Monday, June 28, 2010

Terjemahan Quran dalam Bahasa Iban & Kadazan


Pada masa ini saya sedang menguruskan projek terjemahan Quran dalam bahasa Iban dan Kadazan. Projek ini dikendalikan di bawah anak syarikat Kumpulan PTS yang baru ditubuhkan iaitu PTS Darul Furqan Sdn Bhd.

Sasaran projek ini adalah menerbitkan dan mengedarkan secara percuma naskhah al-Quran dalam kedua-dua bahasa ini kepada saudara Muslim Iban dan Kadazan. Ini bertujuan membantu mereka memahami dan menghayati kandungan Quran dengan lebih mudah dan pantas dalam bahasa pertuturan harian mereka.

Projek ini dijangka akan siap secara beringkat dan akan diedarkan dalam tahun 2011, insya'Allah.

Justeru, sekiranya ada mana-mana saudara Muslim yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Iban dan Kadazan dengan baik dan berminat untuk menyertai projek ini bolehlah mengemel kepada saya di faris@pts.com.my.

Wallahu'alam.

p/s: Mohon kepada sesiapa yang membaca entri ini untuk menyebarkannya kepada rakan-rakan yang lain.

Thursday, June 24, 2010

ZINA YANG BERLELUASA

Entri ini saya petik daripada coretan Kak Nelli.

Masih sukar menghilangkan bayangan anak2 Palestine yang setiap saat berdepan dengan kekejaman. Anak kecil di Malaysia pula berdepan dengan kekejaman ibu yang membuang anak sendiri ke dalam tong sampah selepas berzina.

Ketenangan petang ini tergugat dengan bahan2 berita yang meruntun perasaan. Data dan statistik yang mengerikan. Apa perasaan anda membaca fakta berikut:

Dalam satu kajian yang dilakukan kepada remaja Melayu bandar dan luar bandar tahun 2009, didapati 300 dari 400 belia berumur antara 13-25 tahun mengatakan pernah melakukan hubungan seks. Ada yang melakukannya seawal sekolah rendah. Amat mengejutkan bahawa 85% dari mereka yang melakukannya bukan saja tidak merasa kesal, malu atau takut berdosa tetapi mengatakan ianya sebagai pengalaman yang sangat menyeronokkan.

Faktor utama yang menyebabkan keadaan ini bukanlah faktor keluarga bermasalah tetapi adalah disebabkan tarikan kawan2.

Anda tentu merasa ngeri sebagaimana yang saya rasakan kerana kita punya anak, adik, cucu dan mereka akan punya kawan2 yang menjadi penentu utama kepada jenis peribadi mereka, samada sebagai manusia baik akhlaknya atau sebagai penzina.

Kita menjaga rumahtangga, kita menghantar mereka ke sekolah agama…..seolahnya2 segalanya sudah kita lakukan. Tetapi mereka ditarik oleh rakan mereka yang diluar kemampuan kita mengawalnya.

Tidak pernah kita terbayang bahawa hari ini kita berada di negara kita, di mana 3 dari setiap remaja pernah berzina, dan tidak merasa berdosa dengan perbuatan mereka. Ini bermakna...

i. Anak kita hanya mempunyai 25% saja kawan2 yang masih suci.

ii. Anak kita mempunyai peluang hanya 25% untuk mendapat pasangan hidup bukan penzina.

iii. Majoriti anak yang bakal dilahirkan beberapa tahun dari sekarang adalah anak2 yang mempunyai ibubapa yang pernah berzina.

iv. Anak penzina akan melahirkan zuriat penzina yang lebih tegar.

v. Amalan zina akan diterima oleh masyarakat dan orang kan merasa pelik dengan orang yang tidak pernah berzina.

vi. Pengaruh ibubapa dalam membentuk peribadi anak hanya sekelumit kecil.

vii. Ibubapa akan menjadi hamba kepada anak2 dan anak adalah tuan mereka.
Masa itu adakah ruang lagi untuk kita meneruskan kehidupan beragama di bumi tercinta ini????

Friday, May 21, 2010

Sempit

"Dia memberikanmu kelapangan, agar kamu tidak sentiasa berada dalam kesempitan. Dan, dia juga memberikanmu kesempitan agar kamu tidak sentiasa berada dalam kelapangan. Kemudian dia mengeluarkanmu daripada keduanya agar kamu sentiasa bergantung kepadanya" Ibn Athailah, daripada Kitab al-Hikam

Thursday, May 20, 2010

Temuduga

Pada minggu lepas dan semalam, saya terlibat sebagai panel temuduga untuk calon editor pengurusan PTS Islamika. Lebih 15 orang calon yang disaring telah hadir.

Sejak mengetuai unit Islamika ini, saya sudah menemuduga lebih 50 orang calon editor. Kebanyakannya adalah graduan yang baru tamat pengajian (fresh graduate).

Pelbagai pengalaman menarik yang saya timba. Macam-macam ragam dan karenah calon yang saya hadapi.

Sukarnya membuat keputusan apabila ramai calon yang berkualiti. Panel tim pemilih terpaksa buat saringan berkali-kali untuk memilih yang benar-benar sesuai.

Alhamdulillah, daripada calon-calon yang hadir, beberapa orang telah terpilih menyertai tim Islamika, dan kebanyakan daripada mereka masih kekal dan setia.

Kendatipun begitu, ramai juga calon yang datang, awal-awal lagi kami sudah buat keputusan untuk menolak.

Antara sebabnya adalah:
- Tidak membuat persediaan rapi, seperti maklumat tentang PTS dan sebagainya
- Tidak boleh menjawab soalan yang ditanya dengan matang, bersikap defensif, mudah melenting.
- Tidak menunjukkan kesungguhan untuk bekerja di PTS, datang temuduga sekadar ingin menimba pengalaman bertemuduga
dan banyak lagi.

Yang menariknya, majoriti yang datang adalah pelajar yang cemerlang dalam akademiknya. Hatta yang ada ijazah sarjana (Master) juga ada walaupun untuk jawatan junior editor. Calon yang gagal juga kebanyakannya adalah yang cemerlang akademiknya!

Kadang-kadang saya tertanya dalam hati, apakah yang mereka (calon yang cemerlang akademik) belajar? Adakah mereka hanya menghafal apa yang dibaca, atau mereka hanya menghadkan pembacaan kepada bidang mereka sahaja.

Tidak dapat dinafikan, ramai calon yang datang tidak mempunyai minat membaca yang luas. Ramai yang hanya membaca buku dalam bidang mereka. Ada juga calon yang jarang atau tidak membaca buku sejak lebih 3-4 bulan graduet.

Itu belum lagi ditanya tentang applikasi ilmu mereka dalam masyarakat, tentang isu-isu semasa dan sebagainya. Ramailah yang terdiam tunduk ke lantai.

Sebab itu, apabila ada forum atau seminar tentang ramainya graduan menganggur, saya akan berkata: "Sebenarnya, ramai graduan kita yang tidak pandai/boleh memasarkan diri mereka dalam pasaran!".

Saya berharap, mana-mana graduan yang hendak menghadiri temuduga, datanglah dengan bersedia. Carilah maklumat tentang syarikat anda ingin bekerja. Buat sedikit kerja rumah.

Sediakan perancangan anda, apa yang anda akan buat sekiranya dapat jawatan tersebut.
Bagi panel temuduga, sikap itu adalah lebih penting daripada sijil. Ilmu boleh dipelajari, tetapi sikap amat sukar untuk dibentuk.

Justeru, proses mencari kerja sebenarnya bermula ketika masih graduan lagi. Ulat buku dan 'scorers' belum tentu dapat menjanjikan tempat utama dalam dunia pekerjaan yang semakin sengit saingannya.

Kemahiran bekerja dalam kumpulan, mengurus masa, bertindak dalam keadaan critikal dan sebagainya adalah ilmu yang bukan boleh dipelajari dengan hanya membaca buku sahaja.

Wallahu'alam.

Tuesday, May 11, 2010

Kak Yong dan Buku

“Baba, hari ini kita pergi ke Perpustakaan, boleh?”

Itu adalah soalan lazim Kak Yong, setiap pagi Ahad atau apabila saya bercuti.

Sekiranya ditanya sama ada hendak pergi bermain di taman kanak-kanak di Jaya Jusco atau mandi di kolam kanak-kanak di KLCC atau ke perpustakaan kanak-kanak (Kuala Lumpur), Kak Yong akan memilih perpustakaan yang pertama, dan kedua baru ke tempat lain.

Sekiranya Kak Yong ke sekolah awal, dia akan terus ke perpustakaan bersama Abang Chor. Sekiranya Kak Yong menemani mamanya ke sekolah pada hari Sabtu untuk aktiviti guru, Kak Yong akan duduk di perpustakaan. Jika perpustakaan tutup, dia akan duduk di kantin atau di bilik guru membaca buku.

Bagi Kak Yong, buku tidak boleh dipisahkan daripadanya. Buku menjadi peneman Kak Yong setiap kali dalam perjalan jauh pulang ke kampung. Sekiranya tidak ada ke mana-mana, Kak Yong akan menghabiskan sebahagaian besar masanya di rumah dengan membaca novel kanak-kanak, majalah atau pun melukis dan mewarna.

Novel pertama yang dibaca Kak Yong dalam masa yang singkat adalah buku 'Young Aishah: Pindah Rumah' terbitan PTS Islamika. Sejak itu Kak Yong dan buku tidak boleh dipisahkan. Setiap selepas membuat kerja rumah sekolah, dia akan mencapai mana-mana buku novel yang belum dibacanya.

Semua siri Young Aishah sudah dibacanya. Sementara menunggu episod baru Young Aishah, Kak Yong membaca buku-buku lain. Selain buku-buku PTS, buku siri Ana Muslim terbitan Blue T juga menjadi kegemarannya.

Mulanya dulu, memang sukar hendak mengajak Kak Yong membaca novel-novel PTS. Kak Yong lebih gemar melukis, mewarna dan membaca majalah Ana Muslim keluaran Blue-T. Sebabnya, Kak Yong memang suka dengan ilustrasi wajah ayu kanak-kanak memakai tudung, lukisan ala 'princess' dan warna pink.

Setahun yang lepas, mula-mula melihat kulit Young Aishah yang comel, Kak Yong terus tertarik membacanya dan kemudian menjadi 'ketagih' membaca novel-novel lain. Kulit buku benar-benar menarik pembaca, khususnya pembaca cilik!

Saya tidak menggalakkan Kak Yong membaca novel yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Tujuannya supaya Kak Yong tidak terpengaruh dengan bahasa kontot atau bahasa pasar yang ada dalam sesetengah novel kanak-kanak. Saya mahu Kak Yong belajar dan biasa dengan bahasa yang bermutu selain dapat memperbaiki tatabahasa dan memperkayakan kosa katanya.

Alhamdulillah, pada usia 8 tahun, Kak Yong sudah pandai menulis karangan menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Dalam percakapan hariannya juga, bahasa Kak Yong lebih teratur dan kosa katanya yang lengkap. Malah Kak Yong sekarang ini gemar mengarang pantun sehinggakan adakalanya guru Bahasa Malaysianya di sekolah tidak percaya pantun dan karangan Kak Yong itu adalah asli.

Yang lebih penting sekarang ini, Kak Yong sentiasa ada aktiviti pada waktu senggang. TV bukan lagi keutamaannya.

Alhamdulillah, juga, sedikit sebanyak, Abang Chor Marwan dan Abang Teh Sameer mula mengikut jejak langkah Kak Yong menjadikan buku sebagai teman walaupun tidaklah seakrab dan 'seketagih' kakak mereka.

Apabila melihat kesan positif pada Kak Yong dan adik-adiknya, saya bertambah bersemangat dan yakin. Insya'Allah, hasil kerja-kerja kami di PTS memandaikan bangsa dengan BMT dan bahan 'Shariah Compliant' akan dituai dalam 10-20 tahun akan datang. Generasi yang bijak pandai, indah bahasa Melayunya dan 'syariah kompliant'... wallahu'alam.

Sunday, April 25, 2010

Jika hendak seribu daya

Suatu masa dulu...

Sekumpulan anggota askar wataniah sedang menjalankan latihan medan di sebuah hutan. Petangnya hujan turun dengan lebat. Berhenti sekitar dalam waktu maghrib.

Seorang pegawai atasan berpangkat kapten memberi arahan kepada pegawai bahawannya: "Leftenan, saya mahu anggota platun awak sediakan unggun api. Malam ini kita buat 'camp fire'."

Pegawai muda itu terpinga-pinga dan memadang rakannya yang lain. Dia bersuara: "Tuan, bukankah tadi hujan lebat. Semua kayu api basah lecun..."

Pegawai atasan itu menarik muka masam. Sambil menjegilkan biji matanya dia memandang tepat ke muka pegawai muda itu. Suaranya juga cukup keras. Sambil bercekak pinggang, dia menjerkah: "Itu saya tidak tahu! Yang saya tahu pukul 2100 kita buat 'camp fire'! Atau awak mahu tidur dalam sungai bersama anggota awak sampai pagi?"

Kata-katanya itu cukup membuatkan semua pegawai muda yang mendengar berasa kecut perut. Beberapa anggota platun yang berada tidak jauh dari mereka juga diam. Mereka semua tahu, di dalam hutan, Kapten itu adalah raja. Tidak ada yang berani engkar perintahnya. Sekiranya berada di dalam kem, ingkar arahannya bererti menempah padah. Sama ada 'dibicara' atau seluruh anggota platun bisa mendapat 'penangannya'. Di dalam hutan pula, padahnya itu dikali gandakan dua atau tiga atau mungkin lebih.

Malam itu juga, semua anggota bertungkus lumus menyediakan unggun api. Tidak kira sama ada pegawai atau bukan pegawai, mereka semua berganding bahu. Mahu tidak mahu, unggun api mesti ada atau mereka semua akan tidur berselimutkan air sungai yang sejuknya sampai ke tulang.

Pelbagai teknik digunakan bagi memaksa anak-anak api menggigit dan menyalakan unggun kayu yang basah lecun. Akhirnya kurang dari sejam, daripada unggun yang kecil ia merebak dan menjadi besar.



Satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Bukannya mudah hendak menyalakan api dalam waktu begitu. Ia ibarat mencari sebutir nasi dalam semak. Namun, dek kerana hukuman yang menanti lebih menakutkan, yang mustahil akhirnya menjadi kenyataan. Apa yang penting usaha dan kerjasama!

Kata Kapten, ketika bercakap kepada semua anggota platun di hadapan api yang sedang menyala: "Menghidupkan api di dalam hutan adalah satu kesalahan. Terutam ketika sedang di perbatasan. Namun sebenarnya pada malam ini saya hendak mengajar awak semua tentang falsafah kata-kata 'jika hendak seribu daya, jika malas seribu satu alasan'. Apa yang awak semua lakukan adalah sikap yang perlu disemat dalam dada seorang anggota tentera. Tanpa sikap seperti ini awak semua akan mudah tewas. Faham semua?"

Serentak semua mereka menjawab: "Faham tuan!"

