Monday, September 30, 2013

Bahaya Lidah

Di petik dari FB Ustaz Ahmad Saifudin Yusuf

 https://www.facebook.com/ahmadsaifuddin.yusof?fref=pb&hc_location=friends_tab

Pelajar : Ustaz, malam tadi saya ada terbaca seseorang menulis lebih kuran begini, "Babi bangun pagi mencari makan tidak mengharapkan subsidi." Apa maksud si penulis itu?

Ustaz : Apakah betul seperti mana yang kamu sebut itu?

Pelajar : Seingat saya lebih kurang begitu, lagipun beliau sudah padam ayat itu.

Ustaz : Baik, kita tidak tahu niat penulis itu. Niatnya kita serahkan kepada Allah. Daripada ucapan itu mengundang fitnah pada struktur dan konten ayat.

Pelajar : Mengundang fitnah? Apa maksud ustaz?

Ustaz : Daripada zahir ayat itu ia boleh difahami maksud di sebalik. Pertama, sesiapa yang mengharapkan subsidi adalah tidak sama dengan babi. Kedua, sesiapa yang tidak mengharapkan subsidi adalah sama dengan babi yang tidak mengharapkan subsidi.

Walaupun ia dinyatakan mungkin dalam bentuk metafora, namun pada zahir ayat, ia boleh difahami demikian.

Pelajar : Beliau ada nyatakan bahawa perkataan babi dan kera itu ada dinyatakan dalam Al-Quran sebagai balasan kepada orang-orang yang ingkar.

Ustaz : Pertama, Al-Quran adalah Kalamullah yakni Kata-kata Allah. Al-Quran bukan kata-kata manusia. Kita tidak boleh gunakan apa yang Allah kata itu untuk kita gunakan untuk berkomunikasi dengan manusia. Kedua, balasan itu adalah kepada orang-orang yang ingkar kepada Allah. Allah tidak membalas kepada rakyat yang meminta haknya iaitu subsidi.

Pelajar : Beliau ada menyatakan bahawa Nabi Muhammad pernah menyebut, "Wahai anak babi... Wahai anak kera..."

Ustaz : Ucapan Nabi Muhammad itu perlu ditentusahkan ia betul-betul ucapan Nabi. Kedua, ucapan Nabi Muhammad itu adalah kepada Yahudi Bani Quraizah bukan kepada orang yang meminta haknya.

Pelajar : Bagaimana Nabi Muhammad melayan orang yang suka meminta-minta ustaz?

Ustaz : Dalam sebuah hadith ada satu peristiwa. Hakim bin Hizam menceritakan, "Saya telah meminta sesuatu daripada Nabi, lalu Nabi memberikannya. Kemudian aku meminta lagi, beliau memberi lagi. Aku meminta lagi, lalu beliau memberinya lagi.
Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini manis dan indah, sesiapa yang mengambilnya dengan lapang dada, tentu berkat untuknya. Sesiapa yang mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuknya. Ia umpama orang yang makan tetapi tidak terasa kenyang. Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah."

Hakim berkata, "Wahai Rasulullah, demi Allah yang mengutuskanmu dengan benar, aku tidak akan meminta dari sesiapa pun selepas ini hingga mati." Pada zaman Khalifah Abu bakar, beliau memanggil Hakim untuk membahagikan bahagiannya daripada Baitul Mal, namun Hakim menolaknya. Sewaktu zaman khalifah Umar al-Khattab, beliau juga memanggil Hakim untuk memberikan bahagian daripada Baitul Mal, Hakim juga menolak. Lalu Umar al-Khattab berkata, "Wahai kaum muslimin, aku bersaksi kepada kalian bahawa saya telah memberikan kepada Hakim bahagiannya daripada harta, tetapi beliau menolak." Hakim tetap tidak mahu menerima sesiapa pun selepas Rasulullah sehingga Hakim meninggal dunia. - Muttafaqun 'Alayh, rekod Sahih al-Bukhari & Muslim.

Nabi Muhammad langsung tidak menyebut perkataan 'babi' atau apa-apa nama binatang.

Pelajar : Baik, saya faham.

No comments: