Tuesday, May 26, 2009

Hujan

Segala pujian untuk Allah.

Beberapa minit sebelum bertolak ke pejabat pagi tadi hujan turun dengan lebat.. Rahmat Allah.

Setelah beberapa hari berpanas dan bahang, rezeki dari langit yang turun mencurah-curah itu terasa benar nikmatnya.

Malam semalam, ketika menyiram pokok bunga, titis-titis hujan turun dari langit. Saya berdoa: "Ya Allah. Sesungguhnya engkau maha pengasih lagi maha penyayang. Sekiranya ada rezeki dari langit untuk pokok-pokok bunga ini, turunkanlah ya Allah."

Saya sebenarnya berasa sedih tatkala melihat dedaun pokok bunga itu menjadi kering. Cuaca yang tidak menentu yang adakalanya hujan lebat dan selebihnya panas kering, ditambah dengan amat kurang rajinnya saya menyiram pokok menjadi sebabnya demikian.

Cuaca panas adalah rahmat. Hujan lebat (atau gerimis) juga adalah rahmat. Kalau bukan untuk kita, mungkin orang lain. Kalau bukan untuk orang lain, mungkin juga untuk tumbuh-tumbuhan atau makhluk yang melata.

Mungkin juga ia adalah bala untuk mengkafarahkan dosa-dosa tangan manusia yang alpa dan sombong atas muka bumi Tuhan ini.

Acapkali saya terlupa. Terlupa untuk bersyukur atas apa jua nikmat Tuhan. Gerimis, panas atau hujan lebat semua itu adalah nikmat dan pemberianNya.

Allah sering menyebut dalam al-Quran perihal ramai hambaNya yang tidak bersyukur. Antaranya dalam surah As Saba (34) ayat 13:
".. dan sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur."
Saya berdoa, mengambil kata-kata Khalifah Islam ke2 saidina Umar al-Khattab, memohon agar Allah memasukkan saya dalam kelompok yang sedikit itu... amiiiin.

Wallahu'alam

No comments: