Monday, September 30, 2013
Bahaya Lidah
https://www.facebook.com/ahmadsaifuddin.yusof?fref=pb&hc_location=friends_tab
Pelajar : Ustaz, malam tadi saya ada terbaca seseorang menulis lebih kuran begini, "Babi bangun pagi mencari makan tidak mengharapkan subsidi." Apa maksud si penulis itu?
Ustaz : Apakah betul seperti mana yang kamu sebut itu?
Pelajar : Seingat saya lebih kurang begitu, lagipun beliau sudah padam ayat itu.
Ustaz : Baik, kita tidak tahu niat penulis itu. Niatnya kita serahkan kepada Allah. Daripada ucapan itu mengundang fitnah pada struktur dan konten ayat.
Pelajar : Mengundang fitnah? Apa maksud ustaz?
Ustaz : Daripada zahir ayat itu ia boleh difahami maksud di sebalik. Pertama, sesiapa yang mengharapkan subsidi adalah tidak sama dengan babi. Kedua, sesiapa yang tidak mengharapkan subsidi adalah sama dengan babi yang tidak mengharapkan subsidi.
Walaupun ia dinyatakan mungkin dalam bentuk metafora, namun pada zahir ayat, ia boleh difahami demikian.
Pelajar : Beliau ada nyatakan bahawa perkataan babi dan kera itu ada dinyatakan dalam Al-Quran sebagai balasan kepada orang-orang yang ingkar.
Ustaz : Pertama, Al-Quran adalah Kalamullah yakni Kata-kata Allah. Al-Quran bukan kata-kata manusia. Kita tidak boleh gunakan apa yang Allah kata itu untuk kita gunakan untuk berkomunikasi dengan manusia. Kedua, balasan itu adalah kepada orang-orang yang ingkar kepada Allah. Allah tidak membalas kepada rakyat yang meminta haknya iaitu subsidi.
Pelajar : Beliau ada menyatakan bahawa Nabi Muhammad pernah menyebut, "Wahai anak babi... Wahai anak kera..."
Ustaz : Ucapan Nabi Muhammad itu perlu ditentusahkan ia betul-betul ucapan Nabi. Kedua, ucapan Nabi Muhammad itu adalah kepada Yahudi Bani Quraizah bukan kepada orang yang meminta haknya.
Pelajar : Bagaimana Nabi Muhammad melayan orang yang suka meminta-minta ustaz?
Ustaz : Dalam sebuah hadith ada satu peristiwa. Hakim bin Hizam menceritakan, "Saya telah meminta sesuatu daripada Nabi, lalu Nabi memberikannya. Kemudian aku meminta lagi, beliau memberi lagi. Aku meminta lagi, lalu beliau memberinya lagi.
Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini manis dan indah, sesiapa yang mengambilnya dengan lapang dada, tentu berkat untuknya. Sesiapa yang mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuknya. Ia umpama orang yang makan tetapi tidak terasa kenyang. Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah."
Hakim berkata, "Wahai Rasulullah, demi Allah yang mengutuskanmu dengan benar, aku tidak akan meminta dari sesiapa pun selepas ini hingga mati." Pada zaman Khalifah Abu bakar, beliau memanggil Hakim untuk membahagikan bahagiannya daripada Baitul Mal, namun Hakim menolaknya. Sewaktu zaman khalifah Umar al-Khattab, beliau juga memanggil Hakim untuk memberikan bahagian daripada Baitul Mal, Hakim juga menolak. Lalu Umar al-Khattab berkata, "Wahai kaum muslimin, aku bersaksi kepada kalian bahawa saya telah memberikan kepada Hakim bahagiannya daripada harta, tetapi beliau menolak." Hakim tetap tidak mahu menerima sesiapa pun selepas Rasulullah sehingga Hakim meninggal dunia. - Muttafaqun 'Alayh, rekod Sahih al-Bukhari & Muslim.
Nabi Muhammad langsung tidak menyebut perkataan 'babi' atau apa-apa nama binatang.
Pelajar : Baik, saya faham.
Thursday, August 9, 2012
Pecutan 10 Malam terakhir.
Ia umpama kita di tempat kerja memberi pecutan terpantas dan berkerja keras diluar kebiasaan bagi mengejar sasaran KPI demi meraih ganjaran daripada majikan.
Namun, ganjaran yang dijanjikan untuk 10 malam terakhir ini adalah lebih daripada apa yang mampu ditawarkan oleh mana-mana majikan di dunia. Iaitu ganjaran bonus sebanyak seribu bulan atau 83.3333333 tahun untuk sebarang amalan pada malam istimewa ‘lailatul qadar’. Malam yang menjadi rahsia Allah.
Apa yang istimewanya 10 malam terakhir ini?
Rasulullah s.a.w. yang maksum, tidak ada dosa, memberikan tumpuan lebih dalam sepuluh malam terakhir ini. Beliau turut mengajak para sahabat dan kaum keluarganya supaya bangun beribadah dimalam hari. Dalam satu hadith, disebutkan:
“Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya (bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah).” (Direkodkan oleh imam Bukhari)
Salah satu malam daripada 10 malam terakhir ini adalah malam istimewa yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Qadr ayat 1-5):
(1)Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. (2)Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (3)Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (4)Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (5)Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Pada malam lailatul Qadr ini, rombongan malaikat yang paling rapat dan dekat dengan Allah yang diketuai oleh penghulu para malaikat iatu Jibril a.s. akan turun dan menziarahi manusia.
Siapa yang beribadah, bersolat (solat sunat, solat qada’), berzikir, berdoa, meminta ampun atau sebarang amalan mengingati Allah pada malam itu, akan digandakan amalannya ibarat beramal selama 1000 bulan.
Apa yang perlu dibuat pada malam-malam terakhir ini?
- Melipat gandakan apa jua amalan mengingati Allah yang kita tahu dan boleh lakukan. Seperti solat-solat sunat, membaca al-Quran.
- Banyakkan berzikir dan bersalawat sama ada secara khusus lepas solat atau ketika membuat apa jua perkerjaan, termasuk berzikir ketika menyediakan sahur, berzikir sebelum tidur hingga lena.
- Melipat gandakan solat-solat sunat. Sebaiknya selepas bangun untuk sahur (sebelum sahur)
- Beriktikaf (duduk) dimasjid dengan mengerjakan apa jua ibadah khusus seperti solat, membaca al-Quran.
- Memperbanyakkan berdoa. Mintalah apa sahaja kepada Allah dengan penuh ikhlas dan bersungguh.
- Mandi dan memakai wangi-wangian sebelum mengerjakan ibadah.
- Mengejutkan ahli keluarga agar turut bangun dan mengingati Allah.
- Beristighfar dan sentiasa meminta agar Allah mengampuni dosa-dosa kita. Rasulullah mengajar doa ini: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni”(maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Mengampun, maka ampunilah aku ini)
- Mengurangkan aktiviti duniawi yang menyibukkan hati kita daripada mengingati Allah. Kerana, pesan imam Ghazali, semakin dekat dan kuatnya ikatan hati kita kepada perkara/harta dunia, semakin jauh Allah dari kita.
- Solat Isyak dan Subuh berjemaah. Menurut Imam Syafie, : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadr, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu (mendapat ganjaran lailatul Qadr).”
Semoga sedikit catatan ini dapat mengingatkan saya dan tuan-tuan semua agar memuliakan bulan Allah ini dan merebut segala ganjara yang ada pada sisa-sisa bulan Ramadhan ini.
Kita tidak mampu hidup dengan penuh ketaatan kepada Allah selama 1000 bulan atau 83 tahun. Malah kita juga belum tentu mampu mengqada’ (mengulangi) ganjaran ibadah-ibadah yang kita dahulu pernah terlepas, cuai atau alpa.
Justeru, tawaran Allah ini sekurang-kurangnya dapat menampal cacat cela dan mendapat keampunan-Nya, malah memberi jaminan tempat kita disyurga nanti, dan melepaskan kita dari azab siksa kubur. Insya Allah.
Semoga kita semua beroleh ganjaran taqwa dan malam lailatul Qadar.
Wallahu’alam.
Monday, January 2, 2012
BERSYUKUR KEPADA ALLAH
وَٱشۡڪُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ
“Dan bersyukurlah atas nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata”
- Supaya nikmat yang dikurniakan Allah itu kekal. Sebab jika kita tidak bersyukur segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita akan hilang
- Supaya nikmat yang dikurniakan Allah itu bertambah.
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ﴿١١﴾Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍBagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (ar-Ra'd : 13)
Dipetik daripada buku Minhajul Abidin karya Imam Ghazali
Saturday, August 20, 2011
Dahsyatnya malam ini..
Bermula malam ini hingga ke penghujung Ramadan adalah malam-malam yang paling istimewa. Bukan kerana kita semakin dekat dengan Hari Raya atau Ramadan semakin ke penghujung dan dapat bercuti panjang.Istimewanya malam-malam ini adalah kerana Allah menjadikannya istimewa untuk hamba-Nya yang menghayati Ramadan dan benar-benar mengharapkan keberkatan dan keampunan-Nya.
Mafhum kalam Allah dalam Surah Al-Qadr:
(1)Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. (2)Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (3)Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (4)Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (5)Malamitu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Antara kelebihan malam 10 terakhir Ramadan yang menjadikan ia istimewa adalah;
1. Nabi Muhammad saw memperbanyakkan ibadah pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya. Saidatina Aisyah berkata maksudnya;
“Apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Rasulullah menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
2. Dalam malam-malam ini, ada satu malam yang paling istimewa yang lebih baik daripada seribu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti kalam Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1)
Ibn Abbas berkata :
“Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfuz (terletak di sisi Allah) ke Bait al-Izzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 25 tahun.”
Malam al-Qadr ini juga disifatkan sebagai malam yang penuh keberkatan. Allah menyatakan dalam Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)
Pada malam ini juga turunnya malaikat yang paling istimewa dari langit. Rombongan ini diketuai oleh malaikat Jibril alaihisalam, penghulu sekalian malaikat. Malaikat-malaikat ini turun bersama-sama barakah dan rahmah Allah yang hanya untuk malam ini.
Menurut Iman Qatadah yang dipetik oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, pada malam al-Qadr itu Allah menetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Pada malam ini juga Allah memberi ampun kapada hambanya yang benar-benar mengharapkan keampunan daripada-Nya.
Mafhum kalam Allah dalam Quran:
“Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4)
Bilakah malam al-Qadr ini?
Hanya Allah yang maha mengetahui bilakah malam yang penuh barakah ini. Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. ada memberi sedikit klu. Dalam satu hadis yang dilaporkan oleh Abdullah ibn Abbas dan direkodkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah menyebut yang bermaksud:
“Carilah malam al-Qadr ini pada sepulu terakhir di bulan Ramadan, pada sembilan hari yang berbaki, pada tujuh hari yang berbaki dan pada lima hari yang berbaki”
Menurut Ibn Kathir, para ulama menafsirkannya sebagai malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir.
Ada satu hadis yang agak panjang dan dilaporkan oleh Abu Said al-Khudri, beliau menyatakan ketika Rasulullah sedang beriktikaf bersama para sahabat pada sepuluh malam terakhir Ramadan di masjid, Rasulullah bangun mengatakan kepada para sahabat bahawa malam itu adalah malam al-Qadr. Kemudian hujan turun mencurah-curah sehingga membasahi mereka semua (pada masa itu bumbung masjid diperbuat daripada pelepah kurma). Lalu Rasulullah bersolat sehingga para sahabat dapat melihat bekas tanah dan air pada dahi Rasulullah.
(ketika saya menulis ini, hujan turun mencurah-curah. Semoga malam ini adalah malam al-Qadr).
Apa yang perlu dilakukan pada malam-malam yang istimewa ini?
Berusaha membanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadan ini seperti sembahyang terawih, membaca al-Quran, beriktikaf dan bersedekah.
Beriktikaf di masjid dan melakukan ibadah malam seperti Qiamulail, solat tahajjud, solat taubat, solat tasbih, solat witir dan banyakkan berzikir mengingati Allah.
Mengejutkan ahli keluarga agar turut menghidupkan 10 malam terakhir ini seperti yang dilakukan oleh Rasulullah.
Sentiasa memohan keampunan dari Allah dan pembebasan dari azab api neraka. Dalam satu hadis sahih yang dilaporkan Aisyah dan direkodkan oleh Imam al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ اْلعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni
(maksudnya) Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.
Apa yang saya nukilkan disini adalah sebahagian kecil daripada kehebatan dan amalan meraih ganjaran yang tidak ternilai hebatnya ini. Kita mungkin belum tentu dapat hidup dan beramal selama seribu bulan (83.3 tahun). Oleh itu, peluang bonus 1000x amalan ini tidak harus disia-siakan.
Semoga kita semua mencari malam malam al-Qadr ini dan beroleh nikmatnya. Wallahu'alam.
Gambar diambil dari pautan ini:
Wednesday, June 22, 2011
Bersugi
Bersugi adalah perbuatan menggosok gigi dengan kayu meswak. Berdasarkan hadis Rasulullah yang dilaporkan oleh Abu Hurairah, hukum bersugi ini adalah sunnah.“Kalau tidaklah menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk". (Direkodkan oleh Imam Ahmad )
Waktu yang paling dituntut untuk bersugi adalah selepas bangun tidur (terutama pada waktu pagi), ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca Al-Quraan dan ketika mulut kita berubah bau.
Ada beberapa pandangan ulama yang kontemporari mengatakan bahawa, bersugi tidak semestinya dengan kayu meswak. Berdasarkan hadis Rasulullah di atas, penekanan tentang bersugi ini adalah supaya kita menjaga kebersihan mulut. Oleh itu, mengambil kira saranan Rasulullah supaya membersihkan mulut, kita boleh sahaja bersugi dengan cara menggosok gigi, sementalah, kini sudah ada ubat gigi yang dibuat daripada estrak kayu meswak.Apa pun, sama ada menggunakan ubat gigi ataupun kayu meswak, yang penting kita melakukannya dengan niat mengamalkan sunnah Rasulullah. Kita berusaha mencontohi Rasulullah dengan cara yang paling dekat dengan beliau atas dasar cinta kepadanya. Bak kata Rasulullah dalam khutbah terakhirnya:
"Barangsiapa mencintai sunnahku, berarti mencintai aku dan kelak orang-orang yg mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku"Mafhum ayat al-Quran:
“.. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar2 mencintai Allah maka ikutlah aku (nabi Muhammad), nescaya Allah mencintaimu dan mengampunkan dosa2 kamu - (Ali ‘Imraan 3:31)Wallahu'alam.
Thursday, May 26, 2011
TIP-TIP MENZIARAHI ORANG SAKIT DAN NAZAK:
“Apa bila kamu datang mengunjungi orang sakit maka hiburkanlah dia dengan (kata-kata) dilanjutkan usia. Memang hiburan itu tidak akan menolak (ketentuan Allah) sedikitpun, sebaliknya ia menyenangkan jiwanya.” (Hadis direkodkan oleh Ibnu Majah dan Tirmizi)
“Ajarkanlah orang yang menghadapi kematian itu dengan kalimah لا إله الاّ الله " (Direkodkan oleh Muslim).
Friday, April 8, 2011
Larangan Syara' Berkenaan Tabarruj (Berhias) Ke Atas Wanita
Ini artikel yang saya petik daripada sini.
Soalan: Saya tahu bahawa Tabarruj adalah cara berpakaian atau perbuatan berhias secara berlebih-lebihan yang boleh menarik perhatian. Jadi, jika Khimar (tudung) seseorang wanita itu kecil, maka kelihatan leher atau rambut wanita tersebut, maka, adakah ia dianggap Tabarruj? Walhal, rambut dan leher yang kelihatan hanya sedikit dan tidak menarik perhatian dimana kebanyakan wanita yang tidak berjilbab biasanya berjalan dijalan-jalan dan mereka tidak menarik perhatian?
Jawapan:
Tabarruj adalah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai, tetapi tanpa membuka bahagian–bahagian sulit (aurat). Ini dibatasi dengan tanpa membuka bahagian-bahagian sulit (aurat) kerana Tabarruj dengan memperlihatkan aurat adalah dilarang tanpa mengambil kira samada seseorang wanita itu menarik perhatian ataupun tidak.
Isunya bukanlah kerana tidak menutupi aurat, contohnya perbuatan seperti memakai make-up dimuka, dijari, ditudung atau baju atau menghiasi kaki seperti memakai gelang kaki. Kesemua perbuatan berhias ini, jika tidak menjadi kebiasaan di kawasan dimana seseorang wanita itu tinggal, dan perhiasan ini menarik perhatian, maka ini dipanggil Tabarruj dan ini adalah dilarang.
Jadi, contohnya, jika seseorang wanita itu mewarnai kukunya didalam sebuah kampung yang kebiasaan wanita-wanitanya tidak mewarnai kuku mereka, maka perbuatan berhias ini akan menarik perhatian, dan ini adalah dilarang, walaupun tapak tangan bukanlah aurat.
Dan jika dia berjalan, kedengaran bunyi gelang kakinya dan menarik perhatian kepada perhiasan dikakinya, walaupun kakinya tertutup, ini juga dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang.
Jika seseorang wanita itu memakai sehelai tudung broked yang bukan kebiasaannya, dan ini menarik perhatian, maka ini dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun rambutnya terlindung.
Jika seseorang wanita itu memakai Jilbab (jubah) yang mempunyai motif dibahagian dada yang boleh menarik perhatian, maka ini adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun Jilbab adalah pakaian yang Shar’ei.
Oleh yang demikian, berpakaian menutupi aurat, tetapi menarik perhatian adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Manakala berpakaian dengan membuka aurat adalah sama sekali dilarang samada ia menarik perhatian ataupun tidak.
Dalil tentang perkara ini adalah;
زينتهن من يخفين ام ليُعْلَم بأرجلهن يضربن ولا
“Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [An-Nur (24):31].
Seseorang wanita itu dilarang untuk berjalan dengan cara yang boleh menarik perhatian kearah gelang kakinya walaupun kakinya tertutup. Oleh itu, berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang.
Kesimpulan: Berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Berpakaian dengan cara yang membuka aurat adalah sama sekali dilarang, tidak kira samada ia menarik perhatian ataupun tidak. Sudah semestinya membuka aurat adalah sesuatu yang dilarang.
Oleh itu, berpakaian walaupun dengan cara yang dibenarkan tetapi menarik perhatian seperti yang diterangkan diatas, adalah Tabarruj dan dilarang. Ini hanya boleh diketahui dari keadaan dan realiti persekitaran dimana wanita tersebut tinggal dan untuk mengetahui kebiasaan disana tidak sukar kerana komuniti – lelaki dan wanita boleh menilai dan mengetahuinya.
Menarik perhatian adalah penentu samada berpakaian itu adalah Tabarruj atau pun tidak. Manakala berpakaian yang tidak menutup aurat pula bukan terletak pada hukum Tabarruj, tetapi pada hukum aurat dan dalil-dalilnya adalah jelas, dimana seseorang wanita itu dilarang untuk membuka auratnya ,walaupun tidak menarik perhatian. Allah Subhanahu wa Taala berfirman :
الآية… لِبُعُولَتِهِنَّ إِلاَّ زِينَتَهُنَّ يُبْدِينَ وَلاَ جُيُوبِهِنَّ عَلَى بِخُمُرِهِنَّ وَلْيَضْرِبْنَ مِنْهَا ظَهَرَ مَا إِلاَّ زِينَتَهُنَّ يُبْدِينَ وَلاَ
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka …..” [An-Nur (24) : 31]
مِنْهَا ظَهَرَ مَا إِلاَّ
“kecuali yang (biasa) nampak daripadanya” bererti muka dan dua tapak tangan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (semoga Allah merahmatinya), Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, pernah bersabda,
إالمفصل لى ويداها وجهها لاإ منها يرى أن يصلح لم حاضت إذا الجارية إن
“Jika seorang anak perempuan itu telah baligh, hanya muka dan kedua tapak tangannya yang boleh kelihatan” [Direkodkan oleh Abu Dawud]
Oleh yang demikian, menurut dalil-dalil yang diberi, seseorang wanita itu tidak boleh memperlihatkan selain dari muka dan dua tapak tangannya kecuali kepada suami dan mahramnya. Inilah kewajipan untuk memakai Khimar yang sesuai untuk menutupi rambut dan leher dan melabuhkannya kedada, supaya tiada yang kelihatan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Allah Subhanahu wa Taala berfirman;
جُيُوبِهِنَّ عَلَى بِخُمُرِهِنَّ وَلْيَضْرِبْنَ
“Dan hendaklah mereka menutup kain tudung kedadanya…” [Al-Nur (24) : 31]
yang bermaksud melilit tudung kebahagian pembukaan baju supaya leher tidak kelihatan dan tudung akan menutupi bahagian kepala, telinga dan leher, hanya kelihatan muka dan tapak tangan sahaja.
Oleh: Sheikh Ata ibn Khaleel Abu al-Rashta
Sumber: Islamic revival
Friday, March 11, 2011
Ingat Mati
Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa.
Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda:"Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru.
Katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat".
Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu';
Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu).
Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu".
Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi.
Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi:"Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)".
Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".
Disalin terus daripada: http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=129
Wednesday, March 9, 2011
Dosa Kecil

Friday, January 21, 2011
Hari Jumaat
Ada banyak hadis yang menyebut tentang keistimewaan hari Jumaat. salah satunya adalah:
“Sesungguhnya hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah dan ia (hari Jumaat) adalah lebih agung di sisi Allah dari Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Pada hari Jumaat itu terdapat lima peristiwa penting. (Iaitu) Allah mencipta Nabi Adam, Allah menurunkan Nabi Adam ke bumi, Allah mewafatkan Nabi Adam, pada hari itu ada satu waktu, bila seorang hamba memohon kepada Allah pasti Allah mengurniakannya selama mana dia tidak meminta yang haram dan pada hari itu juga terjadinya Hari Kiamat. Tiada satu malaikat Muqarrib, tidak juga langit, bumi, angin, gunung, dan lautan kecuali mereka itu merasa takut akan hari Jumaat.” (direkodkan oleh Ibnu Majah).
Ada juga hadis yang yang agak panjang dan diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi yang menyebut waktu yang digalakkan bedoa adalah selepas waktu Asar hingga ke Maghrib, selama mana kita teruskan berzikir selepas asar menunggu waktu Maghrib.
Imam Tirmidzi juga ada meriwayatkan hadis tentang galakan berdoa dalam ketika solat jumaat. Para ulama menafsirkan hadis ini dengan mengatakan yang dimaksudkan berdoa dalam waktu solat Jumaat itu adalah berdoa pada waktu antara dua khutbat, kerana khutbat Jumaat itu juga dianggap sebagai solat Jumaat.
wallahu'alam.
Sunday, January 16, 2011
Doa...
Monday, August 16, 2010
Tiket Ekspres

Bulan lepas, Ketika ke Bandung, Indonesia, bersama GM PTS, saya menaiki penerbangan Air Asia dengan tiket Expres Boarding Special. Tiket ini harganya lebih RM25.00 daripada tiket biasa.
Kelebihan tiket ini, saya dapat duduk di barisan hadapan yang memberikan sedikit ruang kaki yang selesa untuk penumpang berbadan besar seperti saya (walau pun tidak sampai sekaki luas daripada tempat duduk bisa)
Kelebihan yang ke dua juga amat berguna. Di saat penumpang semua berebut-rebut beratur di ruang berlepas, pemegang tiket ini akan dipanggil menaiki pesawat terlebih dahulu tanpa perlu beratur (ketika di Bandung, penumpang di panggil dengan nama mereka!).
Apabila nama saya dan En Fauzul dipanggil, saya melihat mata-mata penumpang lain seakan cemburu apabila melihat kami melangkah menaiki pesawat tanpa perlu beratur. Malah perjalanan kami keluar dari balai berlepas dan menaiki pesawat diiringi oleh pramugari.
Itu sahaja.
Memang menyeronokan mendapat layanan yang sedikit istimewa, namun juah di sudut hati saya berasa insaf.
Di dunia ini, saya dapat tempat istimewa seperti menaiki pesawat tanpa beratur, diiringi pramugari dan diberi keselesaan dengan hanya membayar sedikit wang tambahan. Namun adakah di akhirat nanti, saya boleh membeli keistimewaan sedemikian?
Alangkah nikmatnya, jika di Padan Mahsyar, dalam lautan manusia yang berasak berhimpun di bawah panas terik membara, nama saya dipanggil masuk terlebih dahulu melalui pintu-pintu VIP. Seperti mana pintu Al-Rayyan memanggil-manggil mereka yang berpuasa agar terlebih dahulu masuk melaluinya. Malah mereka disambut dan diiringi oleh bidadari syurga.
Lamunan saya tersentak apabila mengingatkan kata-kata Sayyid Maulana al-Maududi, “Sesungguhnya manusia ini menyangka mereka amat mudah untuk masuk ke syurga”...
Benarlah, sesungguhnya, apabila melihat kepada amalan yang dilakukan didunia ini seolah-olah diri ini berasakan mudahnya untuk masuk ke syurga. Amalan yang dilakukan tidak menggambarkan betapa bersungguhnya diri ini hendak menempah tiket ke syurga Allah. Tiket yang hanyak boleh dibayar dengan iman dan ihsan.
Masa didunia ini adalah masa membina iman untuk menempah tiket VIP di akhirat nanti.
Saya mahu jadi pemengang tiket istimewa, dengan layanan yang istimewa.
Sekiranya Air Asia sekarang sedang rancak menawarkan jualan istimewa tiket percutian, maka Air Akhirat juga pada bulan Ramadan yang mulia ini sedang mengadakan Jumbo Salesnya untuk penerbangan istimewa di sana nanti..
“Ya Allah, terimalah amalan ibadah ku sepanjang Ramadan ini dan kurniakanlah aku keberkatan malam seribu bulan... aminn”
Wallahu'alam.
Friday, August 13, 2010
Khutbah Nabi saw mengenai Ramadhan
Tuesday, July 27, 2010
Mengajar anak bersolat

Kawan-kawan bercerita tentang anak sembahyang (solat).
"Anak saya rajin bersolat. Usia baru 4 tahun. Apabila masuk sahaja waktu, dia terus mengambil sejadah."
"Anak saya jarang sekali meninggalkan solat sejak umurnya 6 tahun"
"Apabila anak saya sudah masuk darjah satu baru saya hendak menyuruh dia bersolat"
"Anak saya ini, liat sangat hendak bersolat. Kalau baru 7-8 tahun susah hendak bersolat, sudah besar nanti macam manalah."
"Saya susah hendak suruh anak saya solat."
"Macamana saya hendak suruh anak saya rajin solat berjamaah?"
Ini adalah antara cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dalam mengajar anak bersolat. Ada yang sudah bersolat dan rajin berjamaah dan begitulah sebaliknya.
Pengalaman saya mendidik anak solat adalah berpandukan dua hadis nabi ini:
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah solat sambil menggendong (cucunya) Umamah binti Zainab binti Rasulullah s.a.w iaitu anak Abi al-‘As bin Rabi'. Ketika Rasulullah berdiri, beliau mengendong anaknya dan ketika beliau sujud, diturunkannya.” (direkodkan oleh Imam Muslim)Ini tip mengajar anak sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah. Rasulullah membawa anak-anak kecil solat bersama, walaupun mereka belum faham dan hanya pandai merangkak. Amalan ini secara tidak langsung menjadikan mereka biasa dengan suasana bersolat.
"Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. untuk bersolat ‘Isya, baginda membawa bersama cucunya Hasan atau Husain ketika solat. Nabi s.a.w. memanjangkan/melamakan sujudnya kerana cucunya naik/duduk di atas belakang beliau semasa sujud." (direkodkan oleh an-Nasai)
Anak-anak belajar dengan menjadikan ibu bapa sebagai model utama mereka. Ibu bapa yang mengamalkan solat berjamaah dan bawa anak kecil bersama akan lebih memberi kesan kepada anak daripada hanya menyuruh mereka.
Ini termasuk membawa mereka bersama ke masjid, supaya mereka biasa solat berjamaah di masjid dan rapat dengan masjid sejak dari kecil. Cuma dalam keadaan ini ada beberapa perkara yang perlu diambil kira seperti kebersihan pakaian mereka (suci dari najis) dan sebagainya.
Ibu bapa boleh mengamalkan doa yang Allah ajar dalam al-Quran, surah Ibrahim ayat 40:
رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِىKata 'pepatah, meluntur buluh biar dari kecil'.
(Wahai Tuhanku! Jadikanlah saya orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga anak-anak serta keturunan saya.)
Wallahu'alam.
Monday, July 12, 2010
Kebanjiran anak luar nikah
257,000 sijil kelahiran tanpa bapa
IPOH 1 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.
Titah baginda, berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.
Tambahnya, perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).
Baginda bertitah, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.
“Nyatalah masalah anak luar nikah makin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi.
“Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.
(Di salin daripada Utusan Online)
Berita di atas mengingatkan saya kepada kata-kata almarhum ustaz Dato' Fadhil Noor, mantan presiden PAS dalam satu sesi di Parlimen lewat tahun 90an. Beliau bersyarah panjang tentang bahayanya kebanjiran anak luar nikah ini, mendesak pihak kerajaan membendung kebajiran anak luar nikah
Kata beliau, anak luar nikah ini (khususnya yang beragama Islam) akan membesar sebagai kanak-kanak yang pendendam. Masyarakan umumnya memandang serong kepada anak luar nikah. Ini menyebabkan mereka akan menyimpan perasaan marah dan berdendam kepada ayah dan ibu kandung mereka yang melahirkan mereka.
Apabila besar, mereka berpontensi terlibat dalam aktiviti jenayah. Lebih parah, kesetiaan mereka kepada negara boleh dipertikaikan. Mereka mampu memberi ancaman dan menggugat keselamatan negara. Situasi ini akan menyebabkan ketidakamanan dan kestabilan dalam negara.
Justeru kerajaan perlu mengambil tindakan mencegah situasi ini supaya tidak menjadi lebih parah dan berleluasa... Kerajaan perlu mengambil inisiatif memelihara institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan agar tidak bertambah bobrok.
Malangnya, ahli parlimen kerajaan pada masa tersebut tidak menunjukan kebimbangan terhadap situasi tersebut, malah memperlecehkan kata-kata beliau.
Wallahu'alam.
Thursday, July 8, 2010
Terjemahan Yasin bahasa Iban di rumah panjang

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, jemputan yang diterima ini memang kena pada masanya.
Saya fikir, inilah peluang untuk saya membuat 'ujikaji' terhadap projek terjemahan Iban saya disamping membina jaringan dengan pendakwah Sarawak, khususnya yang berbangsa Iban. Mungkin saya boleh melihat apa lagi keperluan pendakwah di Sarawak ini yang dapat saya bantu melalui PTS Darul Furqan Sdn Bhd yang baru berusia sebulan ini.
Pelajar UIA ini mendapat kerjasama dan dibantu oleh tim pendakwah USK (Urusetia Saudara Kita) Baitumal, Sarawak. Grup NGO Baitulmal yang amat komited dan berdedikasi menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiah di Sarawak. Jumlah mereka kecil, tetapi amat berbisa!
Program dakwah pendalaman ini bertempat di beberapa buah kampung di sekitar daerah Suminjan dan mengambil masa selama lebih kurang 10 hari. Sekitar 20 orang lebih pelajar dari pelbagai bidang yang terlibat.
Perjalanan kami bermula daripada Pusat Penerangan Islam Kuching ke Suminjan selama lebih tiga jam menaiki pacuan empat roda (termasuk satu jam lebih melalui 'offroad').
Di kawasan pendalaman, kami melalui jalan berbukit, berlubang dan jambantan yang rosak serta menunggu masa untuk roboh. Di bawahnya aliran sungai yang kecil, dalam dan agak deras. Saya tidak lihat kelibat 'Pak Ya' di situ, tetapi bak kata orang.. air yang tenang jangan disangka selamat!
Di kampung itu dan kampung-kampung lain yang diziarahi, rombongan kami turut menunaikan solat secara genap (tamam) bukan jama' atau qasar. Tujuannya, mengajak saudara baru untuk turut solat dan supaya mereka tidak keliru atau salah faham.
Masa saya banyak dihabiskan dengang berbicara, berbincang, berdialog (atau bahasa mudahnya, bersembang) dengan penduduk kampung.
Menurut Puan Rashidah Abdullah, pendakwah USK berbangsa Iban yang sudah lebih 10 tahun memeluk Islam, terjemahan Yasin PTS itu menggunakan bahasa Iban moden. Mudah difahami dan senang dibaca.
Insya'Allah, projek seterus saya selepas menyiapkan terjemahan lengkap al-Quran dalam bahasa Iban adalah menerbitkan buku-buku agama yang mudah-mudah dalam bahasa Iban. Bukan sahaja untuk bacaan saudara baru, tetapi ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan kerja-kerja outreach dengan bangsa Iban.
Banyak pengalaman dan ilmu yang saya perolehi di Kg Gayau. Banyak yang saya belajar daripada Kak Nelli, ustaz Zainuddin (yang amat gemar memanggil orang dengan gelaran 'Yang Mulia'), Pendakwah USK (Ustazah Nurul Abdullah - x-rahib Bidayuh, Ustaz Sobri, Ustazah Rashidah) pelajar-pelajar UIA dan juga orang kampung. Semoga Allah memberi sebesar-besar ganjaran kepada kalian semua.
Tiga hari yang singkat tetapi terlalu banyak pengalaman yang kalau boleh hendak dikongsikan. Pengalaman pertama saya bermalam di rumah panjang, menguji projek saya secara terus kepada kumpulan sasar, aktiviti mandi sungai yang muaranya ada buaya dan sebagainya.
Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur saya kepada Allah, atas rahmatnya, doa kawan-kawan dan keluarga (saya sempat sms kepada beberapa orang agar mendoakan keselamatan kami ketika itu). Kami selamat dan saya mampu menulis blog ini pada hari ini walaupun ketika sedang kami masih berusaha menyeberangi jambatan, kereta dihadapan hampir tergelincir dalam sungai!
Setelah sekian lama meninggalkan UIA, inilah kali pertama saya menyertai program dakwah jauh di seberang laut dan pendalaman. Tempoh yang singkat ini amat bermanfaat untuk diri saya dan projek di PTS.
Pengalaman, ilmu dan jaringan yang dibina ini menjadi pemangkin kepada saya untuk terus mengembangkan projek dakwah PTS Darul Furqan ini ke dalam bahasa-bahasa etnik lain di Malaysia dan mungkin juga di Kampuchea, Filipina dan sebagainya, insya'Allah.
Terima kasih kepada semua Tim Censerve (anda memang hebat!), kak Nelli (..bila embun menitis, kita tidak mengharapkan gerimis!), big boss PTS - En Arief Hakim, MD PTS Group (yang memberi izin dan menaja perjalanan saya), puan Ainon yang mengilhamkan dan mencetuskan projek ini.
Semoga Allah merahmati dan memudahkan usaha kecil tim PTS Darul Furqan ini. Wallahu'alam.
Thursday, June 24, 2010
ZINA YANG BERLELUASA
Masih sukar menghilangkan bayangan anak2 Palestine yang setiap saat berdepan dengan kekejaman. Anak kecil di Malaysia pula berdepan dengan kekejaman ibu yang membuang anak sendiri ke dalam tong sampah selepas berzina.
Ketenangan petang ini tergugat dengan bahan2 berita yang meruntun perasaan. Data dan statistik yang mengerikan. Apa perasaan anda membaca fakta berikut:
Dalam satu kajian yang dilakukan kepada remaja Melayu bandar dan luar bandar tahun 2009, didapati 300 dari 400 belia berumur antara 13-25 tahun mengatakan pernah melakukan hubungan seks. Ada yang melakukannya seawal sekolah rendah. Amat mengejutkan bahawa 85% dari mereka yang melakukannya bukan saja tidak merasa kesal, malu atau takut berdosa tetapi mengatakan ianya sebagai pengalaman yang sangat menyeronokkan.
Faktor utama yang menyebabkan keadaan ini bukanlah faktor keluarga bermasalah tetapi adalah disebabkan tarikan kawan2.
Anda tentu merasa ngeri sebagaimana yang saya rasakan kerana kita punya anak, adik, cucu dan mereka akan punya kawan2 yang menjadi penentu utama kepada jenis peribadi mereka, samada sebagai manusia baik akhlaknya atau sebagai penzina.
Kita menjaga rumahtangga, kita menghantar mereka ke sekolah agama…..seolahnya2 segalanya sudah kita lakukan. Tetapi mereka ditarik oleh rakan mereka yang diluar kemampuan kita mengawalnya.
Tidak pernah kita terbayang bahawa hari ini kita berada di negara kita, di mana 3 dari setiap remaja pernah berzina, dan tidak merasa berdosa dengan perbuatan mereka. Ini bermakna...
i. Anak kita hanya mempunyai 25% saja kawan2 yang masih suci.Masa itu adakah ruang lagi untuk kita meneruskan kehidupan beragama di bumi tercinta ini????
ii. Anak kita mempunyai peluang hanya 25% untuk mendapat pasangan hidup bukan penzina.
iii. Majoriti anak yang bakal dilahirkan beberapa tahun dari sekarang adalah anak2 yang mempunyai ibubapa yang pernah berzina.
iv. Anak penzina akan melahirkan zuriat penzina yang lebih tegar.
v. Amalan zina akan diterima oleh masyarakat dan orang kan merasa pelik dengan orang yang tidak pernah berzina.
vi. Pengaruh ibubapa dalam membentuk peribadi anak hanya sekelumit kecil.
vii. Ibubapa akan menjadi hamba kepada anak2 dan anak adalah tuan mereka.
Friday, May 21, 2010
Sempit
"Dia memberikanmu kelapangan, agar kamu tidak sentiasa berada dalam kesempitan. Dan, dia juga memberikanmu kesempitan agar kamu tidak sentiasa berada dalam kelapangan. Kemudian dia mengeluarkanmu daripada keduanya agar kamu sentiasa bergantung kepadanya" Ibn Athailah, daripada Kitab al-Hikam
Thursday, March 11, 2010
Kisah di sebuah sekolah
"Cikgu, perut saya sakit" Kata murid itu sambil menekan-nekan perutnya.
Cikgu bertanya: "Awak hendak buang air kah?"
Murid itu hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Cikgu bertanya lagi: "Awak tidak makankah ketika waktu rehat tadi?"
"Tidak, cikgu" jawab murid itu perlahan.
"Kenapa awak tidak makan?" tanya cikgu.
"Saya tidak ada duit" jawabnya dengan nada sedih.
Cikgu bertanya lagi, untuk menyiasat: "Awak tertinggal duit belanja?"
Murid itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Ayah awak tidak beri duit belanja?"
Murid itu memberi jawapan yang menyentak hati cikgu: "Ayah saya kata, dia tidak ada duit. Lagi seminggu baru ayah dapat gaji"
Cikgu terdiam sebentar, sebelum kemudiannya bertanya lagi: "Sebelum pergi sekolah tadi awak tidak makan nasi di rumah?
Dengan suara perlahan, sambil memandang ke lantai, murid menjawab: "Sudah seminggu emak tidak masak nasi. Ayah tidak ada duit hendak beli beras".
Cikgu terdiam. Seluruh kelas yang mendengar perbualan itu turut diam. Cikgu kemudian memegang tangan murid dan membawanya keluar, menuju ke kantin. Cikgu berkata berkata: "Mari cikgu belikan awak makanan."
Di kantin, pekerja sedang membersihkan kantin dan dapur. Makanan yang tinggal hanyalah 5 biji nugget. Cikgu membeli kesemua lima biji nugget dan menyerahkan kepada murid sambil menyuruhnya makan.

Murid itu mengambil bungkusan nugget dan menyimpan dalam poketnya.
Melihat tindakan muridnya, Cikgu lantas bertanya: "Kenapa awak tidak makan? Nanti sakit perut lagi."
Murid menjawab: "Saya hendak simpan. Saya hendak makan dirumah bersama ibu dan adik-adik saya."
Kata-kata murid cukup untuk meruntun hati cikgu. Dia terdiam. Air matanya bergenangan.
Peristiwa ini berlaku di sebuah sekolah di pinggir ibukota. Ayahnya seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah lain. Ibunya surirumah. Seorang kakaknya bersekolah menengah, dua orang lagi bersekolah rendah, manakala tiga orang adiknya masih belum bersekolah. Setiap petang, si ayah akan mengambil anak-anaknya pulang dengan menaiki basikal. Dua orang membonceng di belakang dan seorang di hadapan.
Kisah ini menginsafkan saya. Dalam pada saya kekenyangan menikmati makanan yang enak-enak, ada orang di kejiranan saya yang kelaparan. Mungkin ada banyak lagi keluarga yang seperti ini. Ini hanya satu kisah yang disampaikan kepada saya. Wallahu'alam.
Monday, February 22, 2010
Al-Fatihah
Beliau adalah seorang saudara baru yang dipisahkan daripada keluarganya (anak-anak), dihalau daripada rumah.
Jenazahnya diuruskan oleh pihak HKL, JAWI dan beberapa orang teman.
Itu adalah perjalan terakhirnya. Penutup kepada segala dugaan yang ditempoh apabila menerima cahaya hidayah Allah. Permulaan kepada alam yang indah dan bahagia selama-lamanya, dalam dakapan rahmat Allah. Kembalinya beliau ibarat selembar kain putih...
"Ya Allah, ampuni dan rahmatilah ruhnya. Bukalah pintu untuk beliau pulang kepada mu dengan seluas-luas. Muliakanlah ruhnya, siramilah ruhnya dengan air dingin dan salju, sucikanlah ruhnya sepertimana sucinya kain putih daripada segala kekotoran, kekalkanlah beliau dalam istana yang kekal abadi, dengan ditemani oleh keluarga yang juga kekal abadi, masukkanlah beliau ke dalam syurgamu, peliharalah dia daripada azab kubur dan siksa neraka."
Wallahu'alam
