Monday, April 20, 2009

Penulis pujaan


Ini adalah gambar ahli panel forum sai fai semalam.
Di kanan sekali adalah Ahmad Patria Abdullah. Penulis buku-buku wira Artakus dalam Siri Saga Artakusiad, genre fantasi ala Lord of The Ring.
Buku beliau yang pertama saya baca adalah siri kedua Saga Artakusiad iaitu Kembar Artakus, pada tahun 1989. Ketika itu saya dalam tingkatan dua di Sekolah Menengah Agama Selangor. Naskhah milik koleksi rakan sekelas, Hafiz, anak allahyarham Othman Puteh.
Kembar Artakus benar-benar memikat hati. Genre yang asing dan lain daripada buku-buku di perpustakaan sekolah yang pernah saya baca. 
Hari itu adalah titik permulaan cinta dan kegilaan saya kepada Artakus. Saya mula mencari dan menanti siri-siri sebelum dan yang seterusnya.
Biasanya saya dan rakan-rakan bergilir-gilir meminjam dari Hafiz. Apabila tidak sabar menunggu giliran yang panjang, saya tumpang membaca di kedai buku Dewan Cipta di bandar Kajang apabila 'keluar ke pekan' di hujung minggu. Saya tidak mampu untuk membelinya pada waktu itu.
Saya dan rakan-rakan seasrama yang lain menjadi peminat setia Artakus. Kami berangan-angan menjadi Artakus dan mula menggelarkan diri masing-masing dengan watak-watak dalam siri Artakus.
Dalam pada keghairahan membaca siri-siri Artakus, sekuel novel tersebut terhenti di siri ke enam sahaja. Ibarat gantung tidak bertali. Sehingga ke hari ini siri tersebut tamat tanpa penghujung. Jenuh saya menunggu, namun saya hanya pungguk yang rindukan bulan.
Bertahun-tahun kemudian, apabila sudah bekerja, saya ke DBP dan cuba mengumpul kembali siri-siri Artakus ini. Hanya dua sahaja siri Artakus yang masih ada (walaupun kusam). Siri yang lain sudah lama habis dan tidak diulang cetak.
Apabila filem Lord of The Ring bermain di wayang, saya merasakan semacam deja vu. Saya bergurau sendirian dalam hati: "Cis! Hollywood mencuri idea Ahmad Patria Abdullah". 
Hehehe.. oh! betapa fanatiknya saya pada Artakus. Peminat Artakus sudah bertahun lamanya menerokai alam Lord of The Ring sebelum Hollywood menvisualkannya.
Setelah bertahun memendam rindu pada Artakus, semalam saya berkesempatan bersalam dengan lagenda penulis yang telah berjaya membuka minat saya terhadap genre fantasi dan sai fai. 
Petang semalam, saya benar-benar teruja mendengar celoteh Abang Pat. Dalam keasyikan itu, fikiran saya melayang jauh beberapa tahun kebelakang, mengimbau nosltalgia cinta pertama saya dengan Artakus.
Terima kasih Abang Pat... 

3 comments:

saiFz said...

Benar, waktu sekolah dulu, memang karya Ahmad Patria antara yang digilai oleh saya. Tapi memang tak ingat langsung dah jalan ceritanya sekarang, tapi memang best. Baca pun pinjam dari Perpustakaan Awam Perlis. Ada juga hajat nak buat koleksi masa tu, tapi tak dpat beli. Maklumla dulu-dulu, nak beli buku pun setahun sekali jer, iaitu masa pesta buku negeri, itupun banyak buku-buku DBP jer.

Speedfinger said...

bagaimana boleh kita nak kata lord of the ring mencuri idea ahmad patria abdullah sedangkan cetakan pertama untuk novel lord of the ring itu sendiri dibuat pada tahun 1954-1955.
Atau mungkin sebaliknya?

IMAM MUHAMMAD JIBRIL AL-KHAIR said...

Lepas Artakus... kini Adamus pula akan muncul tidak lama lagi...
insyallah...