Showing posts with label Santai. Show all posts
Showing posts with label Santai. Show all posts

Thursday, May 20, 2010

Temuduga

Pada minggu lepas dan semalam, saya terlibat sebagai panel temuduga untuk calon editor pengurusan PTS Islamika. Lebih 15 orang calon yang disaring telah hadir.

Sejak mengetuai unit Islamika ini, saya sudah menemuduga lebih 50 orang calon editor. Kebanyakannya adalah graduan yang baru tamat pengajian (fresh graduate).

Pelbagai pengalaman menarik yang saya timba. Macam-macam ragam dan karenah calon yang saya hadapi.

Sukarnya membuat keputusan apabila ramai calon yang berkualiti. Panel tim pemilih terpaksa buat saringan berkali-kali untuk memilih yang benar-benar sesuai.

Alhamdulillah, daripada calon-calon yang hadir, beberapa orang telah terpilih menyertai tim Islamika, dan kebanyakan daripada mereka masih kekal dan setia.

Kendatipun begitu, ramai juga calon yang datang, awal-awal lagi kami sudah buat keputusan untuk menolak.

Antara sebabnya adalah:
- Tidak membuat persediaan rapi, seperti maklumat tentang PTS dan sebagainya
- Tidak boleh menjawab soalan yang ditanya dengan matang, bersikap defensif, mudah melenting.
- Tidak menunjukkan kesungguhan untuk bekerja di PTS, datang temuduga sekadar ingin menimba pengalaman bertemuduga
dan banyak lagi.

Yang menariknya, majoriti yang datang adalah pelajar yang cemerlang dalam akademiknya. Hatta yang ada ijazah sarjana (Master) juga ada walaupun untuk jawatan junior editor. Calon yang gagal juga kebanyakannya adalah yang cemerlang akademiknya!

Kadang-kadang saya tertanya dalam hati, apakah yang mereka (calon yang cemerlang akademik) belajar? Adakah mereka hanya menghafal apa yang dibaca, atau mereka hanya menghadkan pembacaan kepada bidang mereka sahaja.

Tidak dapat dinafikan, ramai calon yang datang tidak mempunyai minat membaca yang luas. Ramai yang hanya membaca buku dalam bidang mereka. Ada juga calon yang jarang atau tidak membaca buku sejak lebih 3-4 bulan graduet.

Itu belum lagi ditanya tentang applikasi ilmu mereka dalam masyarakat, tentang isu-isu semasa dan sebagainya. Ramailah yang terdiam tunduk ke lantai.

Sebab itu, apabila ada forum atau seminar tentang ramainya graduan menganggur, saya akan berkata: "Sebenarnya, ramai graduan kita yang tidak pandai/boleh memasarkan diri mereka dalam pasaran!".

Saya berharap, mana-mana graduan yang hendak menghadiri temuduga, datanglah dengan bersedia. Carilah maklumat tentang syarikat anda ingin bekerja. Buat sedikit kerja rumah.

Sediakan perancangan anda, apa yang anda akan buat sekiranya dapat jawatan tersebut.
Bagi panel temuduga, sikap itu adalah lebih penting daripada sijil. Ilmu boleh dipelajari, tetapi sikap amat sukar untuk dibentuk.

Justeru, proses mencari kerja sebenarnya bermula ketika masih graduan lagi. Ulat buku dan 'scorers' belum tentu dapat menjanjikan tempat utama dalam dunia pekerjaan yang semakin sengit saingannya.

Kemahiran bekerja dalam kumpulan, mengurus masa, bertindak dalam keadaan critikal dan sebagainya adalah ilmu yang bukan boleh dipelajari dengan hanya membaca buku sahaja.

Wallahu'alam.

Tuesday, May 11, 2010

Kak Yong dan Buku

“Baba, hari ini kita pergi ke Perpustakaan, boleh?”

Itu adalah soalan lazim Kak Yong, setiap pagi Ahad atau apabila saya bercuti.

Sekiranya ditanya sama ada hendak pergi bermain di taman kanak-kanak di Jaya Jusco atau mandi di kolam kanak-kanak di KLCC atau ke perpustakaan kanak-kanak (Kuala Lumpur), Kak Yong akan memilih perpustakaan yang pertama, dan kedua baru ke tempat lain.

Sekiranya Kak Yong ke sekolah awal, dia akan terus ke perpustakaan bersama Abang Chor. Sekiranya Kak Yong menemani mamanya ke sekolah pada hari Sabtu untuk aktiviti guru, Kak Yong akan duduk di perpustakaan. Jika perpustakaan tutup, dia akan duduk di kantin atau di bilik guru membaca buku.

Bagi Kak Yong, buku tidak boleh dipisahkan daripadanya. Buku menjadi peneman Kak Yong setiap kali dalam perjalan jauh pulang ke kampung. Sekiranya tidak ada ke mana-mana, Kak Yong akan menghabiskan sebahagaian besar masanya di rumah dengan membaca novel kanak-kanak, majalah atau pun melukis dan mewarna.

Novel pertama yang dibaca Kak Yong dalam masa yang singkat adalah buku 'Young Aishah: Pindah Rumah' terbitan PTS Islamika. Sejak itu Kak Yong dan buku tidak boleh dipisahkan. Setiap selepas membuat kerja rumah sekolah, dia akan mencapai mana-mana buku novel yang belum dibacanya.

Semua siri Young Aishah sudah dibacanya. Sementara menunggu episod baru Young Aishah, Kak Yong membaca buku-buku lain. Selain buku-buku PTS, buku siri Ana Muslim terbitan Blue T juga menjadi kegemarannya.

Mulanya dulu, memang sukar hendak mengajak Kak Yong membaca novel-novel PTS. Kak Yong lebih gemar melukis, mewarna dan membaca majalah Ana Muslim keluaran Blue-T. Sebabnya, Kak Yong memang suka dengan ilustrasi wajah ayu kanak-kanak memakai tudung, lukisan ala 'princess' dan warna pink.

Setahun yang lepas, mula-mula melihat kulit Young Aishah yang comel, Kak Yong terus tertarik membacanya dan kemudian menjadi 'ketagih' membaca novel-novel lain. Kulit buku benar-benar menarik pembaca, khususnya pembaca cilik!

Saya tidak menggalakkan Kak Yong membaca novel yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Tujuannya supaya Kak Yong tidak terpengaruh dengan bahasa kontot atau bahasa pasar yang ada dalam sesetengah novel kanak-kanak. Saya mahu Kak Yong belajar dan biasa dengan bahasa yang bermutu selain dapat memperbaiki tatabahasa dan memperkayakan kosa katanya.

Alhamdulillah, pada usia 8 tahun, Kak Yong sudah pandai menulis karangan menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Dalam percakapan hariannya juga, bahasa Kak Yong lebih teratur dan kosa katanya yang lengkap. Malah Kak Yong sekarang ini gemar mengarang pantun sehinggakan adakalanya guru Bahasa Malaysianya di sekolah tidak percaya pantun dan karangan Kak Yong itu adalah asli.

Yang lebih penting sekarang ini, Kak Yong sentiasa ada aktiviti pada waktu senggang. TV bukan lagi keutamaannya.

Alhamdulillah, juga, sedikit sebanyak, Abang Chor Marwan dan Abang Teh Sameer mula mengikut jejak langkah Kak Yong menjadikan buku sebagai teman walaupun tidaklah seakrab dan 'seketagih' kakak mereka.

Apabila melihat kesan positif pada Kak Yong dan adik-adiknya, saya bertambah bersemangat dan yakin. Insya'Allah, hasil kerja-kerja kami di PTS memandaikan bangsa dengan BMT dan bahan 'Shariah Compliant' akan dituai dalam 10-20 tahun akan datang. Generasi yang bijak pandai, indah bahasa Melayunya dan 'syariah kompliant'... wallahu'alam.

Wednesday, April 21, 2010

Belum tua lagi

Ketika dalam perjalanan ke Kajang, saya singgah menumpang solat di sekolah lama saya, di Sungai Ramal Luar. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah; antara sekolah yang banyak menyimpan seribu satu kenangan dan jasa dalam membentuk diri saya hari ini.

Di masjid sekolah, saya bersolat dengan mengimami beberapa orang pelajar. Selesai solat, ketika bersalaman, seorang daripada pelajar itu bertanya kepada saya:

"Pakcik datang ziarah anak?"

Saya jawab sambil tersenyum: "Tidak. Saya tumpang solat sahaja. Jangan panggil saya pakcik, saya bukan tua sangat. Dulu saya sekolah sini juga."

Pelajar tersebut sedikit serba salah. Dia bertanya lagi dan cuba memanggil saya 'abang'. "Abang sekolah sini sampai tahun berapa?"

Saya jawab: "Abang keluar lepas SPM. Abang SPM tahun 1992."

Pelajar itu tersenyum lebar dan berkata: "Tahun 1992? Waktu itu kami baru lahir. Jadi tidak salahlah kami panggil 'pakcik'?"

Saya tersenyum. Terdiam. Dan terpinga-pinga...

Pelajar itu kemudian meminta diri untuk ke 'kelas prep' manakala saya meneruskan perjalanan. Sambil memandu saya bermonolog: "Tua sangatkah saya ini?.... rasanya macam baru lagi meninggalkan sekolah.. ke U dan bekerja. Walaupun anak sudah empat, tetapi rasanya tidaklah terlalu tua daripada pelajar-pelajar sekolah itu..."

Wednesday, February 3, 2010

Tidak ada duit?

Baru-baru ini isteri saya menghadiri kursus sehari untuk guru agama, anjuran Jabatan Pelajaran. Kursus biasa yang perlu dihadiri mewakili sekolah.

Tidak ada apa yang menarik atau luar biasa pada kursus ini, kecuali hidangan makan tengahari tidak disediakan. Semua peserta kursus perlu membeli sendiri makanan di gerai-gerai makan di luar kawasan pejabat yang agak jauh dari dewan kursus.

Modul untuk guru juga tidak dicetak, sebaliknya guru perlu membawa tumb-drive bagi memuatturun softcopy daripada penganjur.

Seingat saya, sepanjang lebih lima tahun isteri saya mengajar, inilah pengalaman berkursus di jabatan kerajaan yang agak pelik dan terlalu berjimat (kalaulah memang berjimat).

Kata kawan saya, "Baguslah... kerajaan hendak menjimatkan duit mencetak kertas disamping memelihara alam sekitar. Ini kiranya adalah kempen paperless ".

Kalau, tentang kertas itu adalah kempen 'paperless', makan tetang makanan itu apa pula? Galakan berpuasakah?

"Foodless!".. jawab beliau sambil ketawa.

wallahu'alam.

p/s: Siapa kata ekonomi negara semakin baik dan meningkat?

Thursday, January 7, 2010

Duta Peribahasa

Malam tadi selepas berita saluran TV3, ada rancangan aduan rakyat. Racangan baru kelolaan Karam Sing Walia yang kata Kak Yong: "Baba pakcik itu pandai buat pantun, Kak Yong suka dengar dia baca pantun". (Sebenarnya peribahasa atau pantun peribahasa)

Seingat saya, Karam Singh lah satu-satunya pengantara atau 'selibriti TV' yang sehingga hari ini konsisten berpantun simpulan bahasa yang menjadi 'trademark' beliau, selain daripada 'mengangkat tangan' (saya difahamkan, rakan-rakan beliau di TV3 sering meneka berapa kali beliau angkat tangan kiri apabila bercakap!).

Rancangan semalam adalah satu penghargaan kepada beliau. (Saya tidak ingat sama ada beliau pernah mempunyai rancangan sendiri sebelum ini) Selepas beberapa tahun keudara sebagai wartawan dalam slot alam sekitar di berita, kali ini beliau mempunyai rancangan sendiri. Tahniah!

Saya tidak mengikuti atau mengingati peribahasa yang beliau sampaikan setiap penghujung liputan, namun saya terfikir: tidak pernah habiskah peribasa Melayu yang beliau baca? Atau sekurang-kurangnya peribahasa yang berkaitan dengan liputan beliau.

Katakanlah beliau keudara selama 5 hari seminggu. Sebulan lebih kurang 4 minggu x 5 hari = 20 hari. Dalam setahun 20 hari x 12 = 240 hari. Beliau telah keudara, tidak kurang daripada 10 tahun. Jadinya, beliau telah membaca sebanyak 2400 peribahasa (240 x 10). Itu kiraan mudah dan kasar saya. Mungkin kurang dan mungkin juga lebih, namun ia mengalahkan penggunaan peribahasa Melayu ini oleh orang Melayu sendiri!

Walau bagaimanapun, sekiranya itulah bilangan peribahasa yang telah En Karam Singh Walia siarkan, beliau selayaknya dinobatkan sebagai tokoh peribahasa Melayu. Atau sekurang-kurangnya Duta Peribahasa.... Wallahu'alam.

P/s: Sebagai tanda penghargaan kepada usaha beliau memartabatkan bahasa kebangsaan, saya (bagi pihak PTS) pernah mengirimkan hadiah buku simpulan bahasa PTS. Beliau membalas (melalui emel): "Semoga Tuhan merahmati tuan"...

(gambar disalin daripada blog: http://cheritaantarakita.blogspot.com/2008/11/ringan-mulutberat-punggung.html)

Sunday, November 29, 2009

Melontar

Hari ini adalah hari ke 13 Zulhijjah. Bagi jemaah Haji yang berada di Mina, hari ini adalah hari terakhir untuk melontar bagi mereka yang membuat Nafar Thani. Bilangan jemaah haji juga sudah berkurangan sedikit pada hari ini. Kerana, mereka yang membuat Nafar Awal, telah pulang ke Mekah pada hari ke 12. Jadi proses melontar ketiga-tiga Jamrah agak lengang sedikit berbanding hari sebelumnya.

(Pengalaman saya apabila jemaah hendak melontar Jamrah naik ke tingkat tiga kompleks Jamarat, memang tidak sesak dari hari awal. Luas dan selesa. Cuma hari ke 13 lebih luas dan selesa).

Waktu yang afdal melontar adalah selepas waktu zuhur. Jemaah Haji Malaysia menggunakan fatwa yang mengharuskan melontar selepas Subuh. Ini supaya Jemaah Haji Malaysia boleh terus bersiap untuk pulang ke Mekah pada tengahari.

Walau bagaimana pun ada juga Jemaah Haji Malaysia yang membuat Nafar Thani ini melontar bukan pada waktu yang ditetapkan oleh syarak.

Kes ini berlaku di hadapan mata saya. Satu pagi sementara menunggu masuk waktu subuh, sedang saya dan rakan-rakan berbual-buat sambil minum teh panas di hadapan khemah penginapan, seorang jemaah haji yang baru pulang dari melontar menyapa kami. Ketika itu sekitar 4 pagi waktu Mekah.

Pakcik yang duduk sebelah saya bertanya kepada lelaki itu: "Tuan baru balik melontar ke?"

"Ya"

"Tuan melontar untuk hari ke 12 ke?"

"Tidak, saya melontar untuk hari ini. Hari ke 13"

Pakcik sebelah saya agak pelik, dan bertanya lagi: "Eh, bukankah sekarang ini belum masuk waktu Subuh. Belum masuk lagi waktu untuk melontar pada hari ini?"

Dengan suara yang agak sedikit keras, lelaki itu menjawab: "Pakcik, bukankah masuk hari ke 13 ini bermula selepas Maghrib? Macam kita berpuasa. 1 Ramadan bermula pada malam selepas waktu Marghrib. Kita sudah boleh solat Tarawikh, walaupun kita belum berpuasa. Macam itu juga kita melontar. Agama ini macam undang-undang. Lain hakim yang membaca, lain tafsirannya. Saya juga rujuk ustaz."

Selepas menghabiskan kata-katanya, lelaki itu beredar. Saya hanya mendiamkan diri. Pakcik di sebelah saya juga hanya mengeleng-gelengkan kepala sambil menghirup teh panasnya.

Kepala saya ligat memikirkan kata-kata lelaki tersebut. Saya tertanya-tanya dalam hati. Ustaz manalah lelaki itu rujuk. Kenapa tidak rujuk dengan pakar rujuk tabung haji yang ada dalam setiap kawasan penginapan jemaah haji. Memang melontar pada waktu sebelum subuh mudah dan tidak sesak. Namun, ianya tidak sah. Kerana masuk waktu melontar adalah pada selepas waktu subuh. Ini fatwa semasa yang digunakan oleh Tabung Haji dan beberapa negera. Namun sesetengah ulama masih mengekalkan waktu melontar adalah selepas waktu zuhur.

Seingat saya, dalam beberapa kitab fikah yang saya rujuk, tidak terjumpa pula fatwa yang seperti lelaki itu katakan. Mungkin ilmu saya masih cetek. Saya bertanya kepada seorang ustaz veteran yang turut sama dalam jemaah kami. Beliau juga merupakan pakar rujuk SPBYD Agung sekarang. Kata beliau, waktu sah melontar bermula pada waktu subuh. Bukan selepas Maghrib seperti kata lelaki itu. Waktu sah tidak sama seperti waktu masuk tarikh.

Saya khuatir, lelaki tadi bertanya kepada 'ustaz-ustaz instant' tidak bertauliah yang banyak wujud dalam kelompok jemaah haji yang tumbuh bagaikan cendawan... wallahu'alam

Thursday, October 29, 2009

Jurujual MLM.

Saya didatangani teman yang menjual supliment keluaran syarikat MLM yang dianggotainya. Selepas beberapa sessi penerangan dan kempen (pujuk rayu), saya akhirnya mengalah dan membeli sebotol vitamin.

Selang beberapa lama, teman tadi menalifon: "Faris, vitamin awak ada lagi?"

Saya hanya menjawab ringkas:"Ada".

Katanya lagi: "Sekiranya sudah habis dan hendak membeli lagi, hubungi sahaja saya. Lagi pun saya ada beberapa produk baru yang cukup baik ini..."

"Ok. Nanti sekiranya perlu lagi saya akan hubungi." Saya menamatkan perbualan, sebelum dia berkempen panjang lebar.

Situasi di atas sudah lama berlaku. Dalam keadaan lain dengan teman yang lain, ia hampir berlaku lagi. Semacam deja vu. Cuma, kali yang lain, saya tidak berjaya dipujuk rayu.

Pengalaman tersebut dan beberapa puluh pengalaman yang lain menyebabkan saya menjadi takut, resah, 'sesak nafas' malah menjauhkan diri daripada jurujual MLM ini. Antara mereka adalah teman-teman sekuliah, sepejabat, kenalan, jiran tetangga, anak murid malah kaum kerabat.

Lagi tinggi jawatan atau kedudukan mereka dalam skim MLM tersebut, lagi rancak mereka berkempen. Pantang duduk bersembang, pasti mereka akan menyelit-nyelit ruang untuk berkempen. Akhirnya perbualan sosial menjadi sesi kempen mengempen.

Tidak dinafikan ada antara barangan yang mereka jual memang baik, namun ia bukanlah barangan yang diperlukan... (sekurang-kurangnya pada waktu itu). Kalaupun saya membelinya, ia bukan kerana saya benar-benar memerlukannya, tetapi ia lebih kepada kasihan kepada teman tersebut atau sekadar mahu supaya dia cepat pergi dan jangan menganggu saya lagi. Selepas itu, saya akan sedaya upaya mencari alasan untuk menjauhi mereka atau pun memastikan perbualan kami tidak berleretan supaya dia tidak boleh mencelah untuk berkempen.

Memang kebiasaannya, jurujual direct selling ini menjual barangan yang bukan keperluan kita. Saya tertarik dengan kata-kata seorang teman yang merupakan pakar perunding kewangan keluarga: "Apabila kita kehabisan gas memasak, kita akan terus ke kedai untuk membeli tong gas. Kerana, kita amat memerlukannya. Kita tidak membeli tong gas, apabila penjual tong gas datang ke rumah kita pada waktu kita tidak memerlukannya. Jadi, apabila jurujual datang menawarkan barangan kepada kita, biasanya ia bukanlah barangan keperluan yang kita benar-benar perlukannya".

Saya setuju. Saya juga amat setuju dengan kata-kata sifu PTS: "Mejual barangan (direct sellling) kepada rakan-rakan kita, sebenarnya menjarakkan kita dengan mereka.. ".. Bagi saya ia bukan sekadar menjarakkan, malah bisa memutuskan silaturrahim secara kita tidak sedari.

Sunday, August 16, 2009

Apa itu?



Semalam saya membelikan Sameer yang berusia 3 tahun, set ping pong. Oleh kerana tidak mempunyai meja ping pong yang sesuai manakala Sameer pula baru mengenali permainan itu, maka kami hanya bermain di atas lantai. Sameer yang cukup teruja dengan permainan barunya itu bertanya:

"Baba, ini apa?"

"Ping pong"

"Ini, apa?"

"Ping pong"

"Ini apa, Baba?

"Ping pong"

"Ini apa?"

"Ping pong"

Begitulah dialog kami sepajang bermaian. Entah berapa banyak soalannya berulang. Penat juga hendak melayan. Tetapi, apabila mengingatkan mungkin ketika kecil dahulu, saya juga begitu, maka saya terus melayaninya. Apabila penat, saya akan tukar topik lain. Begitulah selalunya.

Agaknya macamanalah dahulu emak dan ayah melayani karenah kami enam beradik... wallahu'alam.

Thursday, August 13, 2009

Tertinggal dalam lif

Semalam kami anak beranak menziarahi adik ayah yang datang bercuti di Malaysia, di aparmet sewanya di tengah ibukota.

Satu peristiwa yang mencemaskan berlaku apabila kami hendak pulang. Ketika hendak menggunakan lif, Kak Yong yang berusia tujuh tahun terlebih dahulu berlari masuk ke dalam lif. Sebelum sempat kami yang lain masuk, lif tertutup dengan Kak Yong bersendirian di dalamnya.

Saya cuba menekan suis pintu beberapa kali dengan harapan ia terbuka sambil berdoa dalam hati. Semua yang melihat hanya terdiam dan menanti pintu terbuka. Beberapa saat kemudian pintu lif terbuka. Kak Yong dengan pantas menerpa keluar. Dia tidak menangis, tetapi mukanya pucat dan air mata bergenangan.

Alhamdulillah, Kak Yong selamat. Peristiwa tersebut berlaku dalam beberapa saat namun, ia sudah cukup untuk merentap jantung kami.

Sebenarnya kami tidak tahu hendak buat apa kecuali cuba menekan-nekan suis pintu dan berharap agar ia terbuka.

Kami di tingkat 24. Apartment tersebut ada 34 tingkat. Ke manakah kami hendak mencari Kak Yong sekiranya lif tersebut bergerak?

Kata Kak Yong, dia juga tidak tahu hendak buat apa. Dia tidak tahu menggunakan lif. Kak Yong hanya mampu mengetuk-ngetuk pintu lif dengan harapan ia akan terbuka.

Peristiwa tersebut menjadi pengaran buat kami semua supaya lebih berwaspada.

24 jam selepas peristiwa tersebut berlaku, jantung saya masih berdebar dan berderau. Saya masih lagi terbayang-bayang Kak Yong menerpa keluar dengan wajah pucat.

Wallahu'alam.

Friday, August 7, 2009

123456789


Sekadar memberi maklumat:..

Hari ini kalendar kita menunjukan angka 123456789.

Pada jam 12 (tgh), 34min dan 56 saat, 7 ogos 2009. Sekiranya kita baca dalam urutan ia akan menjadi 123456789. (12:34:56, 7/8/09).

Saat ini hanya dikatakan terjadi sekali dalam hidup. Walau bagaimanapun tidak ada apa-apa yang isitimewa, bertuah atau sebarang peristiwa ajaib akan berlaku, kecuali angka ini sahaja. Jangan dikaitkan tarikh ini dengan perkara syirik atau pun dengan nombor ekor..

Wallahu'alam.

Wednesday, July 29, 2009

Musim Jatuh

Lewat kebelakangan ini, banyak benda jatuh...

Pakcik di kampung, menyuruh pulang ke kampung, katanya, buah durian dan manggis di kampung jatuh (dari atas pokok).

Semalam, lori kontena di Kuantan terbabas, langgar pembahagi jalan, 'meluncur di udara' dan jatuh di atas kereta.

Beberapa minggu lepas, kereta jiran terbabas di Gopeng, 'terbang' dan jatuh atas kereta yang datang daripada arah bertentangan.

Pagi tadi dapat penyata saham Public Mutual yang 'se-coet' dan sudah bertahun tidak bertambah jumlahnya, jatuh lagi... (rugi).

Pelajar UTM di Setapak Jaya, jatuh tingkat 4 asrama apabila cuba masuk ke biliknya melalui tingkap tandas bilik sebelah.

Pelajar UKM Bangi jatuh tingkat 4 kolej akibat dikejar lembaga hitam.

Pelajar UM jatuh dari tingkat 14 apartment di Kerinchi, kepala berkecai.

Saksi SPRM, jatuh bangunan tetapi kepala tidak berkecai (beberapa tahun lepas pun ada saksi SPRM di Sarawak jatuh bangunan, kepala tidak berkecai tetapi bingkai cermin mata pecah)

Graduan UiTM yang jatuh dari balkoni saman pengurusan UiTM.

Kaki Haura @ Kak Yong bengkak apabila terjatuh longkang kecil di sekolah.

Seluar Marwan @ Abang Chor koyak di lutut apabila jatuh akibat terlanggar batu di sekolah.

Sameer @ Abang Teh patah separuh gigi hadapan apabila jatuh ketika bermain lari-lari di Taska.

Menurut portal kesihatan MyHEALTH.gov.my, jatuh adalah antara kemalangan kanak-kanak di rumah yang paling sering berlaku di Malaysia.

Dan... malam tadi, mimpi jatuh katil... Alhamdulillah hanya sekadar mimpi, kerana apabila tersedar, saya masih di atas katil!

- Sumber gambar, klik di sini.

Wednesday, July 15, 2009

Undang-undang Pelik

Saya tidak pasti kesahihan maklumat ini... tetapi menarik.


THAILAND :

* Dilarang keluar rumah tanpa memakai seluar dalam.

SWISS :

* Dilarang berkebun di hari minggu.

SWEDIA :

* Dilarang mengecat rumah tanpa izin dari kerajaan dan harus menggunakan cat yang sudah mendapat sertifikasi dari mereka.

KOREA SELATAN :

* polis wajib melaporkan jumlah wang rasuah yang mereka terima dari para pemandu yang ditahan.

SINGAPURA :

* Dilarang berjalan (bogel)
* Tidak flusk jamban setelah buang air di toilet, dikenakan denda.
* Chewing Gum adalah barang terlarang

UNITED KINGDOM :

* Dilarang menjual sayuran di hari minggu .
* Wanita dilarang makan coklat di tempat umum.

MEXICO :

* Wanita yang bekerja dilarang mengenakan pakaian seksi yang dapat memprovokasi rakan kerja selama jam kerja.
* Dilarang memaki di tempat umum.

AUSTRALIA :

* Dilarang mengangkat telepon pada deringan pertama.
* Dilarang mengenakan spenda Hot Pink di hari minggu.

YUNANI :

* Dilarang mengenakan topi di stadium , kerana dapat mengganggu pandangan orang lain.

KANADA :

* Dilarang menempel plester luka di tempat umum.
* Dilarang menyirami tananam di kebun waktu sedang hujan.
* Dilarang memanjat pokok.

PERANCIS :

* Dilarang berciuman di keretapi bawah tanah.

ISRAEL :

* Dilarang memelihara babi di Israel . Orang yang melakukannya akan ditembak mati.

AMERIKA :-
- ARIZONA :

* Dilarang memandu tanpa kasut.
* Dilarang bermain domino di hari Minggu.
* Dilarang memakai kumis palsu di gereja.
* Hukuman mati dikena bagi sesiapapun yang menaburkan garam di atas rel kereta api.
* Dilarang memandu dengan mata tertutup.

- ALASKA :

* Dilarang mengambil gambar beruang yang sedang tidur.
* Dilarang memberi minum bir pada rusa.
* Dilarang berjalan-jalan sambil membawa busur dan anak panah.

- ARKANSAS :

* suami diizinkan memukul isterinya, tapi tidak boleh lebih dari 1 kali sebulan.
* Dilarang memelihara buaya di dalam bathtub.
* wanita yang saling menggoda di tepi jalan, akan dikenakan 30 hari penjara.
* Dilarang membawa lembu berjalan-jalan di jalan utama di hari Minggu.

- CALIFORNIA :

* Binatang peliharaan dilarang dibiarkan berhubungan seks di sekitar lokasi sekolah, taman, dan tempat ibadah.

- COLORADO :

* Dilarang berdebat dengan polis, kecuali kenderaan Anda ditahan olehnya.

- CONNECTICUT

* Dilarang mencium isterinya di hari Minggu.

- FLORIDA :

* Dilarang bernyanyi di depan umum sambil mengenakan pakaian renang.
* Dilarang kentut di tempat umum setelah pukul 6 .
* Dilarang memecahkan piring dan gelas lebih dari 3 buah sehari.

- WASHINGTON :

* Dilarang menyusui anak di tempat awam.

MALAYSIA

* Motosikal wajib memasang lampu pada waktu siang

Thursday, July 9, 2009

Michael Or Mikaeel Jackson?

Saya bukan die hard fan MJ. Saya mula mengenali lagu-lagu beliau seperti Thriller, Beat It dan lain-lain termasuk tarian Moonwalknya ketika dalam darjah tiga. Ketika bersekolah rendah di Jeddah tahun 83-85, saya melihat bagaimana MJ menjadi satu produk dan propaganda Amerika yang cukup berkesan dikalangan remaja dan belia arab di sana.

Apa bila beliau meninggal, saya tidak termasuk antara mereka bersediah mahupun bermuram dengan kehilangan raja pop itu. Tidak ada apa yang istimewanya MJ itu bagi saya selain daripada seorang seliberiti barat yang punya stail dan bakat tersendiri.

Cuma, saya tertarik dengan isu keIslaman beliau yang masih lagi dibincangkan sehingga hari ini. Saya sendiri tidak pasti status agamanya. Sehingga hari ini, dunia juga masih tidak tahu sama ada beliau akan dikebumikan sebagai seorang Kristian atau sebagai seorang Islam seperti yang diharapkan oleh kebanyakkan muslim.

Bagi saya, sekiranya beliau seorang Islam, dia akan mengadap Allah dalam keadaannya sebagai seorang Islam dan tidak terlepas daripada soal jawab munkar nankir. Sekiranya dia bukan seorang Islam, dia juga akan menerima apa yang sepatutnya.

Kendati pun begitu, saya ingin berkongsi satu email yang diforwardkan kepada saya tentang status Michael Jackson ini. Samada benar dia seorang Islam atau tidak, saudara sekalian boleh tafsir dan tunggu. Tulisan ini menarik untuk dibaca dan difikirkan. Wallahu'alam.


Assalamualaikum.


Worldwide news today announced that a Michael Jackson public memorial service has been set and will take place on Tuesday, 7 July 2009 at the Staples Center in Los Angeles. Michael Jackson, 50, died of cardiac arrest at his rented home in Los Angeles on 25 June 2009. As I pen this, one of the rumors widely circulated by media and fans alike is regarding Michael's alleged conversion to Islam in November 2008 and has since changed his name to 'Mikaeel'. Below are the frequently asked questions and some answers based on facts I have gathered from the web.


Q1. The international media has announced that Michael Jackson (MJ) has converted to Islam and changed his name to 'Mikaeel'.

A1. Not true. The rumors started with a 'news coverage' by The Sun (U.K.) dated 21 November 2008 and the rest of the global tabloid (and some mainstream) media based their coverage on this news thereon. The Sun (U.K.) is famous for its often unverified stories (some are even developed from hearsay, lies or half-truth) and sensual gossips of world celebrities.


Q2. The news stated that Yusuf Islam (a.k.a. Cat Stevens) turned up during the conversion ceremony.

A2. Not true. Yusuf Islam has issued a statement on his official website stating that he was not at any kind of conversion ceremony for Michael Jackson as he was busy filming a video for a new song at the purported time.


Q3. But what about David Wharnsby who claimed to be responsible for the counselling of Michael Jackson into Islam? The conversion ceremony was held at Wharnsby's studio, I heard!

A3. Not true. David Wharnsby has also issued a statement dated 26 June 2009 on his official website stating that he never had the honour or pleasure of meeting Micheal Jackson personally, nor did they ever correspond on matters of their professions, personal lives or faiths.


Q4. What about the Imam who assisted Michael Jackson with the Syahadah?

A4. Not true. The Imam in question, I believe, is Imam Zaid Shakir, who had earlier 'verified' that David Wharnsby (refer Q3) was indeed there during the conversion ceremony. He has amended his blog entry on 25 June 2009, admitting that the part about Dawud (David) Wharnsby being present at the ceremony is not true. From his entry, the Imam claims that news about the conversion came from 'a good friend who is a reliable source of information' but did not mention any names. Thus, it's still not a verified news. But the truth is, Imam Zaid Shakir WAS NOT the Imam who assisted Michael Jackson with the Syahadah as reported.


Q5. But Jermaine Jackson, Michael's brother is a Muslim!

A5. True. Jermaine converted to Islam in 1989. He has also figured heavily on the Islam Channel in the UK where he talked about his Islamic faith as well as announcing several charity projects that he plans to undertake. He is now married to Halima Rashid and resides in Los Angeles, but travel frequently to London and Bahrain. He was even in Malaysia couple of months back!


Q6. And Jermaine confirms about Michael's conversion!

A6. Not true. Jermaine only said that Michael has TAKEN INTEREST in the religion since the former's conversion in 1989. He got Michael 'a lot of books' on Islam and Michael asked him 'lots of question'. Jermaine merely conveyed about Michael's interests on Islam and never stated that Michael had indeed converted. And take note that the timeline of this 'confirmation' doesn't match. Jermaine'sstatement came as early as February 2007 (the one referred to as the 'confirmation') whereas Michael's alleged conversion took place in November 2008.


Q7. What about Jermaine's "May Allah be with you Michael, always" during thepress conference after Michael died? Doesn't that indicate that Michael's a Muslim?

A7. Jermaine was of kin with Michael, so it would make sense that he would pray for the latter according to the former's own faith. Doesn't mean that Michael was Muslim.


Q8. What about the song 'Give Thanks To Allah' that Michael recorded?

A8. Not true. The song is actually performed by Zain Bhikha, a South African Muslim singer-songwriter who sounded vaguely like Michael. The song was featured in Zain's album titled 'Towards The Light' released in 2000.


Q9. But CNN reported that an Imam went to meet Michael's family to discuss about the funeral arrangements?

A9. Not true. There's no such news on CNN. You can search CNN's website.


Q10. So what was Michael Jackson's religion, actually?

A10. For the most part it is believed that Michael Jackson did not officially practice any one religion devoutly, although he did explore different alternative religions throughout his life. Michael Jackson's parents were Jehovah's Witnesses. Michael was born a Jehovah's Witness, and practiced this religion for a short period of time after his hit 'Thriller' was released. In 1987, when the Jehovah's Witnesses criticized his album, Michael Jackson announced that he has 'disassociated himself' from this religious following. For a brief period of time he wore a red string on his left wrist, a symbol of Kabbalah and was good friends with Rabbi Shmuley, an orthodox Jewish. Michael even wrote an article about his childhood, Sabbath and freedom that appeared on Beliefnet. Then of course, his interests on Islam based on his kin's conversion in 1989.


Q11. Why do you even bother what religion Michael was?

A11. Because I am a Muslim, and all these unverified claims of 'Michael died a Muslim', to me at least, is baseless and making Muslims look like fools who have the tendency to believe in rumors and unverified claims. Muslims were once at the pinnacle of Science and Mathematics discoveries during the height of the Islamic Empire. Muslim scientists back then conducted experiments based on hard facts and empirical evidence after long series of studies, discussions and experiments. Unfortunately now, we choose to resort to rumors and hearsay. What a shame! Once upon a time, Muslims contributed massively to the development in areas of Science, Mathematics, Astronomy and Physics while the Western world were indulged in superstitions, witchcraft and paranormal matters. But at present, the Western world has 'conquered' Science, Mathematics, Astronomy and Physics while the Muslim world are indulged in superstitions, witchcraft and paranormal matters.

And unverified claims that Michael Jackson died a Muslim.

What went wrong?


Note: For videos and pics I've embedded in this article, please browse through my blog. If you have a Facebook account, feel free to add me!


Wassalam.

Asrul Muzaffar Mohammed

Tuesday, July 7, 2009

Teropong

Dalam satu perbualan, seorang teman yang baru berkahwin dengan pesara kerajaan yang hampir 25 tahun lebih tua daripadanya bercerita:

"Suami saya baru beli teropong"

..... Dia minat tengok bulankah?"

"Tidak, dia guna untuk meneropong saya!"

..... "Huh?"

"Apartment saya mengadap ke tempat kerja. Jadi, dia akan meneropong untuk memastikan jam berapa saya balik. Adakah saya sudah sampai tempat kerja dan sebagainya. Segala pergerakan saya dia akan catit dalam buku lognya."

....."Bagus suami awak. Mesti dia hendak pastikan awak selamat. Sekarang inikan banyak kes jenayah melibatkan kaum wanita..."

Dengan nada geram, dia menjawab, "Sekiranya begitu, tidak mengapalah. Tetapi sebenarnya, dia terlalu cemburu dengan saya. Dia hendak memastikan saya tidak 'merayap' ke tempat lain. Lebih-lebih lagi sekiranya saya berpakaian yang agak trendy, pasti banyak soal jawabnya sebelum 'dapat visa' untuk keluar rumah."


Mungkin itu sebabnya Islam menyuruh kita mencari pasangan yang sekufu... wallahu'alam.

Gambar daripada Wikipedia

Monday, July 6, 2009

Perang Paintball siri ke3

Gambar-gambar perlawanan Paintball yang melibatkan warga kerja PTS, penulis dan rakan-rakan Facebook baru-baru ini. Terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Azali dari Waiz.com yang sukarela datang dan menjadi 'jurugambar perang'...



Bagi pemain yang adrenalinnya masih menggelegak, mereka tidak sabar-sabar lagi untuk satu lagi permainan sebelum bermulanya Ramadan ini. Sekurang-kurangnya stres dan penat berkerja dapat dilepaskan disini... wallahu'alam

Friday, May 29, 2009

Pagi Jumaat

Semoga pagi Jumaat yang mulia ini membawa barakah Allah kepada mereka yang mendambanya.

Jam 1.30 pagi tadi sms di talifon berbunyi: "Alhamdulillah Hanim sudah bersalin" dari Arief Hakim, Managing Director PTS. Tahniah Arief atas kelahiran anak sulung. Semoga bertambah murah rezeki dan semoga berbahagia selalu.

Jam 11 pagi ini bermulanya pesta buku Read Malaysia di Mines Exhibition Centre, Sungai Besi. 29 Mei hingga 7 Julai 2009. Saya tidak bertugas di pesta buku kali ini, namun akan tetap hadir sekali sekala, membantu staf PTS yang lain. Pada 31 dan 30 Mei, tim Islamika akan terlibat dengan aktiviti buku bestseller Islamika, iaitu Yakjuj dan Makjuj di Read Malaysia, MPH Mid Valley dan di Alamanda.

Hari ini juga adalah hari terakhir persekolahan. Permata hati saya tidak sabar untuk ke sekolah dan menghabiskan sesi hari ini.. mereka sebenarnya tidak sabar untuk bercuti lama. Awal-awal lagi sudah bertanya: "Bila kita nak balik kampung Selama"... insya'Allah dalam minggu ke dua cuti saya akan pulang ke Selama. Sementara itu mereka akan menghabiskan masa cuti di rumah sahajalah.

Pagi ini juga menjadi bukti, saya tidaklah cukup tangkas dan 'kebal' rupanya. Dua kesan lebam di rusuk kiri menjadi bukti saya juga bisa menjadi sasaran mudah untuk musuh-musuh yang menanti. Yang diburu menjadi pemburu. Itulah penangan bermain paintball malam tadi. Permainan yang singkat tetapi cukup menyegarkan badan. Mungkin berjaya membakar lebihan-lebihan lemak dan kalori yang tidak diperlukan dalam badan.

Semoga hari ini akan terus dimanfaatkan dengan baik hingga ke hari seterusnya. Semoga segala pekerjaan hari ini Allah mengirinya sebagai amalan untuk bekalan hari esok. Bak kata Cikgu Abu Hassan Morad.. di sini berhuma, di sana menuai.. wallahu'alam.

Monday, May 25, 2009

Pertandingan Paintball antara staf PTS

Pertama kali PTS menganjurkan permainan Paintball untuk staf. Bukan tajaan syarikat, tetapi adalah inisiatif saudara Iwan, staf Jabatan Marketing PTS. Walaupun sambutannya agak dingin, namun, tim nukleus paintball PTS ini berjaya membangkitkan rasa sesal dikalangan mereka yang tidak hadir.

Pertandingan ini diadakan di Kombat Zone, KK Klub Melawati pada Sabtu 23 Mei lepas. Hanya seorang dua mereka yang pernah bermain paitball. Selebihnya 'buta kayu' terhadap permainan ini.

Saya pernah menembak, menyerang, menawan musuh dan sebagainya ketika latihan medan dalam askar wataniah dulu. Namun, saya tidak pernah sesekali menembak sasaran hidup apatah lagi manusia. Jadi, pengalaman pertama paintball ini benar-benar membangkitkan nostalgia dan menaikkan semangat enam tahun dalam askar dahulu.

Strategi dan taktik IMP (ilmu medan perang) saya kongsi bersama teman-teman benar-benar membantu tim kami memenangi tiga daripada dua perlawanan. Perlawanan yang ketiga itu kami kalah disebabkan majoriti ahli tim (termasuk saya) kehabisan peluru.. akibat terlalu seronok menembak sasaran bergerak (berlari).

Insya'Allah dalam tempoh terdekat ini kami akan menganjurkan lagi permainan ini. Semangat dan keghairahan teman-teman lain untuk turut serta tidak boleh ditahan-tahan lagi. Itu tidak termasuk ketagihan menembak dikalangan peserta yang lepas.

Selain mengeratkan semangat kerjasama berpasukan, permainan ini sebenarnya membantu membakar lemak-lemak saya yang tersimpa rapi di tubuh ini disamping mengendurkan ketegangan urat-urat dan sel-sel otak...

wallahu'alam


Wednesday, April 29, 2009

Sunyi sepi


Hari ini jabatan editorial kosong... sunyi dan sepi... tiada bunyi cengkerik, apatah lagi riang-riang.

Yang ada hanya desiran motor kompresor penghawa dingin yang menemani saya.

Teman-teman editor hari ini menjalani kursus pemantapan perisian mengedit... menambah dan menyegarkan kembali ilmu di ibu pejabat.

Saya tidak terlibat kerana saya bukan editor...

Saya lebih suka suasana biasa. Riuh dengan suara-suara melayan pangilan telefon, gelak tawa, sembang-sembang, berbincang atau apa sahaja. Ketukan jejari di papan kekunci juga menjadi irama yang mengasyikkan.

Namun, apabila sunyi seperti ini...
 otak saya juga turut sepi, tepu dan beku. Seharian tadi saya cuba mencari kembali keghairahan bekerja yang hilang seketika...

Betul kata orang, kita biasanya mensyukuri apabila ada kehilangan... 

Monday, April 27, 2009

Hari berikutnya

Mohon maaf kepada teman-teman...

Saya tidak dapat mengemaskini dan menambah gambar-gambar selepas hari berikutnya... 

Setiap hari berikutnya saya pulang dari PBAKL dalam keadaan letih dan tidak mampu untuk duduk mengadap komputer. 

Seharian di PBAKL sejak Jumaat lepas benar-benar menguji kecergasan badan ini. Hidung tersumbat, lenguh kaki, pinggang, mata yang letih adalah simptom awal ketidakcergasan saya yang semakin ketara selepas lima hari melayan pelanggan di gerai.

Hari ini, big boss berikan cuti ihsan. Selain dari pada meraikan sasaran jualan jauh yang melampaui jangkaan, ia juga adalah peluang kepada staf PTS untuk 'mengecas bateri'.

Perjuangan masih lagi belum selesai. Hujung bulan hadapan ada satu lagi pesta buku yang besar iaitu READ Malaysia Book Fair di The Mines pada 29 Mei - 7 Jun. Sekali lagi kami akan ke gelanggang, menemui pelanggan PTS secara live.

Rasanya lepas pesta buku ini saya perlu kembali ke gym, bukan untuk membina otot, tetapi menambah stamina dan mengedurkan(sedikit sahaja) mana-mana susuk tubuh yang rancak menggebu dan mengelembung.. hehehe.

Kata kawan-kawan lama yang datang menyinggah PBAKL tempoh hari: "Kenapa sejak balik Mekah ini semakin tembam?"... 

Kata prof Kamil: "Haji mabrur itu antara tandanya, kita berubahan dari sebelum dan selepas Haji". 

Mungkinkah ketembaman saya yang kian ketara ini tanda mendapat haji mabrur?..  Kalau begitu...  Alhamdulillah!



(gambar dari Facebook penyair muda Hasmora Masnuri)

Monday, April 20, 2009

Penulis pujaan


Ini adalah gambar ahli panel forum sai fai semalam.
Di kanan sekali adalah Ahmad Patria Abdullah. Penulis buku-buku wira Artakus dalam Siri Saga Artakusiad, genre fantasi ala Lord of The Ring.
Buku beliau yang pertama saya baca adalah siri kedua Saga Artakusiad iaitu Kembar Artakus, pada tahun 1989. Ketika itu saya dalam tingkatan dua di Sekolah Menengah Agama Selangor. Naskhah milik koleksi rakan sekelas, Hafiz, anak allahyarham Othman Puteh.
Kembar Artakus benar-benar memikat hati. Genre yang asing dan lain daripada buku-buku di perpustakaan sekolah yang pernah saya baca. 
Hari itu adalah titik permulaan cinta dan kegilaan saya kepada Artakus. Saya mula mencari dan menanti siri-siri sebelum dan yang seterusnya.
Biasanya saya dan rakan-rakan bergilir-gilir meminjam dari Hafiz. Apabila tidak sabar menunggu giliran yang panjang, saya tumpang membaca di kedai buku Dewan Cipta di bandar Kajang apabila 'keluar ke pekan' di hujung minggu. Saya tidak mampu untuk membelinya pada waktu itu.
Saya dan rakan-rakan seasrama yang lain menjadi peminat setia Artakus. Kami berangan-angan menjadi Artakus dan mula menggelarkan diri masing-masing dengan watak-watak dalam siri Artakus.
Dalam pada keghairahan membaca siri-siri Artakus, sekuel novel tersebut terhenti di siri ke enam sahaja. Ibarat gantung tidak bertali. Sehingga ke hari ini siri tersebut tamat tanpa penghujung. Jenuh saya menunggu, namun saya hanya pungguk yang rindukan bulan.
Bertahun-tahun kemudian, apabila sudah bekerja, saya ke DBP dan cuba mengumpul kembali siri-siri Artakus ini. Hanya dua sahaja siri Artakus yang masih ada (walaupun kusam). Siri yang lain sudah lama habis dan tidak diulang cetak.
Apabila filem Lord of The Ring bermain di wayang, saya merasakan semacam deja vu. Saya bergurau sendirian dalam hati: "Cis! Hollywood mencuri idea Ahmad Patria Abdullah". 
Hehehe.. oh! betapa fanatiknya saya pada Artakus. Peminat Artakus sudah bertahun lamanya menerokai alam Lord of The Ring sebelum Hollywood menvisualkannya.
Setelah bertahun memendam rindu pada Artakus, semalam saya berkesempatan bersalam dengan lagenda penulis yang telah berjaya membuka minat saya terhadap genre fantasi dan sai fai. 
Petang semalam, saya benar-benar teruja mendengar celoteh Abang Pat. Dalam keasyikan itu, fikiran saya melayang jauh beberapa tahun kebelakang, mengimbau nosltalgia cinta pertama saya dengan Artakus.
Terima kasih Abang Pat...