Lama tidak kemas kini Taman Permata ini. Hendak kata sibuk, ramai lagi orang yang sibuk. Hendak kata talian internet di rumah sedang meragam, boleh sahaja sekiranya hendak ke cycercafe yang hanya 5 minit berjalan kaki dari rumah. Kalau hendak bagi alasan, rasanya seribu satu alasan boleh diberikan. Tetapi cukuplah simpan dalam saku seluar sahaja alasan-alasan itu.
Saya sedang membaca buku Matsushita Leadership. Buku lama tentang sejarah pengasas syarikat gergasi Matsushita. Buku ini saya terjumpa dan terbeli ketika tersinggah di kedai buku-buku terpakai di Ampang Point baru-baru ini. Baru sempat baca sedikit tetapi saya ingin kongsi satu cerita yang menarik tentang budi pekerti Kinosume Matsushita (KM) yang sudah menjadi jutawan besar.
Suatu hari KM bersama pegawai-pegawai kanan syarikatnya, makan disebuah restoran terkemuka. Dalam jamuan tersebut, KM tidak menghabiskan makanannya. Apabila selesai jamuan, sebelum beredar, beliau berkata kepada pegawai peribadinya:
“Awak panggil tukang masak yang memasak makanan ini, bukan ketua tukang masak, bukan pengurus restoran ini, tetapi tukan masak yang berkenaan sahaja.” Kata KM kepada pegawainya itu.
Apabila melihat tukang masak datang dengan muka yang ketakutan, KM berkata kepadanya: “Tuan, masakan awak ini tidak ada masalah atau kekurangan. Malah rasanya cukup sedap. Tetapi, saya sudah tua, selera makan saya tidak lagi seperti ketika muda. Saya memanggil awak ini kerana saya hendak memastikan awak tidak berkecil hati, sedih atau risau apabila melihat masakan awak ini tidak dihabiskan.” Kata-kata yang cukup membuatkan mereka yang berada di situ terpegun.
Peristiwa itu berlaku ketika KM berumur 80'an dan sudah menjadi jutawan besar. Walau pun menjadi tokoh yang penting dan kaya-raya, beliau tetap menghormati dan menjaga perasaan orang lain yang jauh lebih kecil statusnya dari beliau. Tindakan beliau tidak sekali-kali menjatuhkan maruah mahupun kedudukannya. Malah, beliau semakin dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat.
Seperti kata-kata pepatah Melayu 'Ular menyusur akar tidak hilang bisanya'.
No comments:
Post a Comment