Itu adalah soalan lazim Kak Yong, setiap pagi Ahad atau apabila saya bercuti.
Sekiranya ditanya sama ada hendak pergi bermain di taman kanak-kanak di Jaya Jusco atau mandi di kolam kanak-kanak di KLCC atau ke perpustakaan kanak-kanak (Kuala Lumpur), Kak Yong akan memilih perpustakaan yang pertama, dan kedua baru ke tempat lain.
Sekiranya Kak Yong ke sekolah awal, dia akan terus ke perpustakaan bersama Abang Chor. Sekiranya Kak Yong menemani mamanya ke sekolah pada hari Sabtu untuk aktiviti guru, Kak Yong akan duduk di perpustakaan. Jika perpustakaan tutup, dia akan duduk di kantin atau di bilik guru membaca buku.
Bagi Kak Yong, buku tidak boleh dipisahkan daripadanya. Buku menjadi peneman Kak Yong setiap kali dalam perjalan jauh pulang ke kampung. Sekiranya tidak ada ke mana-mana, Kak Yong akan menghabiskan sebahagaian besar masanya di rumah dengan membaca novel kanak-kanak, majalah atau pun melukis dan mewarna.
Novel pertama yang dibaca Kak Yong dalam masa yang singkat adalah buku 'Young Aishah: Pindah Rumah' terbitan PTS Islamika. Sejak itu Kak Yong dan buku tidak boleh dipisahkan. Setiap selepas membuat kerja rumah sekolah, dia akan mencapai mana-mana buku novel yang belum dibacanya.
Semua siri Young Aishah sudah dibacanya. Sementara menunggu episod baru Young Aishah, Kak Yong membaca buku-buku lain. Selain buku-buku PTS, buku siri Ana Muslim terbitan Blue T juga menjadi kegemarannya.
Mulanya dulu, memang sukar hendak mengajak Kak Yong membaca novel-novel PTS. Kak Yong lebih gemar melukis, mewarna dan membaca majalah Ana Muslim keluaran Blue-T. Sebabnya, Kak Yong memang suka dengan ilustrasi wajah ayu kanak-kanak memakai tudung, lukisan ala 'princess' dan warna pink.
Setahun yang lepas, mula-mula melihat kulit Young Aishah yang comel, Kak Yong terus tertarik membacanya dan kemudian menjadi 'ketagih' membaca novel-novel lain. Kulit buku benar-benar menarik pembaca, khususnya pembaca cilik!
Saya tidak menggalakkan Kak Yong membaca novel yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Tujuannya supaya Kak Yong tidak terpengaruh dengan bahasa kontot atau bahasa pasar yang ada dalam sesetengah novel kanak-kanak. Saya mahu Kak Yong belajar dan biasa dengan bahasa yang bermutu selain dapat memperbaiki tatabahasa dan memperkayakan kosa katanya.
Alhamdulillah, pada usia 8 tahun, Kak Yong sudah pandai menulis karangan menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Dalam percakapan hariannya juga, bahasa Kak Yong lebih teratur dan kosa katanya yang lengkap. Malah Kak Yong sekarang ini gemar mengarang pantun sehinggakan adakalanya guru Bahasa Malaysianya di sekolah tidak percaya pantun dan karangan Kak Yong itu adalah asli.
Yang lebih penting sekarang ini, Kak Yong sentiasa ada aktiviti pada waktu senggang. TV bukan lagi keutamaannya.
Alhamdulillah, juga, sedikit sebanyak, Abang Chor Marwan dan Abang Teh Sameer mula mengikut jejak langkah Kak Yong menjadikan buku sebagai teman walaupun tidaklah seakrab dan 'seketagih' kakak mereka.
Apabila melihat kesan positif pada Kak Yong dan adik-adiknya, saya bertambah bersemangat dan yakin. Insya'Allah, hasil kerja-kerja kami di PTS memandaikan bangsa dengan BMT dan bahan 'Shariah Compliant' akan dituai dalam 10-20 tahun akan datang. Generasi yang bijak pandai, indah bahasa Melayunya dan 'syariah kompliant'... wallahu'alam.
2 comments:
Salam. Syeikh...Entri ini sangat menarik! Membakar semangat saya untuk memupuk Tasnim menjadi seperti Kak Yong! Agaknya,kalau rumah kita dekat,saya akan suruh Tasnim jumpa Kak Yong setiap hari! Boleh saya pinjam dan kongsi dalam FB? Terima kasih.
Rizal.. untuk permulaan enta perlu biarkan Tasnim main dengan buku-buku, tidur dengan buku, selerakkan buku di rak, dsb.. bukan sehari dua punya kerja.. hehehe, nanti kita buka komuniti buku anak-anak abah!
Post a Comment