Monday, July 12, 2010

Kebanjiran anak luar nikah

Ketika berhenti makan tengahari dalam perjalanan ke Kampung Gayau, Suminjan, saya terbaca berita ini dalam Utusan Malaysia (2 Julai 2010):

257,000 sijil kelahiran tanpa bapa

IPOH 1 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.

Titah baginda, berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.

Tambahnya, perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).

Baginda bertitah, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

“Nyatalah masalah anak luar nikah makin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi.

“Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.

(Di salin daripada Utusan Online)

Berita di atas mengingatkan saya kepada kata-kata almarhum ustaz Dato' Fadhil Noor, mantan presiden PAS dalam satu sesi di Parlimen lewat tahun 90an. Beliau bersyarah panjang tentang bahayanya kebanjiran anak luar nikah ini, mendesak pihak kerajaan membendung kebajiran anak luar nikah

Kata beliau, anak luar nikah ini (khususnya yang beragama Islam) akan membesar sebagai kanak-kanak yang pendendam. Masyarakan umumnya memandang serong kepada anak luar nikah. Ini menyebabkan mereka akan menyimpan perasaan marah dan berdendam kepada ayah dan ibu kandung mereka yang melahirkan mereka.

Apabila besar, mereka berpontensi terlibat dalam aktiviti jenayah. Lebih parah, kesetiaan mereka kepada negara boleh dipertikaikan. Mereka mampu memberi ancaman dan menggugat keselamatan negara. Situasi ini akan menyebabkan ketidakamanan dan kestabilan dalam negara.

Justeru kerajaan perlu mengambil tindakan mencegah situasi ini supaya tidak menjadi lebih parah dan berleluasa... Kerajaan perlu mengambil inisiatif memelihara institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan agar tidak bertambah bobrok.

Malangnya, ahli parlimen kerajaan pada masa tersebut tidak menunjukan kebimbangan terhadap situasi tersebut, malah memperlecehkan kata-kata beliau.

Wallahu'alam.

1 comment:

nazlyrahim said...

sama2 lah kita renungkan..