya disapa oleh seorang lelaki India yang sedang mengutip derma untuk rumah kebajikan kanak-kanak cacat dan yatim. Sebaik memasukkan sedikit wang ke dalam tabung yang dihulurkannya, lelaki itu berkata sambil tersenyum:

“Thank you, god bless you sir!”

Dalam perjalanan ke pejabat, saya teringat kata-kata lelaki itu. Biasanya apabila kita menghulurkan derma, orang yang menerima hanya mengucapkan terima kasih atau kekadang hanya berdiam diri. Saya terfikir, alangkah bezanya antara respon lelaki itu dan dengan pengutip derma yang biasa saya temui, terutama dari kalangan ornag Islam. Lelaki itu bukan hanya mengucapkan terima kasih, bahkan berdoa agar tuhan merahmati setiap yang menghulurkan derma. Sama ada tuhan menerima doanya atau tidak, itu bukan persoalannya disini.

Ketika di Indonesia tempoh hari, saya juga berdepan dengan pengalaman yang menarik perhatian saya dan rakan-rakan. Apabila salah seoarang dari kami menghulurkan derma kepada seorang gadis untuk rumah kebajikan yang diwakilinya, gadis itu memberi respon:

“Bapak, terima kasih banyak-banyak atas derma bapak ini. Saya doakan Allah murahkan rezeki bapak dan anak cucu bapak. Sekiranya bapak berkelapangan, jemputlah datang ke rumah kami.”

Kira-kira begitulah respon dia yang panjang lebar. Respon yang jarang-jarang atau tidak pernah sekali kita terima di negara kita ini. Munkin ada respon sedemikian, tetapi... errr.. jarang bersedekah, mana nak dapat respon macam tu?... he he he...

Macamana pun, sedikit sebanyak saya kagum dengan gadis itu dan lelaki india itu. Merendah diri dan murah dengan doa.

Astaghfirullahal'azim. Tidak sepatutnya saya berfikir-fikir tentang respon lelaki tadi kepada saya. Bersedekah dengan ikhlas tidak boleh mengharapkan sebarang balasan termasuk ucapan terima kasih. Biarlah apa pun respon mereka, saya tidak boleh mengharap atau mengkritik.

Teringat ayat Allah dalam surah al-Insan : “Kami memberi makan kepada mereka dan kami tidak mengharapkan balasan walaupun ucapan terima kasih.”

Wallahu'alam.

Wednesday, July 4, 2007

Terapi Menenangkan Hati

Cerita ini saya saya dapat dari kiriman email seorang rakan, yang diforwardkan dari email-email lain. Sumber cerita ini tidak diketahui, tetapi pengajarannya berbaloi untuk kita renungkan. Wallahu'alam.

Pada satu hari seorang sahabat Rasulullah yang dikenali sebagai Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki. Raut wajah lelaki itu murung ibarat seorang yang sedang berduka. Lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud, hatiku ini sedang gelisah. Berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar.  Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut, aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."

Apabila mendengar kata-kata lelaki itu, Ibnu Mas'ud diam seketika. Dia kemudian berkata:

"Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu:

1. Tempat orang membaca al Quran, sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya.
2. Majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
3. Carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."