"Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah aku" (QS 51:56)Tetapi, adakalanya kita beribadah bukan kerana benar-benar ikhlas mencari keredhaan Allah. Tanpa kita sedari lidah kita berkata demikian, dan hati membenarkannya.
Sebagai contoh, apabila hendak bersolat, Rasulullah menyuruh kita solat di awal waktu bagi mendapat keredhaan Allah.
"Solat di awal waktu mendapat keredhaan Allah dan diakhirnya diampunkan Allah." (Direkodkan oleh At-Tirmidzi)
Ditanya Nabi, apakah amalan yang sebaiknya, maka jawab Nabi: "Solat di awal waktunya" (Direkodkan oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud)
Tetapi, kita sering mendengar kata-kata begini:
"Saya hendak solat duhulu, nanti senang saya hendak pergi berjalan-jalan..."
"Baik saya solat sekarang, kalau lewat nanti takut terlepas cerita tv.."
Ada banyak lagi ayat atau dialog yang mungkin kita pernah dengar. Atau kita sendiri pernah menuturkan ayat sedemikian. Ayat yang memberi justifikasi kenapa hendak solat awal. Kerana hendak memudahkan sesuatu kerja dan sebagainya.
Ada juga orang berpuasa kerana katanya: "Esok hendak puasalah, boleh jimat duit sebelum dapat gaji bulan ini."
Salahkah berkata demikian? Dari segi hukum, pada asasnya tidak haram. Namun, sekiranya ia dijadikan niat secara berterusan apabila dalam mengerjakan ibadah, boleh membawa kepada jatuh syirik.
Syirik dalam beribadah ialah 'tidak meletakkan Allah sebagai yang mutlak dalam niat terutama dalam ibadah'.
"Barangsiapa yang mengerjakan suatu amalan dengan mencampurkan kesyirikan bersama-Ku, niscaya Aku tinggalkan dia dan amal kesyirikannya itu" (Direkodkan oleh Muslim)
Setiap amalan kita dimulakan dengan niat di hati. Apa yang terdetik dan mendorong kita melakukan sesuatu perkara, itulah niat kita. Apa yang diniatkan, itulah yang kita dapat.
Pesan Rasulullah: "Sesungguhnya sah atau tidaknya amalan bergantung kepada niatnya dan bagi tiap orang bergantung apa yang ia niatkan..." (Direkodkan oleh Bukhari & Muslim)
Oleh itu, apabila kita beribadah, tanya diri kita. Adakah kita beribadah kerana semata-mata hendak memudahkan urusan dunia yang lain? atau beribadah semata-mata menunaikan kewajiban? atau kita beribadah kerana hendakkan keredhaan Allah.
Renung dan hayati doa ini:
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Itu doa Rabiah al-Adawiyah. Seorang wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam yang hidup dalam kurun kedua Hijrah. Seorang wanita yang cintanya kepada Allah melebihi segala yang ada di dunia.
Antara doanya yang masyhur: “Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Kita mungkin sukar hendak mencapai taraf keimanan Rabiah, tetapi kita boleh sentiasa berusaha dan bercita-cita untuk menjadi sepertinya.
Wallahu'alam.