Friday, July 11, 2008

33 Tahun dahulu

33 Tahun dahulu. Hari Jumaat, jam 1.55pagi.

Itu kali pertama saya menghirup udara segar bumi Allah yang bercampur baur dengan bau ubat-ubatan dan masyam peluh kakak, makcik misi dan doktor wad bersalin, Hospital Besar Kuala Lumpur.

Saya lahir tidak cukup bulan.

Emak kata: "Tidak sabar sangat hendak keluar awal!"

Saiz badan saya kecil daripada bayi lain. Besar sedikit daripada tapak tangan. Kerana itu, saya dikurung dalam inkubator untuk beberapa minggu.

Apabila pulang ke rumah, saya menjadi mangsa 'terapi matahari'. Cara orang tua-tua merawat demam kuning.

Waktu zaman kanak-kanak ayah selalu kata: "Ngah dahulu kecil sahaja. Waktu pagi, emak jemur bawah matahari. Kalau hujan, emak usung masuk rumah semula. Betul-betul macam jemur ikan kering..!" (Waktu itu memang saya amat percaya dengan exaggeration dalam cerita ayah, dan saya dapat bayangkannya.)

Kepada mak dan ayah, terima kasih kerana memBESARkan anak yang cukup kecil dan nakal (aktif) ini dengan penuh kasih sayang dan sabar...

Semoga Allah merahmati dan membalas jasa ayah dan emak dengan sebesar-besar ganjaran.

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. (Surah An-Naml, Ayat 19)

Wallahu'alam.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah! Moga detik kelahiran ini akan mengundang keinsafan bahawa perjalanan ini masih jauh dan orang muda perlu memantapkan diri.

Moga Allah memberi anda kekuatan dan kesungguhan untuk melaksanakan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat.

Rislah said...

Terima kasih tuan. Doa yang sama juga saya panjangkan untuk tuan dan keluarga.