Ketika kebangkitan rakyat Mesir sedang memuncak, saya bertanya kepada seorang teman dari Arab Saudi, adakah bahang di negara Mesir itu akan merebak ke Arab Saudi?
Kata beliau, insya'Allah. Cuma mungkin lambat dan perlu pengorbanan yang besar. Bukan mudah untuk menumbangkan negara beraja mutlak itu.
Sebenarnya, banyak usaha kekerasan untuk menjatuhkan kerajaan Arab Saudi seperti serangan dan cubaan pemberontak untuk membuat kekacauan, namun ia berjaya ditumpaskan. Antara serangan terbesar adalah serangan bom kereta di kompleks penempatan rakyat asing di Riyadh yang mengorbankan lebih 30 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain pada tahun 1996.
Menurut laporan Menteri Dalam Negeri Saudi,
lebih 230 serangan pengganas termasuk pengebom berani mati di Saudi yang
berjaya dipatahkan oleh kerajaan dalam tempoh kurang lima tahun ini.
Bagi membendung serangan pemberontak ini Arab Saudi banyak mengambil langkah keselamatan yang agresif dengan bantuan jaringan perisikan dan keselamatan asing seperti CIA, satu situasi yang tidak digemari oleh rakyatnya dan masyarakat Islam dunia.
Selain daripada kawalan keselamatan dan perisikan yang ketat, Saudi juga bertindak menghadkan pergerakan rakyat mereka untuk bergerak dari satu daerah ke daerah yang lain. Sebagai contoh, tidak semua orang boleh memasuki Riyadh, bandar pentadbiran dan ibu negara Saudi itu. Untuk melepasi sepadan ke bandar lain, mereka perlu melalui pemeriksaan polis sempadan negeri dan sebagainya. Langkah ini memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan rakyat mereka dan sekaligus dapat mematahkan sebarang usaha bagi mencetuskan pemberontakan atau tunjuk perasaan seperti di Mesir.
Kerajaan Saudi banyak belajar daripada sejarah. Mereka sentiasa terdedah kepada serangan-serangan pemberontakan di seluruh negara. Peristiwa pembunuhan raja Faisal pada tahun 1975 dan penawanan Masjidil Haram pada tahun 1979 oleh Johaymin Otaibi dan beratus-ratus pengikutnya adalah antara menfistasi amarah sebilangan rakyatnya terhadap pemerintahan otokrasi keluarga Saud itu.
Amarah rakyatnya adalah ibarat api dalam sekam. Mereka marah, dan kecewa dengan sikap keluarga di raja itu yang amat mengikuti telunjuk barat dan menutup mata terhadap penderitaan umat Islam khususnya rakyat Palestin. Mereka langsung tidak dapat mezahirkan simpati mereka kepada Palestin apatah lagi membantu negara itu. Malah para ulama atau imam yang berdoa mengutuk Israel dan sekutunya secara terang-terangan di Masjdi (termasuk masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa) bakal menghadapi tindakan keras pihak berkuasa.
Meskipun Arab Saudi sebuah negara kaya, ramai rakyatnya yang buta huruf. Menurut laporan UNICEF, statistik pada tahun 2008 menunjukan 85% rakyatnya yang dewasa buta huruf. Membiarkan rakyat dalam kejahilan adalah salah satu taktik bagi memastikan rakyat tidak dapat berfikir panjang dan bercita-cita tinggi untuk mendesak perubahan sistem kenegaraan.
Arab Saudi terkenal sebagai negara kaya raya dan rakyatnya hidup dalam keborosan. Namun, pada hakikatnya hanya 30% rakyat negara beraja itu yang kaya-raya dan hidup dalam kemewahan melampau. Manakala baki 70% kalau pun tidak miskin dan kelaparan, mereka hidup cukup sederhana dengan serba serbi di bawah kemampuan. Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin. Cuma mungkin dasar negara tersebut yang tidak mengenakan cukai tinggi terhadap sesetengah barangan keperluan, menyebabkan ia kelihatan seperti lebih mampu milik berbadinding negara lain, seperti kereta dan barangan elektrik. Pun begitu, dengan gaji dan pendapatan isi rumah yang sedia ada, sebenarnya tidak semua barangan adalah murah.
Kawan saya tadi itu berkata, sebagai contoh,
walaupun dia sudah lebih 10 tahun bekerja sebagai guru, dan tinggal di pekan kecil di pinggir bandaraya Jeddah, dia masih tidak mampu membeli rumah pangsa. Taraf hidup pula semakin tinggi dengan harga barangan keperluan harian semakin naik.
Namun begitu bagi beliau, rakyatnya masih lagi kenyang dan lena. Para belia dan anak muda hidup bersukar ria, membuang masa tanpa matlamat masa depan yang jelas. Kerana itu juga mereka mungkin belum cukup marah untuk turun ke jalan raya. Bak kata pepatah Inggeris, 'A hungry man is an angry man' (orang yang lapar adalah orang yang marah).
Beliau berharap, jika kerajaan beraja itu tidak tumbang, setidak-tidaknya ada proses demokrasi, pilihanraya atau sebagainya di mana rakyat ada hak untuk bersuara. Mereka juga inginkan hak menunjukan protes terhadap rakyat Palestin secara lebih terbuka atau pun mengkritik dasar kerajaan yang terlalu berkiblatkan Amerika dan besahabat secara senyap-senyap dengan Israel itu. Wallahu'alam.