Monday, May 12, 2008

Sabar atau Mengeluh

Cerita ini saya olah daripada email yang diforwardkan kepada saya. Saya tidak pasti era latarbelakangnya. Saya agak ianya ketika zaman khilafah Islam, sekitar lebih seribu tahun dahulu. Watak Abul Hassan ini pula, saya tidak pasti adakah dia merupakan salah seorang sarjana Islam yang terkenal iaitu Abu Hassan Asyari, atau orang lain. Banyak cerita kesufian yang disandarkan kepada beliau. Sama ada ini salah satu daripada cerita rekaan atau tidak, Allah lebih mengetahui. Sekadar mengambil pengajaran daripada cerita ini.


Pada satu hari ketika Abul Hassan sedang mengerjakan tawaf di Masjidil Haram, beliau ternampak seorang wanita yang wajahnya bersinar dan berseri.

Abul Hassan berkata kepada dirinya:
"Demi Allah, saya belum pernah melihat wajah yang cantik dan berseri seperti wanita itu. Wanita itu seolah-olah seperti tidak pernah risau atau bersedih hati."

Kata-kata Abul Hassan itu didengari oleh wanita itu. Dia lantas bertanya: "Apakah yang tuan katan? Demi Allah saya tetap berasa sedih dan dukacita."

Abu Hassan bertanya: "Bolehkah saya tahu, kenapakah puan bersedih dan berdukacita?"

Wanita itu menjawab: "Suatu hari, ketika suami saya pergi menyembelih kambing korban di masjid, satu insiden menyayat hati menimpa tiga orang anak kecil saya. Kejadian itu berlaku dirumah ketika saya sedang menyediakan makanan selepas menyusukan anak kecil saya. Anak saya yang sulung sedang bermain dengan anak kedua saya. Saya terdengar dia berkata kepada adiknya: Adik, mahukah sekiranya abang menunjukkan kepada kamu bagaimana ayah menyembelih kambing."

"Anak saya yang kedua menjawab: 'Baiklah. Bagaimanakah caranya?"

"Saya tidak mengesyaki apa-apa yang pelik kerana mereka memang selalu bermain bersama. Namun, tanpa saya sedari, si abang menyuruh adiknya berbaring dan kemudia dia menyembelih leher si adik dengan pisau yang entah dari mana dia dapat. Apabila melihat adiknya menggelupur dan darah memancut keluar dari tubuh, dia segera melarikan diri ke bukit berdekatan. Si abang cuba untuk bersembunyi di bukit itu, namun seekor serigala yang kelaparan telah menangkap dan memakannya."

Abul Hassan bertanya: "Sungguh tragis insiden ini."

Wanita itu berkata: "Nanti dulu tuan. Cerita saya belum habis. Izinkan saya meneruskan cerita."

Jawab Abul Hassan: "Maafkan saya. Sila, teruskan cerita puan."

"Apabila melihat anak saya yang kecil berlumuran darah dan tidak bernyawa, saya segera mendapatkan suami saya. Saya menceritakan apa yang berlaku kepada anak kedua saya dan kehilangan anak sulung saya. Lantas suami saya segera pergi ke arah padang pasir untuk mencarinya. Ketika itu kami tidak tahu anak sulung kami melarikan diri ke arah bukit."

"Setelah sekian lama mencari di padang pasir, saya berasa risau. Saya keluar rumah untuk melihat-lihat sekiranya suami atau anak saya pulang. Saya meletakkan anak kecil saya di dalam rumah. Tanpa saya sedari anak kecil saya merangkak ke arah cerek yang mengandungi air panas. Dia menarik cerek tersebut dan tumpahlah air panas itu ke atasnya. Anak kecil menjerit kepanasan dan kulitnya melepuh. Apabila saya mendapatkannya, dia sudah mati."

"Tidak lama kemudian beberapa orang kampung yang keluar mencari anak saya datang ke rumah membawa jasad suami saya. Rupanya dia mati akibat kehausan di padang pasir. Cebisan daging, tulang dan pakaian anak sulung saya yang berlumuran darah akibat dibaham serigala juga sudah ditemui."

Abul Hassan terperanjat mendengar insiden menyayat hati yang bertimpa-timpa menimpa wanita itu. Dia bertanya: "Walaupun puan ditimpa insiden yang sungguh tragis ini, puan masih kelihatan tenang. Bagaimana puan boleh bersabar menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu? Puan tidak langsung mengeluh?"

Wanita itu menjawab dengan suara yang tenang: "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan dia menemukan perbezaan antara keduanya. Seseorang yang bersabar dengan musibah yang menimpanya akan mendapat ganti yang baik dari Tuhan. Ia adalah sifat terpuji. Manakala, sekiranya dia mengeluh, dia tidak akan mendapat sebarang ganti dari Tuhan. Sia-sialah apa yang berlaku kepadanya."

Wanita itu menyambung lagi kata-katanya: "Rasulllullah pernah berkata dalam satu hadis Qudsi: "Bagi hamba Allah yang beriman, apabila Allah mengambil kekasihnya di dunia dan dia bersabar, tidak ada balasan lain baginya melainkan syurga."

Kata Rasulullah juga: "Tiga tanda kekafiran terhadap Allah: merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

"Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika dia mati sebelum sempat bertaubat, maka Allah akan menyediakan untuknya pakaian dari wap api neraka." (Hadis ini direkodkan oleh Imam Majah)

Selepas menghabiskan kata-katanya, wanita itu meminta diri. Abul Hassan berasa kagum mendengar cerita wanita itu. "Patutlah wajahnya berseri dan seolah-olah bercahaya. Sungguh tinggi kesabaranya." Kata Abul Hassan kepada dirinya apabila wanita itu beredar.

****


Tidak ramai orang boleh bersabar seperti wanita itu. Terutama dalam keadaan musibah yang menimpa-nimpa dalam tempoh yang pendek. Kata Rasulullah: "Sabar itu adalah di awal musibah."

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Wallahu'alam.

No comments: