MINIT MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA KALI KE 192 BIL. 11/2008
MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR
TARIKH: 3 MUHARRAM 1430H BERSAMAAN 31 DISEMBER 2008
4. MEMBINCANGKAN KERTAS KERJA
4.1 Mohon Fatwa Hukum Permainan Golf
(JMJ.351/05/(ML)/6)
4.1.1 Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa
Fatwa mengambil keputusan seperti berikutL
Berhubung dengan permainan Pool yang ada melibatkan persetujuan sesama pemain untuk menyumbang wang pada kadar tertentu bagi tujuan membayar harga makanan dan minuman di Club House atas dasar redha meredhai, tiada tekanan dan perasaan tidak berpuas hati diatas jumlah yang ditentukan sesama mereka, maka ia adalah harus. Akan tetapi sekiranya duit yang disumbangkan oleh setiap pemain tersebut diberikan kepada pemain yang mendapat markah Score tertinggi, maka ia adalah dilarang kerana terdapat unsur perjudian walaupun jumlahnya sedikit.
Manakala permainan golf secara kaedah Las Vegas, Bakarat atau seumpamanya yang melibatkan pertaruhan wang yang dinilaikan keatas bola sama ada jumlah wang itu kecil atau besar, untuk suka-suka, untuk belajar cara mengira atau memahami permulaan permainan itu, masing-masing redha meredhai sekadar sampingan untuk menjadikan lebih menarik dan mencabar atau atas apa alasan jua, maka ia adalah haram kerana tedapat unsur pertaruhan dan perjudian. Perbuatan ini adalah merupakan salah satu daripada dosa besar. Segala hasil daripada perjudian tersebut adalah haram.
Sesiapa yang terlibat hendaklah berhenti meninggalkan permainan golf menggunakan kaedah ini serta perlulah bertaubat dengan taubat nasuha dengan segera.
Oleh itu bagi mengekalkan keharusan permainan golf ini, maka semua yang terlibat wajib mematuhi syarat-syarat berikut:
1. Tidak ada unsur perjudian. Jika ada perkara yang dikategorikan sebagai judi, maka ia akan menjadi haram bahkan ia merupakan salah satu daripada dosa besar. Perkara yang dimaksudkan sebagai judi adalah seperti berikut:
a) Sama ada ia suatu permainan yang menggunakan wang taruhan daripada peserta, atau
b) Setiap permainan yang disyaratkan padanya seseorang yang menang akan memperolehi sesuatu daripada yang kalah, atau
c) Sesuatu bentuk permianan yang mengandungi sebarang unsur pertaruhan daripada pemain dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut, atau
d) Apabila adanya pertaruhan yang dikeluarkan oleh semua peserta. Pertaruhan daripada peserta inilah yang akan dijadikan ganjaran bagi sesiapa yang memenangi sesuatu pertandingan, atau
e) Setiap yang menyertai pertandingan tidak akan terlepas daripada dua kebarangkalian (risiko) yakni sama ada mendapat keuntungan ataupun kerugian. Seseorang itu akan mendapat keuntungan apabila ia memenangi sesuatu pertandingan kerana ia akan mengaut semua pertaruhan peserta-peserta lain. Manakala jika kalah, ia akan menanggung kerugian kerana kehilangan wang pertaruhan yang dikeluarkan.
Perhatian: Di zaman sekarang pertaruhan dikutip melalui cara yang kadang-kadang tidak disedari oleh para peserta pertandingan. Antaranya ialah dengan menggunakan istilah-istilah lain seperti: “Wang Penyertaan”, “Yuran Pertandingan” dan sebagainya kecuali wang penyertaan itu digunakan untuk pengurusan bukan hadiah. Atau kadangkala ianya dikutip secara tidak langsung, seperti melalui bayaran panggilan telefon yang digunakan bagi peserta yang berminat untuk menyertai sesuatu pertandingan.
Didalam semua keadaan diatas, jika pada hakikatnya hadiah yang disediakan adalah dari sumber yang dikeluarkan oleh peserta, maka ianya adalah dikira sebagai suatu perjudian.
2. Permainan golf itu tidak menghalang daripada mengingati Allah dan menunaikan Solat.
3. Tiada unsur yang dilarang dan dibenci oleh syarak, seperti disebabkan permainan golf akan menyebabkan seseorang itu berpaling daripada tanggungjawabnya.
4. Tidak membuang masa dengan permainan golf sehingga menyebabkan tertinggal dan terabainya segala hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan.
5. Tidak membiasakan diri dengannya sehingga sampai ke tahap ketagih.
6. Tidak ada unsur pembaziran.
Semua jenis permainan dan pertandingan, walaupun melibatkan hadiah, adalah harus dan dibenarkan apabila ianya memenuhi syarat-syarat berikut:
i. Permainan dan pertandingan tidak menyalahi mana-mana prinsip syarak.
ii. Permainan dan pertandingan itu boleh membawa kepada manfaat dan faedah tertentu yang digalakkan oleh syarak, misalnya untuk merapatkan hubungan persaudaraan didalam masyarakat, keluarga dan sebagainya.
iii. Permainan dan pertandingan itu tidak membawa kepada kelekaan, Maksudnya ianya tidak menjadi penyebab kepada cuainya seseorang didalam menjalankan tanggungjawab asasi sebagai Hamba Allah, Pekerja, Ketua Keluarga dan lain-lain.
iv. Permainan dan pertandingan itu tidak bertentangan dengan kepentingan dan keperluan seseorang. Misalnya orang miskin yang sibuk bermain golf.
v. Hadiah kepada peserta yang menang disediakan oleh pihak ketiga (penaja).
Wallahualam Bisawab
- sumber gambar di sini.
3 comments:
Terbaik keputusan ini
Hukum hakam yg merangkumi semua rakyat Malaysia perlu dibuat dan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Malaysia. Yg aneh nya dikeluarkan oleh Majlis Ugama Johor yg tidak ada nama. Surat yg dikeluarkan diatas disudahi dgn “ Wallahualam” macam tak yakin saja dgn fatwa tersebut.
Rasanya atas persetujuan bersama pemain duit kemenangan dibagi kepada pemenang tak ada masalah kot.tak kisah lah duit tu nak belanja makan ke,nak bawak balik ke.kerana semua dah setuju dgn syarat permainan.
Post a Comment