"Bagus, sekiranya awak semua faham, awak semua boleh padamkan unggun api ini!" Kapten mengakhiri kata-katanya sambil dia bergerak menuju ke khemahnya...

Memang malam itu, semua anggota mengeluh. Pelbagai perasaan terpendam dihati mereka. Namun disebalik itu ada pengajaran yang penting yang perlu dipraktikkan.

Wallahu'alam.

Wednesday, April 21, 2010

Belum tua lagi

Ketika dalam perjalanan ke Kajang, saya singgah menumpang solat di sekolah lama saya, di Sungai Ramal Luar. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah; antara sekolah yang banyak menyimpan seribu satu kenangan dan jasa dalam membentuk diri saya hari ini.

Di masjid sekolah, saya bersolat dengan mengimami beberapa orang pelajar. Selesai solat, ketika bersalaman, seorang daripada pelajar itu bertanya kepada saya:

"Pakcik datang ziarah anak?"

Saya jawab sambil tersenyum: "Tidak. Saya tumpang solat sahaja. Jangan panggil saya pakcik, saya bukan tua sangat. Dulu saya sekolah sini juga."

Pelajar tersebut sedikit serba salah. Dia bertanya lagi dan cuba memanggil saya 'abang'. "Abang sekolah sini sampai tahun berapa?"

Saya jawab: "Abang keluar lepas SPM. Abang SPM tahun 1992."

Pelajar itu tersenyum lebar dan berkata: "Tahun 1992? Waktu itu kami baru lahir. Jadi tidak salahlah kami panggil 'pakcik'?"

Saya tersenyum. Terdiam. Dan terpinga-pinga...

Pelajar itu kemudian meminta diri untuk ke 'kelas prep' manakala saya meneruskan perjalanan. Sambil memandu saya bermonolog: "Tua sangatkah saya ini?.... rasanya macam baru lagi meninggalkan sekolah.. ke U dan bekerja. Walaupun anak sudah empat, tetapi rasanya tidaklah terlalu tua daripada pelajar-pelajar sekolah itu..."

Monday, April 19, 2010

Apa beza antara baik dan amat baik

Kita sering mendengar kata-kata atau nasihat seperti ini:

"Buatlah kerja dengan baik"

"Tulislah proposal yang amat baik"

"Jadilah pelajar yang baik"

Kata-kata seperti ini tidak mengandungi fakta atau garis panduan bagaimana hendak menjadi baik. Si pendengar sebenarnya sukar untuk menjadi baik seperti apa yang dikehendaki oleh si penutur.

Ini kerana beza antara 'baik' dan 'amat baik' terletak dalam kepala kita. Ia adalah subjektif, bergantung kepada 'benchmark' kita. Ia tidak kelihatan di mata orang yang membaca atau mendengar.

Pendengar mungkin memahami 'baik' dari sudut lain. Dari kacamata yang berbeza dengan apa yang ada dalam kepala penutur.

Oleh itu apabila kita mengatakan "buatlah kerja dengan baik atau paling baik atau amat baik', ia tidak konkrit. Pendengar/pembaca tidak tahu baik atau amat baik itu macam mana. Tafsirannya berbeza mengikut pendengar, adat, suansana, kebiasaan, ilmu dan sebagainya.

Apa yang diinginkan oleh penutur/penulis mungkin berbeda dengan kefahaman pendengar/pembaca, begitulah sebaliknya.

Sekiranya kita berkata: 'Tulislah karangan yang baik' adalah berbeza dengan 'Tulis karangan dengan hujah yang disokong oleh fakta terkini dan gunakah ayat yang mudah'.

Justeru, apabila memberi nasihat atau berhujah, kurangkan menggunakan kata adjektif yang lebih bersifat emosi. Sebaliknya gunakan fakta atau perincian yang mudah diikuti atau difahami.

Tanpa ilmu, kita cenderung untuk berhujah menggunakan emosi.

Wallahu'alam.