Sunday, July 13, 2008

Nikmat

"... Boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedangkan ianya adalah baik untuk kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan ia tidak baik untuk kamu. ALLAH maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” ( al-Baqarah, 216)
Permohonan saya ditolak. Tidak berjaya. Saya kecewa. Sedih pun ada.

Saya sangat berhajat dan memasang impian untuk menyertainya. Namun ia ternyata tidak menyebelahi saya walaupun rayuan telah dipanjangkan.

Saya terlepas peluang kali ini. Saya perlu menunggu semusim lagi, tahun depan atau tahun-tahun berikutnya jika mengikut perkiraan biasa.

Apabila tidak dapat apa yang dihajati, adakalanya (seringkali) diri manusia yang lemah ini lupa. Lupa kepada banyak lagi hajat dan keinginan yang dikurniakan Allah.
"Apa sahaja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah" - al-Nisa : 79
Dalam sehelai kertas kajang yang putih bersih, jika ada setitik warna hitam kecil, kita pantas melihatnya. Pada waktu itu kita lupa keseluruhan kertas yang putih bersih, kerana seluruh pandangan dan fikiran hanya melihat kepada noktah kecil itu.

Begitu mudahnya diri ini melupakan dan tidak bersyukur atas limpahan nikmat Allah yang tidak terhitung hanya akibat satu nikmat yang Allah tangguhkan.
" Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." al-Mu'min: 61
Kerana itu Rasulullah sering berpesan (seperti yang dilaporkan oleh Anas bin Malik):
“Kesabaran (yang sempurna itu) adalah pada awal terjadinya musibah.” - Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Tanpa sabar, Qabil & Habil saling berbunuhan. Manusia mudah lupa kepada qada dan qadar Allah. Walau setinggi mana pun ilmu, jika tanpa sabar, nafsu akan berada di hadapan akal. Iblis lebih mudah mendekati.
"Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami..." al-Baqarah: 250
Astaghfirullah.... Ya Allah, ampunilah hambamu yang lemah ini.

3 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Hendak menyertai apa itu?

Pesta Buku Jakarta-kah?

Rislah said...

Hehehe... sebenarnya hendak menyertai rombongan tetamu Allah. Melepas lagi tahun ini kerana rayuan ditolak.

Zamri Mohamad said...

"... Boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedangkan ianya adalah baik untuk kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan ia tidak baik untuk kamu. ALLAH maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” ( al-Baqarah, 216)

Ayat favourite saya..baik dalam menurus konflik pejabat, perhubungan, situasi dengan jiran. Ayat ini ayat paling saya ingat. Kalau orang mengadu-adu marah itu ini kenapa tidak itu ini, saya hanya copy paste maksud ayat ini dan beri.