Wednesday, February 13, 2008

Temuduga

Dalam beberapa hari ini saya agak sibuk menemuramah beberapa calon yang memohon untuk jawatan editor. Majoriti calon yang memohon adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai CGPA 3.30 keatas.

Yang menarik, ramai juga di kalangan mereka yang tidak membuat sedikit kerja rumah tentang syarikat atau jawatan yang mereka pohon. Akibatnya, ramai jugalah yang kelam kabut atau terkedu apabila ditanya pelbagai soalan berkaitan terutama tentang isu semasa.

Saya teringat suatu kisah lama, tentang sesi temuduga rakan saya untuk jawatan jurutera petroleum di sebuah syarikat antarabangsa di Malaysia. Rakan saya ini seorang pelajar yang pandai dan graduan dari luar negara.

Ketika sesi soal jawab (yang berlangsung dalam bahasa Inggeris), soalan pertama yang ditanya kepada beliau adalah: "Selain daripada berlajar, apakah akiviti awak?"

Jawab rakan saya spontan: "Saya aktif dalam teater."

"Baiklah, mari kita bercerita tentang teater." Kata penemuduga itu.

Selama lebih kurang 40 minit mereka bersembang tentang teater. Sedikit tidak ada soalan tentang petroleum atau yang berkaitan dengannya. Beberapa minggu kemudian beliau menerima surat tawaran untuk bekerja di syarikat tersebut sebagai jurutera.

Lama selepas itu, rakan saya berpeluang berjumpa dengan pengurus kanan yang menemuduga beliau. Rakan saya ini bertanya kepada pengurus tersebut kenapa ketika temuduga tidak ada sebarang soalan tentang petroleum dan sebagainya.

Jawab pengurus tersebut: "Awak adalah seorang pelajar yang pandai. Sekiranya saya bertanya tentang petroleum, pasti awak dapat menjawab dengan mudah. Namun, saya mahu lihat adakah awak mempunyai dunia lain daripada belajar. Saya tidak mahu pekerja yang hanya pandai ambil peperiksaan, tetapi tidak pandai berinteraksi dan bekerja dengan orang lain."

Itu adalah sedikit cerita daripada rakan saya. Saya juga pernah bertanya kepada dua orang individu yang biasa menemuduga calon pekerja. Seorang pengurus kanan sumber manusia sebuah syarikat petroleum dan seorang lagi wartawan kanan di sebuah syarikat media utama.

Kata mereka apabila mengulas tentang ramai graduan menganggur: "Pelajar kita bukan tidak ada kelayakan, yang sebenarnya mereka tidak pandai memasarkan diri mereka. Ramai yang hanya pandai dalam peperiksaan, tetapi tidak tahu tentang dunia luar daripada akademik mereka."

Menurut kajian psikologi, mereka yang cukup pandai dalam akademik ini dipanggil 'testwiseness'. Iaitu pandai ambil peperiksaan. Biasanya mereka yang terperangkap dalam gejala ini menunjukkan simptom seperti 'idea yang biasa-biasa' atau 'mengikut buku teks'. Mereka cenderung untuk membina kotak disekeliling mereka dan duduk dengan selesa di dalam kotak itu.

Saya sering berpesan kepada adik-adik saya, kaum kerabat dan pelajar saya di IPTA, belajar rajin-rajin, score dalam exam, tetapi pastikan aktif dalam ko-kurikulum dan kepimpinan pelajar. Ilmu akademik boleh didapati dalam kelas, tetapi kemahiran (terutama kemahiran sosial) adalah dari pengalaman yang tidak ada dalam kelas. IQ penting, tetapi EQ lebih penting.

Wallahu'alam.

No comments: