Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, jemputan yang diterima ini memang kena pada masanya.
Saya fikir, inilah peluang untuk saya membuat 'ujikaji' terhadap projek terjemahan Iban saya disamping membina jaringan dengan pendakwah Sarawak, khususnya yang berbangsa Iban. Mungkin saya boleh melihat apa lagi keperluan pendakwah di Sarawak ini yang dapat saya bantu melalui PTS Darul Furqan Sdn Bhd yang baru berusia sebulan ini.
Program yang dikendalikan oleh Tim Khidmat Masyarakat UIAM atau CENSERVE TEAM, di bawah unit MISI ini diketuai oleh 'Head, Center for University Social Responsibility, IIUM' iaitu Puan Martinelli Hashim yang telah lebih 20 tahun menabur budi membangunkan kerja-kerja kemasyarakatan UIA di serata pelusuk tanah air. Turut serta dalam misi ini adalah 'Yang Mulia' Ustaz Zainudin Ibrahim, imam masjid UIAM.
Pelajar UIA ini mendapat kerjasama dan dibantu oleh tim pendakwah USK (Urusetia Saudara Kita) Baitumal, Sarawak. Grup NGO Baitulmal yang amat komited dan berdedikasi menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiah di Sarawak. Jumlah mereka kecil, tetapi amat berbisa!
Program dakwah pendalaman ini bertempat di beberapa buah kampung di sekitar daerah Suminjan dan mengambil masa selama lebih kurang 10 hari. Sekitar 20 orang lebih pelajar dari pelbagai bidang yang terlibat.
Perjalanan kami bermula daripada Pusat Penerangan Islam Kuching ke Suminjan selama lebih tiga jam menaiki pacuan empat roda (termasuk satu jam lebih melalui 'offroad').
Di kawasan pendalaman, kami melalui jalan berbukit, berlubang dan jambantan yang rosak serta menunggu masa untuk roboh. Di bawahnya aliran sungai yang kecil, dalam dan agak deras. Saya tidak lihat kelibat 'Pak Ya' di situ, tetapi bak kata orang.. air yang tenang jangan disangka selamat!
Aktiviti pertama sebaik sahaja tiba di rumah panjang Kampung Gayau, adalah solat Jumaat. Ini adalah pengalaman solat Jumaat yang paling menarik. Kerana kami bersolat bersama dengan jemaah saudara baru Iban yang amat-amat jarang berpeluang untuk bersolat jumaat.
Bukan kerana tidak ada kemudahan, malah surau yang dibina oleh PERKIM cukup selesa untuk menampung jemaah untuk solat jumaat secara sederhana. Namun sebenarnya, jumlah penganut Islam amat kecil, iaitu sekitar 10 keluarga dengan tidak sampai 10 orang lelaki dewasa.
Solat Jumaat kami mungkin tidak sah sekiranya mengikut aliran Shafie, tetapi kata Ustaz Zainuddin dan Ustaz Sobri (exKAGAT yang menjadi pendakwah USK sepenuh masa): "Kita bertalfiq bagi tujuan mengajar dan memberi peluang bersolat Jumaat dengan saudara baru di kampung ini".
Di kampung itu dan kampung-kampung lain yang diziarahi, rombongan kami turut menunaikan solat secara genap (tamam) bukan jama' atau qasar. Tujuannya, mengajak saudara baru untuk turut solat dan supaya mereka tidak keliru atau salah faham.
Sepanjang satu hari lebih berada di Kg Gayau, saya tidak terlibat secara sepenuhnya dengan aktiviti pelajar UIA, kecuali solat, makan dan mandi sungai...!
Masa saya banyak dihabiskan dengang berbicara, berbincang, berdialog (atau bahasa mudahnya, bersembang) dengan penduduk kampung.
Saya turut menunjukkan contoh terjemahan Yasin Iban yang sedang diusahakan. Saya minta mereka baca dan komen. Alhamdulillah kata mereka, ia mudah dibaca dan difahami.
Menurut Puan Rashidah Abdullah, pendakwah USK berbangsa Iban yang sudah lebih 10 tahun memeluk Islam, terjemahan Yasin PTS itu menggunakan bahasa Iban moden. Mudah difahami dan senang dibaca.
Mereka meminta sekiranya ada bahan-bahan bacaan agama yang lain yang sesuai dan mudah agar turut diterjemahkan dalam bahasa Iban.
Insya'Allah, projek seterus saya selepas menyiapkan terjemahan lengkap al-Quran dalam bahasa Iban adalah menerbitkan buku-buku agama yang mudah-mudah dalam bahasa Iban. Bukan sahaja untuk bacaan saudara baru, tetapi ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan kerja-kerja outreach dengan bangsa Iban.
Banyak pengalaman dan ilmu yang saya perolehi di Kg Gayau. Banyak yang saya belajar daripada Kak Nelli, ustaz Zainuddin (yang amat gemar memanggil orang dengan gelaran 'Yang Mulia'), Pendakwah USK (Ustazah Nurul Abdullah - x-rahib Bidayuh, Ustaz Sobri, Ustazah Rashidah) pelajar-pelajar UIA dan juga orang kampung. Semoga Allah memberi sebesar-besar ganjaran kepada kalian semua.
Tiga hari yang singkat tetapi terlalu banyak pengalaman yang kalau boleh hendak dikongsikan. Pengalaman pertama saya bermalam di rumah panjang, menguji projek saya secara terus kepada kumpulan sasar, aktiviti mandi sungai yang muaranya ada buaya dan sebagainya.
Itu tidak termasuk pengalaman pulang yang amat mencemaskan; pacuan empat roda kami menyeberangi sungai rosak yang ditenggelami air sungai hampir satu meter. Selepas sejam menunggu ditebing, air tidak surut, maka pemandu mengambil keputusan menyeberanginya..!!!.
Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur saya kepada Allah, atas rahmatnya, doa kawan-kawan dan keluarga (saya sempat sms kepada beberapa orang agar mendoakan keselamatan kami ketika itu). Kami selamat dan saya mampu menulis blog ini pada hari ini walaupun ketika sedang kami masih berusaha menyeberangi jambatan, kereta dihadapan hampir tergelincir dalam sungai!
Setelah sekian lama meninggalkan UIA, inilah kali pertama saya menyertai program dakwah jauh di seberang laut dan pendalaman. Tempoh yang singkat ini amat bermanfaat untuk diri saya dan projek di PTS.
Pengalaman yang mengujakan dan menginsafkan, malah ia sudah cukup untuk menyentak saya dari 'lena yang panjang' .. sejak bergelar graduan UIAM...
Pengalaman, ilmu dan jaringan yang dibina ini menjadi pemangkin kepada saya untuk terus mengembangkan projek dakwah PTS Darul Furqan ini ke dalam bahasa-bahasa etnik lain di Malaysia dan mungkin juga di Kampuchea, Filipina dan sebagainya, insya'Allah.
Terima kasih kepada semua Tim Censerve (anda memang hebat!), kak Nelli (..bila embun menitis, kita tidak mengharapkan gerimis!), big boss PTS - En Arief Hakim, MD PTS Group (yang memberi izin dan menaja perjalanan saya), puan Ainon yang mengilhamkan dan mencetuskan projek ini.
Semoga Allah merahmati dan memudahkan usaha kecil tim PTS Darul Furqan ini. Wallahu'alam.
P/s: Teman-teman boleh melihat banyak lagi gambar photo di facebook saya.
(gambar disebelah ini dari kiri, Ustaz Sobri, Abu Marwan, Tuai Rumah (ketua rumah panjang) yang paling muda... Tuan Abdul Aziz Abdullah, pelajar UIA, Ustaz Zainuddin, Man - Baitulmal. Dibelakang adalah pelajar-pelajar UIA.. mohon maaf juta-juta, memori saya agak lemah untuk mengingati nama kalian..)
1 comment:
Ya Allah,kurniakanlah kekuatan dan kemudahan kepada semua yang terlibat dalam usaha da'wah Mu ini...Amin....
Post a Comment