Monday, August 16, 2010

Tiket Ekspres


Bulan lepas, Ketika ke Bandung, Indonesia, bersama GM PTS, saya menaiki penerbangan Air Asia dengan tiket Expres Boarding Special. Tiket ini harganya lebih RM25.00 daripada tiket biasa.

Kelebihan tiket ini, saya dapat duduk di barisan hadapan yang memberikan sedikit ruang kaki yang selesa untuk penumpang berbadan besar seperti saya (walau pun tidak sampai sekaki luas daripada tempat duduk bisa)

Kelebihan yang ke dua juga amat berguna. Di saat penumpang semua berebut-rebut beratur di ruang berlepas, pemegang tiket ini akan dipanggil menaiki pesawat terlebih dahulu tanpa perlu beratur (ketika di Bandung, penumpang di panggil dengan nama mereka!).

Apabila nama saya dan En Fauzul dipanggil, saya melihat mata-mata penumpang lain seakan cemburu apabila melihat kami melangkah menaiki pesawat tanpa perlu beratur. Malah perjalanan kami keluar dari balai berlepas dan menaiki pesawat diiringi oleh pramugari.

Itu sahaja.

Memang menyeronokan mendapat layanan yang sedikit istimewa, namun juah di sudut hati saya berasa insaf.

Di dunia ini, saya dapat tempat istimewa seperti menaiki pesawat tanpa beratur, diiringi pramugari dan diberi keselesaan dengan hanya membayar sedikit wang tambahan. Namun adakah di akhirat nanti, saya boleh membeli keistimewaan sedemikian?

Alangkah nikmatnya, jika di Padan Mahsyar, dalam lautan manusia yang berasak berhimpun di bawah panas terik membara, nama saya dipanggil masuk terlebih dahulu melalui pintu-pintu VIP. Seperti mana pintu Al-Rayyan memanggil-manggil mereka yang berpuasa agar terlebih dahulu masuk melaluinya. Malah mereka disambut dan diiringi oleh bidadari syurga.

Lamunan saya tersentak apabila mengingatkan kata-kata Sayyid Maulana al-Maududi, “Sesungguhnya manusia ini menyangka mereka amat mudah untuk masuk ke syurga”...

Benarlah, sesungguhnya, apabila melihat kepada amalan yang dilakukan didunia ini seolah-olah diri ini berasakan mudahnya untuk masuk ke syurga. Amalan yang dilakukan tidak menggambarkan betapa bersungguhnya diri ini hendak menempah tiket ke syurga Allah. Tiket yang hanyak boleh dibayar dengan iman dan ihsan.

Masa didunia ini adalah masa membina iman untuk menempah tiket VIP di akhirat nanti.

Saya mahu jadi pemengang tiket istimewa, dengan layanan yang istimewa.

Sekiranya Air Asia sekarang sedang rancak menawarkan jualan istimewa tiket percutian, maka Air Akhirat juga pada bulan Ramadan yang mulia ini sedang mengadakan Jumbo Salesnya untuk penerbangan istimewa di sana nanti..

“Ya Allah, terimalah amalan ibadah ku sepanjang Ramadan ini dan kurniakanlah aku keberkatan malam seribu bulan... aminn”

Wallahu'alam.

No comments: