Thursday, May 20, 2010

Temuduga

Pada minggu lepas dan semalam, saya terlibat sebagai panel temuduga untuk calon editor pengurusan PTS Islamika. Lebih 15 orang calon yang disaring telah hadir.

Sejak mengetuai unit Islamika ini, saya sudah menemuduga lebih 50 orang calon editor. Kebanyakannya adalah graduan yang baru tamat pengajian (fresh graduate).

Pelbagai pengalaman menarik yang saya timba. Macam-macam ragam dan karenah calon yang saya hadapi.

Sukarnya membuat keputusan apabila ramai calon yang berkualiti. Panel tim pemilih terpaksa buat saringan berkali-kali untuk memilih yang benar-benar sesuai.

Alhamdulillah, daripada calon-calon yang hadir, beberapa orang telah terpilih menyertai tim Islamika, dan kebanyakan daripada mereka masih kekal dan setia.

Kendatipun begitu, ramai juga calon yang datang, awal-awal lagi kami sudah buat keputusan untuk menolak.

Antara sebabnya adalah:
- Tidak membuat persediaan rapi, seperti maklumat tentang PTS dan sebagainya
- Tidak boleh menjawab soalan yang ditanya dengan matang, bersikap defensif, mudah melenting.
- Tidak menunjukkan kesungguhan untuk bekerja di PTS, datang temuduga sekadar ingin menimba pengalaman bertemuduga
dan banyak lagi.

Yang menariknya, majoriti yang datang adalah pelajar yang cemerlang dalam akademiknya. Hatta yang ada ijazah sarjana (Master) juga ada walaupun untuk jawatan junior editor. Calon yang gagal juga kebanyakannya adalah yang cemerlang akademiknya!

Kadang-kadang saya tertanya dalam hati, apakah yang mereka (calon yang cemerlang akademik) belajar? Adakah mereka hanya menghafal apa yang dibaca, atau mereka hanya menghadkan pembacaan kepada bidang mereka sahaja.

Tidak dapat dinafikan, ramai calon yang datang tidak mempunyai minat membaca yang luas. Ramai yang hanya membaca buku dalam bidang mereka. Ada juga calon yang jarang atau tidak membaca buku sejak lebih 3-4 bulan graduet.

Itu belum lagi ditanya tentang applikasi ilmu mereka dalam masyarakat, tentang isu-isu semasa dan sebagainya. Ramailah yang terdiam tunduk ke lantai.

Sebab itu, apabila ada forum atau seminar tentang ramainya graduan menganggur, saya akan berkata: "Sebenarnya, ramai graduan kita yang tidak pandai/boleh memasarkan diri mereka dalam pasaran!".

Saya berharap, mana-mana graduan yang hendak menghadiri temuduga, datanglah dengan bersedia. Carilah maklumat tentang syarikat anda ingin bekerja. Buat sedikit kerja rumah.

Sediakan perancangan anda, apa yang anda akan buat sekiranya dapat jawatan tersebut.
Bagi panel temuduga, sikap itu adalah lebih penting daripada sijil. Ilmu boleh dipelajari, tetapi sikap amat sukar untuk dibentuk.

Justeru, proses mencari kerja sebenarnya bermula ketika masih graduan lagi. Ulat buku dan 'scorers' belum tentu dapat menjanjikan tempat utama dalam dunia pekerjaan yang semakin sengit saingannya.

Kemahiran bekerja dalam kumpulan, mengurus masa, bertindak dalam keadaan critikal dan sebagainya adalah ilmu yang bukan boleh dipelajari dengan hanya membaca buku sahaja.

Wallahu'alam.

Tuesday, May 11, 2010

Kak Yong dan Buku

“Baba, hari ini kita pergi ke Perpustakaan, boleh?”

Itu adalah soalan lazim Kak Yong, setiap pagi Ahad atau apabila saya bercuti.

Sekiranya ditanya sama ada hendak pergi bermain di taman kanak-kanak di Jaya Jusco atau mandi di kolam kanak-kanak di KLCC atau ke perpustakaan kanak-kanak (Kuala Lumpur), Kak Yong akan memilih perpustakaan yang pertama, dan kedua baru ke tempat lain.

Sekiranya Kak Yong ke sekolah awal, dia akan terus ke perpustakaan bersama Abang Chor. Sekiranya Kak Yong menemani mamanya ke sekolah pada hari Sabtu untuk aktiviti guru, Kak Yong akan duduk di perpustakaan. Jika perpustakaan tutup, dia akan duduk di kantin atau di bilik guru membaca buku.

Bagi Kak Yong, buku tidak boleh dipisahkan daripadanya. Buku menjadi peneman Kak Yong setiap kali dalam perjalan jauh pulang ke kampung. Sekiranya tidak ada ke mana-mana, Kak Yong akan menghabiskan sebahagaian besar masanya di rumah dengan membaca novel kanak-kanak, majalah atau pun melukis dan mewarna.

Novel pertama yang dibaca Kak Yong dalam masa yang singkat adalah buku 'Young Aishah: Pindah Rumah' terbitan PTS Islamika. Sejak itu Kak Yong dan buku tidak boleh dipisahkan. Setiap selepas membuat kerja rumah sekolah, dia akan mencapai mana-mana buku novel yang belum dibacanya.

Semua siri Young Aishah sudah dibacanya. Sementara menunggu episod baru Young Aishah, Kak Yong membaca buku-buku lain. Selain buku-buku PTS, buku siri Ana Muslim terbitan Blue T juga menjadi kegemarannya.

Mulanya dulu, memang sukar hendak mengajak Kak Yong membaca novel-novel PTS. Kak Yong lebih gemar melukis, mewarna dan membaca majalah Ana Muslim keluaran Blue-T. Sebabnya, Kak Yong memang suka dengan ilustrasi wajah ayu kanak-kanak memakai tudung, lukisan ala 'princess' dan warna pink.

Setahun yang lepas, mula-mula melihat kulit Young Aishah yang comel, Kak Yong terus tertarik membacanya dan kemudian menjadi 'ketagih' membaca novel-novel lain. Kulit buku benar-benar menarik pembaca, khususnya pembaca cilik!

Saya tidak menggalakkan Kak Yong membaca novel yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Tujuannya supaya Kak Yong tidak terpengaruh dengan bahasa kontot atau bahasa pasar yang ada dalam sesetengah novel kanak-kanak. Saya mahu Kak Yong belajar dan biasa dengan bahasa yang bermutu selain dapat memperbaiki tatabahasa dan memperkayakan kosa katanya.

Alhamdulillah, pada usia 8 tahun, Kak Yong sudah pandai menulis karangan menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Dalam percakapan hariannya juga, bahasa Kak Yong lebih teratur dan kosa katanya yang lengkap. Malah Kak Yong sekarang ini gemar mengarang pantun sehinggakan adakalanya guru Bahasa Malaysianya di sekolah tidak percaya pantun dan karangan Kak Yong itu adalah asli.

Yang lebih penting sekarang ini, Kak Yong sentiasa ada aktiviti pada waktu senggang. TV bukan lagi keutamaannya.

Alhamdulillah, juga, sedikit sebanyak, Abang Chor Marwan dan Abang Teh Sameer mula mengikut jejak langkah Kak Yong menjadikan buku sebagai teman walaupun tidaklah seakrab dan 'seketagih' kakak mereka.

Apabila melihat kesan positif pada Kak Yong dan adik-adiknya, saya bertambah bersemangat dan yakin. Insya'Allah, hasil kerja-kerja kami di PTS memandaikan bangsa dengan BMT dan bahan 'Shariah Compliant' akan dituai dalam 10-20 tahun akan datang. Generasi yang bijak pandai, indah bahasa Melayunya dan 'syariah kompliant'... wallahu'alam.

Sunday, April 25, 2010

Jika hendak seribu daya

Suatu masa dulu...

Sekumpulan anggota askar wataniah sedang menjalankan latihan medan di sebuah hutan. Petangnya hujan turun dengan lebat. Berhenti sekitar dalam waktu maghrib.

Seorang pegawai atasan berpangkat kapten memberi arahan kepada pegawai bahawannya: "Leftenan, saya mahu anggota platun awak sediakan unggun api. Malam ini kita buat 'camp fire'."

Pegawai muda itu terpinga-pinga dan memadang rakannya yang lain. Dia bersuara: "Tuan, bukankah tadi hujan lebat. Semua kayu api basah lecun..."

Pegawai atasan itu menarik muka masam. Sambil menjegilkan biji matanya dia memandang tepat ke muka pegawai muda itu. Suaranya juga cukup keras. Sambil bercekak pinggang, dia menjerkah: "Itu saya tidak tahu! Yang saya tahu pukul 2100 kita buat 'camp fire'! Atau awak mahu tidur dalam sungai bersama anggota awak sampai pagi?"

Kata-katanya itu cukup membuatkan semua pegawai muda yang mendengar berasa kecut perut. Beberapa anggota platun yang berada tidak jauh dari mereka juga diam. Mereka semua tahu, di dalam hutan, Kapten itu adalah raja. Tidak ada yang berani engkar perintahnya. Sekiranya berada di dalam kem, ingkar arahannya bererti menempah padah. Sama ada 'dibicara' atau seluruh anggota platun bisa mendapat 'penangannya'. Di dalam hutan pula, padahnya itu dikali gandakan dua atau tiga atau mungkin lebih.

Malam itu juga, semua anggota bertungkus lumus menyediakan unggun api. Tidak kira sama ada pegawai atau bukan pegawai, mereka semua berganding bahu. Mahu tidak mahu, unggun api mesti ada atau mereka semua akan tidur berselimutkan air sungai yang sejuknya sampai ke tulang.

Pelbagai teknik digunakan bagi memaksa anak-anak api menggigit dan menyalakan unggun kayu yang basah lecun. Akhirnya kurang dari sejam, daripada unggun yang kecil ia merebak dan menjadi besar.



Satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Bukannya mudah hendak menyalakan api dalam waktu begitu. Ia ibarat mencari sebutir nasi dalam semak. Namun, dek kerana hukuman yang menanti lebih menakutkan, yang mustahil akhirnya menjadi kenyataan. Apa yang penting usaha dan kerjasama!

Kata Kapten, ketika bercakap kepada semua anggota platun di hadapan api yang sedang menyala: "Menghidupkan api di dalam hutan adalah satu kesalahan. Terutam ketika sedang di perbatasan. Namun sebenarnya pada malam ini saya hendak mengajar awak semua tentang falsafah kata-kata 'jika hendak seribu daya, jika malas seribu satu alasan'. Apa yang awak semua lakukan adalah sikap yang perlu disemat dalam dada seorang anggota tentera. Tanpa sikap seperti ini awak semua akan mudah tewas. Faham semua?"

Serentak semua mereka menjawab: "Faham tuan!"

"Bagus, sekiranya awak semua faham, awak semua boleh padamkan unggun api ini!" Kapten mengakhiri kata-katanya sambil dia bergerak menuju ke khemahnya...

Memang malam itu, semua anggota mengeluh. Pelbagai perasaan terpendam dihati mereka. Namun disebalik itu ada pengajaran yang penting yang perlu dipraktikkan.

Wallahu'alam.

Wednesday, April 21, 2010

Belum tua lagi

Ketika dalam perjalanan ke Kajang, saya singgah menumpang solat di sekolah lama saya, di Sungai Ramal Luar. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah; antara sekolah yang banyak menyimpan seribu satu kenangan dan jasa dalam membentuk diri saya hari ini.

Di masjid sekolah, saya bersolat dengan mengimami beberapa orang pelajar. Selesai solat, ketika bersalaman, seorang daripada pelajar itu bertanya kepada saya:

"Pakcik datang ziarah anak?"

Saya jawab sambil tersenyum: "Tidak. Saya tumpang solat sahaja. Jangan panggil saya pakcik, saya bukan tua sangat. Dulu saya sekolah sini juga."

Pelajar tersebut sedikit serba salah. Dia bertanya lagi dan cuba memanggil saya 'abang'. "Abang sekolah sini sampai tahun berapa?"

Saya jawab: "Abang keluar lepas SPM. Abang SPM tahun 1992."

Pelajar itu tersenyum lebar dan berkata: "Tahun 1992? Waktu itu kami baru lahir. Jadi tidak salahlah kami panggil 'pakcik'?"

Saya tersenyum. Terdiam. Dan terpinga-pinga...

Pelajar itu kemudian meminta diri untuk ke 'kelas prep' manakala saya meneruskan perjalanan. Sambil memandu saya bermonolog: "Tua sangatkah saya ini?.... rasanya macam baru lagi meninggalkan sekolah.. ke U dan bekerja. Walaupun anak sudah empat, tetapi rasanya tidaklah terlalu tua daripada pelajar-pelajar sekolah itu..."

Monday, April 19, 2010

Apa beza antara baik dan amat baik

Kita sering mendengar kata-kata atau nasihat seperti ini:

"Buatlah kerja dengan baik"

"Tulislah proposal yang amat baik"

"Jadilah pelajar yang baik"

Kata-kata seperti ini tidak mengandungi fakta atau garis panduan bagaimana hendak menjadi baik. Si pendengar sebenarnya sukar untuk menjadi baik seperti apa yang dikehendaki oleh si penutur.

Ini kerana beza antara 'baik' dan 'amat baik' terletak dalam kepala kita. Ia adalah subjektif, bergantung kepada 'benchmark' kita. Ia tidak kelihatan di mata orang yang membaca atau mendengar.

Pendengar mungkin memahami 'baik' dari sudut lain. Dari kacamata yang berbeza dengan apa yang ada dalam kepala penutur.

Oleh itu apabila kita mengatakan "buatlah kerja dengan baik atau paling baik atau amat baik', ia tidak konkrit. Pendengar/pembaca tidak tahu baik atau amat baik itu macam mana. Tafsirannya berbeza mengikut pendengar, adat, suansana, kebiasaan, ilmu dan sebagainya.

Apa yang diinginkan oleh penutur/penulis mungkin berbeda dengan kefahaman pendengar/pembaca, begitulah sebaliknya.

Sekiranya kita berkata: 'Tulislah karangan yang baik' adalah berbeza dengan 'Tulis karangan dengan hujah yang disokong oleh fakta terkini dan gunakah ayat yang mudah'.

Justeru, apabila memberi nasihat atau berhujah, kurangkan menggunakan kata adjektif yang lebih bersifat emosi. Sebaliknya gunakan fakta atau perincian yang mudah diikuti atau difahami.

Tanpa ilmu, kita cenderung untuk berhujah menggunakan emosi.

Wallahu'alam.

Thursday, March 11, 2010

Kisah di sebuah sekolah

Pada suatu petang, ketika-sesi pembelajaran sedang berjalan di sebuah kelas darjah satu, seorang murid lelaki mengadu kepada gurunya:

"Cikgu, perut saya sakit" Kata murid itu sambil menekan-nekan perutnya.

Cikgu bertanya: "Awak hendak buang air kah?"

Murid itu hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Cikgu bertanya lagi: "Awak tidak makankah ketika waktu rehat tadi?"

"Tidak, cikgu" jawab murid itu perlahan.

"Kenapa awak tidak makan?" tanya cikgu.

"Saya tidak ada duit" jawabnya dengan nada sedih.

Cikgu bertanya lagi, untuk menyiasat: "Awak tertinggal duit belanja?"

Murid itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Ayah awak tidak beri duit belanja?"

Murid itu memberi jawapan yang menyentak hati cikgu: "Ayah saya kata, dia tidak ada duit. Lagi seminggu baru ayah dapat gaji"

Cikgu terdiam sebentar, sebelum kemudiannya bertanya lagi: "Sebelum pergi sekolah tadi awak tidak makan nasi di rumah?

Dengan suara perlahan, sambil memandang ke lantai, murid menjawab: "Sudah seminggu emak tidak masak nasi. Ayah tidak ada duit hendak beli beras".

Cikgu terdiam. Seluruh kelas yang mendengar perbualan itu turut diam. Cikgu kemudian memegang tangan murid dan membawanya keluar, menuju ke kantin. Cikgu berkata berkata: "Mari cikgu belikan awak makanan."

Di kantin, pekerja sedang membersihkan kantin dan dapur. Makanan yang tinggal hanyalah 5 biji nugget. Cikgu membeli kesemua lima biji nugget dan menyerahkan kepada murid sambil menyuruhnya makan.

Murid itu mengambil bungkusan nugget dan menyimpan dalam poketnya.

Melihat tindakan muridnya, Cikgu lantas bertanya: "Kenapa awak tidak makan? Nanti sakit perut lagi."

Murid menjawab: "Saya hendak simpan. Saya hendak makan dirumah bersama ibu dan adik-adik saya."

Kata-kata murid cukup untuk meruntun hati cikgu. Dia terdiam. Air matanya bergenangan.

Peristiwa ini berlaku di sebuah sekolah di pinggir ibukota. Ayahnya seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah lain. Ibunya surirumah. Seorang kakaknya bersekolah menengah, dua orang lagi bersekolah rendah, manakala tiga orang adiknya masih belum bersekolah. Setiap petang, si ayah akan mengambil anak-anaknya pulang dengan menaiki basikal. Dua orang membonceng di belakang dan seorang di hadapan.

Kisah ini menginsafkan saya. Dalam pada saya kekenyangan menikmati makanan yang enak-enak, ada orang di kejiranan saya yang kelaparan. Mungkin ada banyak lagi keluarga yang seperti ini. Ini hanya satu kisah yang disampaikan kepada saya. Wallahu'alam.

Monday, February 22, 2010

Al-Fatihah

Puan Laila Syifa Abdullah (Berinder Singh), cikgu Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai Setapak, (Cikgu Kak Yong) telah kembali keRahmatullah pada malam tadi. Selepas lebih 3 minggu koma di ICU, Unit Kebakaran, HKL. Beliau mengalami 70% kebakaran tubuh badan akibat dapur memasak yang bocor.

Beliau adalah seorang saudara baru yang dipisahkan daripada keluarganya (anak-anak), dihalau daripada rumah.

Jenazahnya diuruskan oleh pihak HKL, JAWI dan beberapa orang teman.

Itu adalah perjalan terakhirnya. Penutup kepada segala dugaan yang ditempoh apabila menerima cahaya hidayah Allah. Permulaan kepada alam yang indah dan bahagia selama-lamanya, dalam dakapan rahmat Allah. Kembalinya beliau ibarat selembar kain putih...

"Ya Allah, ampuni dan rahmatilah ruhnya. Bukalah pintu untuk beliau pulang kepada mu dengan seluas-luas. Muliakanlah ruhnya, siramilah ruhnya dengan air dingin dan salju, sucikanlah ruhnya sepertimana sucinya kain putih daripada segala kekotoran, kekalkanlah beliau dalam istana yang kekal abadi, dengan ditemani oleh keluarga yang juga kekal abadi, masukkanlah beliau ke dalam syurgamu, peliharalah dia daripada azab kubur dan siksa neraka."

Wallahu'alam

Thursday, February 18, 2010

Van putih sambar budak


Ini berita lama. Baru berjumpa semula link berita ini yang terpadam. Saya dapat dari sini.

Oleh kerana peristiwa pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin masih lagi segar dalam ingatan dan belum diselesaikan, berita ini (sehingga hari ini) benar-benar mengundang kerisauan saya terhadap kanak-kanak yang bukan sedikit. Bukan sahaja terhadap anak-anak saya, bahkan semua kanak-kanak yang tidak berdosa.

Sementalah juga, penculikan Nurin berlaku di Wangsa Maju, berdekatan dengan rumah saya. Peristiwa terbaru ini berlaku di Wangsa Maju dan modus operandinya juga hampir sama dengan kes Nurin.

Adakah pembunuh kejam ini sudah kembali mencari mangsa dan lebih berani, lebih sadis? Mari kita doakan agar pembunuh ini segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan dunia dan akhirat! Wallahu'alam.

Lagi kes culik budak di Malaysia

Van putih sambar budak
Harian Metro 16 Jan 2010

AMPANG: Belum selesai kes penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dan Sharlinie Mohd Nashar, 5, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menjadi mangsa, kelmarin.

Nenek mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila cucunya, murid tahun enam, dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran rumahnya di Taman Dagang di sini.

Menurutnya, ketika berjalan kaki bersendirian, sebuah van dinaiki seorang lelaki menghampiri cucunya sebelum berhenti.

“Lelaki tempatan berambut panjang dan memakai kemeja-T putih terus keluar dari van dan menghampiri cucu saya.

“Dia memeluk lalu menangkap cucu saya dari belakang. Akibat terkejut dengan tindakan itu, cucu saya meronta dan cuba melepaskan diri,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu menyumbat mulut murid perempuan itu dengan kain sebelum menariknya masuk ke dalam van terbabit.

“Selepas berjaya mengheret masuk ke dalam van, dia menutup muka cucu saya dengan pita pelekat bagi mengelakkannya menjerit meminta tolong.

“Cucu saya dipaksa duduk sebelum dipakaikan tali pinggang keledar. Cucu saya cuba melawan dan melepaskan diri, namun lelaki terbabit menolak dan mengugutnya supaya diam,” katanya.

Difahamkan, sebelum matanya ditutup, mangsa sempat melihat beberapa botol arak dalam van berkenaan sebelum lelaki itu menghidupkan enjin dan meninggalkan tempat kejadian.

“Penjenayah itu kemudian memandu ke arah Wangsa Maju sebelum berhenti berhampiran pondok pengawal yang menjadi pintu masuk utama satu kawasan perumahan.

“Lelaki itu keluar dari van dan berjalan ke arah belakang kenderaan itu tanpa diketahui tujuannya. Kesempatan itu digunakan cucu saya untuk membuka pintu van perlahan-lahan sebelum bergegas melarikan diri tanpa menoleh belakang,” katanya.


Kanak-kanak itu bernasib baik kerana arif dengan kawasan berkenaan sebelum menuju ke rumah datuk saudaranya di Jalan Setiawangsa untuk mendapatkan bantuan sebelum membuat laporan polis. “Saya hanya menyedari kejadian itu selepas dihubungi ibu saudaranya kira-kira sejam selepas dia terselamat. Kami sekeluarga tidak tahu motif lelaki itu melarikannya.

“Kejadian itu menyebabkan dia trauma dan takut pergi ke sekolah. Akibat terlalu takut, cucu saya demam panas dan kini berehat di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti penjenayah terbabit.

Oktober lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun diculik seorang lelaki menggunakan van putih selepas diumpan dengan wang RM5 di Kampung Sungai Pinang, Batu 3, Jalan Kapar, Klang, kira-kira jam 8.30 malam.

Bagaimanapun, mangsa sempat melarikan diri walaupun sudah diperkosa penjenayah yang sempat membawanya bersiar-siar.

Dalam kejadian sebelum ini, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diculik selepas mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007.

Mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya.

Dua bulan selepas itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun nyaris diculik berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju tidak jauh dari tempat Nurin dilaporkan hilang.

Dalam kejadian itu, mangsa yang cuba ditarik masuk ke dalam van sempat melawan sebelum dilepaskan penjenayah yang terkejut dengan jeritan ibu mangsa.

Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa turut dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Vanputihsambarbudak/Article