Setelah beberapa hari memendam rasa, hari ini penamatnya. Bom jangka yang berdetik sejak beberapa minggu lalu sudah meletup.
Dua tiga minggu lepas, harga beras naik. Ketika kali pertama naik, saya melilau sekitar Hulu Kelang, Ampang, mencari beras. Semua kedai yang saya singgah, sudah kehabisan stok beras. Kalau ada pun yang tinggal hanya beras Siam super special yang amat mahal (bagi saya).
Saya kemudiannya dapat membeli beras di kiosk Petronas. Jika dulu beras 10kg berhargaRM18.00, pada hari tersebut harganya naik RM28.00. Dua minggu lepas beras yang sama beharga RM38.00!!.
Saya hendak meletup, tetapi dipendamkan sahaja.
Dua minggu lepas, ketika berada di Singapura, saya mendengar berita Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura. Ini adalah gara-gara kecuaian, kelemahan, kebobrokan etika dan nilai (dan macam-macam lagi) pemimpin negara ini sejak dahulu kala.
Kata Hang Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia". Saya tambah: "Tetapi, bumi melayu yang akan hilang di dunia" (kalau saki baki pemimpin spesis tersebut terus wujud).
Kita tunggu dan lihat, apakah nasib Pulau Pisang di Pontian, Johor suatu hari nanti yang kini rumah apinya dikendalikan oleh Singapura.
Mungkin juga Wilayah Iskandar di Johor akan mengalami nasih yang sama.. setidak-tidaknya mungkinkah anak Malaysia akan merempat di WPI itu. Kita tunggu dan lihat bagaimana 'belanda minta tanah...'.
Saya hendak meletup lagi, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk memendam, walaupun hati ini bagaikan dihiris-hiris apabila melihat kampung kita tergadai dek menang sorak yang tidak seberapa.
Minggu lepas harga minyak naik mendadak. Pemimpin negara menyuruh rakyat berjimat cermat, bersabar dan memberi jaminan kenaikan tidak membebankan rakyat.
Saya tidak pasti sama ada mereka itu bercakap atau menyanyi. Mereka yang berkata itu tidak merasa susah. Hidup, makan, minum, minyak dan setiap saat nyawa dan nafas mereka dibiayai oleh jerit perih rakyat jelata. Mereka mudah untuk memerah keringat rakyat kerana mereka hidup senang dan makan kenyang, tetapi adilkah apabila rakyat yang kemudiannya disuruhnya berjimat cermat.. dipaksa menderita?
Saya hendak meletup.. tetapi saya cuba untuk bersabar. Saya masih belum lagi mengisi minyak kereta. Saya juga belum makan besar di luar. Belum lihat kesannya lagi depan mata.
Saya cuba untuk tunggu dan lihat.
Namun, tahap kesabaran saya rupanya amat nipis.... senipis kulit bawang. Hari ini saya gagal menahan diri ini dari meletup.
Akhirnya... saya MELETUP juga... di Taman Permata ini.
Puncanya... lihatlah resit dibawah ini. Pembelian minyak petrol (isian penuh tangki) untuk Iswara 1.5 saya.
Biasanya setiap kali isi minyak penuh, saya akan hulurkan sekeping not RM50. Tetapi, semalam dua keping not RM50 dan tidak ada baki!!
Selepas ini perbelanjaan minyak dari sebulan RM400 akan meningkat kepada RM600 atau mungkin lebih. Itu belum lagi nilai yang akan bertambah apabila membeli barang dapur. Sehingga hari ini, stok dapur masih boleh bertahan hingga esok. Entah berapa pula duit yang akan melayang esok.
Bagi saya yang suami isteri kerja lebih 7-9 tahun dengan gaji graduan pun berasa kekeringan untuk hidup di bandar KL, apatah lagi orang lain. Mereka yang hidup dengan gaji isi rumah kurang 2ribu atau 1 ribu seperti kerani, pemandu, pak guard, posmen, buruh dan sebagainya. Tambah lagi dengan anak ramai dan semakin membesar. Bertambah peritlah kehidupan mereka.
Alhamdulillah, kami masih boleh menyusun semula perbelanjaan. Namun bagi orang lain yang lebih susah bagaimanakah kehidupan mereka selepas ini. Kalau pemimpin negara masih boleh bercuti, bersantai, membeli belas dan makan kenyang, adakah mereka akan berjimat cermat seperit yang mereka warwarkan?
Tunggu dan lihat, kesannya kepada rakyat jelata. Negara ini kaya dengan hasil minyak, namun kemana perginya keuntungan minyak itu? Rakyat tidak selamanya boleh dibohongi, diperbodohkan.
Inilah jasa kerajaan selepas PRU ke 12. Terima kasih Pak Lah dan kerjaan BN.
Allah jua yang mengetahui.
1 comment:
Saya sudah lama tunggu entri-entri tuan. Alhamdulillah sudah kembali. Entri kali ini memang membuat saya sesak dada meskipun belum berkeluarga. Ada apa solusinya?
Post a Comment