Sunday, November 25, 2007
Diskusi Buku
Di Alpha Angle tengahari ini PTS Islamika menganjurkan sesi Diskusi Buku 'Travelog Haji'. Buku haji bestseller musim ini karya Prof Dr Kamil Ibrahim. Antara karya terlaris terbitan PTS Islamika tahun ini.
Diskusi ini dikendalikan oleh Sdr Ikram 'Din' Wazir. Editor PTS Millenia yang cukup berbakat menjadi pengantara dan penceramah ini. Sesi ini mengambil masa kira-kira satu jam. Sesi yang cukup bertenaga, kombinasi penceramah dan moderator yang pandai menarik minat pendengar. Sesi yang membawa pendengar turut mengembara dalam dunia penulis.
Sepanjang sesi, saya cukup tersentuh dengan luahan dan catatan pengalaman Prof Kamil. Walaupun sudah beberapa kali membaca buku beliau termasuk ketika manuskrip mentah lagi, saya masih berasa teruja dan leka mendengar setiap celoteh beliau.
Travelog Haji bukan buku panduan mengerjakan haji. Ia sebuah buku catatan perjalanan seorang yang 'kembali' ke sisi Islam. Pengalaman tulus jiwa yang mendekati Tuhan dan terpilih menjadi tetamunya. Coretan pengabdian diri kepada yang maha pencipta sepanjang di tanah suci. Rakaman kehidupan dan luahan hati seorang yang insan yang terpilih mendapat hidayah dari yang maha agung. Buku ini bukan sekadar membakar jiwa tetapi juga menginsafkan diri pembaca. Buku ini turut membawa, memimpin dan mendorong pembacanya mendekati Tuhan.
Buku ini dan bicara penulisnya sebentar tadi membangkitkan seribu rasa dalam hati ini. Rasa, insaf dengan keagungan Tuhan. Rasa, rindu. Rindu kepada hidayahNya. Rindu, hendak ke tanah suci. Tanah yang suatu masa, lebih 20 tahun lampau, kami pernah bermastautin seketika. Tanah tempat bersemadinya datuk dan nenek.
Juga rasa terkilan dan sedih, kerana tidak dapat terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Saya terlewat mendaftar dan terlepas peluang menyertai jemaah UIA. Tabung Haji, agak panjang juga gilirannya. Insya'Allah kalau ada rezeki, mungkin tahun depan. Mungkin ada hikmahnya terlepas peluang kali ini. Mungkin persediaan belum cukup sempurna. Masih ada yang lopong agaknya. Allah lebih mengetahui siapa yang bakal menjadi tetamunya. Insya'Allah semoga tahun hadapan ada rezeki untuk saya dan isteri.
Macam mana pun, kata Prof Kamil, tidak semua orang berpeluang menjadi tetamu Allah walaupun ada peluang dan kemampuan. Dan, tidak semua orang juga betul-betul menghargai dan memanfaatkan peluang tetamu Allah, sepanjang berada di tanah suci.
Terima kasih kepada Prof Kamil (dan keluarga), yang membakar semangat untuk menjadi tetamu Allah. Terima kasih kepada staff PTS yang turut hadir dan membantu menjayakan sesi ini: Imran, Firdaus, Ikram, Ikhram, Syikin, Ita, Nurul Hafizah, Roslan dan penulis PTS : Zamri dan Firdaus Ariff. Jazakumullahu khairan kathira...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Tahniah PTS Islamika. InsyaAllah selepas ini dapatlah bonus pergi pesta buku di Mesir sambil menunaikan umrah;)
Trend kini, karya yang menjadi bestseller sebahagian kecilnya didorong oleh air mata si penulis. Adakah ini yang berlaku pada karya ini? mari kita menilai. Namun, bagi yang punya hati, pasti anda terkesan sehingga mungkin menitiskan air mata mendengar bait-bait kata yang dituturkan oleh Prof. Kamil. Saya terkesan.
Post a Comment