Tengahari ini, waktu rehat makan tengahari, saya masih tekun di meja. Membelek manuskrip-manuskrip mentah yang diterima. Manuskrip yang perlu dinilai daripada pelbagai sudut dan perspektif sebelum diputuskan untuk diterima atau tidak.
Tengahari ini, ketika teman-teman sedang menikmati nasi campur di bawah pokok atau tapau untuk dibawa pulang ke pejabat, saya masih di meja kerja.
Rasanya sejak tadi sudah beberapa kali tangan ini menutup mulut yang menguap. Walaupun tidak sehebat badak air, namun ia sudah cukup untuk menjadi perangkap maut sang lalat atau apa-apa sahaja serangga yang terbang berhampiran.
Ketika ini, terasa seperti mahu melenakan mata sebentar. Tetapi, dengan keadaan ngantuk yang sebegini, saya tidak yakin akan terlena sebentar. Takut lenanya nanti meleret ke sejam atau lebih...
Oleh itu, biarlah sang ngantuk menggoda-goda mata ini dengan pelbagai ilusi indah. Namun, untuk melenakan mata barang sebentar, belum lagi terfikir.
Banyak yang perlu dibereskan dalam masa yang terasa cukup pantas bergerak ini. Sang ngantuk boleh menungg, tetapi masa tidak sekali-kali. Biarlah segelas kopi O kurang gula dan bergelas-gelas air suam gagal menewaskan sang ngantuk, saya tidak mengalah... atau sekurang-kurannya hingga saat ini. Harapnya juga sehingga jam tiga nanti....
Kenapa jam tiga? Kerana jam tiga nanti, ada wartawan dari Berita Harian akan datang ke pejabat untuk menemuramah saya. Kalau saya tewas di tangan sang ngantuk, otak saya akan membeku, sejuk dan tawar. Dan kalau gambar saya diambil nanti, pasti seluruh pelusuk tanah air nanti tertawa akan melihat wajah yang ibarat sang kucing Garfield kesiangan.
Kenapa wartawan hendak menemuramah saya?... entahlah, saya pun tidak tahu dan masih tertanya-tanya. Soalan itu perlu dijawab oleh Puan Azharisyam, PR kami yang mengaturkan pertemuannya...
wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment