Showing posts with label khidmat masyarakat. Show all posts
Showing posts with label khidmat masyarakat. Show all posts

Thursday, July 8, 2010

Terjemahan Yasin bahasa Iban di rumah panjang

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti program dakwah pelajar UIA di Sarawak, di rumah panjang Iban.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, jemputan yang diterima ini memang kena pada masanya.

Saya fikir, inilah peluang untuk saya membuat 'ujikaji' terhadap projek terjemahan Iban saya disamping membina jaringan dengan pendakwah Sarawak, khususnya yang berbangsa Iban. Mungkin saya boleh melihat apa lagi keperluan pendakwah di Sarawak ini yang dapat saya bantu melalui PTS Darul Furqan Sdn Bhd yang baru berusia sebulan ini.

Program yang dikendalikan oleh Tim Khidmat Masyarakat UIAM atau CENSERVE TEAM, di bawah unit MISI ini diketuai oleh 'Head, Center for University Social Responsibility, IIUM' iaitu Puan Martinelli Hashim yang telah lebih 20 tahun menabur budi membangunkan kerja-kerja kemasyarakatan UIA di serata pelusuk tanah air. Turut serta dalam misi ini adalah 'Yang Mulia' Ustaz Zainudin Ibrahim, imam masjid UIAM.

Pelajar UIA ini mendapat kerjasama dan dibantu oleh tim pendakwah USK (Urusetia Saudara Kita) Baitumal, Sarawak. Grup NGO Baitulmal yang amat komited dan berdedikasi menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiah di Sarawak. Jumlah mereka kecil, tetapi amat berbisa!

Program dakwah pendalaman ini bertempat di beberapa buah kampung di sekitar daerah Suminjan dan mengambil masa selama lebih kurang 10 hari. Sekitar 20 orang lebih pelajar dari pelbagai bidang yang terlibat.

Perjalanan kami bermula daripada Pusat Penerangan Islam Kuching ke Suminjan selama lebih tiga jam menaiki pacuan empat roda (termasuk satu jam lebih melalui 'offroad').

Di kawasan pendalaman, kami melalui jalan berbukit, berlubang dan jambantan yang rosak serta menunggu masa untuk roboh. Di bawahnya aliran sungai yang kecil, dalam dan agak deras. Saya tidak lihat kelibat 'Pak Ya' di situ, tetapi bak kata orang.. air yang tenang jangan disangka selamat!

Aktiviti pertama sebaik sahaja tiba di rumah panjang Kampung Gayau, adalah solat Jumaat. Ini adalah pengalaman solat Jumaat yang paling menarik. Kerana kami bersolat bersama dengan jemaah saudara baru Iban yang amat-amat jarang berpeluang untuk bersolat jumaat.

Bukan kerana tidak ada kemudahan, malah surau yang dibina oleh PERKIM cukup selesa untuk menampung jemaah untuk solat jumaat secara sederhana. Namun sebenarnya, jumlah penganut Islam amat kecil, iaitu sekitar 10 keluarga dengan tidak sampai 10 orang lelaki dewasa.

Solat Jumaat kami mungkin tidak sah sekiranya mengikut aliran Shafie, tetapi kata Ustaz Zainuddin dan Ustaz Sobri (exKAGAT yang menjadi pendakwah USK sepenuh masa): "Kita bertalfiq bagi tujuan mengajar dan memberi peluang bersolat Jumaat dengan saudara baru di kampung ini".

Di kampung itu dan kampung-kampung lain yang diziarahi, rombongan kami turut menunaikan solat secara genap (tamam) bukan jama' atau qasar. Tujuannya, mengajak saudara baru untuk turut solat dan supaya mereka tidak keliru atau salah faham.

Sepanjang satu hari lebih berada di Kg Gayau, saya tidak terlibat secara sepenuhnya dengan aktiviti pelajar UIA, kecuali solat, makan dan mandi sungai...!

Masa saya banyak dihabiskan dengang berbicara, berbincang, berdialog (atau bahasa mudahnya, bersembang) dengan penduduk kampung.

Saya turut menunjukkan contoh terjemahan Yasin Iban yang sedang diusahakan. Saya minta mereka baca dan komen. Alhamdulillah kata mereka, ia mudah dibaca dan difahami.

Menurut Puan Rashidah Abdullah, pendakwah USK berbangsa Iban yang sudah lebih 10 tahun memeluk Islam, terjemahan Yasin PTS itu menggunakan bahasa Iban moden. Mudah difahami dan senang dibaca.

Mereka meminta sekiranya ada bahan-bahan bacaan agama yang lain yang sesuai dan mudah agar turut diterjemahkan dalam bahasa Iban.

Insya'Allah, projek seterus saya selepas menyiapkan terjemahan lengkap al-Quran dalam bahasa Iban adalah menerbitkan buku-buku agama yang mudah-mudah dalam bahasa Iban. Bukan sahaja untuk bacaan saudara baru, tetapi ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan kerja-kerja outreach dengan bangsa Iban.

Banyak pengalaman dan ilmu yang saya perolehi di Kg Gayau. Banyak yang saya belajar daripada Kak Nelli, ustaz Zainuddin (yang amat gemar memanggil orang dengan gelaran 'Yang Mulia'), Pendakwah USK (Ustazah Nurul Abdullah - x-rahib Bidayuh, Ustaz Sobri, Ustazah Rashidah) pelajar-pelajar UIA dan juga orang kampung. Semoga Allah memberi sebesar-besar ganjaran kepada kalian semua.

Tiga hari yang singkat tetapi terlalu banyak pengalaman yang kalau boleh hendak dikongsikan. Pengalaman pertama saya bermalam di rumah panjang, menguji projek saya secara terus kepada kumpulan sasar, aktiviti mandi sungai yang muaranya ada buaya dan sebagainya.

Itu tidak termasuk pengalaman pulang yang amat mencemaskan; pacuan empat roda kami menyeberangi sungai rosak yang ditenggelami air sungai hampir satu meter. Selepas sejam menunggu ditebing, air tidak surut, maka pemandu mengambil keputusan menyeberanginya..!!!.

Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur saya kepada Allah, atas rahmatnya, doa kawan-kawan dan keluarga (saya sempat sms kepada beberapa orang agar mendoakan keselamatan kami ketika itu). Kami selamat dan saya mampu menulis blog ini pada hari ini walaupun ketika sedang kami masih berusaha menyeberangi jambatan, kereta dihadapan hampir tergelincir dalam sungai!

Setelah sekian lama meninggalkan UIA, inilah kali pertama saya menyertai program dakwah jauh di seberang laut dan pendalaman. Tempoh yang singkat ini amat bermanfaat untuk diri saya dan projek di PTS.

Pengalaman yang mengujakan dan menginsafkan, malah ia sudah cukup untuk menyentak saya dari 'lena yang panjang' .. sejak bergelar graduan UIAM...

Pengalaman, ilmu dan jaringan yang dibina ini menjadi pemangkin kepada saya untuk terus mengembangkan projek dakwah PTS Darul Furqan ini ke dalam bahasa-bahasa etnik lain di Malaysia dan mungkin juga di Kampuchea, Filipina dan sebagainya, insya'Allah.

Terima kasih kepada semua Tim Censerve (anda memang hebat!), kak Nelli (..bila embun menitis, kita tidak mengharapkan gerimis!), big boss PTS - En Arief Hakim, MD PTS Group (yang memberi izin dan menaja perjalanan saya), puan Ainon yang mengilhamkan dan mencetuskan projek ini.

Semoga Allah merahmati dan memudahkan usaha kecil tim PTS Darul Furqan ini. Wallahu'alam.

P/s: Teman-teman boleh melihat banyak lagi gambar photo di facebook saya.

(gambar disebelah ini dari kiri, Ustaz Sobri, Abu Marwan, Tuai Rumah (ketua rumah panjang) yang paling muda... Tuan Abdul Aziz Abdullah, pelajar UIA, Ustaz Zainuddin, Man - Baitulmal. Dibelakang adalah pelajar-pelajar UIA.. mohon maaf juta-juta, memori saya agak lemah untuk mengingati nama kalian..)

Wednesday, July 8, 2009

Cerita Kemanusiaan Sepotong Aiskrim

Ini adalah catatan dari seorang teman Facebook saya, Dr Bubble...
Nama anak itu Hazim. Usianya empat belas tahun. Anak sulung daripada empat adik-beradik. Sudah lama dia tidak ke sekolah.

Hazim suka makan aiskrim. Ais krim membuat badannya terasa sejuk. Badannya menjadi ‘panas’ kerana sudah terlalu banyak ubat ‘chemo’ ditelan dan disuntik ke dalam badannya.

Hazim menghidap Non-Hodgkin Lymphoma. Peringkat empat. Ini peringkat terakhir bagi pesakit-pesakit kanser seperti Hazim. Ubat-ubatan sekuat morfin digunakan untuk meredakan kesakitannya.

Ais krim dan Hazim bagaikan lirik lagu P.Ramlee; seperti irama dan lagu,sukar dipisahkan. Setiap kali petugas hospis berkunjung ke rumah membawa ais krim untuknya, dia akan menikmati ais krim itu cepat-cepat.Takut ianya cair.Oh,rumah mereka tiada peti sejuk.

Bil elektrik dan sewa rumah pula sudah tertunggak berbulan-bulan sejak Hazim dimasukkan ke hospital.Ibunya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Hazim di hospital. Bapanya pula bekerja di pasar malam membantu rakannya berniaga. Bapanya juga tidak begitu baik kesihatannya.Beliau menghidap penyakit jantung.Tidak boleh bekerja kuat.

Keluarga Hazim juga bukan yang suka meminta-minta.Mereka rendah hati. Tidak diceritakan kesusahan mereka kepada orang luar. Tinggi pekerti keluarga ini.

Ada berita gembira untuk Hazim dan keluarganya. Seorang dermawan telah sudi mendermakan sebuah peti sejuk.

Jika ada peti sejuk, Hazim boleh menyimpan ais krim di dalamnya.Ais krim tidak akan cair lagi.

Tetapi kalau ada peti sejuk mestilah harus ada bekalan kuasa elektrik. Sepatutnya tiada kerana sudah dipotong bekalannya.Ada tetapi haram.Bapa Hazim pandai mendawai elektrik. Maka disambungnya bekalan elektrik ke rumah mereka secara ‘haram’. Dan membahayakan.

Seorang anak yang menunggu hari-hari ‘terakhirnya’, aiskrim kesukaannya, sebuah peti sejuk, bil-bil elektrik yang tertunggak berbulan-bulan dan bekalan elektrik yang haram dan berbahaya.

Ini persoalan ‘matematik’ yang mudah diselesaikan.

Hanya bil elektrik yang perlu dibayar bagi menyelesaikan masalah keluarga ini. Tidak perlu lagi bapa Hazim membahayakan diri membuat penyambungan dawai haram. Hazim juga boleh menyimpan aiskrim kesukaannya di dalam peti sejuk.

Berapa bilnya?

RM1060.00 - tertunggak berbulan-bulan lamanya.

Jika bil sebanyak ini boleh dibantu kita semua untuk menyelesaikannya, Hazim boleh menikmati ais krim sepuas-puasnya mungkin di hari-hari terakhirnya yang indah.

Hazim kini merosot kesihatannya dan terkini beliau sedang dirawat di hospital.

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan ingin membantu, hubungi saya.

e-mail: adabi@yahoo.com atau telefon 019-2665157.

Tuesday, May 26, 2009

Rayuan daripada Rumah Titian Kasih Titiwangsa

Ini ada email dari teman sepejabat tentang rayuan daripada Rumah Titian Kasih Titiwangsa... semoga ada yang sudi menghulurkan bantuan walau sedikit..

Assalamualaikum.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya doakan semua dalam keadaan sihat.
Sebagai makluman, kelmarin saya berjumpa dengan pengasas Rumah Titian Kaseh, Mak Pah atau nama penuh beliau Puan Sharifah Adlan. Rumah ini ialah rumah perlindungan anak yatim/piatu, ibu tunggal, OKU dan warga emas yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa.
Kunjungan saya ini ekoran tersiarnya berita di akhbar bahawa Rumah Titian Kaseh memerlukan bantuan segera daripada orang ramai. En. Arief yang memberitahu saya mengenai perkara ini dan meminta saya menyiasat perkara sebenar. Jadi kelmarin saya mendapat maklumat sebenar apakah bentuk bantuan yang diperlukan.
Penghuni Rumah Titian Kaseh yang berjumlah lebih daripada 150 orang itu kini ditempatkan di 2 buah rumah lot banglo di kawasan Titiwangsa. Rumah pertama terletak di Jalan Maran dan rumah ini turut menjadi pusat pentadbiran. Di sinilah tempat di mana Ahli Kelab Sukan PTS, Kumpulan Win Win, melakukan aktiviti khidmat masyarakat tahun lepas semasa bulan puasa tahun 2008.
Manakala rumah kedua terletak di Persiaran Titiwangsa. Rumah ini menempatkan 55 orang penghuni. Mereka baru sahaja berpindah ke rumah ini pada bulan April lepas. Sebelum ini 55 penghuni ini tinggal di rumah yang disewa di Keramat. Namun atas faktor kos yang tinggi untuk menyewa bas dan petrol, mereka pindah ke rumah lot banglo ini. Ini kerana, kebanyakan penghuni ini bersekolah sekitar kawasan Titiwangsa. Selain itu, masyarakat setempat tidak suka mereka tinggal di situ.
Menurut Mak Pah, mereka merancang hendak membeli rumah banglo di Persiaran Titiwangsa itu. Harga lot banglo itu ialah RM2.7 juta. Setakat ini Rumah Titian Kaseh sudah membayar sebanyak RM56 ribu kepada pemilik. Mereka diberi masa sehingga Jumaat ini (29 Mei 2009) bagi melunaskan bayaran pendahuluan sebanyak 10% (RM270 ribu). Sekiranya mereka tidak berjaya, kesemua penghuni seramai 55 orang itu perlu keluar. Bayaran pendahuluan pula tidak akan dipulang balik.
Isunya sekarang, Mak Pah sedang berusaha mencari baki RM200 ribu lebih lagi bagi menyelesaikan bayaran pendahuluan itu. Isu keduanya pula, jika mereka tidak berjaya membayar baki wang pendahuluan, ke mana mereka hendak tempatkan penghuni-penghuni itu.
Saya ada bertanya, mengapa mereka memilih hendak membeli rumah di kawasan Titiwangsa yang berharga mahal sedangkan mereka boleh membeli di kawasan luar bandar. Alasan Mak Pah ialah, Rumah Titian Kaseh adalah satu-satunya tempat yang dituju bagi menempatkan anak yatim, anak luar nikah, dan lain-lain khususnya yang beragama Islam di kawasan Kuala Lumpur. Inilah juga tempat pertama yang dicari oleh pihak HKL bagi menempatkan mereka ini.

Sekitar Kuala Lumpur, tidak banyak pusat perlindungan yang diuruskan oleh orang Islam dan menitik beratkan soal agama Islam kepada penghuninya. Mak Pah pernah menyaksikan di mana bayi-bayi Islam yang diserahkan kepada pusat jagaan Kristian dibaptiskan dan dibesarkan dengan tujuan menjadi mubaligh kristian satu hari nanti. Jadi Mak Pah seboleh-bolehnya mahu anak-anak dan bayi yang tidak bernasib baik ini tidak diserahkan kepada pihak lain.
Selain itu, berdasarkan pengalaman selama lebih 11 tahun beroperasi di Titiwangsa, mudah bagi orang ramai menyalurkan bantuan kerana lokasinya di tengah bandar. Sebagai makluman, PTS sendiri ada memberi bantuan bulanan secara tetap kepada rumah ini.
Mak Pah juga berkata, sudah sampai masanya Rumah Titian Kaseh memiliki rumah sendiri dan tidak lagi menyewa. Ini kerana mereka sudah beberapa kali berpindah dari satu tempat ke satu tempat kerana dihalau oleh tuan rumah dan faktor tekanan oleh masyarakat sekeliling.
Oleh itu, Mak Pah amat berharap orang ramai menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan baki bayaran pendahuluan bagi membeli rumah itu. Rumah Titian Kaseh memerlukan RM200 ribu lebih lagi. Orang ramai bolehlah menderma ataupun memberi pinjam kepada Rumah Titian Kaseh. 
Bagi yang sudi menderma dan ingin mendapat maklumat lanjut, bolehlah hubungi terus Mak Pah di talian 019-6455 769. Bagi yang hendak berjumpa sendiri dan melawat Rumah Titian Kaseh, berikut alamatnya:
Rumah Titian Kaseh
No. 62A-2, Lorong Maran
Off Jalan Kuantan
Tasik Titiwangsa
53200 Kuala Lumpur
Saya mohon rakan-rakan supaya sebarkan emel ini. Mudah-mudahan ada pihak yang sudi membantu dalam kadar segera.

Terima kasih.

NAZRUL SAMSUDIN
Manager
PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
(A Member of PTS Group of Companies)

Sunday, May 3, 2009

Hilang lagi….

Ini emel yang saya terima...

Mohon bantuan kepada sesiapa yang ada terjumpa anak saudara saya Nurhidayah Binti Surip (umur 11 tahun) yang telah hilang dari Asrama Anak Yatim Darul Kifayah, Tmn Koop Polis, Gombak sejak hari Isnin 6 April 2009 .


Jika ada maklumat sila hubungi :

Abdul Razak Bin Salim
HEP Politeknik Johor Bahru
0177011038 / 0169326003

atau : 

Sjn.Dalila IPK Kuala Lumpur.
juga saya mohon bantuan sebarkan maklumat kepada rakan-rakan
terutamanya di sekitar KL