Friday, June 15, 2007

Sameer

Di bilik bersalin, pusat perubatan Kohilal, Taman Melawati.

"Assalamualaikum..." Dr Lolo' dan saya serentak memberi salam kepada bayi yang baru lahir itu diikuti dengan alunan takbir dan zikir dari mulut Dr itu. Saya tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah.

"Bapaknya, mari sini" Dr Lolo' menyuruh saya mendekatinya yang sedang memegang tali pusat yang masih segar itu.

"Errr... ada apa Doktor?

"Ni, bapaknya berani tak nak gunting tali pusat ni"

"Gulp!.. errr.. berani...."

"Ok, ni ambik gunting ni, dan gunting di antara jari saya ini"

"Yang ini ker doktor?"

"Eh, yang ini lah, itu jari saya"

"Ops, maaf, sama je rupanya tu."

Sambil membaca bismillah, saya menggunting tali pusat anak saya itu. Pengalaman pertama dan cukup nostalgik. Walaupun ini anak yang ke tiga, tetapi, inilah pengalaman yang pertama, dan paling manis untuk saya.

Itulah antara peristiwa yang melakari detik kelahiran Sameer bin Faris.

"Macam nama hindustan aje nama itu?.. Sameer Khan?"

"Eh! Macam nama arab tu.."

"Sameer aje? Kenapa pendek sangat nama? letak lah: Muhammad Nur Sameer Aminullah Irsyad Imran bin Faris..."

Itu adalah antara komen beberapa orang teman. Bagi mereka yang minat cerita hindustan, nama itu mirip nama hindustan. Manakala bagi mereka yang pernah tinggal atau berkawan dengan pak arab, mereka akan kata itu nama arab.

Memang saya suka nama yang pendek. Senang hendak dipanggil. Kalau nama panjang lebar pun, orang Melayu biasanya akan panggil yang hujung nama itu juga. Lagi pun nama pendek ini senang hendak diingat. Lagi pun nama saya pendek. Nanti tidak seimbang pula. Itu alasan saya. Agaknya kalau letak nama panjang, saya akan beri alasan lain pula untuk menyokong saya!

Tidak kisahlah mana-mana pun, yang penting nama yang diberikan itu membawa makna yang baik. Sameer bermakna 'teman yang menggembirakan'. Neneknya yang cadangkan.

Pada 6 bulan yang lepas, pada hari dan waktu ini, Sameer dilahirkan ke dunia. Menyertai Kak Yong dan Abang Chor untuk lebih menggamatkan Taman Permata.

4 comments:

ez said...

Sedar tak sedar sudah 6 bulan kelahiran Sameer. Semoga bertambah gamat dan ceria hendaknya....

Abu Marwan said...

Esok-esok nanti, sedar tidak sedar sudah 6 tahun, sudah 16 tahun.. anak membesar. Macam puan Engku juga?

ez said...

Betul tu...cepatnya masa berlalu namun kasih ibu dan ayah tetap sama...dari bayi hingga dah jadi teruna dara...

dewangga sakti said...

Tahniah Faris.