Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

Monday, February 28, 2011

Mula bekerja


Hari ini saya mula bekerja. Mengadap timbunan tugasan dan dereta emel yang tidak terbaca, sejak beberapa hari lepas, sepanjang saya berada membantu menguruskan segala yang berkaita dengan amanah apabila seorang hamba Allah meninggal dunia.

Kembali dari kampung isteri kira-kira lewat tengah malam tadi.. selepas seharian menziarahi adik beradik emak mertua. Mengucapkan terima kasih atas segala jasa mereka. Kami bergerak beberapa buah kereta bersama hampir semua adik beradik ipar yang masih berada di kampung.

Bagi masih hidup, tanggung jawab perlu diteruskan. Cuma mungkin tidak akan sama lagi seperti sebelum ini... Semoga hati yang pedih dan pilu akan beransur pulihsecara walau mungkin mengambil masa yang cukup lama... yang entah bila.. wallahu'alam

nota: gambar bersama Pak Lang dan Mak Lang, sebelum bertolak ke KL.

Tuesday, February 22, 2011

AlFatihah

Lebih kurang jam 3.40 petang tadi, bonda mertuaku, Pn Hajah Rokiah Abdul Rahman, telah dijemput pulang ke pangkuan penciptanya selepas lebih enam bulan disahkan mengidap sakit barah perut.

Jenazah selamat diuruskan dan disemadikan oleh anak-anak dan sanak saudaranya di tanah pekuburan Islam Selama, Perak (berhampiran kubur ayahanda mertua, ustaz Hj Abdul Halim) selepas solat Isyak.

Semoga ruh almarhumah dicucuri rahmat dan inayah Allah.

Al-Fatihah.

Thursday, July 8, 2010

Terjemahan Yasin bahasa Iban di rumah panjang

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti program dakwah pelajar UIA di Sarawak, di rumah panjang Iban.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, jemputan yang diterima ini memang kena pada masanya.

Saya fikir, inilah peluang untuk saya membuat 'ujikaji' terhadap projek terjemahan Iban saya disamping membina jaringan dengan pendakwah Sarawak, khususnya yang berbangsa Iban. Mungkin saya boleh melihat apa lagi keperluan pendakwah di Sarawak ini yang dapat saya bantu melalui PTS Darul Furqan Sdn Bhd yang baru berusia sebulan ini.

Program yang dikendalikan oleh Tim Khidmat Masyarakat UIAM atau CENSERVE TEAM, di bawah unit MISI ini diketuai oleh 'Head, Center for University Social Responsibility, IIUM' iaitu Puan Martinelli Hashim yang telah lebih 20 tahun menabur budi membangunkan kerja-kerja kemasyarakatan UIA di serata pelusuk tanah air. Turut serta dalam misi ini adalah 'Yang Mulia' Ustaz Zainudin Ibrahim, imam masjid UIAM.

Pelajar UIA ini mendapat kerjasama dan dibantu oleh tim pendakwah USK (Urusetia Saudara Kita) Baitumal, Sarawak. Grup NGO Baitulmal yang amat komited dan berdedikasi menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiah di Sarawak. Jumlah mereka kecil, tetapi amat berbisa!

Program dakwah pendalaman ini bertempat di beberapa buah kampung di sekitar daerah Suminjan dan mengambil masa selama lebih kurang 10 hari. Sekitar 20 orang lebih pelajar dari pelbagai bidang yang terlibat.

Perjalanan kami bermula daripada Pusat Penerangan Islam Kuching ke Suminjan selama lebih tiga jam menaiki pacuan empat roda (termasuk satu jam lebih melalui 'offroad').

Di kawasan pendalaman, kami melalui jalan berbukit, berlubang dan jambantan yang rosak serta menunggu masa untuk roboh. Di bawahnya aliran sungai yang kecil, dalam dan agak deras. Saya tidak lihat kelibat 'Pak Ya' di situ, tetapi bak kata orang.. air yang tenang jangan disangka selamat!

Aktiviti pertama sebaik sahaja tiba di rumah panjang Kampung Gayau, adalah solat Jumaat. Ini adalah pengalaman solat Jumaat yang paling menarik. Kerana kami bersolat bersama dengan jemaah saudara baru Iban yang amat-amat jarang berpeluang untuk bersolat jumaat.

Bukan kerana tidak ada kemudahan, malah surau yang dibina oleh PERKIM cukup selesa untuk menampung jemaah untuk solat jumaat secara sederhana. Namun sebenarnya, jumlah penganut Islam amat kecil, iaitu sekitar 10 keluarga dengan tidak sampai 10 orang lelaki dewasa.

Solat Jumaat kami mungkin tidak sah sekiranya mengikut aliran Shafie, tetapi kata Ustaz Zainuddin dan Ustaz Sobri (exKAGAT yang menjadi pendakwah USK sepenuh masa): "Kita bertalfiq bagi tujuan mengajar dan memberi peluang bersolat Jumaat dengan saudara baru di kampung ini".

Di kampung itu dan kampung-kampung lain yang diziarahi, rombongan kami turut menunaikan solat secara genap (tamam) bukan jama' atau qasar. Tujuannya, mengajak saudara baru untuk turut solat dan supaya mereka tidak keliru atau salah faham.

Sepanjang satu hari lebih berada di Kg Gayau, saya tidak terlibat secara sepenuhnya dengan aktiviti pelajar UIA, kecuali solat, makan dan mandi sungai...!

Masa saya banyak dihabiskan dengang berbicara, berbincang, berdialog (atau bahasa mudahnya, bersembang) dengan penduduk kampung.

Saya turut menunjukkan contoh terjemahan Yasin Iban yang sedang diusahakan. Saya minta mereka baca dan komen. Alhamdulillah kata mereka, ia mudah dibaca dan difahami.

Menurut Puan Rashidah Abdullah, pendakwah USK berbangsa Iban yang sudah lebih 10 tahun memeluk Islam, terjemahan Yasin PTS itu menggunakan bahasa Iban moden. Mudah difahami dan senang dibaca.

Mereka meminta sekiranya ada bahan-bahan bacaan agama yang lain yang sesuai dan mudah agar turut diterjemahkan dalam bahasa Iban.

Insya'Allah, projek seterus saya selepas menyiapkan terjemahan lengkap al-Quran dalam bahasa Iban adalah menerbitkan buku-buku agama yang mudah-mudah dalam bahasa Iban. Bukan sahaja untuk bacaan saudara baru, tetapi ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan kerja-kerja outreach dengan bangsa Iban.

Banyak pengalaman dan ilmu yang saya perolehi di Kg Gayau. Banyak yang saya belajar daripada Kak Nelli, ustaz Zainuddin (yang amat gemar memanggil orang dengan gelaran 'Yang Mulia'), Pendakwah USK (Ustazah Nurul Abdullah - x-rahib Bidayuh, Ustaz Sobri, Ustazah Rashidah) pelajar-pelajar UIA dan juga orang kampung. Semoga Allah memberi sebesar-besar ganjaran kepada kalian semua.

Tiga hari yang singkat tetapi terlalu banyak pengalaman yang kalau boleh hendak dikongsikan. Pengalaman pertama saya bermalam di rumah panjang, menguji projek saya secara terus kepada kumpulan sasar, aktiviti mandi sungai yang muaranya ada buaya dan sebagainya.

Itu tidak termasuk pengalaman pulang yang amat mencemaskan; pacuan empat roda kami menyeberangi sungai rosak yang ditenggelami air sungai hampir satu meter. Selepas sejam menunggu ditebing, air tidak surut, maka pemandu mengambil keputusan menyeberanginya..!!!.

Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur saya kepada Allah, atas rahmatnya, doa kawan-kawan dan keluarga (saya sempat sms kepada beberapa orang agar mendoakan keselamatan kami ketika itu). Kami selamat dan saya mampu menulis blog ini pada hari ini walaupun ketika sedang kami masih berusaha menyeberangi jambatan, kereta dihadapan hampir tergelincir dalam sungai!

Setelah sekian lama meninggalkan UIA, inilah kali pertama saya menyertai program dakwah jauh di seberang laut dan pendalaman. Tempoh yang singkat ini amat bermanfaat untuk diri saya dan projek di PTS.

Pengalaman yang mengujakan dan menginsafkan, malah ia sudah cukup untuk menyentak saya dari 'lena yang panjang' .. sejak bergelar graduan UIAM...

Pengalaman, ilmu dan jaringan yang dibina ini menjadi pemangkin kepada saya untuk terus mengembangkan projek dakwah PTS Darul Furqan ini ke dalam bahasa-bahasa etnik lain di Malaysia dan mungkin juga di Kampuchea, Filipina dan sebagainya, insya'Allah.

Terima kasih kepada semua Tim Censerve (anda memang hebat!), kak Nelli (..bila embun menitis, kita tidak mengharapkan gerimis!), big boss PTS - En Arief Hakim, MD PTS Group (yang memberi izin dan menaja perjalanan saya), puan Ainon yang mengilhamkan dan mencetuskan projek ini.

Semoga Allah merahmati dan memudahkan usaha kecil tim PTS Darul Furqan ini. Wallahu'alam.

P/s: Teman-teman boleh melihat banyak lagi gambar photo di facebook saya.

(gambar disebelah ini dari kiri, Ustaz Sobri, Abu Marwan, Tuai Rumah (ketua rumah panjang) yang paling muda... Tuan Abdul Aziz Abdullah, pelajar UIA, Ustaz Zainuddin, Man - Baitulmal. Dibelakang adalah pelajar-pelajar UIA.. mohon maaf juta-juta, memori saya agak lemah untuk mengingati nama kalian..)

Sunday, April 25, 2010

Jika hendak seribu daya

Suatu masa dulu...

Sekumpulan anggota askar wataniah sedang menjalankan latihan medan di sebuah hutan. Petangnya hujan turun dengan lebat. Berhenti sekitar dalam waktu maghrib.

Seorang pegawai atasan berpangkat kapten memberi arahan kepada pegawai bahawannya: "Leftenan, saya mahu anggota platun awak sediakan unggun api. Malam ini kita buat 'camp fire'."

Pegawai muda itu terpinga-pinga dan memadang rakannya yang lain. Dia bersuara: "Tuan, bukankah tadi hujan lebat. Semua kayu api basah lecun..."

Pegawai atasan itu menarik muka masam. Sambil menjegilkan biji matanya dia memandang tepat ke muka pegawai muda itu. Suaranya juga cukup keras. Sambil bercekak pinggang, dia menjerkah: "Itu saya tidak tahu! Yang saya tahu pukul 2100 kita buat 'camp fire'! Atau awak mahu tidur dalam sungai bersama anggota awak sampai pagi?"

Kata-katanya itu cukup membuatkan semua pegawai muda yang mendengar berasa kecut perut. Beberapa anggota platun yang berada tidak jauh dari mereka juga diam. Mereka semua tahu, di dalam hutan, Kapten itu adalah raja. Tidak ada yang berani engkar perintahnya. Sekiranya berada di dalam kem, ingkar arahannya bererti menempah padah. Sama ada 'dibicara' atau seluruh anggota platun bisa mendapat 'penangannya'. Di dalam hutan pula, padahnya itu dikali gandakan dua atau tiga atau mungkin lebih.

Malam itu juga, semua anggota bertungkus lumus menyediakan unggun api. Tidak kira sama ada pegawai atau bukan pegawai, mereka semua berganding bahu. Mahu tidak mahu, unggun api mesti ada atau mereka semua akan tidur berselimutkan air sungai yang sejuknya sampai ke tulang.

Pelbagai teknik digunakan bagi memaksa anak-anak api menggigit dan menyalakan unggun kayu yang basah lecun. Akhirnya kurang dari sejam, daripada unggun yang kecil ia merebak dan menjadi besar.



Satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Bukannya mudah hendak menyalakan api dalam waktu begitu. Ia ibarat mencari sebutir nasi dalam semak. Namun, dek kerana hukuman yang menanti lebih menakutkan, yang mustahil akhirnya menjadi kenyataan. Apa yang penting usaha dan kerjasama!

Kata Kapten, ketika bercakap kepada semua anggota platun di hadapan api yang sedang menyala: "Menghidupkan api di dalam hutan adalah satu kesalahan. Terutam ketika sedang di perbatasan. Namun sebenarnya pada malam ini saya hendak mengajar awak semua tentang falsafah kata-kata 'jika hendak seribu daya, jika malas seribu satu alasan'. Apa yang awak semua lakukan adalah sikap yang perlu disemat dalam dada seorang anggota tentera. Tanpa sikap seperti ini awak semua akan mudah tewas. Faham semua?"

Serentak semua mereka menjawab: "Faham tuan!"

"Bagus, sekiranya awak semua faham, awak semua boleh padamkan unggun api ini!" Kapten mengakhiri kata-katanya sambil dia bergerak menuju ke khemahnya...

Memang malam itu, semua anggota mengeluh. Pelbagai perasaan terpendam dihati mereka. Namun disebalik itu ada pengajaran yang penting yang perlu dipraktikkan.

Wallahu'alam.

Sunday, November 29, 2009

Melontar

Hari ini adalah hari ke 13 Zulhijjah. Bagi jemaah Haji yang berada di Mina, hari ini adalah hari terakhir untuk melontar bagi mereka yang membuat Nafar Thani. Bilangan jemaah haji juga sudah berkurangan sedikit pada hari ini. Kerana, mereka yang membuat Nafar Awal, telah pulang ke Mekah pada hari ke 12. Jadi proses melontar ketiga-tiga Jamrah agak lengang sedikit berbanding hari sebelumnya.

(Pengalaman saya apabila jemaah hendak melontar Jamrah naik ke tingkat tiga kompleks Jamarat, memang tidak sesak dari hari awal. Luas dan selesa. Cuma hari ke 13 lebih luas dan selesa).

Waktu yang afdal melontar adalah selepas waktu zuhur. Jemaah Haji Malaysia menggunakan fatwa yang mengharuskan melontar selepas Subuh. Ini supaya Jemaah Haji Malaysia boleh terus bersiap untuk pulang ke Mekah pada tengahari.

Walau bagaimana pun ada juga Jemaah Haji Malaysia yang membuat Nafar Thani ini melontar bukan pada waktu yang ditetapkan oleh syarak.

Kes ini berlaku di hadapan mata saya. Satu pagi sementara menunggu masuk waktu subuh, sedang saya dan rakan-rakan berbual-buat sambil minum teh panas di hadapan khemah penginapan, seorang jemaah haji yang baru pulang dari melontar menyapa kami. Ketika itu sekitar 4 pagi waktu Mekah.

Pakcik yang duduk sebelah saya bertanya kepada lelaki itu: "Tuan baru balik melontar ke?"

"Ya"

"Tuan melontar untuk hari ke 12 ke?"

"Tidak, saya melontar untuk hari ini. Hari ke 13"

Pakcik sebelah saya agak pelik, dan bertanya lagi: "Eh, bukankah sekarang ini belum masuk waktu Subuh. Belum masuk lagi waktu untuk melontar pada hari ini?"

Dengan suara yang agak sedikit keras, lelaki itu menjawab: "Pakcik, bukankah masuk hari ke 13 ini bermula selepas Maghrib? Macam kita berpuasa. 1 Ramadan bermula pada malam selepas waktu Marghrib. Kita sudah boleh solat Tarawikh, walaupun kita belum berpuasa. Macam itu juga kita melontar. Agama ini macam undang-undang. Lain hakim yang membaca, lain tafsirannya. Saya juga rujuk ustaz."

Selepas menghabiskan kata-katanya, lelaki itu beredar. Saya hanya mendiamkan diri. Pakcik di sebelah saya juga hanya mengeleng-gelengkan kepala sambil menghirup teh panasnya.

Kepala saya ligat memikirkan kata-kata lelaki tersebut. Saya tertanya-tanya dalam hati. Ustaz manalah lelaki itu rujuk. Kenapa tidak rujuk dengan pakar rujuk tabung haji yang ada dalam setiap kawasan penginapan jemaah haji. Memang melontar pada waktu sebelum subuh mudah dan tidak sesak. Namun, ianya tidak sah. Kerana masuk waktu melontar adalah pada selepas waktu subuh. Ini fatwa semasa yang digunakan oleh Tabung Haji dan beberapa negera. Namun sesetengah ulama masih mengekalkan waktu melontar adalah selepas waktu zuhur.

Seingat saya, dalam beberapa kitab fikah yang saya rujuk, tidak terjumpa pula fatwa yang seperti lelaki itu katakan. Mungkin ilmu saya masih cetek. Saya bertanya kepada seorang ustaz veteran yang turut sama dalam jemaah kami. Beliau juga merupakan pakar rujuk SPBYD Agung sekarang. Kata beliau, waktu sah melontar bermula pada waktu subuh. Bukan selepas Maghrib seperti kata lelaki itu. Waktu sah tidak sama seperti waktu masuk tarikh.

Saya khuatir, lelaki tadi bertanya kepada 'ustaz-ustaz instant' tidak bertauliah yang banyak wujud dalam kelompok jemaah haji yang tumbuh bagaikan cendawan... wallahu'alam

Tuesday, November 17, 2009

Azan

Di saat kemeriahan jemaah haji berrtolak dan tiba di tanah suci Mekah, saya memendam rasa rindu untuk ke Mekah lagi. Takala melihat senyum kegembiraan para jemaah dalam berita, kerinduan saya terbawa-bawa dalam tidur.

Saya bermimpi berjalan di lorong-lorong depan hotel Qurtubah Barakah, di lorong Khalid ibn Walid di Shubaikah. Melewati deretan gerai dan kedai yang menjual pelbagai barangan keperluan harian, baju dan sebagainya. Biasanya selepas solat Dhuha di masjidil haram, saya dan isteri akan pulang ke hotel. Mencari sarapan. Atau kadang-kadang berjalan-jalan untuk melihat pelbagai barangan yang dijual sama ada buku, kurma, baju dan sebagainya.

Kali ini saya berjalan menuju hotel Sevilla yang terletak kira-kira 200 meter dari hotel Qurtubah Barakah. Saya terlintas untuk menziarahi seorang sahabat, ustaz Zamri Zainal Abidin, IKIM. Sebaik sampai di hotel, azan mulai berkumandang. Azan zuhur mungkin. Saya berpaling untuk berpatah balik, menuju ke masjid. Dalam pada itu suara azan semakin nyaring dan jelas.

Selang beberapa langkah... tiba-tiba, suasana sekitar menjadi gelap. Saya cuba membuka mata, suara azan masih lagi seperti tadi, suasana sekitar masih lagi gelap. Berbeda dengan tadi, kali ini saya sedang berbaring. Bukan di atas jalan, tetapi di atas katil. Suara azan mengejutkan saya daripada terus bermimpi.

Azan subuh dari surau Taman Permata yang memecah kedinginan subuh. Suara pak bilal Taman Permata yang walaupun tidak semerdu dan sefasih muazzin Masjid al Haram, masih setia dan berjasa mengejutkan jemaah daripada asyik dibuai mimpi dalam dalam kehangatan selimut. Dugaan yang hebat.

Saya teringat kata-kata Prof Kamil (Travelog Haji), adakah kita sekadar rindu kepada Kaabah atau rindu hendak beribadah kepada yang empunya Kaabah? Sekiranya rindu kepadaNya saya perlu teruskan apa yang dibuat ketika di tanah suci dahulu...

Kalau dulu saya boleh berulang alik ke Masjidil Haram yang sejauh 500 meter dari hotel, saya pastinya tidak menjadi masalah untuk ke surau yang hanya 100 meter... lebih-lebih lagi dalam kedinginan pagi dek hujan di malam hari. Wallahu'alam.


--------
Hotel Qurthubah Barakah, terletak kira-kira 500 meter daripada Masjid al-Haram adalah hotel yang terdekat yang didiami oleh jemaah haji Malaysia (muasasah). Hotel tersebut hanya tinggal nama sahaja kerana ia telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran dataran Masjid al Haram.

Hotel Sevilla, terletak kira-kira 750 meter daripada masjidil haram. Satu-satunya hotel yang terdekat untuk jemaah Malaysia tahun ini.

Thursday, August 13, 2009

Tertinggal dalam lif

Semalam kami anak beranak menziarahi adik ayah yang datang bercuti di Malaysia, di aparmet sewanya di tengah ibukota.

Satu peristiwa yang mencemaskan berlaku apabila kami hendak pulang. Ketika hendak menggunakan lif, Kak Yong yang berusia tujuh tahun terlebih dahulu berlari masuk ke dalam lif. Sebelum sempat kami yang lain masuk, lif tertutup dengan Kak Yong bersendirian di dalamnya.

Saya cuba menekan suis pintu beberapa kali dengan harapan ia terbuka sambil berdoa dalam hati. Semua yang melihat hanya terdiam dan menanti pintu terbuka. Beberapa saat kemudian pintu lif terbuka. Kak Yong dengan pantas menerpa keluar. Dia tidak menangis, tetapi mukanya pucat dan air mata bergenangan.

Alhamdulillah, Kak Yong selamat. Peristiwa tersebut berlaku dalam beberapa saat namun, ia sudah cukup untuk merentap jantung kami.

Sebenarnya kami tidak tahu hendak buat apa kecuali cuba menekan-nekan suis pintu dan berharap agar ia terbuka.

Kami di tingkat 24. Apartment tersebut ada 34 tingkat. Ke manakah kami hendak mencari Kak Yong sekiranya lif tersebut bergerak?

Kata Kak Yong, dia juga tidak tahu hendak buat apa. Dia tidak tahu menggunakan lif. Kak Yong hanya mampu mengetuk-ngetuk pintu lif dengan harapan ia akan terbuka.

Peristiwa tersebut menjadi pengaran buat kami semua supaya lebih berwaspada.

24 jam selepas peristiwa tersebut berlaku, jantung saya masih berdebar dan berderau. Saya masih lagi terbayang-bayang Kak Yong menerpa keluar dengan wajah pucat.

Wallahu'alam.

Thursday, October 9, 2008

Doa

Antara doa agar dikurniakan hidayah yang biasa saya baca adalah doa selepas solat sunat Isyraq atau doa di pagi hari selepas tenggelamnya waktu subuh (syuruq):

"Ya Allah, kami memohon kepadamu agar dikurniakan kebaikan hari ini dan jauhikan kami dari kejahatan hari ini. Ya Allah, sinarilah hati-hati kami dengan cahaya hidayah mu, seperti mana engkau menyinari bumi ini dengan cahaya mentari mu" ... Amin.

Cuma, dahulunya, ketika zaman bujang, sebelum berkahwin.. sambil membaca doa ini, sambil saya terbayang Hidayah yang satu itu..

Kata emak, itu penyakit angau tahap parah!... hehehe.

Friday, March 14, 2008

Kawan

Kejayaan saudara Fairus benar-benar mengingatkan kembali nasihat Prof Emeritus Abdullah Hassan 10 tahun lepas kepada saya. Beberapa minggu selepas peperiksaan tahun akhir di UIAM.

Kata Prof yang ketika itu Dekan Pusat Penyelididkan UIAM : "Kawan kita yang sebenar adalah ketika kita belum ada sebarang kepentingan, ketika kita adalah 'nobody'. Apabila kita sudah ada pangkat dan kuasa, kebanyakkan kawan kita bukanlah kawan sebenar. Mereka adalah kawan yang mempunyai kepentingan. Kawan ketika senang."

Lama kemudian, Puan Ainon juga pernah berkata: "Jangan putus hubungan dengan kawan-kawan saudara. Mereka adalah social insurance saudara. Kita tidak tahu, siapakah mereka pada masa hadapan. Kita mungkin memerlukan pertolongan mereka."

Dua tahun lepas, seorang pengurus bank dan kakitangannya yang banyak karenah dan cerewet tidak bertempat, telah menyusahkan urusan saya tanpa sebarang alasan munasabah. Saya memberitahu si pengurus tersebut bahawa saya kecewa dengan layan beliau. Saya juga sudah membuat laporan verbal kepada bahagian undang-undang di Bank Negara dan juga sudah membandingkan prosuder yang menyekat saya itu dengan beberapa bank lain. Hasilnya, pengurus itu membei respon sepantas kilat. Urusan yang tertangguh selama 7 bulan selesai dalam masa 7 hari sahaja!

Saya tidak berbohong kepada pengurus itu. Saya memang telah membuat aduan kepada pegawai kanan di Bank Negara dan beberapa buah bank-bank lain yang berkaitan. Mereka adalah antara rakan yang ketika di sekolah dulu sama-sama makan mee maggi dalam kole atau berenang dalam kolah mandi. Malah peguam yang memberi nasihat perundangan kepada saya adalah teman sekatil saya... Err... katil dua tingkat, saya katil atas dia katil bawah!!

Kes tersebut tidak saya panjangkan. Habis di situ sahaja. Lagipun, saya sudah dapat apa yang saya mahu.

Hemm.. ketika itu baru saya faham apa itu social insurance.

Monday, February 11, 2008

Gambar Ziarah

Ini beberapa keping gambar ketika lawatan PTS ke rumah almarhum saudara Zafran minggu lepas. Lewat dipostkan...

Bonda Zafran: "Makcik terasa sangat kehilangan dia..."


Penasihat PTS, Prof Emeritus Abdullah Hassan, mengetuai bacaan tahlil


Dari kir: Pn Ainon (Sifu), Cik Asyikin (editor PTS Fortuna), Pn Norhazizam (Pengurus Pemasaran)


Dari kiri: Kawan Zafran (tak ingat nama), En Mat Jan (Editor PTS Fortuna), En Nazrul@Abe (Pengurus PTS Pro)

En Vovin (Pengurus PTS One)... Khusyuk? atau shahdu?..

Prof dan bonda Zafran

Fail-fail yang tersusun kemas

Antara buku rujukan

Disini arwah berkarya. Hembusan angin diluar cukup mendamaikan. Bak kata Vovin: "Kalau macam ini punya nyaman, bukan sahaja idea mencurah-curah... tidur pun lena ni!"

Diari.. segala cerita almarhum ditaip dalam komputer...

Kemudian dicetak dan ditampal dalam buku. Kenangan buat yang hidup.

Laptop ini menjadi saksi kegigihan almarhum. Walaupun besar dan berat, ia tetap diusung kehulu kehilir sejak mula menjadi mentee. Dibeli dengan hasil jualan motor pusaka arwah ayah. RM800.

Kediaman yang cukup mendamaikan. Tempat singgah yang fana. Entah bila lagi kami akan ke sini.

Kediaman yang kekal abadi. Yang pasti kami pula akan menyusul. Damailah engkau disana, wahai saudaraku...


"Jangan kalian mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Ali Imran: 169)

Wednesday, February 6, 2008

Saya masih tidak percaya

Saya masih tidak percaya. Zafran yang baru saya kenali sejak bengkel terawal UNIKA di Bukit Tinggi pada tahun 2005, sudah tiada. Lewat kebelakangan ini saya amat jarang berjumpa beliau. Sementelah beliau juga semakin kurang kerap hadir ke bengkel UNIKA dan PTS. Atau mungkin beliau hadir tetapi saya yang kurang kerap bertemu beliau.

Saya terasa seolah beliau masih ada. Cuma tidak muncul di PTS, atau saya yang tidak bertemu beliau. Walaupun semalam, saya bersama rombongan PTS ke rumah beliau, membaca Yasin, tahlil, mendengar ibunya bercerita dalam sendu, melawat biliknya, duduk dikerusi tempat beliau mencurah ilham, membaca coretan diari (dengan izin ibunya) dan yang terakhir bertafakur di pusaranya.

Saya masih terasa beliau akan datang ke PTS, seperti beberapa minggu lepas. Beliau hadir di sisi Alif. Rancak berbincang dengan Alif dan Mat Jan. Saya pula sedang bekejar untuk urusan diluar, dan hanya mampu bertergur sapa, bertanya khabar tanpa sempat berbual panjang atau mendengar celotohnya yang kaya dengan idea. Hanya senyuman beliau ketika itu mewarnai pertemuan singkat kami. Riak wajahnya ada mengambarkan beliau tidak sesihat selalu. Saya yakin akan bertemunya semula, seperti hari itu.

Saya masih terasa seolah beliau masih ada di alam fana ini. Walaupun ketika berada dalam bilik studinya, mengadap deretan fail-fail kerja, projek penulisan, bil internet, pembelian buku, royalti atau membelek buku-buku rujukan dan bacaan beliau. Kemudian, apabila diberi izin melihat fail-fail dalam PCnya, saya akui, beliau seorang yang banyak idea dan kemas kerjanya. Melihat diari yang turut mencatat butiran sms, membuatkan saya terfikir... adakah almarhum (pedihnya menyebut perkataan ini) memang hendak menjadikan ia tatapan kami? Aduh.. terlalu banyak yang hendak diceritakan.

Hubungan saya dan almarhum tidak rapat seperti beliau dengan Alif, Ice, Mat Jan, Kak Nor dan sebagainya. Namun, saya mempunyai kenangan tersendiri bersamanya... kenangan yang sejak dua tiga hari ini segar kembali, dan sentiasa bermain dikepala. Lelbih-lebih lagi apabila membaca catatan teman-temannya di internet.

Saudaraku, semoga damailah ruh mu disisi Tuhan, bersama jiwa-jiwa yang tenang. Kami akan menyusul... lambat atau cepat, pasti tiba masanya.