Tuesday, February 26, 2008

Bahang Pilihanraya

Bermula Ahad lepas hinggalah Sabtu minggu hadapan, bahan utama yang sentiasa menjadi topik berita dan perbincangan adalah tentang pilihanraya. Isu pilihanraya sudah lama dibualkan, tetapi bahangnya kian membara dalam seminggu dua ini.

Dalam tempoh ini setiap mereka yang terlibat dengan pilihanraya ini sama ada secara langsung atau tidak mula berkempen habis-habisan. Dalam tempoh ini juga kita akan dengar pelbagai cerita dan janji yang muluk-muluk dari mereka. Kita juga akan turut mendengar mereka menelanjangkan pihak lawan masing-masing dengan pelbagai kisah buruk, aib, caci, nista dan sebagainya.

Masa ini kita lihat kawan menjadi musuh, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai bermasam muka. Malah para jemaah sembahyang juga secara psikologinya sudah berpecah belah. Dan, tidak mustahil anak beranak dan adik beradik juga turut bertegang urat. Dalam bahasa lain, bangsa saya berpecah belah setiap empat lima tahun sekali.

Itu tidak termasuk lagi isu penyalahgunaan kuasa, penipuan, penindasan dan sebagainya. Semuanya ketara dalam seminggu dua ini. Segala yang haram dan ditegah oleh Allah seolah-olah menjadi halal sebagai satu rukhsah (diringankan hukumnya) pula. Setiap berita (khususnya berita buruk diterima dengan mudah dan dengan pantas diedarkan ke sekeliling. Mungkin mereka lupa dengan ayat Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [al-Hujurat 49:6]

Saya tidak bermaksud untuk menyebelahi atau menempelak mana-mana parti. Saya juga bukan hendak tolong mengempen sesiapa. Cuma saya cuba merenung jauh etika berkempen yang diamalkan ini. Bukan sahaja di negara ini, bahkan seantero dunia.

Saya teringat kisah pemilihan khalifah pertama dunia Islam selepas Rasulullah meninggal dunia iaitu selepas waktu Asar, 12 Rabiul Awal 11H (632M). Ia mungkin bukan pilihanraya seperti yang dilakukan pada hari ini, namun ia adalah permulaan kepada sistem pemilihan pemimpin. Apa yang penting ialah bagaimana cara pihak yang terlibat berkempen.

Peristiwa tersebut berlaku sebaik sahaja Rasullullah meninggal. Selepas Abu Bakar mengishtiharkan Rasulullah meninggal dunia, berlaku kekecohan dikalangan sahabat yang tidak dapat menerima berita tersebut. Ia akhirnya reda dengan kata-kata popular Abu Bakar: "Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah mati. Barang siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati."

Selepas reda peristiwa itu, para sahabat dari golongan Ansar (penduduk asal kota Madinah) berkumpul di tempat bernama Saqifah Bani Sa'adah. Mereka berbincang untuk melantik ketua bagi menguruskan kematian Rasullullah. Ketua ini juga secara tidak langsung dilihat menjadi ketua umat Islam.

Apabila Abu Bakar dan sahabat-sahabat besar yang dari golongan Muhajirin tiba, Saad bin Ubadah sendang memberi ucapan kepada penduduk Madinah. Dia memberi justifikasi kenapa perlu dipiliha pemimpin dari golongan (parti?) Ansar.

Antara kata-katanya adalah : "Wahai kaum Ansar, kamu adalah orang awal yang memeluk Islam. Kamu mempunyai jasa yang tidak ada pada mana-mana suku kaum Arab..."

Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain membiarkan Saad berucap, walaupun ada diantara mereka yang berasa marah degan ucapan itu, terutama Umar al Khattab. Apabila tiba giliran Abu Bakar berucap, dia menerangkan dengan panjang lebar kenapa perlu wakil dari golongan (parti?) Muhajirin yang mengetuai mereka.

Peristiwa tersebut berakhir secara aman dimana para penduduk (perwakilan) kota Madinah bersetuju melantik Abu Bakar sebagai ketua menguruskan jenazah Rasulullah dan sekali gus Khalifah Islam pertama.

Dalam proses tersebut, kedua-dua golongan berhujah dan berkempen dengan menceritakan kelebihan dan kebaikan golongan masing-masing. Mereka tidak sedikit pun memburukan antara satu sama lain. Akhirnya mereka dapat memilih pemimpin dalam keadaan penuh harmoni dan bersatu padu.

Mungkin situasi ini tidak boleh disamakan dengan senario pilihanraya pada hari ini. Saya tidak nafikan tentang keperluan menerangkan kepada masyarakat gejala rasuah, penipuan, kemungkaran dan sebagainya yang dilakukan oleh pemimpin yang tidak amanah. Itu satu yang perbincangan lain.

Cuma saya berasa kesal apabila melihat ketika setiap kali pilihanraya, kawan menjadi lawan. Sekiranya sebelum itu mereka boleh bergelak ketawa, duduk semeja, seforum, berbincang dan sebagainya tetapi, apabila menjelang pilihanraya masing-masing berubah sikap. Bermula dengan perbincangan politik dan kempen calon terus membawa kepada memburukkan calon lawan masing-masing. Mula segala bentuk kritik yang adakalanya menggunakan bahasa kasar yang menyinggung hati masing-masing.

Yang bertanding adalah ahli politik, yang berpecah belah dan bertegang leher adalah pengikutnya. Biasanya lebih kuah dari sudu.

Pilihanraya perlu berkempen. Namun adakah itu bermakna dibolehkan melanggar segala macam tatacara, hukum hakam dan etiket yang telah digariskan oleh Islam? Atau hukum syariah dilonggarkan sedikit untuk tempoh dua minggu ini. Kaedah feqah sentiasa menggariskan bahawa 'matlamat tidak menghalalkan cara'.

Bagi yang bertanding, berkempen dan penyokong, ada batas-batas syariah yang perlu dipatuhi. Namun yang penting jangan kerana pilihanraya ini kesannya perpaduan ummah semakin binasa. Yang bersorak gembira nanti adalah musuh-musuh Islam.

Tidak salah kalau kita berkempen ikut cara sahabat. Yang penting apa jua yang kita lakukan, Islam dihadapan. Di akhirat nanti, kita bukan sahaja ditanya tentang pemimpin yang kita pilih, cara kita berkempen juga akan dihisab.

Walau bagaimana pun, saya kepilkan surat pembaca dalam forum sebuah akhbar ini. Kisah yang menarik, mungkin boleh dijadikan iktibar: Contohi keharmonian politik Melayu Kota Sarang Semut

Wallahu'alam

No comments: