Sunday, June 17, 2007

Selamat Hari Bapa

Tadi petang, pulang dari bengkel 'Training For Trainers UNIKA PTS', dua orang permata hati menunggu di pintu rumah. Dua-dua mereka tersengih dan tersenyum simpul... "Macam ada apa-apa sahaja budak dua orang ini," bisik hati kecil saya, berprasangka.

"Selamat Hari Bapa, baba..." Serentak dua-dua permata hati itu menjerit. Belum sempat masuk rumah pun.

"Heh...heh..." Giliran saya pula yang tersenyum simpul, tersengih macam kerang tidak cukup wangi. Terharu. Sejak lima tahun menjadi bapa, inilah pertama kali dapat ucapan sedemikian.

"Terima kasih, sayang baba..." Sambil membiarkan kedua-dua mereka berebut hendak salam dan cium pipi saya yang tidak gebu ini... Hadiah yang cukup membahagiakan saya.


Petang tadi juga, ketika duduk di meja, minum teh 'sarbat' yang dibancuh mama permata hati itu, Kak Yong datang menghampiri. Sambil memegang tangan saya, dia berkata:

"Kenapa baba sekarang asyik sibuk aje?"

"Hemm..." Saya agak tersentak.

"Hari ini kan hari Ahad. Dulu baba cuti. Tapi sekarang baba kerja."

Saya hanya diam, mengusap rambut Kak Yong.

"Semalam hari Sabtu. Dulu baba cuti. Tapi semalam pun baba kerja"

Saya tidak tahu apa hendak jawab. Tidak sangka Kak Yong yang baru tadika itu sudah pandai meluah perasaan. Saya membiarkan Kak Yong bercakap lagi.

"Selalu hari Sabtu dan hari Ahad petang, kita pergi main layang-layang atau pergi jalan-jalan. Sekarang sudah lama tak main layang-layang. Baba asyik kerja aje."

Terasa bagai hendak menitis air mata, mendegar keluhan permata hati yang petah bercakap ini. Saya tidak tahu apa yang hendak dijawab. Dulu ketika kecil, emak kata saya juga selalu komplen, ayah selalu kerja dan balik lewat. Sekarang giliran anak saya pula pulangkan paku buah keras.

Memang sejak kebelakangan ini saya kurang bawa mereka bermain layang-layang seperti sebelum ini. Biasanya saya agak sibuk dengan bengkel. Ditambah pula saya sudah mula mengajar (separuh masa) di UNITAR pada hujung minggu. Kalau tidak ada urusan rasmi pun, sekarang ini waktu petang kerap hujan. Jadi banyaklah menghabiskan masa di rumah. Hemm.. itu alasan saya. Mencari alasan untuk menyokong diri.

Macamana pun, kata-kata Kak Yong itu cukup menusuk kalbu. Membuatkan saya terfikir, saya perlu mencari masa untuk bersama anak-anak. Lebihkan masa. Kerana saya tidak mahu kehilangan saat bersama anak-anak, sementara mereka belum ke sekolah, ke asrama, ke U, bekerja dan berkahwin... Itu pesan emak saya dulu.

Masa yang benar-benar untuk bermain dengan anak-anak ketika mereka seperti kak Yong dan Marwan ini. Jangan esok termenung, menangisi saat-saat yang tidak mungkin kembali lagi... luah emak suatu hari dulu. "Korang bila sudah masuk asrama, sudah masuk U, sibuk sangat dengan aktiviti, jarang balik rumah.."

Terima kasih Kak Yong. Terima kasih Tuhan yang menghantar mesej melalui permata hati ini. Masih belum terlambat untuk saya menyusun semula jadual hidup ini. Janji saya pada kak Yong: "Malam nanti Baba pergi kedai, Baba bawa Kak Yong sekali, ye?"

"Ok" jawab Kak Yong tersenyum sambil berlari keluar untuk bermain dengan abang Chor.

Dan, tadi saya menunaikan janji itu.

Jauh dari isudut hati... "Selamat hari bapa untuk saya... untuk ayah... untuk bapa-bapa di seluruh dunia."

1 comment:

CaKCiBo® said...

hmm

bila kita terlalu "ghalik" dengan dunia kita, semua yang disekeliling kita tidak berhenti dan tunggu kita untuk berjalan seiring.

kan?