Wednesday, July 11, 2007

Kawan

Hari ini, berpuluh darsawarsa yang lampau, saya dilahirkan ke dunia ini. Hemm... sudah semakin tua.

Hari ini, tengahari tadi sekembalinya dari HQ di batu caves untuk mesyuarat pengurusan, saya lihat sejambak bunga diatas meja. Nota sisi tertulis : "For My Beloved Husband, From Your Wife, RH"... weh! merah padam muka saya rasanya. Inilah kali pertama dapat bunga dan kena sorak dengan kawan-kawan di pejabat. Terharu atas ingatan isteri dan kawan-kawan. Saya sendiri sebenarnya tidak ambil kisah sangat tentang hari jadi ini. Masuk pejabat pagi tadi pun kalau tidak disapa oleh Pn Nurul (editor kanan PTSP) tidak teringat hari ni hari jadi saya. Lagi pun setiap hari saya memang merasakan saya semakin tua... dan semakin dekat untuk dipanggil mengadap yang empunya diri ini.

Sekeping kad ucapan juga diletakkan di atas meja dari kawan-kawan sepejabat. Saya tertarik dengan kata-kata yang dititipkan di dalam kad itu, terutama bait-bait akhirnya:
"Count your life by smiles, not tears.
Count your age by friends, not years."
Alhamdulillah, sepanjang usia remaja usang ini banyak nikmat Allah yang tidak terhitung yang dilimpahkan atas saya... Setiap apa yang berlaku, baik pahit atau manis, saya menganggapnya nikmat Allah. Jasa dan pengorbanan ayah dan emak membesarkan anak yang karenahnya cukup memeningkan kepala ini juga tidak terkira hebat. Juga, terlalu banyak jasa mereka-mereka yang di sekeliling saya yang hanya Allah sahaja dapat membalasnya.

Kawan? saya bersyukur kerana mengenali ramai orang yang menjadi kawan-kawan saya. Sejak dari bangku sekolah hinggalah ke usia ini. Teringat kata-kata Prof. Abdullah Hassan, lebih 10 tahun lalu ketika saya menumpang keretanya ke UIA dari satu program pelajar:

"Faris, carilah seberapa banyak kawan ketika belajar. Kawan ketika kita belajar, ketika belum ada sebarang kepentingan (jawatan penting dsb) adalah kawan yang sebenar. Itulah juga 'social insurance' kita."

Saya pegang kata-kata Prof itu, dan syukur saya ada ramai kawan dari pelbagai disiplin ilmu. Tidak hanya dalam bidang pengajian saya. Hari ini saya masih dapat menghubungi sebahagian besar daripada mereka walau hanya untuk bersembang kosong atau minum teh. Tidak kisah siapa jua mereka sekarang (yang berada di merata tempat termasuk di institusi-institusi penting negara). Kerana yang pasti, mereka adalah kawan-kawan sejak zaman 'makan mi maggi dalam baldi' di asrama atau zaman 'mat program' dan 'kaki adventure' ketika di kampus.

Dan... di atara semua kawan-kawan itu, pengirim jambangan bunga pagi tadi adalah yang teristimewa : seorang kawan, sahabat dan teman seumur hayat. Isteri, mama Kak Yong, Abang Chor dan adik Sameer.

Terima kasih buat kalian semua, jazakumullahukhairan kathira...

Wallahu'alam

No comments: