Monday, July 30, 2007

Cuti

Hari ini saya cuti. Penat. Tiga hari sebelum itu sibuk bertugas di International Islamic Fair, di PWTC. Kelmarin juga saya tidak sempat meluangkan masa emas hujung minggu bersama permata hati saya. Bermain layang-layang, berlari-lari di taman permainan atau mencari belalang di taman mini, hadapan rumah. Pokok-pokok di taman mini juga sudah lama tidak dibelai dan dibaja.

Tidaklah sibuk sangat. Cuma, sejak penghujung Jun jadual mengajar saya di UNITAR hampir setiap Ahad, crash course untuk pelajar semester pendek. Kalau tidak mengajar pun, biasanya saya akan berada di al-Ikhlas untuk bengkel-bengkel penulisan, kursus dan sebagainya. Hari Sabtu pun lebih kurang begitu jadualnya.

Pagi tadi Abang Chor dan Kak Yong mogok tidak mahu ke sekolah (nurseri & taska). Kata Abang Chor dan Kak Yong:

"Baba kata hari ini baba cuti, Abang Chor nak duduk dengan baba kat rumah."

"Kak Yong pun tak nak pergi sekolah. Kak Yong nak duduk rumah dengan baba."

"Sameer?" Sameer yang baru pandai menghesot itu hanya tersenyum sengih menampakkan gusinya apabila mendengar suara saya. Air liur meleleh membasahi dagunya yang montel.

Hari ini dua orang permata hati, menemankan babanya bercuti. Mama perlu ke sekolah. Sameer yang belum pandai berjalan itu pun harus ke sekolah. Saya rancang hari cuti ini hendak menghabiskan masa di rumah. Membaca buku atau menulis. Walau bagaimana pun, rancangan itu dipinda pada saat-saat akhir. Saya perlu ke KL untuk membeli modem yang rosak.

Selepas menghatar mama ke sekolah saya membawa Abang Chor dan Kak Yong ke KL. Ditemani Mak Teh mereka yang juga sedang bercuti, kami ke KL membeli modem, mencari aksesori komputer, 'cuci mata' dan sebagainya.

Lewat petang baru pulang ke rumah. Kalau tidak kerana perlu mengambil mama dan Sameer, pasti leret sampai ke malam. Hari ini kami berjalan tanpa mama dan Sameer, kurang seronoknya bagi saya. Tetapi bagi kedua-dua permata hati itu mereka tetap seronok, dapat berkejaran di shopping complex sambil makan sosej. Kata Kak Yong :

"Seronoknya baba cuti hari ini. Kalau selalu baba cuti kan seronok... boleh jalan-jalan lagi."

Saya hanya tersenyum. Puas, terasa lama sangat tidak membawa mereka berjalan-jalan di KL.

Malam ini, Kak Yong dan Abang Chor tidur awal. Sewal jam 8.00 malam. Biasanya jam 12.00 seperti ini mereka masih menemani baba mereka di meja komputer. Walaupun penat, saya belum boleh melelapkan mata. Bukan kerana insomnia, tetapi giliran Sameer pula yang mendera. Munkin mogok sebab tidak dibawa berjalan siang tadi, maka sehingga lewat malam ini dia masih bergelak ketawa, berguling-guling dan merengek-rengek hendak didukung.

Ketika ini, sambil menaip, saya terpaksa 'bersilat' dengan Sameer yang turut ingin menekan butang keyboard. Hemm... malam masih muda, giliran Sameer pula untuk buli baba....

No comments: