Thursday, March 6, 2008

Adil

Esok hari terakhir untuk semua calon-calon PRU-12 berkempen. Macam-macam berita yang menarik, panas dan sesasi, malah yang meloyakan menjadi bualan dan perhatian. Baik di warong kopi, jalanan, rumah, pejabat, internet, milis (mailing list), akhbar, TV, billboards dan sebagainya.

Media arus perdana sudah sedia maklum. Ghairah melaporkan berita dan informasi yang 'seimbang dan saksama' demi 'kepentingan rakyat jelata'. Mereka 'tidak' berat sebelah, malah menyiarkan berita tentang kedua-dua pihak yang bertanding dengan begitu detail.

Satu pihak dikhabarkan dengan seribu satu kebaikan dan satu pihak yang lain dimomokkan dengan berita tentang segala macam keburukan. Dua pihak dengan dua potret yang jelas: Yang baik dan indah satu pihak (the good guys) manakala yang buruk dan cela satu pihak (the bad guys). Kedua-duanya adalah mutlak dan tidak ada unsur yang bercampur. Realiti tidak relevan.

Itulah yang dinamakan adil dan saksama... kedua-dua pihak dilaporkan beritanya!

Dikatakan adil bukan bermakna sama rata. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jadi pihak media berkenaan melaksanakan apa yang mereka katakan adil. Pembaca tidak perlu persoalkan kreadibilitinya, kerana yang penting mereka adalah adil dan saksama. Dan, kalau mereka tidak adil dan saksama, masakan mereka masih wujud dan relevan sehingga hari ini...

Hemm.. jika itulah perkiraannya, nanti, apabila di mahkamah Akhirat, mungkin boleh diterangkan di hadapan Allah... itupun sekiranya lidah masih lagi mampu berkata-kata.

Sedikit peringatan daripada Allah untuk kita:
Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?”

Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

(Surah Fussilat, Ayat 20-21)

- Terjemahan al-Quran daripada Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Wallahu'alam

No comments: