Thursday, June 19, 2008

Taat

Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.

(Surah Ali-Imran: 79)‏
Ayat di atas diturunkan antara sebabnya adalah dalam suatu peristiwa apabila seorang lelaki berkata kepada nabi Muhammad: "Wahai utusan Allah, kami selalu memberi salam kepada tuan (sebagai menghormati), tidakkah boleh kami terus sujud sahaja kepada tuan?"

Jawab Rasulullah: "Jangan. Tetapi hormatilah nabi saudara dan keluarganya. Tidak boleh seseorang sujud kepada selain daripada Allah."

Kemudian, ayat di atas diwahyukan kepada nabi Muhammad.

Ayat ini juga memberi peringatan kepada para pemimpin. Tugas pemimpin adalah mengajak pengikutnya agar sentiasa taat kepada Allah dan Rasul.

Sekiranya pemimpin itu mendapati pengikutnya terlampau mengagungkannya, dia perlu menegur dan menghentikan perbuatan pengikutnya. Supaya pengikutnya tidak berlebih-lebihan apabila mentaatinya. Juga kerana yang perlu diagungkan dan ditaati secara mutlak adalah Allah dan Rasul.

Pemimpin boleh ditaati selama mana dia taat kepada Allah dan Rasul dan mengajak pengikutnya untuk turut sama taat.

Beberapa ajaran yang difatwakan sesat oleh JAKIM seperti ajaran Naqshabandiah Qadirun Yahya, ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit, ajaran guru Kahar, ajaran al-Arqam dan lain-lain lagi bermula dengan ajaran pengajian agama yang asas dan tidak menyeleweng.

Namun apabila pemimpinnya semakin berpengaruh dan ditambah oleh pendidikan ilmu agama yang cetek, ajaran ini mula menyeleweng.

Pengikut yang semakin ramai dan setia beralih daripada taat kepada ajaran Islam, menjadi taat mutlak kepada pemimpin. Mereka terlalu yakin bahawa guru merekalah satu-satunya yang benar.

Ada juga yang percaya gurunya dekat dengan Allah dan penyelamat dunia, kalau pun bukan nabi. Ada yang yakin bahawa gurunya mampu berkomunikasi secara langsung dengan Allah. Mereka juga sanggup mengorbankan harta, jiwa dan raga (serta maruah diri) semata-mata mendapatkan keredhaan gurunya.

Dalam senario lain, ayat di atas turut menegur sikap pemimpin yang membiarkan pengikutnya menjadi taat melampaui batas sehingga menganggap apa sahaja daripada pemimpinnya itu adalah benar secara mutlak. Mereka melahirkan pengikut yang taksub dan menolak sebarang ajaran yang tidak secocok dengan ajaranya.

Pengikutnya hanya perlu taklid kepada ajaran dan fatwanya manakala ajaran lain dikatakan tidak tepat dan benar.

Senario ini banyak terjadi dalam masyarakat sekarang sama ada dalam oraganisasi kecil seperti jemaah masjid mahupun persatuan atau pertubuhan politik. Tidak terkecuali dalam gerakan dakwah Islam.

Walaupun tidak sehingga membawa kepada ajaran sesat, namun ia menyebabkan timbul suasana yang tidak sihat dalam masyarakat Islam.

Pengikut yang terlalu mengagungkan pemimpinnya mudah mempertikaikan guru aliran lain. Fahaman aliran lain itu belum tentu salah, cuma tidak cocok dengan pemahamannya.

Pengikut yang sedemikian gemar mengkritik dan mengatakan aliran lain salah serta perlu diperbetulkan. Namun, mereka mudah melenting apabila aliran mereka dipertikaikan.

Kritikan mereka pula biasanya lebih didasari ilmu yang terbatas kepada sumber aliran mereka sahaja dan bukannya kajian yang meluas.

Dalam satu tinjauan rambang seorang pensyarah kanan di fakulti Islam di sebuah IPTA terhadap buku-buku rujukan sillabus pelajar fakulti itu mendapati, ada sebilangan pensyarah cuba mengawal minda pelajarnya.

Pensyarah-pensyarah ini hanya menyuruh pelajarnya membaca buku tulisan sarjana tertentu daripada aliran pemikiran mereka sahaja dan tidak menggalakkan pelajarnya mengkaji aliran lain secara terbuka dan objektif.

Akibatnya, ilmu pelajar itu terbatas kepada aliran pemikiran mereka sahaja. Budaya ilmu dan mengkaji para pelajar juga menjadi sempit dan terhad. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, mereka menafsir agama berdasarkan pemahaman mereka sahaja dan menolak apa-apa yang bercanggah.

Pelajar yang lebih ekstrim juga biasanya mudah mengkritik dan menyerang aliran lain yang tidak secocok dengan mereka. Alasannya: menegakkan kebenaran atau dakwah.

Perkara yang didebatkan pula banyaknya tidak melibatkan akidah Islam secara total atau memberi faedah kepada umum kecuali untuk mereka yang 'pandai Islam'. Ia lebih melibatkan isu-isu cabang yang tentunya banyak pemahaman dan tafsiran sarjana Islam.

Bagi kelompok hidup yang jauh daripada ajaran Islam dan golongan bukan Islam, senario ini hanya menyebabkan kehidupan mereka lebih jauh daripada Islam. Mereka semakin tidak faham tentang Islam. Malah menuduh Islam ini agama yang penuh dengan ketaksuban, kekeliruan dan sukar difahami.

Mungkin ini antara apa yang dimaksudkan oleh seorang sarjana Islam (Sheikh Muhammad Abduh) : "Islam itu terhijab (terlindung) oleh orang-orang Islam."

Wallahu'alam

No comments: