Monday, April 13, 2009

Kawan lama

Sebaik menjejakkan kaki ke pejabat pagi ini, saya disambut oleh bau masam kain lembap yang terperap.

Kata Firdaus, editor Islamika, siling bocor malam tadi.

Hujan sepanjang hari semalam menyebabkan air yang entah bocor dari mana meresap melalui silling dan menitis di atas meja saya dan mesin fax yang berada berdekatan. Akibatnya, beberapa fail menjadi lembap manakala mesin fax dipenuhi air yang bertakung. Hampir segelas penuh banyaknya air yang keluar daripada mesin fax itu apabila ia ditonggengkan.

Yang peliknya, pejabat saya ini ditingkat dua. Ada satu lagi tingkat di atas kami. Tidak diketahui apa nasib pejabat yang menyewa di atas. Macamana pun, alhamdulillah, tidak ada banyak kerosakan yang berlaku.

***

Di waktu petang pula, untuk seketika, hujang turun lebat lagi. Alhamdulillah.

Dalam rebas-rebas hujan, saya memandu ke Setapak. Menemui rakan lama untuk membincangkan beberapa potensi kerjasama syarikat.

Kali terakhir bertemu rakan ini; Saharudin Saari, adalah 10 tahun lepas. Kami pernah beberapa kali sekelas ketika di UIA dahulu. Kurang setahun lepas, saya bertemu Sahar hanya dalam Facebook. Sejak itu kami hanya bertegur sapa di alam maya.

Saharudin kini adalah seorang usahawan. Bisnes beliau jauh dari disiplin pengajian kami dahulu. Beliau bersama beberapa orang rakan mengusahakan syarikat pembekal perkhidmatan aplikasi telefon bimbit (content provider) untuk firma telekomunikasi dan jabatan kerajaan. Syarikat beliau juga terlibat dengan aktiviti rakaman dokumentari, media dan pengiklanan. 

Sahar berulang dari Setiawan, Perak ke pejabat di KL setiap minggu. Isteri dan anak-anak beliau menetap di Setiawan Perak. Tidak pasti pula kenapa Sahar tidak membawa keluarga menetap di KL.

Saya cukup kagum dengan Saharudin. Seorang pelajar lulusan Kuliah Ilmu Wahyu mengusahakan bisnes yang media dan ICT. Kalau tidak silap, Sahar antara beberapa orang rakan seangkatan kami dahulu yang terlibat dengan bisnes media dan produksi filem dokumentari ini. Kesemua mereka bukan daripada jurusan ICT, Media mahupun Bisnes.

Dalam kerancakan kami berbicara tentang bisnes, teknologi ICT, duit dan penulisan, sekali sekali beliau menyelitkan falsafah perjuangan dan tanggugjawab dakwah dalam bisnesnya. Kata Sahar, apa guna memegang ijazah Ilmu Wahyu sekiranya tidak menjadikan bisnes sebagai wasilah dakwah. UIA seharusnya berbangga kerana melahirkan graduan yang seperti ini.

Tahniah Sahar, semoga terus berjaya dengan cemerlang. Insya'Allah di mana ruang yang ada, kita cuba bekerjasama. Itulah kata-kata terakhir kami lewat petang di restoran Dapur Sarawak, Gombak. Pertemuan perrtama selepas 10 tahun dan insya'Allah bukan yang terakhir. 

Wallahu'alam.

(Gambar)Selain dari rambut yang mula menampakkan uban dan sedikit pipi yang temban, wajah Sahar tidak jauh berbeda dari dulu.  "Sahar, saudara kelihatan tua 10 tahun kerana uban itu..."

No comments: