Jam 1.30 pagi tadi sms di talifon berbunyi: "Alhamdulillah Hanim sudah bersalin" dari Arief Hakim, Managing Director PTS. Tahniah Arief atas kelahiran anak sulung. Semoga bertambah murah rezeki dan semoga berbahagia selalu.
Jam 11 pagi ini bermulanya pesta buku Read Malaysia di Mines Exhibition Centre, Sungai Besi. 29 Mei hingga 7 Julai 2009. Saya tidak bertugas di pesta buku kali ini, namun akan tetap hadir sekali sekala, membantu staf PTS yang lain. Pada 31 dan 30 Mei, tim Islamika akan terlibat dengan aktiviti buku bestseller Islamika, iaitu Yakjuj dan Makjuj di Read Malaysia, MPH Mid Valley dan di Alamanda.
Hari ini juga adalah hari terakhir persekolahan. Permata hati saya tidak sabar untuk ke sekolah dan menghabiskan sesi hari ini.. mereka sebenarnya tidak sabar untuk bercuti lama. Awal-awal lagi sudah bertanya: "Bila kita nak balik kampung Selama"... insya'Allah dalam minggu ke dua cuti saya akan pulang ke Selama. Sementara itu mereka akan menghabiskan masa cuti di rumah sahajalah.
Pagi ini juga menjadi bukti, saya tidaklah cukup tangkas dan 'kebal' rupanya. Dua kesan lebam di rusuk kiri menjadi bukti saya juga bisa menjadi sasaran mudah untuk musuh-musuh yang menanti. Yang diburu menjadi pemburu. Itulah penangan bermain paintball malam tadi. Permainan yang singkat tetapi cukup menyegarkan badan. Mungkin berjaya membakar lebihan-lebihan lemak dan kalori yang tidak diperlukan dalam badan.
Semoga hari ini akan terus dimanfaatkan dengan baik hingga ke hari seterusnya. Semoga segala pekerjaan hari ini Allah mengirinya sebagai amalan untuk bekalan hari esok. Bak kata Cikgu Abu Hassan Morad.. di sini berhuma, di sana menuai.. wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment